Halaman

Sabtu, 12 Mei 2012

Hadis Usul Menjaga Kelapangan Fikiran Dan Kerehatan Hati

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  رضي الله عنه  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ  صلى الله عليه وسلم  انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ, وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ, فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اَللَّهِ عَلَيْكُمْ - مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ  .
Daripada Abu Hurayrah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripada kamu dan janganlah melihat kepada orang yang lebih tinggi daripada kamu. Itu lebih baik supaya kamu tidak memperlekeh ni’mat yang diberikan Allah s.w.t. kepada kamu. (Muttafaq ‘Alayh)[1]

Dalam riwayat al-Bukhari yang lain melalui tariq al-A’raj daripada Abu Hurayrah lebih jelas khusus dengan harta dan rupa fizikal bukan dalam bab ketaatan kepada Allah dan mencari ilmu.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا نَظَرَ أَحَدُكُمْ إِلَى مَنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ فِي الْمَالِ وَالْخَلْقِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْهُ
Daripada Abu Hurayrah r.a. daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada orang yang diberikan kelebihan dari segi harta dan rupa maka hendaklah dia melihat kepada orang yang lebih rendah daripadanya. (al-Bukhari, no: 6490)

Kepentingan hadis ini dapat dilihat apabila diperhatikan ianya mempunyai beberapa usul yang sangat utama untuk umat ini. Antara usul yang dapat difahami daripada hadis ini ialah cara menjaga hati iaitu mengekalkan sifat shukur, menjauhi hasad dengki, mengurangkan kerisauan hati kerana mengejar harta duniawi.

Hadis ini mengajarkan kita sifat sabar dengan ujian dan godaan duniawi termasuklah kemiskinan, musibah kerana dengan cara memandang orang lain yang lebih daif menjadikan kita lebih bershukur. Sebaliknya memandang kepada orang lebih kaya kerana terlalu menginginkan kekayaan seperti mereka boleh membawa kepada kemurkaan Allah s.w.t. dengan sebab tidak berpuas hati dan reda kepada Allah s.w.t. yang sekian banyak memberi ni’mat kepada kita.

Berdasarkan kepada hadis ini, dalam soal harta dan rupa fizikal, seseorang itu tidak sepatutnya merasakan dirinya kurang atau hina dengan sebab kemiskinan atau rupanya yang tidak cantik. Malah dia hendaklah melihat kepada kenyataan bahawa ramai lagi orang yang tidak sesempurna dirinya.

Tetapi dalam bab ibadat dan ketaatan kepada Allah s.w.t. maka orang mu`min mestilah memandang kepada orang lebih berusaha daripadanya supaya timbul dalam dirinya raghbah dan keinginan untuk mendapatkan keredaan Allah dan ini termasuk dalam bab berlumba-lumba dalam perkara kebajikan. Janganlah pula diukur dengan mereka yang malas. Oleh itu, sangat penting melihat kepada orang yang lebih bertaqwa supaya dapat menyertai mereka dalam ibadah dan juga dapat menyerupai mereka dalam kesungguhan mereka.

Dalam konteks yang sama, perkara ini juga amat penting kepada penuntut ilmu bagi meningkatkan kemajuan dalam ilmunya. Untuk itu, dia hendaklah melihat orang yang lebih alim dan usaha yang dicurahkan oleh mereka di samping membaca kisah para ilmuwan sepanjang zaman yang gigih mencari dan mengkaji ilmu.

Hadis yang disabdakan oleh baginda ini bertepatan dengan ayat al-Qur`an:
وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَى مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَى
Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka (yang kafir itu menikmatinya), yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal. (surah Taha: 131)

لِكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَى مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آَتَاكُمْ
(kamu diberitahu tentang itu) Supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. (Surah al-Hadid: 23)

Ma’na yang sama dengan hadis ini juga dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi.
عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ جَدِّهِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ خَصْلَتَانِ مَنْ كَانَتَا فِيهِ كَتَبَهُ اللَّهُ شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لَمْ تَكُونَا فِيهِ لَمْ يَكْتُبْهُ اللَّهُ شَاكِرًا وَلَا صَابِرًا مَنْ نَظَرَ فِي دِينِهِ إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ وَمَنْ نَظَرَ فِي دُنْيَاهُ إِلَى مَنْ هُوَ دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ عَلَى مَا فَضَّلَهُ بِهِ عَلَيْهِ كَتَبَهُ اللَّهُ شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ نَظَرَ فِي دِينِهِ إِلَى مَنْ هُوَ دُونَهُ وَنَظَرَ فِي دُنْيَاهُ إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَهُ فَأَسِفَ عَلَى مَا فَاتَهُ مِنْهُ لَمْ يَكْتُبْهُ اللَّهُ شَاكِرًا وَلَا صَابِرًا
Daripada ‘Amar bin Shu’ayb daripada datuknya ‘Abdullah bin ‘Amar katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w.: “Dua perkara sesiapa yang memilikinya Allah s.w.t. menulisnya sebagai orang yang bersyukur dan orang yang bersabar. Sesiapa yang tidak memilikinya Allah tidak akan menulisnya sebagai orang yang bersyukur dan orang yang bersabar. Orang yang melihat dalam urusan agamanya kepada orang yang lebih tinggi daripadanya lalu dia mengikutinya dan sesiapa yang melihat dalam urusan dunianya kepada orang yang lebih rendah daripadanya lalu dia memuji Allah kerana limpahan Allah s.w.t. untuknya maka Allah menulisnya sebagai orang yang bersyukur lagi sabar. (Sebaliknya) sesiapa yang melihat dalam urusan agamanya kepada orang yang lebih rendah daripadanya dan melihat dalam urusan dunianya kepada orang yang lebih tinggi daripadanya lalu dia berdukacita kerana tidak memperolehinya maka Allah s.w.t. tidak akan menulisnya sebagai orang yang bersyukur dan bersabar. (al-Tirmizi, no: 2512)

Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. menegaskan:
لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادٍ مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنَّ لَهُ وَادِيًا آخَرَ وَلَنْ يَمْلَأَ فَاهُ إِلَّا التُّرَابُ وَاللَّهُ يَتُوبُ عَلَى مَنْ تَابَ
“Sekiranya seseorang mempunyai satu lembah emas pasti dia lebih suka untuk memiliki satu lembah emas yang lain lagi dan tidak akan memenuhi mulutnya kecuali tanah dan Allah s.w.t. menerima taubat orang yang mahu bertaubat”. (riwayat daripada Anas bin Malik dalam Sahih Muslim, no: 1048)

Dalam hal ini, Mufti Taqi Uthmani menjelaskan bahawa tidak ada jalan untuk memperolehi kerehatan di dunia melainkan dengan sifat qana’ah, dan tidak akan tercapai qana’ah melainkan dengan mengurang hirs (kesungguhan dan ketamakan mencari dunia). Dan tidak akan kurang hirs itu melainkan dengan beramal dengan hadis ini. Sesiapa yang mula memandang kepada orang yang diberikan kelebihan rezki maka bertambah keinginan atau kerunsingannya, maka akan banyak kedengkian dan makin sedikit bershukur, adapun orang yang memandang kepada orang yang kurang daripadanya dari segi harta maka dia akan lebih banyak bershukur, bertambah kelapangan hatinya dan merasa cukup dengan pemberian Allah s.w.t kepadanya.[2]



Disediakan oleh Muhammad Hanief Awang Yahaya untuk www.darulkautsar.net




[1] Al-Bukhari, no: 6490, Muslim, no: 2963, al-Tirmizi, no: 2513, Ibn Majah, no: 4194.
[2] Takmilah Fath al-Mulhim, juz. 6, hal. 225

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!