Halaman

Jumaat, 16 Disember 2011

Oley - Penerangan Yang Jelas


Secara fitrahnya manusia akan menjadi suka atau benci kepada sesuatu apabila telah mengetahui dan memahami tentang baik atau buruk sesuatu perkara itu. Begitu juga dengan Islam yang syumul dan juga merupakan agama yang terbaik di dunia kepada manusia sejagat. Oleh itu, mesej mengenai Islam mesti disampaikan dengan jelas supaya tidak berlaku kekeliruan kepada manusia yang terdiri daripada orang Islam sendiri dan juga bukan Islam.

Islam adalah agama yang terbaik untuk dianuti oleh manusia. Ajarannya mengajak manusia ke arah kebaikan di dunia dan di akhirat. Hal ini kerana kehidupan kita bersambung sampai ke akhirat yang kekal selama-lamanya.

Islam adalah agama yang benar. Manusia tidak perlu berasa ragu-ragu dengan kebenarannya kerana Islam adalah daripada Allah s.w.t. yang disampaikan oleh rasul-Nya, iaitu Nabi Muhammad s.a.w.. Oleh hal yang demikian, kebenaran mengenai Islam tidak boleh disembunyi, diseleweng dan diputar-belitkan oleh pihak-pihak yang memusuhi Islam.

Sememangnya agama yang benar ini tidak bebas daripada mempunyai musuh sejak zaman-berzaman lagi. Sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. lagi. Mereka merancang pelbagai agenda untuk menggagalkan dakwah Islam ke seluruh alam. Mereka telah melakukan banyak pembohongan, kekeliruan, fitnah dan lain-lain terhadap Islam. Sebenarnya mereka tidak mahu Islam tertegak di atas muka bumi ini.

Walau bagaimanapun, Allah sudah berjanji akan menjaga Islam sehingga hari kiamat. Maka, Islam itu tetap terus tersebar dengan adanya para ulama, dai’e, dan pejuang Islam yang telah bertungkus-lumus menyampaikan dakwah Islamiyyah kepada manusia ke merata tempat. Dakwah dan perjuangan mereka sangat hebat di samping berdepan dengan mehnah dan tribulasi. Matlamat mereka yang jelas itu ialah ingin menjadikan manusia mengetahui dan memahami tentang Islam dengan baik, jelas dan nyata.

Mereka berdakwah dan mengajarkan Islam kepada manusia pada siang dan malam dengan tidak menghiraukan penat-lelah dan berputus asa. Usaha, sumbangan, bakti dan jasa baik mereka adalah sebenarnya untuk kesejahteraan hidup manusia supaya dapat menjalani kehidupan di dunia ini dengan baik dan mengikut syariat Islam dan selamat di akhirat sana.

Pada hari ini, orang yang bukan ahli agama, tidak tahu tentang agama, dan jahil tentang agama sudah berani bercakap tentang agama. Kesilapan dalam kata-kata mereka telah menimbulkan kekeliruan kepada orang yang tidak tahu dan yang baru mengenali agama. Bukan sahaja menimbulkan kekeliruan bahkan boleh menimbulkan fitnah terhadap Islam yang suci ini.

Keadaan ini menyebabkan orang jahil tentang agama dan baru mengenali agama telah tersalah anggap terhadap Islam bahkan ini juga berlaku kepada non-muslim. Sebagai contoh tentang isu hudud yang berlaku di Malaysia. Berbagai-bagai pandangan diberikan oleh masyarakat umum yang bukan ahli untuk
bercakap tentang hal ini. Maka, wujudlah tanggapan negatif terhadap hudud dan Islam.

Lebih malang lagi apabila ada segelintir orang yang membuat video tentang mempersenda-senda dan memburuk-burukkan hudud. Perbuatan ini sudah dikira menghina hukum Islam dan sangat berbahaya kepada aqidah seseorang jika dia seorang muslim. Semoga pihak yang terlibat mendapat hidayah Allah, insaf dan bertaubat kepada-Nya.

Kini, alhamdulillah syukur kepada Allah, apabila Ketua Pemuda Pas, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi dan rakan-rakannya telah menghasilkan sebuah filem pendek yang bertajuk “Oley”, menerangkan tentang hudud dengan jelas. Sememangnya filem pendek ini mampu memberi kefahaman yang jelas tentang hudud kepada orang ramai. Mudahan-mudahan usaha dakwah seperti ini diterus dan digiatkan lagi pada masa-masa akan datang.

Tahniah saya ucapkan kepada Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi dan rakan-rakannya! Terima kasih juga atas penerangan yang diberikan dalam filem pendek tersebut. Pada saya ini adalah antara salah satu pendekatan dakwah yang terbaik dengan penerangan yang jelas.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!