Halaman

Selasa, 27 September 2011

Prihatin Terhadap Isu Semasa

Zaman sekarang adalah zaman dunia tanpa sempadan. Zaman yang boleh mendapatkan maklumat terkini dengan pantas. Dengan teknologi maklumat yang ada kita akan menjadi orang terkehadapan dengan isu-isu semasa. Kalau kita tidak mengambil tahu tentang isu semasa maka dibimbangi kita akan menjadi orang yang ketinggalan zaman.

Pada hari ini banyak isu semasa yang baru dan terkini. Setiap hari kita akan dihidangkan dengan isu semasa. Isu semasa ini boleh didapati melalui surat khabar, televisyen, radio, internet dan lain-lain. Pada hari untuk mendapatkan maklumat dengan cara yang lebih mudah dan pantas adalah dengan internet.

Mendapatkan maklumat dan pengetahuan tentang isu semasa sudah menjadi antara perkara penting bagi kehidupan kita pada hari ini. Antara isu semasa yang terdapat dalam media massa adalah seperti politik, ekonomi, perdagangan, perniagaan, pekerjaan, agama, pendidikan, undang-undang, sosial, sukan, hiburan dan lain-lain.

Terpulang juga kepada kita untuk mencari maklumat yang berkait dalam negara, luar negara, antarabangsa dan sebagainya. Walaupun tidak tahu semua maklumat namun sekurang-kurangnya tidak ketinggalan daripada mengambil tahu isu semasa tentang negara. Hal ini kerana supaya kita tahu perkara-perkara yang sedang berlaku pada hari ini.

Kepekaan kita terhadap isu semasa pada hari ini ialah apabila kita berjaya mendapat maklumat yang tepat, benar dan telus. Kita juga berusaha untuk mendapatkan maklumat bukan sahaja daripada satu pihak tetapi dua, tiga pihak bahkan dengan maklumat tersebut kita tidak akan membuat kesimpulan yang salah, dan jauh daripada salah faham dan salah tafsir tentang sesuatu maklumat.

Dalam menerima sebarang berita atau maklumat perkara yang mesti dilakukan ialah maklumat itu mesti diselidik, dikaji dan diteliti dengan cermat terlebih dahulu. Kita kena pastikan daripada siapa sesuatu maklumat disampaikan, sumber maklumat pula mestilah sahih dan lain-lain. Oleh hal yang demikian, barulah kita boleh membuat keputusan dan tindakan yang betul, dan tidak merugikan kita.

Pada hari ini saya tidak bercadang hendak mengulas tentang isu semasa yang berlaku di negara kita mahupun di mana-mana sahaja. Meskipun saya tidak biasa menulis tentang isu semasa dalam blog saya namun saya bukanlah orang yang tidak mengambil tahu langsung tentang isu semasa. Bukanlah bererti saya tidak mengendahkan perkara yang sedang berlaku.

Pada hari ini saya merasakan bahawa masih belum pandai hendak menulis atau mengulas tentang isu semasa. Oleh sebab itu sangat jarang sekali dalam blog saya menyentuh hal-hal isu semasa. Saya bimbang akan berlaku kesalahan dalam menulis, mengulas, memberi pandangan, mentafsir dan memahami maklumat, dan berbagai-bagai kesalahan yang lain.

Pada hari ini saya hanya pandai membaca dan mencari isu semasa sahaja. Kalau sembang dengan kawan-kawan pun belum tentu saya dapat berbual-bual tentang isu semasa dengan baik. Ada yang ingat, ada yang tidak ingat. Ada yang betul, ada yang salah. Masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Masih banyak isu semasa yang perlu dibaca dan diketahui.

Walau bagaimanapun, saya merasakan pentingnya kita semua mendapatkan maklumat yang betul, benar, tepat dan telus. Tujuannya supaya kita tidak ditipu dan terpengaruh oleh media massa yang berat sebelah, pihak-pihak yang berkepentingan dan sebagainya. Maklumat yang salah boleh membawa kepada fitnah, perbalahan, permusuhan, pergaduhan dan sebagainya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk mengelakkan perkara demikian berlaku. Hal ini juga menunjukkan sikap kita yang prihatin, peka, fokus, cakna, waspada dan berhati-hati.

Firman Allah s.w.t.:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ (٦)
Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.
(al-Hujurat: 6)

Akhir kata daripada saya, diingatkan sekali lagi bahawa kita mesti bersikap prihatin, peka, fokus, cakna, waspada dan berhati-hati terhadap maklumat yang diterima.

Sekian, Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!