Kritik, Mengkritik Dan Kritikan

Khamis, 22 Disember 2011


Kadang-kadang tanpa disedari kita sebenarnya gemar mengkritik orang. Pelbagai reaksi orang yang dikritik boleh dilihat. Ada yang menerima, tidak menerima, melatah, melenting, marah, sedih, kecewa, malu, rendah diri dan sebagainya. Namun, bagaimana pula apabila kita dikritik oleh orang lain? Apakah reaksi kita? Adakah positif atau negatif? Kita di bahagian mana? Tepuk dada tanya selera… bagaimana kalau tepuk dada tanya iman?

Dalam Kamus Dewan Edisi Empat maksud kritik, mengkritik dan kritikan adalah seperti berikut: kritik 1. analisis, penilaian dan teguran terhadap karya seni, sastera, dsb; 2. teguran keras, kecaman, bidasan; mengkritik 1. membuat analisis dan penilaian tentang karya seni, sastera, dsb; 2. memperkatakan (mengulas dsb) keburukan atau kelemahan sesuatu atau seseorang; kritikan 1. kritik (analisis, penilaian, dan ulasan terhadap sesuatu karya sastera dll); 2. kritik (ulasan atau kata-kata) tentang keburukan (kelemahan dsb) seseorang atau sesuatu, kecaman; pengkritik orang yg mengkritik, pembidas.

Manusia suka mengkritik. Namun, bagaimana pula kita sendiri yang mengkritik diri kita sendiri. Tujuannya bukan hendak menjatuhkan diri sendiri mahupun membuka pekung di dada tetapi sebagai muhasabah diri. Kritikan terhadap diri sendiri ini hanya dilakukan dengan pengetahuan dirinya sahaja. Maksudnya ialah kritikan yang dibuat itu tidak sampai ke pengetahuan orang lain. Contohnya, semasa mengkritik diri, kita bercakap dalam hati atau bercakap sendirian atau berfikir tentang perbuatan yang telah dilakukan.

Sebelum orang mengkritik kita, biarlah kita mengkritik diri kita dahulu agar kita dapat bersedia menghadapi perkara-perkara yang tidak diduga dan tidak pasti akan berlaku pada masa akan datang. Oleh itu, hasil daripada muhasabah itu maka tindakan susulannya ialah membaiki kesilapan, kelemahan dan kekurangan sebelum perkara-perkara itu ketara berlaku ataupun berulang lagi. Kalau boleh tidak mahu buat silap lagi dan banyak buat silap.

Manusia suka mengkritik. Kalau boleh, kritikan itu adalah kritikan yang ikhlas, jujur, benar, berfakta, membina, positif, tidak menjatuhkan air muka, maruah dan kredibiliti, tidak merendah-rendahkan orang, tidak mencari-cari kesalahan orang, tidak menghina dan mengkeji, bukan mengkondem, bukan komplain dan sebagainya. Kalau boleh, kritikan itu adalah untuk nasihat-menasihati seperti menasihati sahabatnya yang khilaf, nasihat seorang abang kepada adiknya dan nasihat seorang ayah kepada anaknya. Manakala nasihat itu pula adalah dengan kata-kata yang baik, sopan dan lemah lembut, berbincang dan mencari titik persefahaman.

Begitu juga kritikan itu seperti teguran seorang guru kepada muridnya yang melakukan kesalahan kerana sayangkan murid itu bukan kerana benci. Kebiasaanya kalau seorang guru itu marah kepada anak muridnya mesti guru itu akan berkata, “Saya marah kamu bukan sebab bencikan kamu tapi sayangkan kamu. Saya nak kamu jadi manusia yang berguna pada keluarga, masyarakat dan agama.”

Kritikan itu memang mudah ditujukan kepada sesiapa namun menerimanya belum tentu lagi lebih-lebih lagi terhadap diri sendiri jika dikritik. Oleh itu, bersikaplah dengan sikap rasional, dewasa, matang, proaktif, optimis, berlapang dada dan seumpamanya.


Sekian, Wassalam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!