Setiap manusia mempunyai pandangan yang berbeza. Berbeza pandangan
adalah perkara biasa yang berlaku dalam kehidupan ini. Berbeza pandangan boleh
berlaku ketika sedang bermesyuarat, berbincang, bersembang, berkomunikasi dan
sebagainya. Perbezaan pandangan juga boleh berlaku dalam sebuah keluarga, komuniti,
kampung, kumpulan, jemaah, persatuan, parti, organisasi, syarikat, parlimen, kerajaan
dan negara.
Walau bagaimanapun, apabila berlaku perbezaan pandangan yang boleh
mencetuskan suasana yang tegang maka hal ini memerlukan kebijaksanaan dalam
mengurus dan menanganinya supaya tidak berlaku pergaduhan, perselisihan faham,
bertikam lidah, label-melabel dan perkara-perkara yang mendatangkan kerugian
yang besar kepada agama, masyarakat dan negara.
Perkara yang perlu disedari adalah apabila sesuatu pandangan ditolak,
maka mestilah bersikap berlapang dada. Ini adalah sikap, adab dan akhlak yang
baik sebagai seorang Islam. Kita tidak boleh merasakan bahawa pandangan kita
sahaja yang betul dan brilliant, pandangan orang lain salah dan tidak boleh dipakai.
Semua orang kena ikut dan terima pandangan kita semata-mata. Seharusnya sikap
seperti ini mestilah dielakkan.
Setiap perbincangan yang diadakan tentulah mempunyai tujuan atau
matlamatnya. Antara tujuan berbincang adalah seperti untuk menyelesaikan sesuatu
masalah, melaksanakan sesuatu tugasan dengan lebih efisien dan efektif,
mendapatkan maklumat dan idea-idea baru, membina kekuatan dalam dan luaran, dan
sebagainya. Namun demikian, masalah lain akan timbul apabila ada segelintir individu
yang tidak bersikap berlapang dada, matang dan profesional dalam menghadapi
perbezaan pendapat. Hal ini akan mengeruh dan memburukkan lagi keadaan sekiranya
tidak ditangani dengan baik.
Pada mulanya untuk mendapatkan kesepakatan dan kekuatan tetapi apabila
tidak bersikap berlapang dada, matang dan profesional maka hal lain jadinya. Yang
lebih memburukkan keadaan ialah apabila berlakunya keretakan ukhuwah dan perpecahan
sesama ahli. Di manakah wehdatul fikr dan wehdatul amal yang dipraktikkan
selama ini?
Adalah tidak wajar apabila pandangan ditolak terus berasa diri tidak
dihargai, berasa hati, berkecil hati, tidak puas hati, berdendam, terkilan,
merajuk, putus angin, mengoyakkan sijil dan mahu keluar daripada jemaah atau parti contohnya.
Tidak wajar juga menyatakan kepada pihak yang tidak mahu menerima pandangan
kita itu adalah orang yang jumud, lembab, lambat pick up dan berbagai-bagai
label yang lain. Budaya label-melabel seharusnya dijauhkan kerana budaya ini
ibarat merendah-rendahkan maruah, kewibawaan, kethiqahan, kepercayaan dan rasa
hormat terhadap pihak yang dilabelkan itu.
Adalah lebih baik bersikap seperti Saidina Umar al-Khattab. Pandangan
beliau pernah ditolak oleh Rasulullah s.a.w apabila beliau mencadangkan agar
tawanan badar dibunuh namun beliau menerimanya dengan hati yang terbuka dan
tidak berkeras kepala. Dalam peristiwa tersebut, Rasulullah s.a.w menerima
pandangan Saidina Abu Bakar yang mencadangkan supaya tawanan badar ditebus.
Selepas keputusan dibuat, turunlah wahyu Allah s.w.t:
مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرَىٰ حَتَّىٰ
يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللهُ يُرِيدُ الْآخِرَةَ
وَاللهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (٦٧)
Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Al-Anfal: 67)
Lalu, Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar menangis kerana teguran
Allah s.w.t itu. Sebaik sahaja Saidina Umar melihat mereka menangis, beliau pun
turut menangis sama padahal beliau tidak mengetahui sebab mereka menangis. Hal
yang sebenarnya adalah Allah lebih menerima cadangan Saidina Umar. Sebaik sahaja
mengetahui hal sebenar, Saidina Umar tidaklah bersikap mendabik dada dengan menyatakan
bahawa cadangannya mesti diterima sejak dari awal-awal lagi atau cadangan beliaulah
yang paling betul, tepat, benar, bernas dan brilliant.
Oleh hal yang demikian, kita haruslah bertasamuh atau berlapang dada
dalam berbeza pandangan. Contohilah akhlak ulama muktabar terdahulu seperti Imam
Malik bin Anas Rahimahullah. Beliau berkata: “Aku hanya manusia biasa yang mana
pendapat aku mungkin benar dan mungkin salah. Maka telitilah pendapat yang aku
kemukakan. Semua pendapat yang selaras dengan al-Quran dan as-Sunnah maka
ambillah ia manakala yang tidak selaras dengan al-Quran dan al-Sunnah,
tinggalkanlah.” Contohi juga akhlak Imam As-Syafi’i Rahimahullah yang menyebut:
“Pandanganku benar namun boleh jadi salah, pandangan orang lain salah namun
boleh jadi benar.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan