Halaman

Ahad, 16 Mei 2010

Pertimbangan Ketika Membuat Keputusan

Pernah suatu ketika seseorang itu berfikir dengan masa yang lama. Kadang-kadang tu nampak seperti termenung panjang. Melangut dengan pandangan mata yang terlepas jauh. Entah apa yang difikirkan. Entah apa yang dilihatkan.

Jika diselidiki dia sedang berfikir hendak membuat keputusan. Menentukan keputusan yang paling betul. Susah benar rupanya hendak membuat keputusan. Tidak boleh buat secara semborono. Tidak boleh bersikap acuh tak acuh.

Seringkali juga kelihatan gelisah. Tak tentu arah. Mundar-mandir langkahnya sampai tiada sesiapa yang pasti tempat yang ingin ditujuinya. Beginilah perkara yang terjadi ketika hendak membuat keputusan. Harus membuat pertimbangan supaya tepat dan wajar.

Banyak lagi gelagat yang boleh dilihat tapi cukup sekadar ini sebagai contoh keadaan yang dialami oleh seseorang ketika berhadapan dengan masalah hendak membuat keputusan. Begitu juga dengan saya, anda dan kalian semua mesti sering berhadapan dengan situasi ini.

Boleh dikatakan setiap perkara yang hendak dilakukan dalam kehidupan seharian kita mesti perlukan suatu keputusan. Contohnya, kita mendengar azan zohor berkumandang, pada masa itu kita sedang sibuk hendak menyiapkan kerja. Jadi, kita pun berfikir tentang perkara yang mesti hendak didahulukan. Ini sekadar contoh saja.

Contoh lain, ketika bersarapan di kedai makan. Pada mulanya kita mahu makan nasi lemak dan minum air teh o’ saja tapi apabila ternampak ada sejenis kuih yang enak, kita pun berkira-kira sama ada mahu ambil ataupun tidak. Jika ambil maka bayaran akan menjadi lebih daripada bajet asal.

Beginilah pertimbangan ketika membuat keputusan. Kalau salah takut mendatangkan masalah. Kalau dibiarkan tanpa membuat sebarang keputusan juga mendatang masalah bahkan lagi besar masalahnya tanpa diduga. Tidak boleh tidak mesti buat keputusan. Kata yang tegas mesti buat keputusan!

Pada pandangan saya keputusan yang dibuat mesti mengambil kira matlamat, objektif yang hendak dicapat, bilangan tenaga kerja, sumber kewangan, kesesuaian masa, tempat, keadaan, dan lain-lain. Kebiasaan yang dilakukan ialah memberi cadangan, idea dan pandangan. Banyak cadangan yang boleh dikumpulkan. Selepas itu, setiap cadangan dinilai baik buruknya, dan manfaat mudharatnya.

Tapi susah juga kalau nak buat keputusan syura. Kena pilih antara dua. Yang paling banyak undian itulah keputusannya. Kalau nak menyanggahi keputusan tersebut berasa tindakan itu adalah tidak wajar. Nak tak nak kena terima dengan hati yang terbuka. Sebenarnya perkara yang penting ketika hendak membuat undian ialah berfikir panjang dan mendengar hujah yang kuat, benar dan lagi bernas. Walaupun hujah tersebut tidak disepakati ramai tapi jika mempunyai kebenarannya harus diterima.

Jika mahukan keputusan yang tergesa-gesa maka adakah itu suatu tindakan yang betul? Jadi, sama-samalah fikirkan.

Apabila hal ini diamati, maka betapa sukarnya hendak membuat keputusan yang melibatkan kehidupan seharian tapi menjadi mudah jika ada jalan penyelesaiannya. Namun, jika tersalah langkah bimbang terjerumus kepada kebinasaan, kesusahan dan kecelakaan. Sama-samalah minta kepada Allah agar dijauhkan daripada kebinasaan, kesusahan dan kecelakaan. Hal ini kerana bertepatan dengan kebanyakan individu suka kepada keputusan yang wajar, adil dan saksama. Semoga setiap perkara yang dilakukan mendapat keredhaan Allah.

P/s: sebagai orang Islam kita diajar melakukan solat istikharah supaya Allah memberi ketenangan hati ketika membuat keputusan dan keputusan yang dibuat mendapat keredhaan-Nya.

Sekian, Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!