Halaman

Selasa, 13 Disember 2011

Kemestian Menutup Segala Punca Kejahatan


Perkara-perkara yang berkait dengan kejahatan adalah seperti kemungkaran, maksiat, perkara keji, fahsya’ dan perbuatan yang mendatangkan dosa. Kejahatan perlu diatasi dengan pencegahan. Kalau kita berdiam diri, tidak berbuat apa-apa maka ini sangat berbahaya kepada agama, masyarakat dan negara.

Sehubungan dengan itu, mencegah kemungkaran adalah usaha yang baik dan penting dalam dakwah Islamiyyah supaya manusia sedar bahawa melakukan kemungkaran mendatangkan pelbagai kesan buruk. Tiada seorang manusia pun yang hidup di dunia ini sukakan perkara buruk melainkan perkara yang baik. Nah, oleh itu perkara yang terbaik ialah sokong dan mencegah kemungkaran!

Menutup segala punca kejahatan ialah menutup tempat-tempat maksiat yang merupakan tempat berlakunya kerosakan moral, akhlak, sosial, maruah, jiwa, harta dan agama. Sesiapa yang mengikut hawa nafsu pasti akan ke tempat ini. Sememangnya nafsu suka berbuat maksiat.

Melakukan maksiat adalah salah di sisi Islam. Allah s.w.t. melarang kita melakukan maksiat. Orang yang melakukan maksiat beerti dia telah mengabaikan tujuan hidupnya di dunia ini. Tujuan hidup kita di dunia adalah seperti menjadi khalifah Allah s.w.t., mengabdikan diri kepada-Nya, melaksanakan amanah-Nya dan memakmurkan bumi berlandaskan syariat-Nya.

Adakah melakukan perbuatan maksiat adalah sama dengan tujuan hidup yang disebutkan di atas? Sudah pasti tidak. Sama sekali tidak. Contohnya, memakmurkan bumi. Bagaimana memakmurkan bumi seperti yang yang dikehendaki oleh Allah? Caranya ialah kita mestilah memakmurkan bumi dengan berlandaskan syariat Islam bukannya dengan melakukan maksiat.

Melakukan maksiat boleh diibaratkan seperti melakukan kerosakan di atas muka bumi. Firman Allah s.w.t:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (٤١)
Maksudnya: Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).
(Ar-Ruum: 41)

Kesan buruk yang berlaku pada hari ini adalah hasil perbuatan tangan-tangan manusia yang melakukan kerosakan di muka bumi. Kesan buruk ini bukan sahaja menimpa kepada pelaku maksiat sahaja bahkan boleh sahaja menimpa seluruh manusia termasuk mereka yang taat kepada agama.

Akibat buruk atau balasan azab Allah pernah berlaku kepada umat-umat yang terdahulu seperti umat Nabi Nuh yang mensyirikkan Allah dilandakan banjir besar, umat Nabi Hud iaitu kaum ‘Ad yang mensyirikkan Allah dan tidak bersyukur kepada nikmat-Nya diturunkan angin puting beliung yang memusnahkan kampung dan harta benda mereka, umat Nabi Saleh iaitu kaum Thamud yang mensyirikkan Allah dan membunuh unta Nabi Saleh diturunkan halilintar yang kuat dan gempa bumi yang dahsyat, umat Nabi Lut yang mengamalkan homoseks diterbalikkan bumi, umat nabi Syu’aib iaitu kaum Madyan yang mensyirikkan Allah dan menipu timbangan dalam urusan jual beli diturunkan percikan api dari awan hitam, petir serta guruh yang dahsyat dan goncangan bumi yang kuat, dan lain-lain.

Begitulah keadaan yang berlaku kepada umat-umat terdahulu yang diazab oleh Allah kerana melakukan kerosakan di atas muka bumi. Semoga kisah tersebut dijadikan iktibar dan pengajaran kepada kita. Semoga kita juga tidak ditimpakan azab seperti umat-umat terdahulu, wal’iyazubillah.

Sekali kali ingin ditegaskan bahawa segala punca kejahatan perlu ditutup. Sebagaimana Islam mengajar kita supaya menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w.:

عَنْ أَبِيْ سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلُ اللهِ يَقُوْلُ: مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ. (رواه مسلم)
Maksudnya: Dari Abu Sa’id Al-Khudri Radiallahuanhu berkata : Saya mendengar Rasulullah Shallallahu`alaihi Wasallam bersabda: Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

Pengajaran yang boleh diambil daripada hadis ini adalah seperti berikut:
1.Menentang pelaku kebatilan dan menolak kemungkaran adalah kewajipan yang dituntut dalam ajaran Islam kepada setiap muslim sesuai dengan kemampuan dan kekuatannya. 
2.Redha terhadap kemaksiatan termasuk di antara dosa-dosa besar. 
3.Bersabar menghadapi kesulitan ketika melakukan amar makruf nahi munkar. 
4.Amar makruf merupakan hasil daripada iman, maka mencegah kemungkaran juga merupakan hasil keimanan.  
5.Mengingkari dengan hati diwajibkan kepada setiap muslim, sedangkan pengingkaran dengan tangan dan lisan berdasarkan kemampuannya. 

    Gerak kerja ini mesti disambut baik dan dilakukan oleh setiap orang Islam khususnya dan semua pihak umumnya kerana kecelakaan akan menimpa seluruh umat sekiranya kemungkaran dibiarkan terus merebak. Oleh hal yang demikian, marilah kita menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran dengan menutup segala pintu kejahatan. Semoga dengan usaha tersebut dapat menyelamatkan kita daripada azab Allah s.w.t. di akhirat kelak.

    Di samping itu, kita juga dapat mengembalikan kewibawaan kita sebagai umat Islam sebagai umat yang kuat, berjaya, terbaik dan terhebat. Firman Allah s.w.t.:

    كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ (١١٠)
    Maksudnya: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.
    (Ali-Imran: 110)

    Inilah kelebihan umat Islam berbanding umat-umat yang lain. Mudah-mudahan pencegahan tehadap segala punca kejahatan akan mengembalikan semula jati diri umat Islam daripada terus terjebak dalam kemaksiatan dan menjadikan mereka sedar, insaf, bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan mensucikan diri seperti dalam firman-Nya:

    إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ (٢٢٢)
    Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.
    (Al-Baqarah: 222)



    Sekian, Wallahu’alam.

    Tiada ulasan:

    Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!