Berpuasa Bulan Ramadan
Tiap-tiap orang Islam wajib berpuasa. Berpuasa menurut bererti mencegah nafsu lahir dan batin daripada segala yang dilarang serta mengawasi gerak-geri badan daripada melakukan sesuatu yang ditegah oleh hukum.
Puasa wajiblah ditunaikan menurut ketentuan syariat puasa dengan firmannya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٨٣) أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ... (١٨٤)
Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
(Puasa Yang diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari Yang lain…
(Al-Baqarah : 183-184)
Ayat tersebut menerangkan perintah puasa dan hukum yang bertalian dengannya serta menjelaskan pula faedah atau hukmatnya secara ringkas tetapi tegas dalam rangkaian perkataan yang sedikit lagi kemas, iaitu firmannya: (لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ) …supaya kamu bertakwa…
Takwa yang dijadikan maksud utama daripada puasa ialah satu perkataan yang mudah disebut dan diingati, disebabkan amat sedikit hurufnya tetapi sangat banyak dan luas pengertiannya, terbukti daripada berbagai-bagai pengertian dan tafsiran para ulama mengikut beberapa jurusan ilmu. Antaranya menegaskan bahawa puasa adalah untuk mencegah diri dan jiwa daripada penyakit dan kerosakan akhlak akibat daripada nafsu yang tidak pernah dikawal dan dipelihara. Penegasan ini berdasarkan kepada keadaan takwa itu kerana tiap-tiap perkataan atau perbuatan yang dimaksudkan untuk mencegah kejahatan serta memelihara daripada terjerumus kepada kancah maksiat yang merosakkan ialah bererti takwa.
Dalam al-Quran banyak disebut perkataan takwa yang diikuti dengan pengertiannya serta banyak pula didapati ayat yang menerangkan sifat-sifat orang yang bertakwa dan anjuran untuk menjadi orang yang betakwa sebagaimana pada ayat perintah puasa.
Takwa sepertimana yang telah diterangkan pengertiannya mengandungi makna pemelihara dan pencegahan. Menurut keterangan al-Quran, takwa adalah untuk memelihara daripada api neraka. Takwa ialah sebaik-sebaik bekalan yang berguna bagi manusia di dunia dan di akhirat. Takwa ialah pembuka jalan ke arah kemudahan sesuatu urusan. Takwa ialah punca penghapusan dosa dan kesalahan. Oleh sebab itu, amatlah tepat pemakaian perkataan itu untuk menunjukkan hikmat puasa.
Takwa hasil daripada daripada puasa dan amal-amal yang lain adalah suatu darjat dan makam yang paling mulia dan tinggi dalam pandangan Islam. Menurut pengajaran al-Quran, ukuran atau kemuliaan peribadi seseorang tidak disebabkan keturunannya atau kebangsaannya, kepandaiannya, kekayaannya, kedudukannya, gelarannya, dan sebagainya. Namun, ukuran itu terletak pada takwa.
Demikianlah, maka dengan ini fahamlah kita bahawa alangkah mulianya orang yang berpuasa kerana hikmatnya untuk takwa, setinggi-tinggi makam di sisi Allah. Namun, untuk mencapainya tidaklah mudah. Jika berpuasa semata-mata kerana menahan lapar saja belumlah tercapai makam itu. Kalau demikian, maka murahlah nilai takwa.
Puasa bukanlah semata-mata lapar sedang nafsu masih tidak puas dan budi pekerti masih lagi buas. Namun, puasa dengan berlapar adalah untuk mendidik peribadi menjadi orang yang patuh lagi berbudi serta bertimbang rasa berusaha melipat gandakan usaha mengingati kebesaran Allah dengan melakukan kebaikan, menjauhi kejahatan sama ada dengan hati, perkataan, atau perbuatan. Jika tidak demikan, maka puasa adalah semata-mata lapar dan dahaga. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa salam:
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِيْ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ. رواية بخاري
Barangsiapa tidak meninggalkan perkataan bohong dan melakukannya maka tidaklah ada hajat bagi Allah pada makanannya dan minumnya yang ia tinggalkannya.
Bibliografi :
Susunan Imam Nawawi. Terjemah dan Syarah oleh Ustaz Mustafa Abdul Rahman. Hadith 40. Cetakan 2005. Muka surat : 86 -88.
P/s : Sambungan daripada tajuk puasa dan takwa.
Sekian, Wallahua’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan