MUHAMAD MAT YAKIM
10 September 2015
DI gelanggang WWE, seorang penggusti setengah mati dibelasah
lawannya. Dia menjerit melolong minta tolong. Kemudian datang seseorang yang
diketahui adalah sekutu rapatnya. Anehnya, penggusti yang baru datang itu bukan
membantu sebaliknya turut sama membelasah ‘rakannya’ itu. Suasana menjadi gamat
susulan adegan yang tidak terduga oleh sesiapa. Adrenalin merembes deras dalam
tubuh setiap orang yang berada di dalam arena.
Itulah suasana yang dahulu dianggap luar biasa tetapi sekarang sudah
jadi kebiasaan di gelanggang gusti pada era WWE.
Tidak ada kawan yang kekal, tidak ada lawan yang kekal. Apa yang akan
sentiasa kekal ialah kepentingan. Seperti ahli gusti, ahli politik juga harus
berpegang pada kenyataan ini!
Azmin Ali kelmarin dengan penuh yakin menegaskan bahawa PKR tetap mahu
menjalin kerjasama dengan Pas – kenyataan yang pasti menggetarkan gegendang
telinga Mat Sabu, juga Lim Guan Eng.
“Ini bukan pendirian peribadi saya, tetapi pendirian parti (PKR)
mengikut apa yang diputuskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Azmin di
Kuala Selangor, tengah hari kelmarin.
“Kita sudah pun berbincang mengenai perkara ini termasuk mengambil
kira pandangan dan maklum balas yang diterima (Anwar sebagai) ketua umum,”
ujarnya lagi.
Kopi
Azmin bukan budak kopi – seperti Saiful Bukhari - dalam PKR. Beliau
timbalan presiden parti. Lebih daripada itu, kedudukan sebagai Menteri Besar
Selangor meletakkannya pada posisi yang sangat berpengaruh, lebih berpengaruh
daripada Wan Azizah sendiri. Kata-katanya boleh diterima sebagai suara rasmi
parti.
Petang kelmarin juga, Mat Sabu
dilaporkan telah menemui Wan Azizah - mungkin untuk mendapatkan penjelasan Kak
Wan mengenai kenyataan timbalannya itu. Siapa yang tidak bergundah gulana jika
ketika masih berbulan madu, suami sudah menyebut mahu berkahwin lagi. Itulah
yang seharusnya dirasai oleh Abang Mat.
Sebenarnya, apa yang dikatakan oleh Azmin sekadar respons terhadap
kenyataan Guan Eng bahawa partinya tidak akan berbaik semula dengan Pas dalam
masa yang terdekat.
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan ketika diminta mengulas
kemahuan PKR untuk terus bekerjasama dengan parti itu, tidak menyatakan
kesimpulan secara tuntas. “Pas perlu
belajar daripada pengalaman,” katanya, membayangkan parti itu selepas ini akan
lebih berhati-hati dalam membuat keputusan untuk membentuk atau menyertai
sebarang pakatan politik.
Bagaimanapun seperti kenyataan yang dibuat oleh bosnya, Abdul Hadi
Awang di Kuala Terengganu pada hari yang sama – kelmarin – Pas dibayangkan
sebagai tidak kisah jika perlu bergerak sendirian.
“Pas ada kekuatan yang tersendiri,” kata Abdul Hadi ketika ditanya
oleh pemberita, dan itulah juga kata-kata Takiyuddin ketika dihubungi wartawan
Sinar Harian dari Shah Alam.
Apa yang disebut oleh kedua-dua pemimpin Pas itu bukan cakap kosong.
Tahun ini, usia Pas sudah masuk 64 tahun. Dalam tempoh itu, parti tersebut
sudah melalui bermacam-macam pengalaman. Seperti yang disebut oleh Abdul Hadi,
Pas pernah bekerjasama dengan parti komunis sebelum merdeka, dengan sosialis,
dengan Perikatan dan kemudian BN, selepas itu bergerak sendiri semula sebelum
bersama dengan Gagasan Rakyat (1990) dan Pakatan Rakyat bermula PRU12.
Maka, Pas memangnya tidak kisah untuk terus menduda selagi tidak
bertemu dengan pasangan yang benar-benar sehati sejiwa.
Apa yang menjadi teras kekuatan Pas untuk bergerak sendiri ialah parti
itu lebih mengutamakan perjuangan agama dan dakwah menerusi politik, bukan
meletakkan kemenangan atau kerusi pilihan raya sebagai target wahid. Sebab itu
dalam sejarahnya, Pas pada 1982 dan 1986 hingga 1990 pernah memenangi hanya
satu kerusi Parlimen iaitu di Pengkalan Chepa, Kelantan menerusi Nik Abdul Aziz
Nik Mat dan Nik Abdullah Arshad.
Hanya dalam beberapa dekad kebelakangan, setelah bergabung dengan kem
Anwar bermula era reformasi dan berpeluang merasa empuknya kerusi wakil rakyat,
sebilangan pemimpin dan ahli Pas mula kabur akan matlamat asal mereka.
Slogan ‘Menuju Putrajaya’ sudah menusuk dan merasuk minda. Pelbagai
alasan dicungkil, dirungkas dan digembar-gemburkan untuk membenarkan bahawa
perjuangan Islam harus bersifat kontemporari, realistik dan berpijak di bumi
nyata, bukan siang malam menelaah kitab-kitab lama mencari keredaan ALLAH
semata-mata.
Kini, kumpulan itu yang dinyahkan daripada kepimpinan Pas pada
pemilihan lalu, kemudian menyahkan diri mereka sendiri dari parti itu, ghairah
memposisikan diri sebagai ahli politik Islam yang progresif, yang sedia
mengambil alih tempat tok-tok lebai konservatif, bernaung di bawah label
sementara – Parti Pekerja Malaysia – untuk mengisi ruang yang ditinggalkan Pas
dalam pakatan pembangkang yang baharu.
Selain pendirian parti – yang patuh pada keputusan Anwar sebagaimana
yang disebutnya – Azmin juga mempunyai sebab yang tersendiri untuk
mempertahankan Pas. Ketika kemuncak krisis politik Selangor setelah pencalonan
Wan Azizah sebagai menteri besar ditolak secara tersirat oleh istana, Pas yang
menyokong kuat pelantikan beliau kerana pada masa itu, partinya sendiri (baca:
Anwar) lebih berkehendakkan Wan Azizah, demikian juga DAP.
Meskipun Pas sebelum itu bersungguh-sungguh mempertahankan Khalid
Ibrahim, namun sebagai orang agama, parti itu harus lebih cenderung menyokong
lelaki sebagai ketua berbanding wanita. Dengan pilihan yang ada, Azminlah
orangnya walaupun Pas sebenarnya boleh juga menampilkan calon sendiri.
Haram
Menariknya di sebalik kenyataan Azmin kelmarin, apa mungkin satu
senario politik yang pernah berlaku pada musim 1990-1995 akan berulang?
Perpecahan Umno pasca pemilihan 1987
telah melahirkan Semangat 46. Untuk berhadapan dengan BN pada pilihan
raya 1990 – setelah Umno dihalalkan semula selepas diharamkan oleh Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur pada Feb 1988 – Semangat 46 yang diketuai Ku Li
bergabung dengan Pas dan parti-parti Islam yang lain iaitu Berjasa, Hamim
(Hizbul Muslimin) dan Kimma (Kongres India Muslim Malaysia) dalam Angkatan
Perpaduan Ummah (APU).
Oleh sebab Pas – yang ketika itu diketuai oleh Fadzil Noor – enggan
sebumbung dengan DAP, Semangat 46 terpaksa membina khemah baharu untuk duduk
bersama parti-parti bukan Islam atau yang tidak berteraskan Islam iaitu DAP,
PBS (Parti Bersatu Sabah), PRM (Parti Rakyat Malaysia - sosialis) dan IPF
(Indian Progressive Front) untuk mendapat sokongan bukan Melayu/ bukan Islam.
Pas pada masa itu mungkin sudah mengesan masalah jika DAP diterima
untuk sebumbung kerana dasar yang bertentangan (Langkah mayat saya dahulu jika
mahu tubuh negara Islam: Karpal Singh) akan sentiasa mengganggu kerjasama
politik yang diusahakan untuk menumbangkan BN.
Duduk sebumbung, DAP yang agresif dan bernafsu besar seakan tidak ada
pembatas untuk mencampuri urusan dalaman Pas
bagi memastikan parti itu menerima perjuangannya ataupun
sekurang-kurangnya mempunyai pengaruh di dalam badan Pas sendiri untuk
bersetuju dengannya. Itulah yang didakwa oleh pemimpin Pas bahawa DAP ada ‘cai’
yang tersendiri pada pemilihan parti itu yang lalu.
Meskipun dalam politik ‘tidak ada kawan yang kekal, tidak ada lawan
yang kekal, yang ada hanya kepentingan yang kekal’ dan politik adalah seni
serba mungkin (the art of possible) atau tidak ada yang mustahil dalam politik,
bergabung semula dengan DAP adalah sesuatu yang tidak mungkin kita akan dapat
lihat dalam masa yang terdekat.
Kata-kata Takiyuddin - “Pas perlu belajar daripada pengalaman,
terutama sewaktu bersama PR” – boleh dianggap manifestasi kekesalan yang sekali
gus menunjukkan, untuk mengatur lagi kerjasama seumpama itu, Pas perlu lebih,
lebih dan lebih berhati-hati.
Memang benar, ketika menyertai APU, dua daripada lima parti yang
membentuk koalisi itu adalah serpihan Pas sendiri iaitu Berjasa dan Hamim namun
untuk Pas sebumbung semula dengan bekas orangnya yang kini bernaung di bawah
payung Parti Pekerja adalah sesuatu yang sukar untuk dilaksana. Pas sendiri
mengambil masa berdekad untuk terima semula Berjasa dan Hamim, itupun setelah
kedua-dua parti itu tidak lagi dipimpin oleh bekas pemimpin Pas yang
mengasaskannya.
Apa pun, seperti ahli gusti, ahli politik juga boleh berubah pendirian
mengikut kepentingan. Dan ketika itu, orang yang berada di sekitar gelanggang
yang ghairah melayan rasa sensasi menonton drama dimainkan mereka, pasti akan
terpinga-pinga. Pas perlu lebih berhati-hati supaya pisang tidak berbuah dua
kali. Parti itu juga akan lebih mendapat sokongan - yang asli - jika terus
menyendiri.
Sumber: Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan