Sengaja saya memberi tajuk tulisan saya pada kali ini “kini di pangkalan”. Maksud tajuk itu ialah saya sekarang di pangkalan Islam yang selama ini dicari-cari akhirnya bertemu jua pada masa dan tempat yang betul. Masih tak faham lagi?
Alhamdulillah, rasa bersyukur sangat ke hadrat Ilahi kerana dapat belajar di KUDQI. Tiada kata yang dapat saya gambarkan bagi perasaan yang dialami ini apabila belajar di sini. KUDQI itu nama singkatan bagi Kolej Darul Quran Islamiyyah. Inilah yang dimaksudkan dengan pangkalan Islam. Tempat penuntutnya mempelajari, memahami, dan mendalami ilmu agama. Di samping itu, mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar.
Saya berhasrat pada diri saya sendiri seboleh-bolehnya, semampu dan sedaya yang mungkin ketika menuntut di KUDQI yang menjadi pangkalan Islam ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk mentarbiyah diri dengan bersungguh-sungguh dan konsisten mempelajari agama dan mengamalkannya. Saya ingin menjadi insan yang baik dan berguna kepada keluarga, masyarakat, agama dan negara. Ke mana-mana sahaja saya pergi atau di mana-mana sahaja saya berada, saya mahu menjadi orang yang bermanfaat bukan yang menyusahkan.
Di sini, setiap hari belajar agama. Sepanjang saya belajar di sini terdapat beberapa perkara yang telah menarik perhatian saya. Antaranya ialah bahasa Arab, al-Quran dan Hadis, dan kitab.
Bahasa Arab
Sebelum belajar di KUDQI, saya merasakan bahawa sama ada saya mampu belajar di sini. Ini kerana bahasa pengantarnya bahasa Arab. Berbagai-bagai tafsiran, khayalan yang menerawang dalam fikiran saya. Selepas itu, baru saya tahu tentang keadaan sebenarnya. Pada mulanya susah juga kerana tiada asas. Maklumlah, pertama kali belajar agama dalam bahasa Arab secara formal. Memang susah. Banyak yang tidak tahu (sekarang pun sama juga). Banyak yang kena hafal.
Semua kitab dalam bahasa Arab. Banyak perkara yang perlu diambil tahu seperti hendak meletak baris pada sesuatu kalimah, mengetahui makna kalimah, memahami maksud ayat dan sebagainya. Alhamdulillah, mujur semasa pensyarah mengajar mereka terjemah dalam bahasa Melayu. Kalau tidak tentu saya tidak faham satu apapun. Sungguhpun demikian, adakalanya tidak sempat hendak mencatat baris, makna kalimah dan ayat kerana ada segelintir pensyarah yang mengajar laju. Namun, semua itu tidak menjadi penghalang dan mematahkan semangat saya demi meneruskan cita-cita saya. Tidak boleh tidak mesti belajar juga. Ya, saya mesti belajar bahasa Arab dengan tekun!
Seperti yang saya maklum, bahasa Arab adalah asas yang mula-mula mesti ada untuk menuntut ilmu agama. Jika asas ini telah mantap, kukuh dan dikuasai maka belajar apa-apa madah pun akan menjadi mudah. Beres, tidah perlu risau. Tapi macam saya ni masih merangkak lagi. Masih terkial-kial dan kekok. Sungguhpun demikian, saya mesti “confident”. Confident, confident dan terus confident. Saya mesti yakin bahawa pada suatu hari nanti saya mampu menguasai bahasa Arab. Yang penting, belajar.
Al-Quran dan Hadis
Al-Quran dan Hadis ialah panduan hidup kita yang paling utama. Sumber yang paling kuat. Al-Quran yang pertama dan Hadis yang kedua. Menyentuh hal al-Quran, teringat saya pada madah al-Quran yang diajar oleh Ustaz Razki. Orang kata madah al-Quran susah. Pada saya boleh menjadi senang kalau kita kuat menghafal. Minat mesti ada tetapi masih tidak cukup dengan itu sahaja, maka sikap rajin menghafal adalah sangat penting. Tiap-tiap hari menghafal. Hafal ayat baru, manakala ayat lama diulang hafal. Mesti konsisten. Tak boleh tinggal. Insya-Allah, ingat. Pada saya mempelajari al-quran dan mengajarkannya adalah suatu keutamaan dalam hidup kita.
HEP KUDQI, iaitu Ustaz Kamaruzzaman selalu berpesan supaya membaca al-Quran pada setiap kali seusai solat. Jadikan sebagai amalan harian. Lagi baik buat dalam kumpulan usrah. Masing-masing bertadarus. Dengar bacaan kawan. Kalau ada yang salah boleh ditegur, maka bacaan quran kita akan menjadi lebih baik sedikit demi sedikit dan sehari demi sehari. Begitulah seterusnya.
Saya mula mengenal hadis semasa saya PRA. Pernah pada suatu ketika dahulu saya bertanya pada diri sendiri, “Apa itu hadis 40?” Apabila di KUDQI, alhamdulillah, saya diminta menghafal hadis 40 oleh musyrif saya, iaitu Ustaz Nik. Setiap hari mesti hafal satu hadis, kemudian tasmi’ kepadanya selepas solat zohor. Semasa PRA tidak sibuk lagi tetapi sejak menjadi MPM saya berasa susah hendak meperuntukkan masa untuk menghafal hadis. Oleh itu, saya mesti bijak membahagikan masa. Bagaimanapun, diri ini merasakan bahawa masih dalam proses belajar memanfaatkan masa dengan bijak, cekap dan berkesan.
Kitab
Boleh dikatakan semua kitab agama mengandungi dalil al-Quran dan Hadis. Memang semasa belajar agama, saya berasa diri ini dekat kepada-Nya. Semakin belajar rasa semakin dekat kepada-Nya. Tambah pula berasa rindu kepada Nabi Muhammad S.A.W. Selain itu, banyak perkara baharu diketahui. Buka satu kitab saja berbagai-bagai pengetahuan diperoleh. Kalau difikirkan betapa luasnya ilmu Allah ini. Subahanallah, Maha Luasnya ilmu Allah.
Kitab pula dikarang oleh ulama-ulama terdahulu dan masa ini. Penulisan mereka tidak pernah meniinggalkan daripada mengambil nas-nas al-Quran dan Hadis. Inilah keutamaan bagi orang yang menuntut agama. Oleh sebab keikhlasan dan penilitian mereka mencurahkan ilmu dan dakwah dalam bidang penulisan, maka kitab-kitab mereka menjadi bahan rujukan kepada umat Islam pada masa ini.
Ringkas cerita, begitulah keadaan yang saya alami semasa di pangkalan Islam ini. Di sinilah tempat sebuah kilang yang menghasilkan produk untuk meneruskan perjuangan dan dakwah Islam. Produk yang bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat dan agamanya sekaligus menegakkan Islam di atas muka bumi ini.
Sekian, Wallahu'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan