Halaman

Jumaat, 9 Disember 2011

Memperlengkapkan Diri Dengan Memahami Islam Secara Lebih Mendalam


Firman Allah s.w.t:

قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَاْ مِنْ الْمُشْرِكِينَ (١٠٨)
Katakanlah: "Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik."
(Yusuf: 108)

Oleh sebab saya mempunyai kecintaan, kesedaran, keinginan dan perasaan yang kuat untuk memahami Islam dengan lebih mendalam maka saya mesti sentiasa berusaha kepadanya seperti membaca buku-buku agama, mendengar kuliah agama, belajar agama secara formal dan tak formal, bertanya kepada yang pakar, dan sebagainya. Saya tidak akan mensia-siakan masa muda, sihat, lapang, kaya dan hidup saya dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah tetapi mempelajari ilmu agama secara lebih mendalam lagi. Inilah masa keemasannya. Saya tidak boleh melepaskan peluang ini pergi dan meninggalkan saya kelak begitu sahaja sekiranya saya mengabaikannya, leka dan lalai terhadap keseronokan dunia.

Saya tidak boleh menjadikan kehidupan dunia ini untuk berseronok-seronok dan mencari kekayaan semata-mata sehingga terlupa dan terleka hendak mencari ilmu agama sebanyak-banyaknya. Pada masa ini adalah masa yang paling sesuai untuk saya memperlengkapkan diri dengan ilmu agama terutamanya dan ilmu dalam bidang-bidang yang lain. Saya merasakan usaha ini adalah sangat penting kerana ilmu-ilmu ini sangat berguna dan diperlukan kepada diri saya sendiri pada masa akan datang dan dengannya juga saya akan mungkin mampu dan dapat menyampaikannya kepada orang lain dengan lebih yakin, jelas, berkesan dan baik supaya mereka juga dapat manfaatnya serta menjadi individu dan masyarakat yang benar-benar memahami Islam. Beginilah fikiran, perasaan dan hasrat saya pada masa ini.

Alhamdulillah, saya baru saja menamatkan pengajian Diploma Usuluddin Tafsir di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) pada bulan Julai dan selesai konvokesyen pada September lepas. Usaha menuntut ilmu tidak terhenti setakat ini sahaja. Saya akan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi lagi, insya-Allah. Saya mendapat makluman daripada seorang sahabat saya bahawa sahabat-sahabat dan sahabiah-sahabiah tahun 3 KUDQI sesi 10/11 sedang sibuk dengan pengurusan menyambung pengajian ke Kolej Universiti INSANIAH (KUIN). Kebarangkaliannya kuliah akan bermula pada hari Isnin depan. Setakat ini saja maklumat yang saya tahu. Walau bagaimanapun saya tidak sambung di KUIN. Hasrat saya (hasrat ni dah lama dulu ada sebelum masuk KUDQI lagi) ialah hendak sambung di Yaman tetapi khabarnya di sana masih berlaku pergolakan maka saya terpaksa akur dengan realiti sekarang dan mungkin sambung pengajian di Malaysia saja. Kalau di Malaysia, tempat pengajian yang berkenan di hati ialah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Walaupun di Yaman sedang bergolak tak bermakna saya terpaksa dan terus membatalkan hasrat saya hendak belajar di sana. Pada masa ini saya tawaqquf dulu. Sekiranya ada peluang terbaik ke sana saya akan ke sana juga, insya-Allah. Perasaan hendak belajar di sana tidak pernah padam dan lenyap semenjak saya mendengar cerita tentang belajar di Yaman sehingga kini. Lama juga. Perasaan saya hendak belajar di sana tersangatlah kuat. Walaupun cerita yang saya dengar bahawa Yaman sebuah negara yang miskin, tidak banyak kemudahan dan sebaik di Malaysia dan sebagainya namun pada saya hal itu tidak menjadikan perasaan saya hendak ke sana pudar dan hilang. Dalam kotak fikiran saya ialah saya selalu membayangkan dapat mencari ilmu agama dengan sebanyak-banyaknya, dapat bertalaqqi dangan syeikh-syeikh di sana, menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di kebanyakan masjid atau tempat pangajian, banyak kitab-kitab, banyak sumber ilmu dan banyak khazanah ilmu. Saya selalu berharap dan membayangkan keadaan yang bahagia dan seronok apabila berada dalam suasana yang dikelilingi dengan ilmu, melihat dan berjumpa dengan orang yang cinta kepada ilmu, masyarakat yang mempunyai kesungguhan dalam mencari ilmu dan antara lainnya juga ialah ramai alim ulama. Ini adalah harapan, hasrat, impian dan cita-cita saya sahaja.

Sekiranya saya tidak dapat belajar ilmu agama secara formal maka itu bukanlah penyebab untuk menghentikan usaha-usaha mencari ilmu agama. Oleh hal yang demikian, saya akan belajar secara tidak formal. Hal ini kerana peluang untuk menuntut ilmu sangatlah banyak pada abad ini. Selebihnya terletak pada usaha dan daya fikir sendiri tentang cara hendak mencari ilmu. Ada banyak cara. Caranya boleh difikirkan sendiri. Mesti berfikir untuk dapatkan idea dan jalan penyelesaian. kalau tak boleh guna cara ini atau cara itu, maka berfikirlah untuk dapatkan cara lain sehingga dapat dan berjaya. Ini bermakna penghalang, kesulitan, kesusahan, dan kekurangan bukanlah penyebab atau alasan untuk berputus asa, bermalas-malasan, tidak mahu buat apa-apa dan berpeluk tubuh. Ada akal untuk berfikir, ada tulang empat kerat untuk lakukan usaha.

Apabila saya menyemak dan memuhasabah diri, rupa-rupanya banyak lagi yang saya tak tahu. Sebab itu saya ingin menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan memahami Islam dengan lebih mendalam lagi. Saya lihat terutamanya diri saya ini banyak lagi kekurangan dan masih lemah dalam memahami Islam. Secara bandingannya, kalau saya sendiri merasakan diri ini masih lemah terhadap kefahaman Islam apatah lagi masyarakat Islam pada hari ini. Bagaimana dengan mereka? Bagaimana pula yang masih tidak mempunyai kesedaran langsung, kehidupan yang jauh daripada agama? Sebab itu dalam Islam, dakwah kepada masyarakat adalah perkara yang penting supaya pengetahuan dan kefahaman tentang Islam sampai kepada mereka. Hal ini jugalah yang menyebabkan saya mesti memperlengkapkan diri dengan ilmu agama terutamanya dan ilmu dalam bidang-bidang yang lain.

Saya fikir kita mesti menjadi seorang muslim yang bukan sahaja hanya sekadar nama atau baka dan ikut-ikutan semata-mata tetapi menjadi muslim yang menepati dengan makna Islam itu sendiri. Kalau boleh kita yang sudah berada dalam nikmat Islam dan iman ini mestilah mempunyai kefahaman Islam yang menyeluruh, jelas, baik, benar dan mendalam serta menjalani kehidupan yang mengamalkan segala syariat Islam.

Sekian, Wallahu’alam.
Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!