Halaman

Ahad, 6 September 2015

Ketua Yang Bertanggungjawab

Apabila Rasulullah s.a.w mendapat berita bahawa kaum kafir Quraisy Makkah bersama-sama dengan kaum Yahudi Madinah, iaitu Bani Nadhir, Bani Quraizah dan beberapa kaum lain seperti Bani Ghatofan, Bani Asad, Bani Salim, Bani Fazarah, Ashja’ dan Murrah hendak menyerang kaum Muslimin di Madinah maka Baginda pun terus mengumpulkan para sahabat dengan mengadakan perbincangan bagi menangani ancaman yang besar ini.

Di sini menunjukkan Bahawa Rasulullah s.a.w mengadakan mesyuarat untuk membuat sesuatu keputusan. Rasulullah s.a.w juga tidak membuat keputusan seorang diri. Walaupun Rasulullah s.a.w seorang rasul, baginda tetap mahu mendengar pendapat, idea dan cadangan daripada para sahabatnya.

Dalam perbincangan itu, seorang sahabat yang bernama Salman al-Farisi r.a telah mencadangkan supaya menggali parit sebagai kubu untuk mengelilingi Bandar Madinah. Pendapat ini telah dipersetujui ramai. Inilah kelebihannya apabila mengadakan mesyuarat.

Peristiwa ini dikenali sebagai peperangan ahzab atau khandak. Dinamakan ahzab kerana tentera musyrikin yang terdiri daripada kafir Quraisy Mekah bergabung dengan kaum Yahudi Madinah untuk menyerang kaum Muslimin di Madinah. Manakala dinamakan khandak kerana peristiwa menggali parit tersebut.

Peristiwa ini berlaku pada bulan syawal tahun ke-5 Hijrah bersamaan 627 Masihi. Peristiwa ini sangat besar ancaman dan cabarannya kerana tentera musyrikin yang ramai hendak menyerang Madinah. Ini menunjukkan bahawa musuh-musuh Islam itu adalah ramai dan berada di segenap penjuru. Musuh-musuh Islam bukan sahaja berada di luar malah ada di dalam Jemaah Islam. Yang ada di dalam inilah paling bahaya. Ibarat gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut. Memang bahaya.

Selepas semua bersetuju dengan pendapat Salman al-Farisi, maka mereka pun melaksanakan kerja-kerja menggali parit di sebelah utara Madinah. Kerja-kerja menggali parit ini dilakukan oleh Rasulullah s.a.w bersama-sama dengan para sahabat.

Beginilah sikap ketua yang bertanggungjawab. Sesuatu kerja itu dilakukan bersama-sama dengan orang-orang bawahannya. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Tidak hanya pandai mengarah sahaja sedang dia melihat atau monitor orang-orang bawahan membuat kerja bahkan dia turut sama melakukannya sehingga selesai.

Bayangkan pada masa itu Rasulullah s.a.w berumur 58 tahun, namum baginda tetap gagah dan kuat melakukan kerja-kerja tersebut. Rasulullah s.a.w tidak sesekali menyatakan alasan bahawa baginda telah tua, tidal larat, penat dan letih. Rasulullah s.a.w juga tidak sesekali mengada-adakan alasan dan mereka-reka cerita untuk mengelakkan diri daripada membuat kerja-kerja menggali parit. Namun begitu, Rasulullah s.a.w tetap menggali parit sehingga seluruh badannya dipenuhi dengan tanah dan debu.

Ketua yang bertanggungjawab adalah ketua yang sentiasa bersama-sama dengan orang-orang bawahan atau rakyatnya. Susah sama susah, senang sama senang. Kesenangan bukan dinikmati oleh dirinya sahaja bahkan dinikmati oleh semua orang dan dia juga bukanlah orang yang terlebih dahulu menikmati kesenangan. Sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w bahawa baginda sanggup bersusah-payah turun bersama-sama para sahabat menggali parit, menghadapi kesusahan, keletihan, kelaparan dan terik panas matahari.

Oleh hal yang demikian, sekiranya kita menggalas amanah sebagai seorang ketua maka jadilah ketua yang bertanggungjawab seperti Rasulullah s.a.w. Jadikanlah baginda sebagai contoh teladan. Zaman sekarang memang susah hendak menjumpai ketua yang bertanggungjawab tetapi yang ramai adalah yang tahu memberi arahan sahaja. Ketua yang bertanggungjawab adalah ketua yang tidak mementingkan diri sendiri.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!