Halaman

Rabu, 2 September 2009

Kemuliaan Orang Berpuasa Terletak Pada Takwa


Berpuasa Bulan Ramadan

Tiap-tiap orang Islam wajib berpuasa. Berpuasa menurut bererti mencegah nafsu lahir dan batin daripada segala yang dilarang serta mengawasi gerak-geri badan daripada melakukan sesuatu yang ditegah oleh hukum.

Puasa wajiblah ditunaikan menurut ketentuan syariat puasa dengan firmannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ  (١٨٣)  أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ  فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ... (١٨٤)

Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

(Puasa Yang diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari Yang lain…
(Al-Baqarah : 183-184)

Ayat tersebut menerangkan perintah puasa dan hukum yang bertalian dengannya serta menjelaskan pula faedah atau hukmatnya secara ringkas tetapi tegas dalam rangkaian perkataan yang sedikit lagi kemas, iaitu firmannya: (لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ) …supaya kamu bertakwa… Jadi berpuasa untuk mencapai darjat takwa ialah hikmat atau faedah yang terkandung dalam puasa.

Takwa yang dijadikan maksud utama daripada puasa ialah satu perkataan yang mudah disebut dan diingati, disebabkan amat sedikit hurufnya tetapi sangat banyak dan luas pengertiannya, terbukti daripada berbagai-bagai pengertian dan tafsiran para ulama mengikut beberapa jurusan ilmu. Antaranya menegaskan bahawa puasa adalah untuk mencegah diri dan jiwa daripada penyakit dan kerosakan akhlak akibat daripada nafsu yang tidak pernah dikawal dan dipelihara. Penegasan ini berdasarkan kepada keadaan takwa itu kerana tiap-tiap perkataan atau perbuatan yang dimaksudkan untuk mencegah kejahatan serta memelihara daripada terjerumus kepada kancah maksiat yang merosakkan ialah bererti takwa.

Dalam al-Quran banyak disebut perkataan takwa yang diikuti dengan pengertiannya serta banyak pula didapati ayat yang menerangkan sifat-sifat orang yang bertakwa dan anjuran untuk menjadi orang yang betakwa sebagaimana pada ayat perintah puasa.

Takwa sepertimana yang telah diterangkan pengertiannya mengandungi makna pemelihara dan pencegahan. Menurut keterangan al-Quran, takwa adalah untuk memelihara daripada api neraka. Takwa ialah sebaik-sebaik bekalan yang berguna bagi manusia di dunia dan di akhirat. Takwa ialah pembuka jalan ke arah kemudahan sesuatu urusan. Takwa ialah punca penghapusan dosa dan kesalahan. Oleh sebab itu, amatlah tepat pemakaian perkataan itu untuk menunjukkan hikmat puasa.

Takwa hasil daripada daripada puasa dan amal-amal yang lain adalah suatu darjat dan makam yang paling mulia dan tinggi dalam pandangan Islam. Menurut pengajaran al-Quran, ukuran atau kemuliaan peribadi seseorang tidak disebabkan keturunannya atau kebangsaannya, kepandaiannya, kekayaannya, kedudukannya, gelarannya, dan sebagainya. Namun, ukuran itu terletak pada takwa.

Demikianlah, maka dengan ini fahamlah kita bahawa alangkah mulianya orang yang berpuasa kerana hikmatnya untuk takwa, setinggi-tinggi makam di sisi Allah. Namun, untuk mencapainya tidaklah mudah. Jika berpuasa semata-mata kerana menahan lapar saja belumlah tercapai makam itu. Kalau demikian, maka murahlah nilai takwa.

Puasa bukanlah semata-mata lapar sedang nafsu masih tidak puas dan budi pekerti masih lagi buas. Namun, puasa dengan berlapar adalah untuk mendidik peribadi menjadi orang yang patuh lagi berbudi serta bertimbang rasa berusaha melipat gandakan usaha mengingati kebesaran Allah dengan melakukan kebaikan, menjauhi kejahatan sama ada dengan hati, perkataan, atau perbuatan. Jika tidak demikan, maka puasa adalah semata-mata lapar dan dahaga. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa salam:
   
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِيْ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ. رواية  بخاري

Barangsiapa tidak meninggalkan perkataan bohong dan melakukannya maka tidaklah ada hajat bagi Allah pada makanannya dan minumnya yang ia tinggalkannya.

Bibliografi :
Susunan Imam Nawawi. Terjemah dan Syarah oleh Ustaz Mustafa Abdul Rahman. Hadith 40. Cetakan 2005. Muka surat : 86 -88.

P/s : Sambungan daripada tajuk puasa dan takwa.

Sekian, Wallahua’lam.

Selasa, 1 September 2009

Balik KL


Untuk kali ni saya kurang gunakan bahasa baku.

Alhamdulillah, sampai juga pulang ke kampung halaman dengan selamat dan sejahteranya. Bertolak dari Terengganu jam 10.00 pagi tadi. Alhamdulillah, sampai rumah pukul 5.30 petang. Lama juga menghitung hari nak balik KL. Tapi apakan daya tiket bas yang hendak dibeli pada hari khamis minggu lepas dapat hari Selasa (hari ini). Itulah tiket yang paling awal.

Biasanya, bila nak balik KL atau ke Terengganu saya bertolak pada sebelah malam. Untuk kali ni sengaja saya rancang beli tiket yang bertolak siang sebab supaya boleh terawih malam nanti. Sepanjang perjalanan tu macam-macam rasa yang saya alami. Rasa risau, sedih,seronok, gembira, rindu, letih, mengantuk, lapar dan lain-lain lagi. Kalau difikirkan balik semua tu sementara saja.

Sedih
Macam dalam hidup kita adakalanya senang, adakalanya susah, kemudian senang semula. Ada masa hari cerah dan ada masa hari hujan macam masa perjalanan tadi di sepanjang jalan negeri Pahang. Kejap-kejap hujan, kejap-kejap berhenti.

Bila baca surat khabar dan tengok berita di tv rupa-rupanya ada lagi orang yang hidupnya susah, melarat dan menderita. Contohnya, Seorang pemuda, Azli Hassan, 23, yang menderita penyakit barah gusi sejak tiga tahun lalu meninggal dunia. Contoh lain pula, banjir di Yan Kedah dan dijangkakan akan surut bila cuaca cerah selama 12 jam.

Kedua-dua contoh ini boleh memberi pengajaran kepada kita sekiranya kita melihat dan berfikir. Sebagai orang Islam, bila ditimpa kesusahan, musibah, bencana, malapetaka dan sebagainya kita hendaklah berdoa seperti yang diajarkan oleh Allah dalam al-Quran, “innalillahi wa inna ilaihi raji’un”.

Peringatan
Satu perkara yang saya suka ketika musafir ialah dapat mempraktikkan solat jamak. Ketika bermusafir kita mendapat rukhsoh yang diberikan oleh Allah. Bila nak solat, boleh dijamakkan. Sesiapa yang berpuasa boleh berbuka. Inilah pentingnya ilmu yang sentiasa bersama-sama kita.  

Bak kata peribahasa Melayu mengenai perantau, “jauh perjalanan luas pemandangan”. Bila merantau ke negeri orang ni, macam-macam perkara boleh lihat. Kita boleh tahu budaya, bahasa, adat, makanan dan sebagainya di sesuatu tempat. Dapat belajar macam-macam dan timba pengalaman dari orang lain.

Semasa melalui perjalanan yang jauh itu saya juga dapat menyaksikan kebesaran Allah yang tiada tandingannya seperti bukit-bukau yang pegun, tumbuh-tumbuhan yang menghijau dan laut yang membiru terbentang luas hingga menampakkan kaki langit. Dari situ timbul kesedaran untuk mengingati Allah supaya tidak lalai dan leka tentang kekuasaan Allah.

Teringat saya pada peribahasa Arab yang menyebut, “hidup umpama perjalanan”. Ringkas dan padat. Punya maksud yang tersirat dan mendalam. Peribahasa tersebut bermaksud bahawa kehidupan ini adalah sementara. Kita sang manusia ini sebenarnya sedang bermusafir. Dunia ini sebagai jambatan menuju ke akhirat. Destinasi terakhirnya ada dua sama ada syurga atau neraka. Bekalan yang dibawa untuk ke sana ialah amalan dan takwa. Bagaimanakah dengan amalan kita sekarang? Sudahkah kita bersedia untuk menghadapinya?

Ibarat bagi syurga ialah suatu tempat yang indah tapi perjalanan nak ke sana berliku-liku dan banyak kesukaran. Neraka pula tempatnya sengsara tapi jalan menujunya dipenuhi kesenangan, keseronokan dan keindahan. Malangnya, ramai manusia suka masuk ke jalan yang mudah ini sebab terdorong dengan hawa nafsu mereka. Nak masuk syurga memanglah susah. Setiap perbuatan lahir dan batin mestilah ikhlas kerana Allah. Allah menilai hamba-Nya berdasarkan ikhlas. Ikhlas adalah perkara utama di sisi Allah untuk masuk ke syurga-Nya.

Dalam kesempatan ini, marilah sama-sama kita bertadarus dan bertadabbur ayat-ayat ini. 

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا  (٥) إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا  (٦)

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

(sekali lagi ditegaskan): Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
(An-Nasyrah : 5-6)


إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلاَئِكَةُ أَلاَّ تَخَافُوا وَلاَ تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ  (٣٠) نَحْنُ أَوْلِيَاؤُكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ  (٣١) نُزُلاً مِنْ غَفُورٍ رَحِيمٍ  (٣٢) وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً  مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ  (٣٣)

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

"Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.

"(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!"

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"
(Fussilat : 30-33)

Sekian, Wallahua’lam.

Isnin, 31 Ogos 2009

Fasa ke-2


Alhamdulillah, pagi Isnin ini pagi yang indah, ceria dan sejahtera. Alhamdulillah pagi ini cuacanya baik. Rasa nyaman sekali. Sesekali tika melihat pemandangan di luar jendela ternampak kabus. Berwarna putih. Tidak hilang lagi kerana sinaran matahari masih belum kelihatan. Bagaimanapun, pagi ini rasa nyaman.

Alhamdulillah, hari ini merupakan hari yang ke sepuluh kita berpuasa pada tanggal 31 Ogos 2009. Begitu pantas masa berlalu. Sungguhpun demikian, suasana pada ketika ini lebih dirasai dengan suasana puasa. 

Apabila sudah masuk hari yang kesepuluh bermakna kita telah melepasi fasa yang pertama dalam bulan Ramadan. Selepas itu, kita akan masuk ke fasa yang kedua pula. Begitulah seterusnya sehingga fasa yang terakhir, iaitu fasa ketiga.

Adakah kita sudah bermuhasabah diri kita tentang keadaan puasa kita? Bagaimana puasa kita pada fasa yang pertama?

Jika puasa pada fasa pertama itu dilaksanakan dengan lupa dan alpha dan banyak perkara yang sia-sia, masa belum terlambat untuk merebut kembali peluang keemasan yang ada pada masa ini. Peluang yang diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya yang inginkan rahmat, keampunan dan syurga-Nya.

Fasa yang dimaksudkan adalah seperti sabda Nabi Muhammad, “Permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan penutupnya dimerdekakan daripada api neraka.”

Bagi fasa kedua ini, laksanakanlah puasa dengan lebih bersungguh-sungguh lagi.

Sekian, Wallahua’lam.

Rabu, 26 Ogos 2009

Ramadan al-Mubarak

Suatu nama yang tidak asing lagi. Sering diungkap dan didengar oleh semua umat Islam. Berbagai-bagai gelaran diberikan kepadanya. Namun sebenarnya, sepanjang bersamanya kita wajib melaksanakan suatu perintah daripada Allah yang dinamakan ibadat puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Alhamdulillah, hari ini masuk hari yang kelima kita berpuasa. Bulan Ramadan merupakan bulan mentarbiyah diri kepada yang lebih baik. Sewajarnya kita menyambutnya dengan penuh syukur kepada Allah dan gembira untuk melaksanakan ibadat puasa. Sukalah saya hendak mengaitkan puasa dengan takwa. Firman Allah pada surah al-Baqarah ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٨٣)

Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

 (al-Baqarah : 183)

Mengenai ayat ini:

Pertama, puasa merupakan perintah Allah yang wajib dilaksanakan.

Kedua, puasa juga telah diwajibkan oleh Allah kepada orang-orang terdahulu (sebelum kedatangan nabi Muhammad).

Ketiga, semasa berpuasa bukan setakat menahan diri daripada lapar dan dahaga. Namun, kita mesti faham dan mengerti bahawa puasa yang sebenar ialah tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa apatah lagi perkara-perkara yang lagha dan makruh.

Jika kita faham konsep takwa sudah tentu kita akan menjaga dan mengawal nafsu dan segala yang melibatkan diri kita supaya puasa kita dalam keadaan baik. Kita lebih berhati-hati dan berwaspada. Elak daripada rosak.

Jangan kita lupa hatta alpa tentang hal ini kalau tidak mahu mendapat lapar, dahaga dan penat sahaja bagi ibadat puasa kita pada tahun ini. Isilah masa-masa yang ada sepanjang bulan puasa ini dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Insya-Allah.

Akhir kata, saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kalian semua agar lakukan ibadat puasa dengan yang terbaik!

Sekian, Wallahua'lam.

Siapakah Orang Yang Bertakwa?

ألم (١) ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ (٢) الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ (٣) وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ (٤) أُوْلَئِكَ عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ (٥)

Alif, Laam, Miim.
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa;
Iaitu orang-orang Yang beriman kepada perkara-perkara Yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada mereka.
Dan juga orang-orang Yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" Yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab Yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
Mereka itulah Yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang Yang berjaya.

(al-Baqarah : 1-5)

Ayat-ayat di atas menjelaskan mengenai ciri ciri orang yang bertakwa. Antaranya:
  1. Beriman kepada perkara ghaib.
  2. Mendirikan solat.
  3. Membelanjakan sebahagian harta pada jalan Allah.
  4. Beriman kepada al-Quran dan kitab-kitab sebelumnya.
  5. Beriman kepada hari akhirat.
  6. Mendapat hidayah. 

Sesiapa yang tergolong dalam golongan takwa maka dia antara orang-orang yang berjaya di sisi Allah. Moga-moga kita termasuk dalam golongan ini. Golongan yang mendapat nikmat-Nya, bukan golongan yang dimurkai-Nya dan sesat.
 
Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!