Mula-mula rasa susah, rasa berat nak buat. Memanglah sebab tak biasa. Rasa seperti baru pertama kali hendak lakukan. Jadi, rasa seperti susah. Tak tahu boleh buat atau tak boleh. Mungkin bila dah biasa senang je nak buat.
Maka minda pun berfikir adakah boleh lakukan perkara itu?
Kebiasaannya perkara baik memang susah hendak buat tetapi perkara yang tak baik sekejap je boleh terjebak. Tak perlu fikir panjang dan fikir apa-apa. Senang sangat perkara buruk itu dilakukan daripada perkara baik. Tak perlu rasa pelik, hairan dan ajaib kerana memang beginilah lumrah kehidupan.
Sebagaimana halnya terjadi kepada Nabi Muhammad saw ketika mula-mula menyampaikan dakwah mengenai Islam kepada kaum musyrikin Mekah mendapat tentangan yang sangat hebat. Orang yang kuat menentang pada masa itu ialah Abu Lahab sehingga menyebabkan turunnya ayat daripada surah al-Lahab.
Kaum Musyrikin Mekah menyatakan ajaran baginda adalah ajaran baru yang menyalahi ajaran nenek moyang mereka. Padahal baginda saw menyeru dan mengajak mereka kepada mentauhidkan Allah Yang Maha Esa. Dakwah Nabi kepada manusia adalah mengabdikan diri semata-semata kepada Allah bukannya mensyirikkan-Nya dengan menjadikan makhluk, patung berhala, pokok, kayu, batu dan sebagainya sebagai sembahan. Kesemua ini tidak boleh memberi sedikitpun manfaat dan mudharat kepada mereka malah kehidupan mereka dalam kerugian dan sia-sia.
Beginilah keadaanya permulaan dakwah baginda saw. Permulaannya baginda mempunyai pengikut yang sedikit tetapi dengan kesabaran yang tinggi lama-kelamaan dakwah baginda diterima dengan baik sehingga mempunyai pengikut yang ramai. Hal ini terjadi sewaktu pembukaan Kota Mekah. Pada masa itu, amalan syirik dan orang-orang kuffar dapat dikalahkan.
Cerita ini berkait dengan sesuatu perubahan yang menyentuh soal ketauhidan kepada Allah dan tanggapan kaum Musyrikin Mekah pada awal dakwah Rasulullah saw adalah sangat sukar untuk menerimanya. Walau bagaimanapun, hal ini bukanlah mustahil kerana Islam telah berjaya tersebar ke seluruh dunia.
Adapun tajuk di atas saya hanya ingin membawa contoh perkara yang sering diabaikan oleh masyarakat kita pada hari ini terutamanya golongan muda. Dari sudut perbandingannya ialah pada masa dulu kalau hendak masuk Islam rasa sangat susah manakala hari ini pula nak buat perkara baik (yang diabaikan dan sudah lama ditinggalkan) rasa sangat susah.
Jadi, apakah perkara yang tidak biasa dilakukan itu?
Contohnya, menahan diri supaya tidak tidur selepas subuh. Bagi pelajar sekolah berasrama penuh yang mempunyai peraturan ketat, tidur lepas subuh adalah perkara yang dilarang kerana mereka akan memulakan sesi pembelajaran pada awal pagi.
Tetapi bagi pelajar kolej yang disiplin asramanya tidak ketat serta pengurusan disiplin terletak pada tanggunjawab masing-masing maka amalan tidur selepas subuh adalah ketara. Pada masa yang sama juga kelas pertama mula jam 8.30 pagi atau 9.00 pagi maka ini adalah peluang untuk tidur.
Contoh lain ialah bila dah lama tak baca al-Quran. Jadi bila amalkan semula baca al-Quran kadang-kadang tu boleh terlupa nak baca. Ada masa-masa atau hari-hari terlupa nak baca. Tapi kalau diusahakan dengan berterusan amalan tu jadi normal balik.
Saya rasa sekadar ini saja contoh yang boleh diberi. Sebenarnya banyak lagi. Saya rasa anda boleh memikirkannya sendiri apakah contoh yang lain tu.
Kembali semula kepada tajuk, entri ini hendak menceritakan tentang keadaan ketika kendak melakukan sesuatu yang tidak biasa dilakukan. Sebagai rumusannya, amalan yang baik itu banyak lagi belum dilakukan padahal amalan tersebut memberi kebaikan kepada pelakunya dan orang lain. Apa yang saya fikir ialah apabila kita ingin melakukan sesuatu perkara yang tak biasa dilakukan kemudian kita dapat lakukanya dengan kerap, lazim dan rutin maka sesuatu perkara itu akan menjadi sebati pada diri dan normal.
Secara jelasnya kita mesti buat sesuatu sehingga menjadi sebati pada diri dan normal. Maka, buatlah perkara baik sehingga menjadi kebiasaan dan kelaziman.
فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا (٥) إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا (٦) فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ (٧) وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ (٨)
Maksudnya: Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhan mulah hendaknya kamu berharap.
(al-Insyirah: 5-8)
Sekian, wallahu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan