Halaman

Isnin, 12 Disember 2011

Allah Maha Penyayang


Ada orang mempersoalkan, sekiranya Tuhan itu Maha Penyayang, kenapakah pula orang yang mencuri dihukum potong tangannya? Itukah tanda kasih sayang? Hakikatnya, hukuman itu adalah simbol dan manifestasi kasih sayang Allah s.w.t. kepada manusia, kerana dengan menghukum seorang pencuri, maka Allah s.w.t. telah menyelamatkan ribuan orang lain daripada dicuri.

Allah s.w.t. mahu meyelamatkan ramai orang daripada teraniaya, inilah namanya kasih sayang. Bahkan dengan dengan hukuman tersebut, ia akan memdidik seluruh manusia agar insaf dan takut untuk mencuri. Pencuri yang dihukum itu pula, akan terlepas hukuman Allah s.w.t. di akhirat kelak. Maka inilah nilai kasih sayang Allah s.w.t. yang abadi.

Namun, pada hari ini hukuman Allah s.w.t. tersebut telah ditolak dari dilaksanakan, dengan alasan mudah kononnya untuk menyelamatkan manusia dari dizalimi dengan hukuman-hukuman potong tangan dan seumpamanya. Padahal dengan menolak hukuman Allah s.w.t., akibatnya ramai manusia yang merasa tidak selamat. Orang-orang kaya khuatir mereka akan dirompak, wanita khuatir mereka diperkosa dan kanak-kanak pula khuatir mereka diculik dan didera. Hakikatnya, ini bukanlah keselamatan tetapi kepayahan.

Justeru itu, umat Islam wajib memahami bahawa hukuman Allah s.w.t. adalah hukuman yang adil dan bersifat penyayang. Dengan perlaksanaan hukuman Allah s.w.t., bukan setakat semua orang akan merasa aman dan tenteram, namun yang lebih penting mereka yang melakukan kejahatan dan kemaksiatan juga akan terlepas dari azab Allah s.w.t. di akhirat kelak. Allah s.w.t. mahu melepaskan dosa mereka yang mencuri dan berbuat jahat tersebut, supaya di akhirat nanti mereka tidak akan diazab lagi. Inilah cantik dan indahnya hukuman had (hudud) di dalam Islam. Amat malang ramai pula manusia yang menolaknya, iaitu menolak kasih sayang dari Allah s.w.t. menerusi hukum-hakam-Nya.

Sekiranya ada orang Islam yang mengatakan hukuman Allah s.w.t. ini adalah zalim, hakikatnya samalah ia mengatakan Allah s.w.t. itu zalim. Apabila mereka sanggup mengatakan Allah s.w.t. itu zalim dan tidak berperikemanusiaan, maka di manakah darjat mereka di sisi Allah s.w.t.? Di manakah nilai keimanan mereka? Mereka telah menolak hukum Allah s.w.t., maka mereka menolak Allah s.w.t.. Ertinya mereka tidak beriman lagi kepada Allah s.w.t., sedangkan Allah s.w.t. yang menurunkan al-Quran itu adalah Tuhan yang Maha Penyayang.

Sumber rujukan: Tafsir Surah Yaasin, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, m/s 23-25, cetakan 2009, NutfairStreet Sdn Bhd dengan kerjasama Ilmuan Consultant.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!