Halaman

Isnin, 12 Disember 2011

Apakah Jaminan Sebuah Negara Itu Aman Dan Selamat?


Ramai orang mengatakan Malaysia sebuah negara yang aman dan selamat. Aman dan terhindar daripada bencana alam, wabak penyakit, kemarau panjang, ribut taufan, kekurangan makanan, dan sebagainya. Nikmat ini mesti disyukuri kepada Allah.

Ada juga yang mengatakan aman daripada peperangan dan bebas daripada penjajahan. Ada juga yang mengatakan Malaysia menjadi sebuah negara yang semakin berkembang maju, pembangunan yang kian rancak dan kehidupan yang mengikut arus kemodenan.

Namun, apalah ertinya semua ini kalau negara maju dan moden daripada sudut material tetapi mundur daripada sudut rohani. Rakyat dididik dengan material sedangkan mereka ketinggalan dalam pembangunan kerohanian. Mengutamakan kebendaan daripada kerohanian telah menyebabkan berlakunya banyak kerosakan di atas muka bumi.

Kerosakan itu adalah seperti kes-kes jenayah, gejala sosial, keruntuhan akhlak dan moral, maksiat dan kemungkaran. Laporan berita di akhbar, televisyen, internet dan sebagainya mendedahkan masalah ini semakin meningkat. Keadaan ini semakin meruncing dan membimbang. Masyarakat pula hidup dalam ketakutan. Adakah ini dikatakan aman dan selamat?

Setiap hari kita sering didedahkan dengan berita tentang kes-kes seperti pembunuhan, rompakan, kecurian, rogol, pelacuran, pembuangan bayi, penyalahgunaan dadah, rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan lain-lain. Masalah ini tidak pernah selesai-selesai malah semakin meningkat. Masalah ini berpunca daripada rohani yang lemah.

Rohani yang lemah telah menyebabkan manusia bertindak zalim, kejam, rakus dan liar. Berani dan tidak malu untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang terlarang. Hilangnya perasaan berperikemanusiaan. Sekiranya keadaan ini tidak dibendung dan dicegah maka pasti keadaan akan menjadi bertambah buruk serta pengaruh daripada perbuatan tersebut akan merebak kepada sesiapa sahaja yang lemah ketahanan rohani atau imannya.

Pelbagai penyelesaian telah dicadang dan dilaksanakan tetapi tidak berjaya. Justeru, penyelesaian terbaik adalah melakukan pembangunan kerohanian. Kembali kepada kehidupan beragama. Kembali kepada Islam. Islam adalah penyelamat dan penyelesai segala masalah yang tidak boleh diselesaikan oleh ideologi-ideologi yang wujud di dunia.

Firman Allah s.w.t.:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى ءَامَنُواْ وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنْ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ (٩٦)
Maksudnya: Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.
(al-A’raaf: 96)

Jika kembali kepada syariat Allah pasti negara akan mendapat keamanan. Adalah terlebih baik kepada kita yang sudah mengecapi nikmat Islam dan iman ini yakin dan percaya bahawa apabila pelaksanaan syariat Islam dilakukan di negara kita pasti negara akan menjadi aman, makmur, selamat dan sejahtera. Begitu juga dengan kehidupan kita bukannya sahaja aman, makmur, selamat dan sejahtera di dunia malah di akhirat kelak. Sebab itu kita mesti membangun bersama Islam!

Sekian, wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!