Halaman

Sabtu, 11 Disember 2010

Kembalilah Kepada Allah

Firman Allah s.w.t.:

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا أَنْ تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنْ الْحَقِّ وَلاَ يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ (١٦)
Maksudnya: Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.
(Al-Hadid: 16)

Bersih dan tenangkanlah hati serta jernihkan akal fikiran untuk memahami ayat ini dengan sejelas-sejelanya. Moga-moga timbul kesedaran dan keinsafan dalam hati. Sekiranya ada berbuat kesalahan dan dosa, moga-moga cepat rasa insaf dan bertaubat kepada Allah.

Apabila ada perasaan malu kepada Allah, maka kita akan ingat Allah bahawa Allah melihat setiap gerak-geri kita daripada segi qauli, fikli dan qalbi.

Kembalilah kepada Allah!

Perkara Untuk Mendapatkan Ketenangan

Firman Allah SWT:
فَمَا أُوتِيتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَمَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَمَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ وَأَبْقَى لِلَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ (٣٦) وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ (٣٧) وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلاَةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ (٣٨) وَالَّذِينَ إِذَا أَصَابَهُمُ الْبَغْيُ هُمْ يَنْتَصِرُونَ (٣٩)

36. Maka sesuatu yang diberikan kepadamu, itu adalah kenikmatan hidup di dunia; dan yang ada pada sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Tuhan mereka, mereka bertawakkal.

37. Dan (bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji, dan apabila mereka marah mereka memberi maaf.

38. Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

39. Dan (bagi) orang-orang yang apabila mereka diperlakukan dengan zalim mereka membela diri.

(Asy-Syura: 36-39)
Antara perkara untuk mendapatkan ketenangan:
1. Jadi orang yang beriman.
2. Bertawakkal kepada Allah.
3. Menjauhi dosa-dosa besar.
4. Menjauhi perbuatan-perbuatan keji.
5. Memberi maaf.
6. Mematuhi seruan Allah.
7. Mendirikan solat.
8. Bersedekah.
9. Membela diri bila dizalimi (sepadan dan tidak melampaui batas). Lebih baik bersabar.

Selamat beramal!

Selasa, 23 November 2010

Belom Tido Lagi

Dah tido k belum?

Belum...

Kenapa x tido lagi?

X mengantuk lagi...

Aik, dah lewat malam ni... tido la.

Ni perkara biasa je. Ada juga sebab-sebab yang membuatkan seseorang tu x tido lagi mungkin dia banyak kerja yang kena diselesaikan.

Contohnya, kena siapkan bahas, kertas kerja, cari idea bagi merancang sesuatu gerak kerja dan sebagainya.

Jadinya, kalau tido nanti tak siap kerja tu. kalau tak tido esok letih. Pilihan terletak pada individu tersebut. Tapi kalau dah mengantuk sangat tido je la.

Adakalanya bila bersengkang mata banyak juga kesalahan yang dibuat masa menyiapkan kerja. Kerja siap tapi banyak kesalahan.

Bagaimanapun, kalau asyik layan sangat mata yang mengantuk pun tak ok juga sebab bimbang nanti kerja tak siap.

Apapun buat kalau belum tido lagi buatlah perkara-perkara yang baik seperti berfikir tentang perjuangan dan kemajuan Islam, kebesaran dan kekuasaan Allah serta menghidupkan malam dengan qiamullail.

Mmm... ok juhgak saranan tu..apapun buat yang terbaik.

berusaha, bekerja, berdakwah, berjuang, berjihad, berdoa dan bertawakkal.

Isnin, 22 November 2010

Tido

Ya Allah susahnya nak belajar…banyak dugaan. Kenapa baru sekejap buka kitab dah banyak kali menguap..rasa mengantuk..fikir nak tido…bestnya tido…rasa sedap bila dapat letakkan kepala atas bantal yang empuk..

Banyak cara dah buat tapi bila time belajar rasa nak tido…aduh, sabar je la…kalau ikutkan nak je lelap mata ni…bestnya dapat pejam mata…bila mata dah pejam mesti kata ala takpe kejap lagi bangun la…kita ambil masa 10 minit..

Tup-tup bukan 1o minit lebih dua jam tubuh terbujur kaku di atas katil yang bertilam tebal dengan dapat menikmati udara dingin dari kipas yang berputar laju..sejuk…nyaman…fuh best. Sedar-sedar mesti kata astaghfirullahalazim lewat dah ni…banyak tido ni…tapi rasa letih lagi…rasa ngantuk lagi…aik, peliknya tido dah banyak pun rasa penat lagi..tak segar..ish nak buat macam mana ni…layanlah.

Maka berlakulah episod sambung tido semula…lepas tido…tido…lepas tu tido lagi…aik ni dah melampau..bila nak bangun ni.

Khamis, 16 September 2010

Rintihan Jiwa

Judul : Rintihan Jiwa
Album : Kedamaian
Munsyid : Zulfan
http://liriknasyid.com

Di dalam dada ada rasa cinta kita
Di dalam jiwa ada rasa sayang bertakhta
Keluhan hamba pasrah hanya padanya
Kerna dia adalah pencipta segala

Di dalam dada ada rasa cinta di dalam jiwa ada rasa sayang
Keluhan hamba pasrah hanya padanya kerna Dialah Pencipta segalanya

Cintailah setulusnya semurni sufi beruzlah
Meratap menagih maghfirah dari tuhannya
Sejernih embun menitis sesejuk salju memutih
Bagaikan iman yang disirami takwa

Tuhan rahmatmu menggunung kasihmu abadi
Tiada penghujungnya
Tuhan hinanya hambamu mengecapi nikmat tanpa rasa malu
Walau secangkir syukurku di nodai dosa hiasan hidupku

Lagu:Abg Long/Mat Jan
Lagu :Abg Am / Anas

Rintihan Jiwa.mp3

Perihal Tentang Ikhlas

Ada sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a yang menerangkan bahaya dan kerugian orang yang melakukan amal kebaikan hanya demi redha manusia dan bukan dalam rangka mencari redha Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sesungguhnya orang yang pertama kali diadili pada hari kiamat nanti adalah orang yang (mengaku) mati syahid. Ia pun didatangkann (di hadapan Allah) dan Allah menyebutkan pelbagai nikmat dan anugerah-Nya kepada orang ini, dan ia pun mengakuinya.

Allah bertanya, “Apa yang kamu lakukan dengan pelbagai nikmat ini?” Orang ini menjawab, “Saya berperang kerana-Mu hingga saya syahid”. Allah berkata, “Tidak, kamu dusta. Kamu berperang supaya kamu dikatakan pemberani, dan itu sudah dikatakan”. Lalu ia pun diseret dengan wajah di tanah hingga ia dilemparkan ke dalam api neraka.

Lalu (setelah orang yang mati syahid) orang yang mempelajari ilmu dan mengajarkan serta membaca (menghafal) al-Quran. Ia pun didatangkan (di hadapan Allah) dan Allah menyebutkan pelbagai nikmat dan anugerah-Nya kepada orang ini, dan ia pun mengakuinya.

Allah bertanya, “Apa yang kamu lakukan dengan pelbagai nikmat ini?” Orang ini menjawab, “Saya mempelajari ilmu dan saya mengajarkannya, dan saya juga menghafal al-Quran kerana-Mu”. Allah berkata, “Tidak, kamu dusta. Kamu mempelajari ilmu supaya kamu dikatakan alim, dan kamu menghafal al-Quran supaya kamu dikatakan Qari (seorang pengghafal), dan itu sudah dikatakan”. Lalu ia pun diseret dengaan wajah di tanah hingga ia dilemparkan ke dalam api neraka.

Kemudian orang yang dikurniai Allah keluasan rezeki dan dianugerahi pelbagai jenis harta kekayaan. Ia pun didatangkan (di hadapan Allah) dan Allah menyebutkan pelbagai nikmat dan anugerah-Nya kepada orang ini, dan ia pun mengakuinya.

Allah bertanya, “Apa yang kamu lakukan dengan pelbagai nikmat ini?” Orang ini menjawab, tiada kesempatan yang berinfak padanya Engkau sukai melainkan saya selalu berinfak di jalan tersebut kerana-Mu”. Allah berkata, “Tidak, kamu berdusta, kamu melakukan semua itu supaya dikatakan seorang yang dermawan, dan itu sudah dikatakan”. Lalu ia pun diseret dengan wajah di tanah hingga ia dilemparkan ke dalam api neraka”. (HR Muslim, An-Nasa’I, dan Ahmad).

Sumber: Cara Cerdas Hafal Al-Quran, Dr. Raghib As-Sirjani dan Dr. Abdurrahman Abdul Khaliq, m/s 56-58.

Rabu, 15 September 2010

Bersederhanalah Kamu

Mengertilah bahawa dengan bersederhana kita akan bersikap berpada-pada dalam percakapan, tingkah-laku, bekerja, beribadah, belajar, berfikir dan banyak lagi.

Dalam bahasa arabnya disebut wasatiah yang bermaksud menyepadukan keperluan dunia dan akhirat. Keperluan untuk dunia dan akhirat dilakukan dengan seimbang. Tidak keterlaluan mencari keperluan dunia saja sehingga melupakan akhirat. Begitu juga tidak keterlaluan mencari keperluan akhirat sehingga mengabaikan keperluan dunia.

Islam mengajar penganutnya agar bersederhana, tidak keterlaluan sama ada terhadap hal-hal duniawi atau ukhrawi. Kedua-duanya dilakukan dengan sama rata, seimbang, pertengahan dan sederhana.

Taknaklah masa rajin, bersemangat… kita buat sesuatu dengan penuh beriya-iya… dengan gairah… tapi bila tak bersemangat jadi malas… kerja terbengkalai… terhenti macam tu saja… ibarat hangat-hangat tahi ayam atau melepaskan batuk di tepi tangga.

Ingatlah bahawa ketika mendapat sesuatu yang menggembirkan kita bersyukur tetapi apabila mendapat sesuatu yang menyedihkan maka kita bersabar menerima takdir Allah. Apabila bersikap sederhana maka semasa mendapat kemenangan atau kejayaan kita tidak terlalu gembira. Selain itu, jika menghadapi kekalahan atau kegagalan maka tidak terlalu sedih. Inilah yang dikatakan sikap bersederhana. Semasa senang atau susah kita tetap mengingati Allah.

Sabda Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam:

عَنْ أَبِى يَحْيَ صُهَيْبِ بْنِ سِنَانٍ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ وَلَهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَلِكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ. (رواه مسلم).
Maksudnya: Abu Yahya Suhaib bin Sunan Radhi Allahu ‘Anh meriwayatkan Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: sungguh menghairankan keadaan seseorang mukmin semua urusannya membawa kebaikan. Kelebihan ini hanya diterima oleh orang mukmin sahaja, iaitu, apabila dikurnia kebaikan dia bersyukur ini adalah kebaikan untuknya dan apabila ditimpa keburukan, dia bersabar dan ini juga adalah kebaikan untuknya.

Kehidupan ini ibarat roda. Tak selamanya kita berada di atas. Adakalanya kita akan jatuh. Jadi, pada masa jatuh, kita mesti bangun. Jatuh, bangun. Jatuh, bangun. Jatuh, bangun lagi. Jangan berputus asa.. jangan mengalah.

Oleh itu, setiap perkara mesti bersederhana barulah hati menjadi tenang dan hidup sentiasa bahagia.

Orang yang bersederhana itu sekiranya seorang hartawan maka tanpa rasa risau, bimbang, berat hati dan takut harta sedikit dia merupakan orang yang sangat pemurah. Begitu juga tidak merasakan ingin menambahkan kekayaan dengan tamak haloba, dengki dan inginkan kekayaan orang lain.

Firman Allah:

وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَامًا (الفرقان: ٦٧)
Maksudnya: Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.

Orang yang bersederhana itu sekiranya seorang fakir atau miskin maka takkan berpeluk tubuh meminta pemberian orang. Dia akan berusaha mengubah nasib dirinya kepada yang lebih baik. Dia tidak dengki terhadap orang kaya kerana kekayaannya tetapi mempunyai semangat yang kuat untuk menjadi seperti orang kaya tersebut. Dia juga tidak menyimpan dendam terhadap orang yang menindas, mencela dan menghinanya.

Firman Allah:

الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنْ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ  (آل عمران: ۱۳٤)
Maksudnya: (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.

Oleh itu, sekali lagi inginku ulangi semula bahawa setiap perkara mesti bersederhana barulah hati menjadi tenang dan hidup sentiasa bahagia.

Apabila kita mengamalkan sikap wasatiah maka semua pekerjaan akan dirancang dan dilaksanakan mengikut kemampuaan, keperluan, secara berterusan dan seimbang agar dapat menghasilkan natijah yang sempurna dan padu.

Sabda Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللهِ أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ. (رواه البخارى ومسلم).
Maksudnya: ‘Aisyah Radhi Allahu ‘Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: Allah Subhanahu Wa Taa’la mengasihi amalan-amalan yang berkekalan walaupun sedikit.

Dan wasiat Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam:

عَنْ عَمْرِو بْنِ الحَرْثِ: ...وَخَيْرُ الْأُمُوْرِ أَوْسَطُهَا. (رواه البيهقى).
Maksudnya: ‘Amru bin al-Harith meriwayatkan: …dan sebaik-baik urusan ialah wasatiah.

Oleh hal yang demikian, marilah kita mengamalkan sifat mahmudah ini dalam kehidupan seharian. Dengan bersederhana, hati menjadi tenang dan hidup bahagia di dunia dan di akhirat.

Sekian, Wallahua’alam.

Selasa, 7 September 2010

Ramadhan Yang Berbaki: Adakah Masih Ada Peluang?

Alhamdulillah, malam tadi saya berkesempatan, berpeluang, berdaya dan berkemampuan pergi ke masjid. Alhamdulillah, saya dapat mengerjakan solat fardhu dan terawih secara berjemaah. Saya berkata demikian sebab dah banyak hari saya miss untuk mengimarahkan masjid. Sejak belakangan ni tiap-tiap malam saya kena bantu ayah berniaga di pasar malam. Jadi, saya menjadi sukar hendak menghidupkan malam dengan solat sunat terawih.

Alhamdulillah, seperti di tempat-tempat lain selepas 4 rakaat solat terawih, jemaah akan disajikan dengan tazkirah selama antara 15  hingga 20 minit. Alhamdulillah, tazkirah yang disampaikan oleh ‘ustaz muda’ yang dikenali dengan panggilan Ustaz Muhammad Hafizzuddin itu dapat saya dengar dari mula hingga akhir. Kebiasaannya kalau siang letih berniaga tentu pada sebelah malam saya juga akan letih dan mengantuk. Tapi kali ni saya kurang letih maka saya dapat fakus semasa mendengar tazkirah.

Jadi, antara mesej yang dapat saya ambil ialah kita masih ada peluang melakukan amalan-amalan soleh pada Ramadhan yang masih berbaki ini. Kita masih berkesempatan untuk memperbaiki ibadah puasa mahupun memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Janganlah kita menyatakan bahawa lagi beberapa hari saja nak raya mungkin tak sempat untuk beramal ibadah. Oleh itu, ada tiga perkara yang boleh kita lakukan pada 10 akhir Ramadhan. Amalan-amalan tersebut juga adalah amalan yang suka dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Antaranya adalah:

Beriktikaf
Beriktikaf di masjid. Diriwayatkan bahawa pada 10 Ramadhan yang terakhir Rasulullah selalu beriktikaf di masjid. Hal ini kerana baginda tidak mahu terlepas untuk mendapatkan kelebihan Lailatul Qadar. Hadis sahih melaporkan bahawa Nabi Muhammad bersungguh-sungguh melakukan iktikaf pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Oleh itu, kita digalakkan beriktikaf di masjid terutamanya pada bulan Ramadhan. Selain itu, beriktikaf pada 10 malam akhir Ramadhan akan mendapat kelebihan yang tinggi. Jadi, beriktikaflah walaupun sebentar.

Berdoa
Nabi Muhammad berkata, “Tiga jenis orang yang tidak ditolak doa mereka iaitu orang yang berpuasa sehingga ia berbuka, pemimpin yang adil dan orang yang dizalimi. Allah mengangkat doanya merentasi awan lalu dibuka pintu-pintu langit. Tuhan berkata kepadanya, “Demi keagunganku, aku pasti menolongmu walaupun selepas masa berlalu.” (direkodkan oleh Ahmad dan Tirmizi)

Berdoalah ketika sahur, selepas solat fardhu, sebelum berbuka puasa, semasa bekerja, belajar, dan jika ada hajat. Doa pada bulan Ramadhan dimakbulkan oleh Allah. Orang yang beriman tidak akan melepaskan peluang ini kerana mereka yakin dengan janji Allah. Jadi, perbanyakkanlah betrdoa kepada Allah.

Bersedekah
Bersedakah tidak menjadikan kita jatuh miskin malah dimurahkan rezeki oleh Allah. Ini adalah janji-Nya. Dengan bersedekah kita dapat membantu golongan yang memerlukan seperti fakir, miskin, anak-anak yatim, orang sakit, orang susah dan sebagainya. Sedekah boleh dilakukan dengan memberi makanan, pakaian, duit dan sebagainya. Ibnu Abbas melaporkan Nabi Muhammad paling pemurah dalam bulan Ramadhan terutamanya apabila sering dikunjungi oleh malaikat Jibril bagi bertadarus al-Quran.

Mudah-mudahan dengan tiga amalan ini dapat menampung kekurangan pada ibadah puasa yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan yang hampir ke penghujungnya.

Sekian, Wallahua’alam.

Isnin, 6 September 2010

Ketika Ramadhan Menghampiri Penghujungnya

Kisah dimulai dengan ramainya umat Islam mengerjakan umrah di Makkah al-Mukarramah. Kelihatan pada tahun ini ramai umat Islam yang berkemampuan mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan. Kebarangkalian inilah peluang untuk merebut fadhilat yang terdapat dalam bulan puasa. Selain menjalani ibadah puasa pada bulan ramadhan di samping itu mereka mengerjakan umrah di Makkah agar dapat memperbanyakkan amalan-amalan soleh.

Melakukan amalan yang soleh pada bulan ramadhan akan digandakan pahalanya, apatah lagi melakukan amalan yang soleh di Makkah sudah tentu lebih lagi. Mungkin ini cita-cita orang yang mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan. Wallauha’alam, ini sekadar pandanganku sahaja.

Subhanallah, kadangkala pernah terlintas dalam hatiku ini ingin melakukan perkara-perkara, iaitu sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w dalam kehidupan seharian. Namun, ku tidak berdaya dan mempunyai kekuatan untuk melakukan semua sunnahnya. Bagiku cukuplah apa yang kumampu lakukan. Jika aku boleh, alhamdulillah. Turut hatiku supaya menjadi tenang dan gembira semula.

Bila teringatkan umat Islam yang berada di Makkah sedang mengerjakan umrah, aku jadi teringat mereka yang sedang bertawaf mengelilingi ka’bah. Ya, mereka mengelilingi Ka’bah semasa melakukan tawaf sebanyak tujuh kali. Arahnya lawan jam sama seperti bumi yang berputar pada paksinya mengelilingi matahari. Subhanallah, indahnya peraturan dan penciptaan Allah ‘azzawajjala.

Jadi, ingatlah ketika jemaah umrah bertawaf mengelilingi ka’bah, ketika itu juga bulan mengelilingi bumi. Ketika bulan mengelilingi bumi, ketika itu juga bumi mengelilingi matahari. Ketika bumi dan planet-planet lain mengelilingi matahari, ketika itu juga matahari mengelilingi galaksi. Ketika matahari mengelilingi galaksi, ketika itu juga galaksi mengelilingi suatu yang lebih besar daripadanya. Sesetengah orang berpendapat itu ialah arasy, wallahua’lam.

Subhanallah, ketika ini masing-masing sedang bergerak menuju ke destinasi yang telah ditetapkan. Dengan pergerakan ini maka wujudlah pertukaran siang dan malam, pertukaran musim, pertukaran pasang dan surut air laut dan sebangainya. Semua yang terjadi ini menghasilkan pertukaran masa. Semua yang terjadi ini adalah daripada kekuasaan, kebijaksanaan dan keagungan Allah s.w.t. Wallahua’alam.

Kita juga pun bergerak dengan menggunakan kaki, motosikal, kereta, kapal layar dan kapal terbang. Inilah dinamakan nikmat bergerak. Allah telah memberikan nikmat bergerak kepada kita yang seharusnya kita bersyukur kepada-Nya. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah sebanyak-banyaknya. Apabila teringatkan hal ini hatiku menjadi sukar untuk membayang betapa sungguh banyak nikmat-Nya kepada semua makhluk-Nya. Ya Allah, sesungguhnya aku masih kurang mengingati dan bersukur pada-Mu. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku, kedua ibu bapaku, guru-guruku, sahabat-sahabatku, dan sekalian umat Islam yang hidup dan telah meninggal dunia.

Sekiranya kita serius menjadi hamba-Nya yang soleh sepanjang hayat ini maka kita akan sedar bahawa hari ini kita telah berada pada hari Isnin, 6 september 2010 bersamaan 27 Ramadhan 1431 hijrah. Allah, cepatnya masa. Ramadhan hendak sampai ke penghujungnya. 10 Ramadhan yang terakhir hendak sampai ke penghujungnya. Dalam 10 Ramadhan terakhir dijanjikan kepada orang yang berpuasa pelepasan daripada api neraka. Dalam 10 Ramadhan yang terakhir itu juga terdapat satu malam yang dinamakan lailatul Qadar. Satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Jika dihitung, kira-kira 83 tahun. Beribadah pada malam ini akan mendapat ganjaran yang besar dan banyak daripada Allah. oleh itu, marilah berlumba-lumba melakukan amal ibadah kepada Allah.

Namun kini, 10 Ramadhan yang terakhir semakin hampir kepada satu Syawal. Jika melihatkan keadaan masyarakat kita waktu beginilah mereka sibuk menyiapkan kelengkapan untuk menyambut hari raya seperti beli baju baru, buat atau beli kuih raya, beli parabot baru, cat rumah, balik kampung dan sebagainya. Waktu begini jugalah adalah masa keemasan atau peluang kepada peniaga-peniaga. Siang malam mereka akan bekerja keras untuk berniaga. Cari duit sebanyak-banyaknya. Dapatkan keuntungan yang berlipatkali ganda. Walaupun penat atau lelah itu tidak dihiraukan lagi yang penting selagi sihat dan masih bernafas bisnes tetap bisnes.

“Duit mesti dicari sebab masa raya ni la nak kena guna banyak duit. Nak beli tu la… nak beli ni la… nak bayar bil air api, sewa rumah, keta, topup, kad kredit… macam-macam lagi nak gunakan duit. Jadi, masa ni tak boleh la nak goyang kaki ke… nak rehat ke… tido ke…. Kena cepat, tak boleh lengah-lengah nanti rugi… rugi... dan rugi…. Kita mesti mau dapat banyak untung woo.” Ini antara dialog peniaga yang biasa kudengar.

Ini kisah orang yang bernasib baik, tapi jika orang yang ditimpa musibah seperti kebakaran, kecurian, kematian, banjir, gempa bumi, ribut taufan dan peperangan tentunya mereka sedang bersedih. Padaku, setiap yang berlaku sama ada baik atau buruk akan ku kembalikan atau ku serahkan kepada Allah. Jika gembira alhamdulillah, jika sedih innalillah. Jika gembira bersyukur, jika sedih bersabar.

Jadi, dalam kesempatan ini inginku memuhasabah diri bagaimana ibadah puasaku sepanjang bulan ramadhan. Adakah aku telah banyak kali mengkhatamkan al-Quran? Adakah aku cukup 5 waktu solat fardhu secara berjemaah? Adakah aku telah berusaha besungguh-sungguh untuk khusyuk ketika menunaikan solat? Adakah aku banyak mengingati Allah sepanjang seharian? Adakah aku menjaga pandangan, pendengaran, lidah, fikiran dan hatiku? Adakah aku melakukan qiamullail setiap malam? Adakah aku memperbanyakkan sedekah? Adakah aku telah melaksanakan kewajipanku sebagai seorang anak kepada kedua ibu bapaku dalam mentaati mereka? Adakah aku telah mengikhlaskan niatku untuk melakukan amalan soleh, kebajikan dan yang dituntut oleh agama?

Aku mengharapkan agar moga-moga ibadah puasa pada tahun ini lebih baik daripada tahun lepas. Moga-moga amalan baik ini diterima oleh Allah. Moga-moga keyakinanku kepada Allah adalah tetap, utuh dan teguh. Kita tidak tahu sama ada kita akan bertemu kembali dengan bulan Ramadhan pada tahun hadapan. Jadi, saki-baki hari-hari terakhir bulan ramadhan ini disempurnakan dengan menjalani ibadah puasa yang terbaik sehingga mencapai tahap taqwa. Amin amin ya Rabbal ‘alamin.

 Ramadhan yang kian meninggalkan kita

Jumaat, 27 Ogos 2010

Saya Nak bercerita

Saja suka-suka nak cite memandangkan dh lama tak update artikel yang terbaru… jadi tak salah rasanya… pertamanya, alhamdulillah pada bulan ramadhan yang mulia ini marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana limpah kurnia dan Nikmat-Nya.

Pada kali ini saya ingin bercerita sepanjang saya mendiamkan diri (dh lama tak update blog)… banyak perkara yang saya lalui… ada kenangan manis, ada kenangan pahit… sebenarnya saya memang sengaja tak nak update blog. Pada mulanya untuk sementara waktu tapi melarat sampai ntah brapa lama... lama juga… padahal saya bercita-cita nak jadi seorang penulis… tapi jadi malas pula nak menulis.

Masa mula-mula berhenti menulis tu sebab nak concentrate pada exam masa bulan 6 dan 7 yang lepas… ingat nak berhenti kejap tapi jadi lama pula.

Kata orang kalau sesuatu pekerjaan tu bila dah lama ditinggalkan, tapi nak sambung kena mula dari awal sebab ada kemungkinan hal-hal penting tentang sesuatu pekerjaan itu ada yang dah dilupai… jadi posting ni ibarat mukaddimah dan akan disambung dengan posting seterusnya… insya-Allah. Mudah-muadahan diberikan oleh Allah kekuatan untuk terus menulis.

Ya la… mana tak nya… bila dah lama berhenti ni saya jadi teragak-agak nak siarkan artikel tentang hal apa… rasa macam tak relevan je kalau post artikel nilah… tulah… huh, serabut jadinya! Oleh sebab saya tak nak fikiran saya berserabut, jadi saya yakinkan diri untukk manulis. Jadi, inilah gaya penulisan saya kali ini… heheheh.

Ok, mula-mula saya nak bagitau sebab-sebab saya nak update blog ni:

1. memang dal lama tak update, jadi hari ni saya usahakan juga update.
2. tengok blog kawan-kawan yang sentiasa update… diorang ni ada je cite atau artikel baru… sungguh banyak idea diorang… ni antara jadi pendorong juga la bak kata macam jadi motivasi la.
3. tetiba pula Maula kirim mesej dalam chat box blog saya… tak pernah-penrah pun sebelum ni. Ni pun antara motivasinya.
4. sayang la kalau blog saya ni dibiarkan begitu je… kalau tunggu nanti la nak update sampai bila-bila pun macam tu juga… sama je takde perubahan.
5. rindu nak menulis… sebab dah lama sangat tak menulis, jadi rindu serindu-rindunya untuk menulis. Lagipun menulis ni antara hobi saya… aktiviti yang saya gemar lakukan.

Ok, rasanya tak salah kalau tulis ‘ok’ je… ganti bagi perkataan ‘okey’. Kadang-kadang rasa lebih selesa atau mesra kalau tulis dangan gaya penulisan seperti cakap harian. Kebiasaanya saya akan berusaha guna bahasa Melayu baku atau standad dalam penulisan tapi kali ni tidak. Macam saya katakan tadi kadang-kadang rasa lebih selesa atau mesra.

Ok, skang ni saya nak cite dari nak mula exam hingga yang terbaru ni.

Exam, alhamdulillah… beres… perkara yang tak dijangka… sebab siangnya sibuk merancang untuk pengisian Tamrin Qiadi (tamrin akhir tahun 3). Malamnya baru kelam-kabut nak study tapi Alhamdulillah ok-ok je. Exam selama 2 minggu tapi tu la nak kata dan lagi buat mesyuarat program. Kata Amri UMT dia pun sama macam tu juga mempunyai masa yang sedikit untuk study bila terlibat dengan aktiviti-aktiviti persatuan. Tapi semua tu bukan alasan atau penghalang kepada kita jika kita gagal. Dah memang sebagai mahasiswa memang kena libatkan diri dalam bidang kepimpinan bukan belajar je. Daripada perkongsian ilmu dan pandangan dengan Amri, maka terilham dalam hati saya satu doa, “Ya Allah, permudahkanlah urusan pengajianku di KUDQI sehingga aku dapat tamatkan pengajianku pada masa yang ditetapkan”. Amin.

Lepas exam, student KUDQI sibuk buat majlis jamuan lajnah gabungan tapi sayang malam tu saya tak dapat hadir sebab saya kurang sihat, huhuhu…

Selang beberapa hari, Tamrin Qiadi pada hari ahad-selasa bersamaan 4-6 julai 2010. Tamrin ni diadakan di Kem Merang Setiu. Pada saya inilah tamrin yang setakat ni la tamrin yang terbest saya kendalikan… alhamdulillah. Masa ni saya jadi unit pengisian. Alhamdulillah sumenya ok belaka. ‘Ok tak ok. Boleh tak boleh. Ada efek x?’ Pernah suatu masa tu saya bergurau dengan safwan… saya kata padanya, “Ana rasa masa kat tamrin qiadi ni pointer ana meningkat la”.

Dua minggu lepas tu program makan malan bersama Tuan Guru Hadi Awang di Restoran Suria Rasa, Rusila. Program ni untuk kumpul dana student KUDQI. Program ni pada hari Jumaat malam Sabtu jam kul 9. Selesai kul 11 macam tu la. Ada yang balik sampai kul 1 kul 2… rasa nak tido je masa tu. Apapun keje kena setel dulu baru boleh balik.

Sabtunya rehat puas-puas sebab hari ahad hingga khamis berikutnya program Daurah Syariah, iaitu 25-29 Julai 2010. Program ada kerjasama dengan persatuan pelajar Riyadh. Ada seorang syeikh dari sana datang ke sini menyampaikan beberapa siri kuliahnya bagi slot pegisian program ni. Hari Rabu pegi reakreasi balik hari khamis di Tasik Kenyir untuk peserta lelaki saja. Peserta perempuan pegi Sekayu, sehari saja. Masa aktiviti ni saya tak pegi Tasik Kenyir tapi jadi pemandu van bawa peserta perempuan ke Sekayu.

Ingatkan dah habis program, rupa-rupanya pada 31 julai tu JPM buat roadshow di Terengganu. Mereka beri penerangan tentang usrah dan tarbiyah. Kejap je mula seawal 9 pagi dan selesai pada pukul 4 petang.

Ok, jadi lepas tu saya pun rancang nak balik KL tapi banyak kali tak jadi. Sempat la juga saya berpuasa selama 10 hari di Terengganu. Sepanjang tempoh itu, alhamdulillah saya dapat merasai pengalaman jadi imam solat terawih dan beri tazkirah ramadhan di Basung. Alhamdullillah saya rasa senang hati sekali dapat praktik 2 perkara tersebut. Bagi saya pada masa tu, inilah peluangnya untuk saya praktik jadi imam dan pentazkirah.

Ok, pada hari yang kesebelas berpuasa saya bernekad nak balik KL juga. Akhirnya, alhamdulillah saya selamat sampai di KL yang dirindui. Hari ini dah seminggu saya di KL. Saya rasa sekadar ini dahulu cerita saya pada kali ini. Sesungguhnnya yang baik itu datangnya daripada Allah dan kurang baik itu datangnya daripada kelemahan dan kejahilan saya sendiri yang akan saya usahakan untuk perbaikinya.

Ahad, 16 Mei 2010

Pertimbangan Ketika Membuat Keputusan

Pernah suatu ketika seseorang itu berfikir dengan masa yang lama. Kadang-kadang tu nampak seperti termenung panjang. Melangut dengan pandangan mata yang terlepas jauh. Entah apa yang difikirkan. Entah apa yang dilihatkan.

Jika diselidiki dia sedang berfikir hendak membuat keputusan. Menentukan keputusan yang paling betul. Susah benar rupanya hendak membuat keputusan. Tidak boleh buat secara semborono. Tidak boleh bersikap acuh tak acuh.

Seringkali juga kelihatan gelisah. Tak tentu arah. Mundar-mandir langkahnya sampai tiada sesiapa yang pasti tempat yang ingin ditujuinya. Beginilah perkara yang terjadi ketika hendak membuat keputusan. Harus membuat pertimbangan supaya tepat dan wajar.

Banyak lagi gelagat yang boleh dilihat tapi cukup sekadar ini sebagai contoh keadaan yang dialami oleh seseorang ketika berhadapan dengan masalah hendak membuat keputusan. Begitu juga dengan saya, anda dan kalian semua mesti sering berhadapan dengan situasi ini.

Boleh dikatakan setiap perkara yang hendak dilakukan dalam kehidupan seharian kita mesti perlukan suatu keputusan. Contohnya, kita mendengar azan zohor berkumandang, pada masa itu kita sedang sibuk hendak menyiapkan kerja. Jadi, kita pun berfikir tentang perkara yang mesti hendak didahulukan. Ini sekadar contoh saja.

Contoh lain, ketika bersarapan di kedai makan. Pada mulanya kita mahu makan nasi lemak dan minum air teh o’ saja tapi apabila ternampak ada sejenis kuih yang enak, kita pun berkira-kira sama ada mahu ambil ataupun tidak. Jika ambil maka bayaran akan menjadi lebih daripada bajet asal.

Beginilah pertimbangan ketika membuat keputusan. Kalau salah takut mendatangkan masalah. Kalau dibiarkan tanpa membuat sebarang keputusan juga mendatang masalah bahkan lagi besar masalahnya tanpa diduga. Tidak boleh tidak mesti buat keputusan. Kata yang tegas mesti buat keputusan!

Pada pandangan saya keputusan yang dibuat mesti mengambil kira matlamat, objektif yang hendak dicapat, bilangan tenaga kerja, sumber kewangan, kesesuaian masa, tempat, keadaan, dan lain-lain. Kebiasaan yang dilakukan ialah memberi cadangan, idea dan pandangan. Banyak cadangan yang boleh dikumpulkan. Selepas itu, setiap cadangan dinilai baik buruknya, dan manfaat mudharatnya.

Tapi susah juga kalau nak buat keputusan syura. Kena pilih antara dua. Yang paling banyak undian itulah keputusannya. Kalau nak menyanggahi keputusan tersebut berasa tindakan itu adalah tidak wajar. Nak tak nak kena terima dengan hati yang terbuka. Sebenarnya perkara yang penting ketika hendak membuat undian ialah berfikir panjang dan mendengar hujah yang kuat, benar dan lagi bernas. Walaupun hujah tersebut tidak disepakati ramai tapi jika mempunyai kebenarannya harus diterima.

Jika mahukan keputusan yang tergesa-gesa maka adakah itu suatu tindakan yang betul? Jadi, sama-samalah fikirkan.

Apabila hal ini diamati, maka betapa sukarnya hendak membuat keputusan yang melibatkan kehidupan seharian tapi menjadi mudah jika ada jalan penyelesaiannya. Namun, jika tersalah langkah bimbang terjerumus kepada kebinasaan, kesusahan dan kecelakaan. Sama-samalah minta kepada Allah agar dijauhkan daripada kebinasaan, kesusahan dan kecelakaan. Hal ini kerana bertepatan dengan kebanyakan individu suka kepada keputusan yang wajar, adil dan saksama. Semoga setiap perkara yang dilakukan mendapat keredhaan Allah.

P/s: sebagai orang Islam kita diajar melakukan solat istikharah supaya Allah memberi ketenangan hati ketika membuat keputusan dan keputusan yang dibuat mendapat keredhaan-Nya.

Sekian, Wallahu’alam.

Jumaat, 14 Mei 2010

Salah

“Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.”

Peribahasa ni mungkin ada kaitan dengan tajuk penulisan yang hendak disampaikan. Kalau tak banyak mungkin sikit… kalau sipi-sipi pun mungkin kena mungkin tak kena… paling tidak pun terasa angin-anginnya.

Sebenarnya saya nak bercerita tentang perkara yang berkaitan dengan “salah”. Saya rasa di mana-mana kita pergi tentu kita akan berhadapan dengan perkara ini.

Salah... kalau bercakap tentang salah… semua manusia tak terlepas daripada membuat kesalahan dan kesilapan. Kena ingat la tentang ni. Tapi antara perkara yang tertekan ialah apabila kita berhadapan dengan orang yang suka menyalahkan orang lain. Seolah-olah orang tersebut hendak lepas tangan tarhadap masalah yang berlaku.

Memang nampak kesian kepada orang yang dipersalahkan. Nak tak nak dia pula yang kena jadi seperti orang yang bersalah atau kena mengaku salah atau erti kata lain mangsa keadaan. Oleh sebab tak mahu keadaan menjadi lebih tegang lagi maka terpaksalah si mangsa memohon maaf.

Tapi yang hairannya orang yang benar-benar buat salah berasa ego, tak mahu mengaku salah dan memohon maaf. Manusia yang bertamadun tak seharusnya mengamalkan sikap sedemikian kerana menjadikan orang lain sebagai kambing hitam. Dek angkara tersebut orang yang benar dihukum bersalah.

Beginilah hukuman manusia yang berat sebelah dan tak adil. Orang yang kuat, berpangkat, berbohong dan berkepentingan tidak akan disabit kesalahan walaupun terang-terang nampak bersalah. Siap dengan bukti, saksi dan diketahui ramai orang lagi. Bak kata peribahasa sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.

Bila melihatkan situasi begini timbul rasa sedih dan kesian. Apa boleh buat sabar je la… ujian. Pada suatu hari nanti kebenaran pasti tiba, muncul, dibela, dan ditegakkan. Biasalah macam filem juga hero mesti kalah dulu nak dekat ending baru menang…

Individu yang suka menyalahkan orang lain ni boleh diibaratkan seperti kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tak nampak. Tak habis-habis nak cari kesalahan orang.

Semoga Allah memberi ganjaran yang besar kepada orang yang benar, tertindas, teraniaya dan dizalimi. Cumanya mesti kuat semangat, sabar, tabah dan tak berputus asa menempuh ujian ini. Satu lagi sentiasa dekatkan diri kepada Allah serta banyakkan berdoa kepada-Nya.

Selasa, 11 Mei 2010

Penyatuan Ummah

Pengetahuan Islam yang sempurna adalah sangat penting
kerana ia menjamin hidup yang bahagia dan sejahtera
bahkan kesedaran penganutnya terhadap Islam perlu dititikberatkan
supaya hati, jiwa, roh dan diri ummah ini
bersemangat, berperasaan dan bertindak untuk menjaga, memelihara,
membela dan mempertahankan kesucian Islam.

Kefahaman Islam adalah lebih penting
daripada mengharapkan kemenangan yang segera
jadi hanya menerusi usaha dakwah merupakan
wadah kepada penyatuan ummah
kerana apabila kita menjadi bersatu padu
dan menguatkan ikatan ukhuwah
maka membangun bersama Islam pasti berjaya.

Penyatuan ummah perlu dalam dakwah
apabila secara berjemaah tercapai suatu kejayaan
ayuh sedarkan diri
masing-masing menginsafi
bersama-sama menambah ilmu
bina kehidupan baru yang berlandaskan Islam.

Kini penyatuan ummah ada pelbagai kaedah
melalui semua saluran maklumat disampaikan
kita sebagai penerang bukannya penyerang
semua pihak mesti memainkan peranan
supaya dakwah Islam tidak dipersiakan

Kehidupan ummah mesti di landasan kebenaran
bahawa semua pihak bekerjasama dan bersefahaman
dengan mengikut syariat Islam yang telah ditetapkan
iaitu al-Quran dan as-Sunnah menjadi sandaran kehidupan

Mari kita singkap kembali zaman arab jahililiyah
ketika itu mementingkan asabiyah
namun berubah bila Nabi Muhammad dilantik menjadi rasul
setelah Malaikat Jibril menyampaikan wahyu
Rasulullah pun berdakwah dan menyeru
supaya manusia kembali menyembah Tuhan Yang Satu
dengan persaudaraan yang berpadu
ikatan silaturrahim bertambah erat
di samping pegangan agama yang kuat
akhirnya cahaya Islam menyinar hingga ke pelosok dunia.

Jangan hancurkan ummah
jagalah kesejahteraan ummah
justeru penyatuan ummah perlu dalam dakwah
apabila secara berjemaah tercapai suatu kejayaan.

Kemestian Sikap Lemah Lembut Dalam Mengubah Kemungkaran

Satu lagi masalah yang tidak sepatutnya kita lupakan di hati ialah kemestian bersifat lemah lembut dalam mencegah kemungkaran dan menyeru pelakunya supaya melakukan kebaikan. Rasulullah s.a.w. telah berwasiat kepada kita agar sentiasa berlemah lembut dan baginda telah menjelaskan bahawa Allah menyukai sifat tersebut dalam setiap perkara. Jika sesuatu perkara disertai dengan sifat ini, ia akan kelihatan cantik dan jika sesuatu perkara itu tidak disertai dengannya ia akan kelihatan cacat.

Di anatara kisah yang boleh dibawakan di sini ialah kisah yang disebut oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din bahawa seorang lelaki telah pergi berjumpa Khalifah al-Makmun untuk menegur dan menyuruhnya berlaku baik tetapi dia menasihatinya secara kasar. Dia berkata: “Wahai orang zalim, wahai orang yang melakukan maksiat… dan seumpamanya.” Al-Makmun merupakan orang yang pandai dan lemah lembut. Dia tidak akan membalasnya dengan seksaan sepertimana yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin. Bahkan beliau berkata kepadanya: “Wahai saudara, berlemah lembutlah, sesungguhnya Allah telah mengutuskan orang yang baik daripada kamu kepada orang yang lebih jahat daripada aku… . Allah telah memerintahnya supaya berlemah lembut. Allah telah mengutuskan Nabi Musa dan Harun yang lebih baik daripada kamu kepada Firaun yang lebih jahat daripada aku. Allah berfirman kepada mereka berdua:

اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى (٤٣) فَقُولاَ لَهُ قَوْلاً  لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى (٤٤)

Terjemahan: Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia berhajat atau takut.
[Taha: 43-44]

Alasan yang disertai dengan ungkapan penghargaan “semoga ia beringat atau takut” walaupun sebelum itu Allah S.W.T. telah menyebut ketaghutan (melampaui batas) Firaun “sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya” adalah dalil yang menunjukkan bahawa pendakwah tidak boleh berputus asa terhadap orang yang didakwahnya walau seteruk mana kekafiran dan keazalimannya selagimana dia menggunakan jalan yang lemah-lembut dan sopan, dan bukannya jalan kekerasan dan kekuatan.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya dan juga para sahabatnya.

Sumber: Fiqh Daulah Menurut Perspektif Islam, Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Terjemahan: Ustaz Haji Juanda Haji Jaya, m/s 203-204, Penerbit: Maktabah al-Qardhawi.
Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!