Halaman

Sabtu, 12 Mei 2012

Hadis Usul Menjaga Kelapangan Fikiran Dan Kerehatan Hati

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  رضي الله عنه  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ  صلى الله عليه وسلم  انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ, وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ, فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اَللَّهِ عَلَيْكُمْ - مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ  .
Daripada Abu Hurayrah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripada kamu dan janganlah melihat kepada orang yang lebih tinggi daripada kamu. Itu lebih baik supaya kamu tidak memperlekeh ni’mat yang diberikan Allah s.w.t. kepada kamu. (Muttafaq ‘Alayh)[1]

Dalam riwayat al-Bukhari yang lain melalui tariq al-A’raj daripada Abu Hurayrah lebih jelas khusus dengan harta dan rupa fizikal bukan dalam bab ketaatan kepada Allah dan mencari ilmu.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا نَظَرَ أَحَدُكُمْ إِلَى مَنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ فِي الْمَالِ وَالْخَلْقِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْهُ
Daripada Abu Hurayrah r.a. daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada orang yang diberikan kelebihan dari segi harta dan rupa maka hendaklah dia melihat kepada orang yang lebih rendah daripadanya. (al-Bukhari, no: 6490)

Kepentingan hadis ini dapat dilihat apabila diperhatikan ianya mempunyai beberapa usul yang sangat utama untuk umat ini. Antara usul yang dapat difahami daripada hadis ini ialah cara menjaga hati iaitu mengekalkan sifat shukur, menjauhi hasad dengki, mengurangkan kerisauan hati kerana mengejar harta duniawi.

Hadis ini mengajarkan kita sifat sabar dengan ujian dan godaan duniawi termasuklah kemiskinan, musibah kerana dengan cara memandang orang lain yang lebih daif menjadikan kita lebih bershukur. Sebaliknya memandang kepada orang lebih kaya kerana terlalu menginginkan kekayaan seperti mereka boleh membawa kepada kemurkaan Allah s.w.t. dengan sebab tidak berpuas hati dan reda kepada Allah s.w.t. yang sekian banyak memberi ni’mat kepada kita.

Berdasarkan kepada hadis ini, dalam soal harta dan rupa fizikal, seseorang itu tidak sepatutnya merasakan dirinya kurang atau hina dengan sebab kemiskinan atau rupanya yang tidak cantik. Malah dia hendaklah melihat kepada kenyataan bahawa ramai lagi orang yang tidak sesempurna dirinya.

Tetapi dalam bab ibadat dan ketaatan kepada Allah s.w.t. maka orang mu`min mestilah memandang kepada orang lebih berusaha daripadanya supaya timbul dalam dirinya raghbah dan keinginan untuk mendapatkan keredaan Allah dan ini termasuk dalam bab berlumba-lumba dalam perkara kebajikan. Janganlah pula diukur dengan mereka yang malas. Oleh itu, sangat penting melihat kepada orang yang lebih bertaqwa supaya dapat menyertai mereka dalam ibadah dan juga dapat menyerupai mereka dalam kesungguhan mereka.

Dalam konteks yang sama, perkara ini juga amat penting kepada penuntut ilmu bagi meningkatkan kemajuan dalam ilmunya. Untuk itu, dia hendaklah melihat orang yang lebih alim dan usaha yang dicurahkan oleh mereka di samping membaca kisah para ilmuwan sepanjang zaman yang gigih mencari dan mengkaji ilmu.

Hadis yang disabdakan oleh baginda ini bertepatan dengan ayat al-Qur`an:
وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَى مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَى
Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka (yang kafir itu menikmatinya), yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal. (surah Taha: 131)

لِكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَى مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آَتَاكُمْ
(kamu diberitahu tentang itu) Supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. (Surah al-Hadid: 23)

Ma’na yang sama dengan hadis ini juga dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi.
عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ جَدِّهِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ خَصْلَتَانِ مَنْ كَانَتَا فِيهِ كَتَبَهُ اللَّهُ شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لَمْ تَكُونَا فِيهِ لَمْ يَكْتُبْهُ اللَّهُ شَاكِرًا وَلَا صَابِرًا مَنْ نَظَرَ فِي دِينِهِ إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ وَمَنْ نَظَرَ فِي دُنْيَاهُ إِلَى مَنْ هُوَ دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ عَلَى مَا فَضَّلَهُ بِهِ عَلَيْهِ كَتَبَهُ اللَّهُ شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ نَظَرَ فِي دِينِهِ إِلَى مَنْ هُوَ دُونَهُ وَنَظَرَ فِي دُنْيَاهُ إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَهُ فَأَسِفَ عَلَى مَا فَاتَهُ مِنْهُ لَمْ يَكْتُبْهُ اللَّهُ شَاكِرًا وَلَا صَابِرًا
Daripada ‘Amar bin Shu’ayb daripada datuknya ‘Abdullah bin ‘Amar katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w.: “Dua perkara sesiapa yang memilikinya Allah s.w.t. menulisnya sebagai orang yang bersyukur dan orang yang bersabar. Sesiapa yang tidak memilikinya Allah tidak akan menulisnya sebagai orang yang bersyukur dan orang yang bersabar. Orang yang melihat dalam urusan agamanya kepada orang yang lebih tinggi daripadanya lalu dia mengikutinya dan sesiapa yang melihat dalam urusan dunianya kepada orang yang lebih rendah daripadanya lalu dia memuji Allah kerana limpahan Allah s.w.t. untuknya maka Allah menulisnya sebagai orang yang bersyukur lagi sabar. (Sebaliknya) sesiapa yang melihat dalam urusan agamanya kepada orang yang lebih rendah daripadanya dan melihat dalam urusan dunianya kepada orang yang lebih tinggi daripadanya lalu dia berdukacita kerana tidak memperolehinya maka Allah s.w.t. tidak akan menulisnya sebagai orang yang bersyukur dan bersabar. (al-Tirmizi, no: 2512)

Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. menegaskan:
لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادٍ مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنَّ لَهُ وَادِيًا آخَرَ وَلَنْ يَمْلَأَ فَاهُ إِلَّا التُّرَابُ وَاللَّهُ يَتُوبُ عَلَى مَنْ تَابَ
“Sekiranya seseorang mempunyai satu lembah emas pasti dia lebih suka untuk memiliki satu lembah emas yang lain lagi dan tidak akan memenuhi mulutnya kecuali tanah dan Allah s.w.t. menerima taubat orang yang mahu bertaubat”. (riwayat daripada Anas bin Malik dalam Sahih Muslim, no: 1048)

Dalam hal ini, Mufti Taqi Uthmani menjelaskan bahawa tidak ada jalan untuk memperolehi kerehatan di dunia melainkan dengan sifat qana’ah, dan tidak akan tercapai qana’ah melainkan dengan mengurang hirs (kesungguhan dan ketamakan mencari dunia). Dan tidak akan kurang hirs itu melainkan dengan beramal dengan hadis ini. Sesiapa yang mula memandang kepada orang yang diberikan kelebihan rezki maka bertambah keinginan atau kerunsingannya, maka akan banyak kedengkian dan makin sedikit bershukur, adapun orang yang memandang kepada orang yang kurang daripadanya dari segi harta maka dia akan lebih banyak bershukur, bertambah kelapangan hatinya dan merasa cukup dengan pemberian Allah s.w.t kepadanya.[2]



Disediakan oleh Muhammad Hanief Awang Yahaya untuk www.darulkautsar.net




[1] Al-Bukhari, no: 6490, Muslim, no: 2963, al-Tirmizi, no: 2513, Ibn Majah, no: 4194.
[2] Takmilah Fath al-Mulhim, juz. 6, hal. 225

Jumaat, 11 Mei 2012

Dengar Dan Terimalah Tazkirah Kerana Ada Kebaikannya

Tazkirah ialah peringatan. Peringatan sentiasa berkait rapat dengan kehidupan kita. Kita mesti diberi peringatan dan mendengar peringatan. Sebabnya ialah kita sering lupa. Kita ada penyakit lupa. Justeru, ubat untuk menyembuhkan penyakit lupa ialah dengan peringatan. Kita perlu sentiasa diingatkan supaya tidak lupa dan mengulangi kesilapan yang sama. Inilah manfaatnya kepada kita.

Betapa beruntungnya kita apabila kita lupa kita diingatkan oleh orang lain tentang perkara-perkara yang penting maka kita tidak akan lupa terhadapnya. Boleh jadi perkara-perkara penting itu ialah perkara yang mesti diingati, dilakukan, dilaksanakan, ditunaikan, dikerjakan, disegerakan, dijauhi, dielakkan dan sebagainya. Dengan peringatan itu maka perkara-perkara penting tersebut tidak diabaikan, dilupai, dibiarkan, ditinggalkan dan dikesampingkan malah kita akan lebih memberi perhatian, bertanggungjawab, cakna, fokus, peka dan berdisiplin.

Sebenarnya kita dituntut dan digalakkan mendengar tazkirah. Sekiranya kita bersikap lebih serius terhadap tazkirah maka pasti kita akan merasakan tazkirah adalah perkara yang disuruh oleh agama. Dengan kesedaran sedimikian maka kita akan beranggapan bahawa tazkirah adalah sangat penting bagi kehidupan kita di dunia dan di akhirat. Beginilah sikap orang yang beriman terhadap kepentingan tazkirah bagi diri dan kehidupannya.

Sesungguhnya tazkirah memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman. Hal ini adalah seperti yang dijelaskan dalam firman Allah s.w.t.:
وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنفَعُ الْمُؤْمِنِينَ (٥٥)
Maksudnya: Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.
(Adz-Dzaariyaat: 55)

Manfaat tazkirah adalah seperti dapat menambahkan ilmu pengetahuan, kesedaran, keinsafan, mengingati perkara yang terlupa dan meningkatkan keimanan kepada Allah. Kebiasaannya  pengisian tazkirah ada menyebut ayat-ayat al-Quran dan hadis, menyebut nama-nama Allah, menyentuh hal-hal yang berkait dengan urusan-urusan penting bagi kehidupan duniawi dan ukhrawi, menyentuh hal-hal yang berkait dengan mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menginfakkan harta ke jalan Allah, berjihad di jalan Allah, tuntutan mencari ilmu, bekerja dan mencari harta yang halal, bekerja keras dan berusaha dengan bersungguh-sungguh, menjauhi perkara yang haram, menjauhi perkara maksiat, dosa dan keji, mengingati kematian, hari kiamat, hari akhirat, syurga dan neraka, dan lain-lain.

Kesemua peringatan yang disebutkan itu dapat meningkat iman. Inilah kebaikannya untuk kita. Kita mesti meningkatkan iman pada setiap masa. Iman mesti diperbaharui. Ini mesti kita ingat kerana iman itu ada masanya naik dan ada masanya turun. Oleh itu, sekiranya kita ingin meningkatkan iman maka kita mesti mendengar tazkirah.

Firman Allah s.w.t.:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آياتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ(٢) الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ (٣) أُوْلَئِكَ هُمْ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا لَهُمْ دَرَجَاتٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَمَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ (٤)
Maksudnnya: 2. Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.

3. (iaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

4. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa derajat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia.
(Al-Anfal: 2-4)

Saya kira cukuplah sekadar ini dahulu tulisan pada kali ini. Mudah-mudahan tulisan ini bermanfaat kepada kita semua supaya sukakan kepada mendengar dan menerima tazkirah. Dengar dan terimalah tazkirah dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman. Seterusnya dengan mendengar dan menerima tazkirah dapat menambahkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t..

Wallahu ‘alam.

Kaya Sebenar Ialah Kaya Jiwa

Marilah kita memahami, menghayati dan seterusnya beramal dengan hadis ini.

٦٤٤٤- حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يُونُسَ حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرٍ حَدَّثَنَا أَبُو حَصِينٍ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ
Maksudnya: Ahmad bin Yunus telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abu Bakr telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abu Hashin telah meriwayatkan kepada kami daripada Abi Soleh daripada Abi Hurairah daripada Nabi s.a.w. beliau berkata: “Kekayaan sebenar bukanlah dengan kerana banyaknya harta benda tetapi kaya yang sebenar itu adalah kaya jiwa.”
(Hadis Riwayat Imam bukhari)

Berkait Dengan Harta Di Dunia

Marilah kita memahami, menghayati dan seterusnya berama dengan hadis ini.

٦٤٣٩- حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ قَالَ سَمِعْتُ الزُّهْرِيَّ يَقُولُ أَخْبَرَنِي عُرْوَةُ وَسَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ عَنْ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَعْطَانِي ثُمَّ سَأَلْتُهُ فَأَعْطَانِي ثُمَّ سَأَلْتُهُ فَأَعْطَانِي ثُمَّ قَالَ هَذَا الْمَالُ وَرُبَّمَا قَالَ سُفْيَانُ قَالَ لِي يَا حَكِيمُ إِنَّ هَذَا الْمَالَ خَضِرَةٌ حُلْوَةٌ فَمَنْ أَخَذَهُ بِطِيبِ نَفْسٍ بُورِكَ لَهُ فِيهِ وَمَنْ أَخَذَهُ بِإِشْرَافِ نَفْسٍ لَمْ يُبَارَكْ لَهُ فِيهِ وَكَانَ كَالَّذِي يَأْكُلُ وَلَا يَشْبَعُ وَالْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى
Maksudnya: Ali bin Abdillah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Sufyan telah meriwayatkan kepada kami, katanya:  Saya mendengar al-Zuhri berkata: Urwah dan Sa`id bin Musayyab telah menceritakan kepada aku daripada Hakim bin Hizam, beliau berkata: “Saya telah meminta Nabi s.a.w. lalu Baginda memberikan kepada saya kemudian saya meminta lagi lalu Baginda memberikan kepada saya kemudian saya meminta kepadanya lagi lalu Baginda memberikan kepada saya. Kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya harta benda ini..” Kadang-kadang Sufyan berkata: Hakim berkata kepadaku: Nabi s.a.w. berkata kepadaku: “Wahai Hakim! Sesungguhnya harta benda ini hijau (menarik) dan manis. Sesiapa yang mengambilnya dengan hati yang baik nescaya diberkati kepadanya/dia diberkati pada harta benda dunia itu dan sesiapa yang mengambilnya dengan rasa tamak menonjol-nonjolkan diri tidak akan diberkati untuknya pada harta itu. Dia menjadi seperti orang yang makan tetapi tidak kenyang-kenyang. Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.”
(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Selasa, 1 Mei 2012

Kalau Kita Rasa...

Ketahuilah, sesungguhnya...

Kalau kita rasa kita hebat sebenarnya ada lagi yang lebih hebat daripada kita...


Kalau kita rasa kita kuat sebenarnya ada lagi yang lebih kuat daripada kita...


Kalau kita rasa kita bagus sebenarnya ada lagi yang lebih bagus daripada kita...


Kalau kita rasa kita baik sebenarnya ada lagi yang lebih baik daripada kita...


Kalau kita rasa kita bijak sebenarnya ada lagi yang lebih bijak daripada kita...


Kalau kita rasa kita kaya sebenarnya ada lagi yang lebih kaya daripada kita...


Kalau kita rasa kita lemah sebenarnya ada lagi orang yang lebih lemah daripada kita...


Kalau kita rasa kita susah sebenarnya ada lagi orang yang lebih susah daripada kita...


Kalau kita rasa kita miskin sebenarnya ada lagi orang yang lebih miskin daripada kita...


Kalau kita rasa kita faqir sebenarnya ada lagi orang yang lebih faqir daripada kita...


Kalau kita rasa kita sibuk sebenarnya ada lagi orang yang lebih sibuk daripada kita...


Kalau kita rasa kita sakit sebenarnya ada lagi orang yang lebih sakit daripada kita...


Kalau kita rasa kita menderita sebenarnya ada lagi orang yang lebih menderita daripada kita...dan lain-lain.

Oleh itu, ingatlah, bersyukurlah, bersabarlah, beristiqamahlah, bertenanglah, bergembiralah, kuatkanglah semangat, tingkatkanlah usaha, yakinlah, janganlah marah, janganlah banyak merungut dan mengeluh, ja nganlah berputus asa dan mengalah, janganlah bersangka buruk, janganlah bersedih dan berdukacita, dan lain-lain.
Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!