Halaman

Khamis, 22 Disember 2011

Imaginasi Tinggi Dan Pandangan Jauh


Orang yang berimaginasi tinggi dan berpandangan jauh mempunyai cara fikir yang berbeza dengan orang lain. Pemikiran mereka adalah sesuatu yang tidak dapat dijangka oleh orang di sekililing mereka. Dengan berimaginasi tinggi dan berpandangan jauh dapat menghasilkan sesuatu benda, perkara atau idea yang sangat hebat.

Ketika Rasulullah s.a.w. dan para sahabat sedang melakukan persiapan dan strategi peperangan di Badar, pada ketika itu Al-Habbab Ibn Al-Munzir bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: Ya, Rasulullah! Apakah tempat ini mengikut arahan Allah, tidak boleh kita berpindah lagi ke depan atau ke belakang? Atau apakah ini hanya pendapat strategi peperangan atau taktik semata-mata. Jawab Rasulullah s.a.w.: Bahkan segalanya ini tertakluk kepada pendapat strategi peperangan dan tektik semata-mata.

Lalu Al-Habbab Ibn Al-Munzir berkata pula: Kalau demikian maka ini bukan tempatnya, bangunlah tuan hamba dan sekalian hadirin ke tempat yang lebih hampir dengan air Quraisy. Kita mengambilnya dahulu, lepas itu kita musnahkan telaga-telaga yang selepasnya itu telaga kepunyaan kita ini diperluaskan dan dibina dengan air sepenuhnya, sehingga apabila berlaku peperangan kita tidak akan kehausan sebaliknya Quraisy akan dahaga kehausan. Maka Rasulullah s.a.w. pun bangun dari tempat itu berubah ke tempat yang disyorkan dan ditunjuk oleh Al-Habba Ibn-Munzir itu.

Seorang sahabat, iaitu Salman Al-Farisi yang berdarah Parsi mencadangkan supaya kaum Muslimin menggali parit di sekeliling kota Madinah yang sedang diancam oleh tentera Musyrikin Makkah serta kaum Yahudi yang mengkhianat. Rasulullah s.a.w. dan kaum Muslimin kagum dan tertarik dengan cara ini. Kemudian, Rasulullah s.a.w. pun menyeru sahabatnya menjayakan cadangan ini. Mereka telah menggali parit di sekeliling kota Madinah untuk menghalang tentera musuh dari menceroboh dan menyerang Madinah. Dengan bantuan Allah, tentera Islam telah mendapat kemenangan walaupun jumlah gabungan tentera Mekah amat besar. Perang ini dinamakan perang khandak atau ahzab dan juga ada diceritakan dalam al-Qur'an, surah Al-Ahzab.

Dikisahkan pada suatu hari, ketika Khalifah Umar Ibn al-Khattab r.a. dan beberapa orang sahabat sedang berehat di sebuah tempat, kemudian katanya: Wahai para sahabatku, bercita-citalah...! Maka salah seorang sahabat berkata: Saya bercita-cita ingin mempunyai dirham (perak) yang memenuhi tempat ini sehingga saya dapat membelanjakannya pada Jalan Allah. Dan orang kedua juga bercita-cita ingin memiliki dinar (emas) sebanyak tempat tersebut dan membelanjakannya di jalan Allah. Sementara Umar berkata: Saya ingin memiliki orang seperti Abu Ubaidah al-Jarrah, Mu'adz bin Jabal, Salim Maula Abu Hudzaifah, kemudian aku gunakan mereka untuk berjuang pada jalan Allah.

Seorang tokoh pejuang Islam, iaitu Sultan Muhammad Al-Fatih berjaya menewaskan tentera salib dan menakluk Konstantinopel pada umur 21 tahun yang membawa kepada kehancuran Empayar Byzantine. Semasa baginda melancarkan serangan ke atas Konstantinopel, Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi yang menghalang kemaraan armada Uthmaniyyah. Namun, pada suatu malam baginda telah menggunakan kebijaksanaannya dengan mengerahkan tenteranya menggerak dan mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Keesokan paginya tentera Kristian terkejut besar apabila melihat sebanyak 72 kapal perang tentera Islam berada di perairan Teluk Golden Horn dan bersedia melancarkan serangan. Hal ini memang suatu idea yang sungguh luar biasa serta di luar jangkaan musuh.

Demikianlah beberapa contoh mengenai individu yang berfikir dengan imaginasi tinggi dan pandangan jauh. Cara fikir seperti ini akan dapat menghasilkan idea yang hebat. Manakala idea yang hebat ini jika digunakan untuk kebaikan maka akan memberi kesan yang baik kepada dirinya (orang yang berfikir), masyarakat dan agama. Ini bermakna sekiranya imaginasi tinggi dan pandangan jauh digunakan untuk kepentingan Islam maka ini akan memberi kebaikan yang besar kepada Islam.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!