Halaman

Selasa, 24 Januari 2012

Belajar Dengan Tenang


Hari ini saya hendak bercerita tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan perpustakaan.

Panggilan lain bagi perpustakaan ialah pusat sumber. Dalam bahasa Arab disebut: مَكْتَبَةٌ / maktabah. Manakala dalam bahasa Inggeris pula ialah library.

Perpustakaan adalah tempat yang terdapat banyak buku, bahan bacaan dan rujukan. Perpustakaan juga boleh dijadikan sebagai tempat belajar kerana keadaannya yang selesa dan senyap. Pengunjung yang datang mesti menjaga adab dan peraturan seperti tidak boleh membuat bising. Suasana yang senyap tanpa bunyi bising boleh mewujudkan suasana yang tenang lebih-lebih lagi ketika sedang belajar dan membaca buku. Ini yang bagusnya tentang perpustakaan.

Pada saya perpustakaan boleh disinonimkan dengan buku. Ingat perpustakaan ingat buku. Banyak buku boleh dibaca di situ. Lagi pula saya suka membaca buku. Kawan-kawan yang mengenali saya ada yang menggelar saya ulat buku. Namun demikian, ketika di bangku sekolah saya tidak berpeluang dan berkesempatan menjadi pengawas perpustakaan atau dipanggil pustakawan. Hal ini kerana pada ketika itu saya menjadi pengawas sekolah dari tingkatan satu hingga tingakatan enam. Lama juga jadi pengawas sekolah.

Pada pandangan saya kekurangan dalam menjawat jawatan pengawas sekolah ialah tidak boleh ke perpustakaan pada waktu rehat seperti pustakawan dan pelajar biasa kerana pada waktu itu pengawas sekolah diwajibkan menjalani tugas seperti yang telah diatur dan ditetapkan oleh guru disiplin sekolah. Oleh sebab itu, setiap kali waktu rehat saya menggunakan masa itu dengan menjalankan tugas bukannya membaca buku.

Walau bagaimanapun, penglibatan sebagai pengawas sekolah di bangku sekolah telah melatih dan membentuk peribadi saya menjadi seorang yang berdisiplin dan bijak memimpin. Sehubungan dengan itu juga, pengalaman saya sewaktu menjadi pengawas sekolah dan minat terhadap membaca telah mendorong saya untuk meminati dan mahu menceburi dalam dua bidang, iaitu kepimpinan dan pendidikan. Sekarang saya merasakan bidang-bidang ini begitu serasi dengan diri dan jiwa saya. Jika tiada halangan, saya mahu mencari perkerjaan dan kerjaya atau menyambung pengajian yang melibatkan bidang kepimpinan dan pendidikan. Insya-Allah.

Baik, kita kembali semula kepada cerita tentang perpustakaan. Ketika saya belajar di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) saya tinggal di asrama. Selama empat tahun belajar di sana memang saya menginap di asrama. Cerita menarik yang ingin saya kongsikan ialah dalam banyak-banyak bilik di asrama tersebut, bilik saya antara merupakan bilik yang sering ramai pengunjung. Pengunjungnya ialah pejalar KUDQI sendiri.

Antara barang yang banyak di bilik saya ialah buku. Ada sahabat-sahabat yang menggelarkan bilik saya library atau maktabah asrama. Selain itu, ada juga yang menggelar bilik serbaguna. Macam-macam ada. Maksudnya bukan buku sahaja yang ada tetapi barang-barang kemudahan lain pun ada. Oleh sebab itu jugalah bilik saya sering dijadikan tempat melakukan aktiviti-aktiviti secara berjemaah seperti makan, belajar, berusrah, berbincang, bercerita, bermesyuarat dan lain-lain aktiviti yang berfaedah. Banyak juga sehingga tidak ingat untuk disebutkan di sini.

Sungguhpun demikian, alhamdulillah saya dapat berdepan dan melalui keadaan itu dengan baik. Manakan tidaknya, penghuni di asrama ada pelbagai ragam dan karenah. Pada masa itu, saya hanya berpandangan dan berfikir bahawa dengan sikap bertoleransi akan mengerat dan merapatkan lagi silaturrahim dan ukhuwah sesama pelajar KUDQI yang tinggal di asrama. Demikianlah cerita saya ketika tinggal di asrama KUDQI dulu yang datang ke KUDQI adalah semata-mata hendak menuntut ilmu.

Perkara yang menarik bagi saya ialah bilik saya digelar maktabah asrama dan juga bilik serbaguna. Peristiwa tersebut membuatkan saya teringat tentang perpustakaan, ilmu, buku, belajar, membaca, bahas, peperiksaan, perbincangan, mesyuarat, suasana senyap, dan ukhuwah. Senang cerita kesemuanya berkaitan dengan ilmu. 

Pesanan saya ialah cintailah ilmu, carilah ilmu sebanyak mungkin dan rajin-rajinlah mengunjungi atau belajar di perpustakaan. Insya-Allah, anda boleh belajar dengan tenang. Saya pernah melakukannya. Memang tenang dan ilmu mudah hendak masuk ke dalam hati.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!