Suatu nama yang tidak asing lagi. Sering diungkap dan didengar oleh semua umat Islam. Berbagai-bagai gelaran diberikan kepadanya. Namun sebenarnya, sepanjang bersamanya kita wajib melaksanakan suatu perintah daripada Allah yang dinamakan ibadat puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Alhamdulillah, hari ini masuk hari yang kelima kita berpuasa. Bulan Ramadan merupakan bulan mentarbiyah diri kepada yang lebih baik. Sewajarnya kita menyambutnya dengan penuh syukur kepada Allah dan gembira untuk melaksanakan ibadat puasa. Sukalah saya hendak mengaitkan puasa dengan takwa. Firman Allah pada surah al-Baqarah ayat 183:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٨٣)
Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
(al-Baqarah : 183)
Mengenai ayat ini:
Pertama, puasa merupakan perintah Allah yang wajib dilaksanakan.
Kedua, puasa juga telah diwajibkan oleh Allah kepada orang-orang terdahulu (sebelum kedatangan nabi Muhammad).
Ketiga, semasa berpuasa bukan setakat menahan diri daripada lapar dan dahaga. Namun, kita mesti faham dan mengerti bahawa puasa yang sebenar ialah tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa apatah lagi perkara-perkara yang lagha dan makruh.
Jika kita faham konsep takwa sudah tentu kita akan menjaga dan mengawal nafsu dan segala yang melibatkan diri kita supaya puasa kita dalam keadaan baik. Kita lebih berhati-hati dan berwaspada. Elak daripada rosak.
Jangan kita lupa hatta alpa tentang hal ini kalau tidak mahu mendapat lapar, dahaga dan penat sahaja bagi ibadat puasa kita pada tahun ini. Isilah masa-masa yang ada sepanjang bulan puasa ini dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Insya-Allah.
Akhir kata, saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kalian semua agar lakukan ibadat puasa dengan yang terbaik!
Sekian, Wallahua'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan