Halaman

Selasa, 1 September 2009

Balik KL


Untuk kali ni saya kurang gunakan bahasa baku.

Alhamdulillah, sampai juga pulang ke kampung halaman dengan selamat dan sejahteranya. Bertolak dari Terengganu jam 10.00 pagi tadi. Alhamdulillah, sampai rumah pukul 5.30 petang. Lama juga menghitung hari nak balik KL. Tapi apakan daya tiket bas yang hendak dibeli pada hari khamis minggu lepas dapat hari Selasa (hari ini). Itulah tiket yang paling awal.

Biasanya, bila nak balik KL atau ke Terengganu saya bertolak pada sebelah malam. Untuk kali ni sengaja saya rancang beli tiket yang bertolak siang sebab supaya boleh terawih malam nanti. Sepanjang perjalanan tu macam-macam rasa yang saya alami. Rasa risau, sedih,seronok, gembira, rindu, letih, mengantuk, lapar dan lain-lain lagi. Kalau difikirkan balik semua tu sementara saja.

Sedih
Macam dalam hidup kita adakalanya senang, adakalanya susah, kemudian senang semula. Ada masa hari cerah dan ada masa hari hujan macam masa perjalanan tadi di sepanjang jalan negeri Pahang. Kejap-kejap hujan, kejap-kejap berhenti.

Bila baca surat khabar dan tengok berita di tv rupa-rupanya ada lagi orang yang hidupnya susah, melarat dan menderita. Contohnya, Seorang pemuda, Azli Hassan, 23, yang menderita penyakit barah gusi sejak tiga tahun lalu meninggal dunia. Contoh lain pula, banjir di Yan Kedah dan dijangkakan akan surut bila cuaca cerah selama 12 jam.

Kedua-dua contoh ini boleh memberi pengajaran kepada kita sekiranya kita melihat dan berfikir. Sebagai orang Islam, bila ditimpa kesusahan, musibah, bencana, malapetaka dan sebagainya kita hendaklah berdoa seperti yang diajarkan oleh Allah dalam al-Quran, “innalillahi wa inna ilaihi raji’un”.

Peringatan
Satu perkara yang saya suka ketika musafir ialah dapat mempraktikkan solat jamak. Ketika bermusafir kita mendapat rukhsoh yang diberikan oleh Allah. Bila nak solat, boleh dijamakkan. Sesiapa yang berpuasa boleh berbuka. Inilah pentingnya ilmu yang sentiasa bersama-sama kita.  

Bak kata peribahasa Melayu mengenai perantau, “jauh perjalanan luas pemandangan”. Bila merantau ke negeri orang ni, macam-macam perkara boleh lihat. Kita boleh tahu budaya, bahasa, adat, makanan dan sebagainya di sesuatu tempat. Dapat belajar macam-macam dan timba pengalaman dari orang lain.

Semasa melalui perjalanan yang jauh itu saya juga dapat menyaksikan kebesaran Allah yang tiada tandingannya seperti bukit-bukau yang pegun, tumbuh-tumbuhan yang menghijau dan laut yang membiru terbentang luas hingga menampakkan kaki langit. Dari situ timbul kesedaran untuk mengingati Allah supaya tidak lalai dan leka tentang kekuasaan Allah.

Teringat saya pada peribahasa Arab yang menyebut, “hidup umpama perjalanan”. Ringkas dan padat. Punya maksud yang tersirat dan mendalam. Peribahasa tersebut bermaksud bahawa kehidupan ini adalah sementara. Kita sang manusia ini sebenarnya sedang bermusafir. Dunia ini sebagai jambatan menuju ke akhirat. Destinasi terakhirnya ada dua sama ada syurga atau neraka. Bekalan yang dibawa untuk ke sana ialah amalan dan takwa. Bagaimanakah dengan amalan kita sekarang? Sudahkah kita bersedia untuk menghadapinya?

Ibarat bagi syurga ialah suatu tempat yang indah tapi perjalanan nak ke sana berliku-liku dan banyak kesukaran. Neraka pula tempatnya sengsara tapi jalan menujunya dipenuhi kesenangan, keseronokan dan keindahan. Malangnya, ramai manusia suka masuk ke jalan yang mudah ini sebab terdorong dengan hawa nafsu mereka. Nak masuk syurga memanglah susah. Setiap perbuatan lahir dan batin mestilah ikhlas kerana Allah. Allah menilai hamba-Nya berdasarkan ikhlas. Ikhlas adalah perkara utama di sisi Allah untuk masuk ke syurga-Nya.

Dalam kesempatan ini, marilah sama-sama kita bertadarus dan bertadabbur ayat-ayat ini. 

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا  (٥) إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا  (٦)

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

(sekali lagi ditegaskan): Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
(An-Nasyrah : 5-6)


إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلاَئِكَةُ أَلاَّ تَخَافُوا وَلاَ تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ  (٣٠) نَحْنُ أَوْلِيَاؤُكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ  (٣١) نُزُلاً مِنْ غَفُورٍ رَحِيمٍ  (٣٢) وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً  مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ  (٣٣)

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

"Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.

"(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!"

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"
(Fussilat : 30-33)

Sekian, Wallahua’lam.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!