Sesuatu yang zahir belum tentu menggambarkan yang batin atau tersirat.
Namun begitu, ada sesetengah orang selalu mentafsirkan sesuatu yang zahir itu
adalah daripada yang tersimpan dalam hati. Itu mungkin sangkaan atau andaian
sahaja. Hakikat sebenarnya Allah sahaja yang mengetahui.
Ada juga orang yang pada zahirnya kelihatan tenang, ceria dan gembira
tetapi sebenarnya dia sedang bersedih. Jadi, dia berjaya menyembunyikan
kesusahan dan kesedihannya daripada diketahui oleh orang lain. Mungkin dia
tidak mahu orang tahu bahawa dia ada masalah.
Sikap tenangnya menyebabkan orang sekeliling tidak dapat mengesan
tentang masalahnya. Namun demikian, orang akan tahu sekiranya dia bercerita
atau memberitahu atau meluahkan atau mengadu masalahnya itu. Ada sesetengah
orang suka berdikari kerana menganggap itu adalah yang terbaik dan tidak mahu
menyusahkan orang lain. Oleh sebab itu, dia berusaha sedaya upaya sehingga
berjaya. Orang begini memang hebat.
Sekiranya boleh menyelesaikannya sendiri maka lakukanlah tanpa bantuan
orang lain. Sekiranya tidak mampu menyelesaikannya sendiri mungkin yang terbaik
adalah meminta pertolongan daripada orang lain. Mungkin dengan pertolongan
tersebut dapat meringankan masalah, mengurangkan bebanan dan tekanan. Walau
bagaimanapun, kita tidak boleh bersikap sombong daripada dibantu orang lain
sekiranya tidak mampu menyelesaikan sesuatu masalah secara sendirian.
Setelah dibantu ucaplah terima kasih kepada yang membantu. Selain itu,
kalau mampu belanjalah dia makan atau berilah sedikit cenderahati atau upah. Mungkin di
sana ada lagi cara alternatif untuk membalas jasa baik orang yang membantu
tersebut. Bayangkan bahawa orang yang membantu itu telah menggunakan banyak masa,
tenaga, fikiran dan wang ringgit untuk membantu kita. Jadi, sebab itulah kita
mesti membalas balik jasanya sebagai mengenang budi.
Seperti dalam peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa “orang memberi
kita merasa, orang berbudi kita berbahasa”. Kalau kita mahu dikasihi orang lain
maka kita juga mesti ada perasaan kasihan kepada orang lain. Kalau boleh kita
adalah yang orang terlebih dahulu berasa kasihan terhadap orang lain. Ini semua
adalah untuk memanjang dan mengekalkan ukhuwwah sesama kita.
Mungkin alternatif untuk membalas jasa baik orang itu adalah sentiasa
berdoa kepada Allah untuknya. Doa untuknya itu mungin seperti diampunkan dosa,
dimurahkan rezeki, dimajukan perniagaan, diberikan kebaikan, kesihatan,
kesejahteraan dan keselamatan, diberikan taufiq dan hidayah, dan sebagainya.
Mungkin ini adalah yang termampu sekiranya kita tidak mempunyai wang ringgit,
harta benda dan kekuatan untuk membalas jasanya.
Sepertimana seorang anak yang soleh mendoakan kedua ibu bapanya. Doa
tersebut adalah untuk mengenang jasa baik dan pengorbanan ibu bapa mereka.
Kalau diikutkan jasa baik dan pengorbanan ibu bapa tidak mampu dibayar atau
dibalas oleh anak-anak mereka. Sekiranya dibalas maka tidak akan mampu
setanding dengan jasa baik dan pengorbanan ibu bapa yang menjaga, memberi
nafkah, mendidik dan membesarkan anak-anaknya dari kecil sehingga dewasa.
Oleh hal yang demikian, seorang anak apabila telah dewasa mesti
berbakti kepada ibu bapa mereka. Bakti yang dilakukan itu adalah seperti
berbuat baik, menghormati, menjaga mereka ketika mereka tua dan uzur,
menziarahi mereka, menjaga nama baik mereka dan sebagainya. Perkara yang paling
penting adalah jangan sesekali lupa mendoakan mereka.
Mungkin berdoa adalah cara yang termampu kita lakukan untuk membalas
jasa dan budi baik yang dilakukan oleh orang yang pernah membantu kita. Kalau
hendak membalas dengan wang ringgit atau mengerahkan tenaga untuk membantunya
pada suatu masa nanti mungkin tidak mampu kerana sebab-sebab yang tidak dapat
dielakkan. Mungkin juga disebabkan oleh perkara yang di luar jangkaan. Jadi, setelah kita berjaya dan berada dalam keadaan selesa maka
janganlah kita lupa diri tetapi jadilah orang yang mengenang budi.
Tidak boleh tidak, dalam kehidupan seharian kita akan bermuamalah
dengan sesama manusia. Oleh itu, selain kita mesti menjaga hubungan yang baik
dengan Allah s.w.t., kita juga mesti menjaga hubungan yang baik dengan sesama
manusia. Akhir kata, berbuat baiklah dengan orang yang pernah berbuat baik
dengan kita. Adapun sekiranya kita pernah dimusuhi dan dizalimi maka kita
maafkannya dan tidak membalas kejahatan terhadapnya seperti yang pernah
dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.. Wallahu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan