Alangkah baiknya jika ini benar-benar berlaku…
Teguran
Tegur-menegur menjadi suatu kelaziman. Perkara yang salah ditegur dan dinasihati. Tidak kira yang menegur ialah senior atau junior. Masing-masing menerima dengan berlapang dada. Tiada ego. Menegur dengan penuh hikmah. Berani menyatakan kebenaran. Jika senior menegur junior kerana kesilapannya maka dia tidak harus berkeras kepala. Begitu juga dengan senior. Menegur perkara yang salah tidak perlu rasa takut dan serba salah. Ini ialah langkah untuk mencegah perkara buruk daripada banyak berlaku di tempat kita. Mencegah lebih baik daripada merawat. Perkara yang sia-sia (makruh) harus dijauhkan supaya tidak melarat hingga berbuat maksiat (haram).
Icon
Kita ialah daie’. Jadi, menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran merupakan tugas kita semua. Program baik yang banyak dianjurkan adalah kerja yang mulia namum aktiviti buruk dalam kalangan kita sendiri harus dicegah. Penuntut agama tentunya lebih arif dan mengerti antara perkara-perkara baik dan buruk. Daripada sekecil-kecil hingga sebesar-besar perkara. Elak fitnah. Tidak buat dan buka jalan fitnah apatah lagi masuk ke jalan fitnah. Daie’ seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat. Jadi icon. Sebagaimana Nabi Muhammad S.A.W yang kita cintai dan rindui sentiasa berakhlak mulia. Akhlaknya ialah al-Quran. Apabila kita berakhlak mulia barulah dakwah mudah diterima.
Solat berjemaah
Suatu amalan yang akan memberikan kekuatan kepada diri sendiri dan umat Islam seluruhnya ialah solat berjemaah. Kita cukupkan lima waktu. Kekuatan ini penting lebih-lebih lagi untuk perjuangan Islam. Kini, banyak serangan dan ancaman yang dilakukan oleh musuh-musuh kita. Oleh itu, inilah caranya untuk kita mendapat kekuatan daripada Allah. Apabila kita yang dalam jemaah Islam ini sentiasa melakukan amalan tersebut maka jemaah kita akan kuat. Apabila kita kuat maka mudahlah kita menepis pelbagai serangan dan ancaman daripada musuh-musuh kita. Selain itu, apabila amalan ini berjaya dilakukan maka kita telah menjaga solat agar ditunaikan pada awal waktu. Apabila kita dapat solat pada awal waktu maka usaha untuk meninggalkan solat adalah tipis. Kita juga terhindar daripada menjadi orang yang lupa dan alpa kepada Allah.
Ilmu
Masa muda merupakan masa yang terbaik untuk menimba ilmu. Carilah ilmu sebanyak-banyaknya tanpa rasa jemu, penat, malas dan berputus asa. Semasa menuntut ilmu kita juga sebenarnya sedang berjuang di jalan Allah. Biarlah kita berpenat-lelah mencari ilmu kerana ini ialah jalan menuju ke syurga. Ini ialah janji Allah. Masa muda ini minda atau otak kita masih fresh. Mudah menerima pelajaran, memahami, mengingat dan menghafal sesuatu. Semua itu atas kehendak kita belaka sama ada rajin untuk mencari ilmu. Jangan pula masa muda ini digunakan untuk beroya-foya. Menghabiskan masa, usia, tenaga dan wang dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Seharusnya semua itu diguna dan dimanfaatkan untuk Islam. Seharusnya kita mengingati segala pengorbanan ibu bapa kita yang bersusah-payah membesarkan kita. Inilah satu-satunya cara kita membalas jasa baik mereka. Kita mesti menjadi anak yang soleh, tekun mencari ilmu dan mengajarkannya.
Tempat yang ditujui
Ke manakah kaki kita sering melangkah? Di manakah kita sering menghabiskan masa? Adakah persoalan ini menjadi mainan minda kita? Alangkah baiknya jika semasa kita menuntut ilmu masa kita dimanfaatkan di tempat-tempat seperti maktabah, musolla, majlis-majlis ilmu, kedai buku dan seumpamanya. Tempat-tempat tersebut ialah tempat mencari bahan-bahan rujukan tambahan sekaligus ilmu pengetahuan yang tidak terdapat semasa belajar di kelas. Seorang penuntut seharusnya banyak memanfaatkan masa dengan perkara-perkara yang ilmiah. Mencari ilmu tanpa henti dan batasan masa. Segala halangan ditempuh jua. Mencari, mengkaji dan menganalisis menjadi rutin harian. Kita teroka khazanah ilmu seluas-luasnya. Jadikan hati kita ini sentiasa rasa terikat dengan tempat-tempat tersebut. Sentiasa berasa rindu dan geilsah jika tidak berkesempatan ke sana.
Sekian, Wallahu'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan