Halaman

Sabtu, 28 Januari 2012

Minhaj Qasidin

Minhaj Qasidin 01; Muqaddimah & Kelebihan Ilmu


Minhaj Qasidin 02; Peringkat Ilmu & Ulama' 

Target Saya Dalam Kerja-Kerja Mengajar


Target yang saya buat ini adalah untuk melihat pencapaian yang terbaik kepada diri saya sendiri dan anak-anak murid saya.

Antaranya adalah seperti berikut:

1. Saya ingin melihat pelajar belajar dengan bersemangat dan bersungguh-sungguh. Hadir ke sekolah dengan bersemangat dan bersungguh-sungguh. Contohnya, sejak pagi lagi telah menunjukkan semangat dan kesungguhan hendak belajar. Menunjukkan sikap bersemangat dan bersungguh-sungguh seolah-olah tidak sabar-sabar menanti guru yang akan mengajar di kelas mereka. Mereka umpama telah bersedia untuk menimba ilmu.

2. Saya ingin melihat pelajar berasa seronok dengan belajar. Hadir ke sekolah dengan perasaan yang gembira. Mempunyai perasaan suka dan seronok datang ke sekolah. Menjadikan sekolah tempat yang seronok untuk menimba ilmu. Belajar dengan hati yang gembira atau kerelaan hati dan bukan terpaksa. Bukan kerana dipaksa oleh ibu bapa mereka tetapi mereka sendiri yang mahu dan suka datang ke sekolah. Kadang-kadang saya terfikir bagaimana hendak buat seperti begitu? Bagaimanapun, sememangnya saya ingin hati mereka berasa gembira. Saya ingin mereka yang masih kanak-kanak ini hidup dalam keadaan yang gembira dan bahagia. Saya tidak mahu mereka bersedih. Mereka tidak sepatutnya bersedih kerana dunia kanak-kanak adalah dunia yang sepatutnya dipenuhi dengan kegembiraan dan kasih sayang.

3. Saya ingin melihat pelajar lemah boleh dan pandai membaca. Saya ingin mereka boleh bersaing dengan pelajar lain. Pada saya keutamaan mereka ialah mesti pandai membaca. Apabila sudah pandai membaca maka mereka akan mudah untuk mempelajari ilmu-ilmu yang lain. Dengan pandai membaca juga mereka pasti akan pandai menulis dan mampu menghafal ilmu pelajaran. Ini bermakna permulaan bagi untuk memperoleh ilmu mesti dengan pandai membaca. Jadi, mereka mesti pandai membaca. Mereka mesti berusaha dengan bersungguh-sungguh. Mereka mesti bersungguh-sungguh belajar membaca sehingga pandai membaca. Malah, saya juga turut mesti bersungguh-sungguh mengajar mereka membaca sehingga pandai membaca. Saya ingin menerapkan dalam diri mereka supaya suka membaca dan dijadikan amalan.

4. Saya ingin melihat pelajar pandai berkawan dengan pelajar sederhana dan lemah serta membantu mereka dalam pelajaran. Mereka bukan sahaja berkawan dengan ahli kelas sendiri tetapi mereka juga berkawan dengan pelajar dari kelas-kelas lain. Saya ingin mereka memperluaskan hubungan persahabatan. Dengan persahabatan itu mereka akan berbincang dan bertukar-tukar fikiran tentang pelajaran serta membantu rakan mereka yang lemah dalam pelajaran. Saya ingin menerapkan dalam diri mereka tentang mengeratkan hubungan silaturrahim atau ukhuwah dan sikap suka tolong-menolong dalam hal kebaikan.

5. Saya ingin melihat pelajar suka membaca buku. Menjadikan membaca buku sebagai amalan. Bukan setakat suka membaca tetapi rajin membaca. Mesti banyakkan membaca untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan maklumat. Jika ada masa lapang maka gunakan masa itu dengan membaca. Bukannya menghabiskan masa dengan bersembang sesama rakan. Hal itu seperti membuang dan mensia-siakan masa. Sebagai penuntut ilmu maka membaca mesti menjadi satu tabiat, amalan dan perkara yang digemari. Selain itu, membaca mesti menjadi suatu keutamaan dalam diari penuntut ilmu. Tiap-tiap hari membaca buku. Kalau tidak mampu membaca berjam-jam bacalah sekadar dalam setengah jam misalnya atau mengikut kadar kemampuan diri. Yang penting dalan sehari mesti ada aktiviti membaca buku. Selain membaca buku dijadikan amalan jangan pula lupa membaca al-Quran.

6. Saya ingin melihat pelajar suka menghafal ilmu pelajaran. Saya ingin melihat mereka kuat menghafal. Saya ingin melihat mereka sentiasa meningkatkan usaha menghafal. Ini adalah antara cara untuk mengingati ilmu dan meningkatkan kekuatan serta keupayaan daya ingatan. Dikatakan apabila kita kuat menghafal maka ingatan kita juga semakin tajam dan kuat. Saya rasa kalau sejak kecil lagi sudah dididik, dilatih dan dibiasakan dengan kuat menghafal maka hafalan pada waktu masih kecil itu akan ingat sampai ke dewasa. Ini untungnya kalau sudah terbiasa dengan menghafal sejak kecil lagi.

7. Saya berharap pelajar mudah menerima ilmu dan faham akan ilmu. Dalam hal ini, mereka mesti memberi sepenuh perhatian ketika belajar. Mesti fokus 100%. Mesti jauhkan diri daripada gangguan seperti bunyi bising. Kalau ada juga maka mesti melawan gangguan itu dengan sedaya yang mungkin dan tidak mempeduli atau menghiraukan gangguan tersebut. Ketika belajar mesti ada kesabaran, kesungguhan, ketekunan dan kegigihan.

8. Saya pula mesti mampu mengajar mereka dengan lebih berkesan dan kreatif, serta dapat menarik minat mereka tehadap pelajaran. Hal ini pula memang banyak kali saya fikirkan. Susah juga hendak mengajar dengan berkesan dan kreatif. Maklumlah saya bukannya belajar dalam bidang pendidikan. Saya tidak ambil diploma pendidikan. Mungkin guru yang dari diploma pendidikan tahu cara yang terbaik untuk mengajar. Walau bagaimanapun, saya tetap terus berusaha memperbaiki kelemahan semasa mengajar. Saya juga mesti terus mencari dan belajar kaedah-kaedah mengajar yang betul, sesuai dan menepati standard.

Demikianlah lapan target yang saya buat untuk setakat ini. Saya berharap agar target ini berjaya, amin. Oleh hal yang demikian, sewaktu saya sedang menulis target hati saya terlintas untuk berdoa seperti ini:

Ya Allah, berikanlah aku hati yang bersih supaya ilmu yang diajarkan oleh guruku mudah masuk ke dalam hatiku dan dapat diterima oleh hatiku.

Ya Allah, berikanlah aku hati yang bersih supaya ketika aku menjadi guru, aku mudah mengajarkan ilmu kepada anak muridku serta ilmu yang diajarkan itu mudah masuk ke dalam hati mereka dan dapat diterima oleh hati mereka.

Ya Allah, berikanlah aku hati yang bersih kerana sesungguhnya ilmu itu cahaya yang hanya akan masuk ke dalam hati yang bersih sahaja. Oleh itu, aku meminta kepada-Mu berikanlah aku hati yang bersih.

Amin...

Saya berdoa kepada Allah agar diberikan hati yang bersih kerana dengan hati yang bersihlah ilmu menjadi mudah masuk ke dalam hati dan dapat diterima oleh hati. Inilah yang saya fikirkan tentang hal yang berkaitan dengan ilmu kerana ilmu itu cahaya yang hanya akan masuk ke dalam hati yang bersih sahaja. Sesungguhya, ilmu yang diperoleh itu adalah dengan keizinan Allah. Maka sewajarnya kita meminta kepada Allah agar dipermudahkan mendapat ilmu dan kefahaman akan ilmu.

Sebagai mengakhiri coretan ini saya ingin mengajak diri saya dan anda semua, marilah sama-sama kita mengamalkkan doa ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ دُعَاءٍ لاَ يُسْمَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ، وَمِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَؤُلاَءِ الأَرْبَعِ. ‏
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari hati yang tidak khusyuk, doa yang tidak dimakbul, nafsu yang tidak kenyang, ilmu yang tidak bermanfaat, aku berlindung kepada-Mu dari keempat hal itu.
(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Selasa, 24 Januari 2012

Internet Pun Macam Library


Entri ini adalah sambungan daripada entri lepas yang bertajuk Belajar Dengan Tenang. Saya terlupa hendak menulis perkara-perkara yang berkaitan dengan internet dalam entri tersebut.

Biasalah manusia memang tidak terlepas daripada sifat lupa. Manusia memang ada penyakit lupa. Untuk mengelakkan penyakit ini menjadi parah maka kita digalakkan supaya memperbanyakkan ingat Allah, berselawat ke atas Nabi s.a.w., ingat akhirat dan kematian. Sesungguhnya orang yang banyak mengingati kematian ialah orang yang cerdik.

Sebenarnya saya ingin beritahu bahawa internet juga sama seperti perpustakaan. Internet boleh diguna dan dimanfaatkan untuk mencari bahan-bahan yang berunsurkan ilmiah. Dalam internet memang ada banyak bahan cuma syaratnya ialah mesti ada usaha mencari untuk mendapatkan bahan-bahan tersebut.

Ketika saya belajar di KUDQI, ada seorang pensyarah gemar memberi assignment (di KUDQI panggil bahas) setiap kali habis kuliah. Nama beliau ialah Ustaz Kamaruzzaman Abdullah. Kalau kelas beliau mesti ada bahas. Oh, sebelum terlupa ketika di KUDQI saya belajar di fakulti Usuluddin. Baik, sambung semula. Boleh dikatakan setiap kali ada kelas beliau mesti ada bahas yang diberikannya. Memang banyak. Banyak sebab apabila bahas itu dikumpulkan dari awal semester hingga akhir semester. Namun, bahas beliau menjadi mudah untuk disiapkan apabila beliau membenarkan kami mencari bahan bahas daripada internet dan tidak terikat sangat mencari bahan dengan merujuk kitab yang ada di maktabah KUDQI semata-mata.  

Alhamdulillah, beliau memang seorang pensyarah yang memahami pelajar-pelajarnya. Menurutnya, bahas yang diberikan itu bertujuan supaya para pelajarnya mendapat banyak ilmu pengetahuan, maklumat yang luas dan kefahaman yang jelas selaras dengan tajuk-tajuk yang dipelajari di kelas. Sesungguhnya hal yang demikian, tidak diperoleh di  dalam kelas melainkan dengan hasil usaha pelajar itu sendiri yang mencari ilmu dan maklumat tambahan di luar kelas. Menurutnya lagi pelajar mesti ada sikap berdikari, berfikiran terbuka dan luas, berdaya saing, rajin dan bersungguh-sungguh dalam mendalami ilmu.

Selain itu, bahas juga boleh menambah markah peperiksaan akhir semester. Sehubungan dengan itu, pelajar mesti rajin untuk menyiapkan bahas dan menghantarnya tepat pada tempoh yang telah ditetapkan oleh pensyarah. Jika lewat hantar maka markah mungkin dipotong dan jika tidak hantar maka tidak ada markah yang akan diberikan. Oleh hal yang demikian, markah peperiksaan hanya bergantung pada jawapan bagi kertas soalan penulisan sahaja.    

Secara tradisi dan lazimnya, kelas Usuluddin boleh dikatakan sebagai kelas yang banyak bahas. Bukan itu sahaja malah madah yang diambil pun banyak. Buktinya boleh dlihat semasa peperiksaan akhir semester. Di KUDQI, minggu peperiksaan diadakan selama dua minggu, iaitu bermula hari Ahad hingga Khamis pada minggu pertama dan begitu juga seterusnya pada minggu kedua. Jadi, jika dihitung hari maka pelajar Usuluddin menduduki peperiksaan selama 10 hari.

Berbalik semula cerita tentang bahas tadi, apabila dibenarkan mencari bahan dengan menggunakan internet maka saya tidak melepaskan peluang tersebut. Inilah cara yang mudah. Saya hanya perlu search di google dengan menaip perkataan atau tajuk yang berkaitan. Adalakanya mudah dijumpai dan begitulah sebaliknya. Dalam pencarian itu, ada juga saya terjumpa bahan-bahan ilmiah lain yang tiada kaitan dengan bahas. Namun, saya tidak mensia-siakannya kerana saya beranggapan hal itu boleh menambahkan lagi maklumat dan pengetahuan saya.

Kadang-kadang pernah juga saya mencari bahan-bahan ilmiah kerana apabila timbul tanda tanya di fikiran, tiba-tiba datang idea ingin mengetahui tentang sesuatu, berasa perlukan bahan bacaan tambahan untuk persediaan mengendalikan sesuatu program atau mengajar, dan sebagainya. Selain itu, saya bukan sahaja menggunakan internet untuk mencari maklumat terkini bahkan saya juga mencari maklumat tentang perkara yang berlaku pada masa lampau.

Kini, kebiasaan saya dalam penggunaan internet ialah saya lebih kepada mencari buku. Saya yakin dapat mencarinya kerana jika menggunakan perkataan yang tepat pasti akan jumpa. Usaha mencari pula mesti dilakukan dengan sekerap mungkin. Contohnya, pernah suatu ketika saya rasa ingin membaca buku Sunan Tirmidzi tetapi saya tidak mampu membelinya kerana mengalami kekurangan kewangan. Jadi, saya pun search di internet dengan menaip seperti sunan tirmidzi doc/pdf. Alhamdulillah jumpa.

Sekiranya kita bijak memanfaatkan internet maka kita akan dapat banyak download buku dari internet. Hal inilah yang lazim saya lakukan. Sebab itu saya menyatakan bahawa internet seperti perpustakaan. Inilah kemudahan dan kebaikan yang terdapat di internet.

Walau bagaimanapun, kita mesti ingat dan sedar bahawa internet juga ada perkara-perkara yang negatif. Hal ini memang tidak dapat dinafikan lagi. Jika leka maka internet boleh mendatangkan mudharat dan berbahaya kepada diri. Oleh itu, perkara negatif yang terdapat di internet mesti dijauhkan supaya tidak terpengaruh dengannya.

Kita boleh mengibaratkan internet seperti sebilah pisau. Pisau yang digunakan dengan cara yang betul dan baik adalah seperti menjadikan pisau sebagai alat untuk memotong sayur, buah-buahan, daging dan lain-lain. Namun, jika pisau digunakan dengan cara yang salah dan jahat maka pisau juga boleh menjadi alat untuk membunuh orang. Begitu juga dengan internet, cara penggunaannya terpulang dan terletak kepada individu yang menggunakannya sama ada untuk perkara yang betul dan baik atau salah dan jahat.

Penggunaan internet secara meluas ada pro dan kontra. Ada baik dan buruk. Setiap orang ada pandangan dan pilihan masing-masing. Oleh itu, kita pula sebagai pengguna internet perlu bijak ketika menggunakannya. Kita boleh berfikir, menilai, memilih dan menentukan perkara-perkara yang baik, iaitu perkara yang boleh mendatangkan manfaat dan memberi kesan yang baik.

Kadang-kadang kita lupa dan terpengaruh dengan dorongan nafsu dan ada juga sengaja mengikut dorongan nafsu yang menyebabkan berbuat maksiat ketika menggunakan internet. Sedarlah zaman sekarang sungguh mudah untuk melakukan maksiat dan dosa. Sungguh mudah untuk mendapat dosa. Hal itu dilakukan dengan menggunakan hujung jari yang mengklik pada pautan-pautan yang ada di internet. Jari mengklik, mata melihat, akal berfikir dan seumpamanya. Sesungguhnya maksiat yang terdapat di internet boleh mempengaruhi jiwa dan fikiran lantas mengkotorkan hati. Astaghfirullahal’azhim.   

Niat asal yang murni, iaitu mencari ilmu jangan ditukar dengan perkara yang mendatangkan dosa. Beginilah keadaan yang menimpa kita pada hari ini. Kita mesti berhati-hati. Pohonlah keampunan kepada Allah dan mintalah kepada-Nya agar diberikan kekuatan iman untuk melawan godaan syaitan dan dorongan nafsu. Juga mintalah kepada-Nya agar diberikan kekuatan untuk menghidar serta menjauhkan diri daripada perbuatan dosa dan melakukan larangan-Nya.

Demikianlah coretan saya kali ini adalah sekadar untuk muhasabah dan renungan bersama. Seharusnya penggunaan internet adalah untuk perkara-perkara yang berkaitan dengan ilmu seperti yang saya katakan tadi, iaitu internet seperti perpustakaan. Jika internet dianggap sebagai perpustakaan maka sudah pasti internet dijadikan alat untuk  mencari ilmu pengetahuan dan maklumat, bahan rujukan dan bacaan. Inilah yang dikatakan perkara-perkara yang baik, iaitu perkara yang boleh mendatangkan manfaat dan memberi kesan yang baik.

Sebagai mengakhirkan coretan ini marilah sama-sama kita beristighfar dan berdoa kepada Allah.

Astaghfirullahal’azhim… astaghfirullahal’azhim… astaghfirullahal’azhim…

Ya Allah, ampunilah dosa kami, kedua ibu bapa kami, kawan-kawan kami, sahabat-sahabat kami, rakan-rakan seperjuangan kami, dan seluruh umat Islam sama ada yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia.

Ya Allah, lapangkanlah dada kami, permudahkanlah segala urusan kami, luaskan dan tambahkanlah ilmu dan kefahaman ilmu kepada kami.

Ya Allah, berikanlah kami rezeki yang banyak lagi halal serta berkat, iman yang teguh, hati yang bersih dan kejayaan yang besar.

Ya Allah, jadikanlah kami hamba-Mu yang soleh, taat kepada kedua ibu bapa dan insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Amin… amin… amin… ya rabbal’alamin.

Belajar Dengan Tenang


Hari ini saya hendak bercerita tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan perpustakaan.

Panggilan lain bagi perpustakaan ialah pusat sumber. Dalam bahasa Arab disebut: مَكْتَبَةٌ / maktabah. Manakala dalam bahasa Inggeris pula ialah library.

Perpustakaan adalah tempat yang terdapat banyak buku, bahan bacaan dan rujukan. Perpustakaan juga boleh dijadikan sebagai tempat belajar kerana keadaannya yang selesa dan senyap. Pengunjung yang datang mesti menjaga adab dan peraturan seperti tidak boleh membuat bising. Suasana yang senyap tanpa bunyi bising boleh mewujudkan suasana yang tenang lebih-lebih lagi ketika sedang belajar dan membaca buku. Ini yang bagusnya tentang perpustakaan.

Pada saya perpustakaan boleh disinonimkan dengan buku. Ingat perpustakaan ingat buku. Banyak buku boleh dibaca di situ. Lagi pula saya suka membaca buku. Kawan-kawan yang mengenali saya ada yang menggelar saya ulat buku. Namun demikian, ketika di bangku sekolah saya tidak berpeluang dan berkesempatan menjadi pengawas perpustakaan atau dipanggil pustakawan. Hal ini kerana pada ketika itu saya menjadi pengawas sekolah dari tingkatan satu hingga tingakatan enam. Lama juga jadi pengawas sekolah.

Pada pandangan saya kekurangan dalam menjawat jawatan pengawas sekolah ialah tidak boleh ke perpustakaan pada waktu rehat seperti pustakawan dan pelajar biasa kerana pada waktu itu pengawas sekolah diwajibkan menjalani tugas seperti yang telah diatur dan ditetapkan oleh guru disiplin sekolah. Oleh sebab itu, setiap kali waktu rehat saya menggunakan masa itu dengan menjalankan tugas bukannya membaca buku.

Walau bagaimanapun, penglibatan sebagai pengawas sekolah di bangku sekolah telah melatih dan membentuk peribadi saya menjadi seorang yang berdisiplin dan bijak memimpin. Sehubungan dengan itu juga, pengalaman saya sewaktu menjadi pengawas sekolah dan minat terhadap membaca telah mendorong saya untuk meminati dan mahu menceburi dalam dua bidang, iaitu kepimpinan dan pendidikan. Sekarang saya merasakan bidang-bidang ini begitu serasi dengan diri dan jiwa saya. Jika tiada halangan, saya mahu mencari perkerjaan dan kerjaya atau menyambung pengajian yang melibatkan bidang kepimpinan dan pendidikan. Insya-Allah.

Baik, kita kembali semula kepada cerita tentang perpustakaan. Ketika saya belajar di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) saya tinggal di asrama. Selama empat tahun belajar di sana memang saya menginap di asrama. Cerita menarik yang ingin saya kongsikan ialah dalam banyak-banyak bilik di asrama tersebut, bilik saya antara merupakan bilik yang sering ramai pengunjung. Pengunjungnya ialah pejalar KUDQI sendiri.

Antara barang yang banyak di bilik saya ialah buku. Ada sahabat-sahabat yang menggelarkan bilik saya library atau maktabah asrama. Selain itu, ada juga yang menggelar bilik serbaguna. Macam-macam ada. Maksudnya bukan buku sahaja yang ada tetapi barang-barang kemudahan lain pun ada. Oleh sebab itu jugalah bilik saya sering dijadikan tempat melakukan aktiviti-aktiviti secara berjemaah seperti makan, belajar, berusrah, berbincang, bercerita, bermesyuarat dan lain-lain aktiviti yang berfaedah. Banyak juga sehingga tidak ingat untuk disebutkan di sini.

Sungguhpun demikian, alhamdulillah saya dapat berdepan dan melalui keadaan itu dengan baik. Manakan tidaknya, penghuni di asrama ada pelbagai ragam dan karenah. Pada masa itu, saya hanya berpandangan dan berfikir bahawa dengan sikap bertoleransi akan mengerat dan merapatkan lagi silaturrahim dan ukhuwah sesama pelajar KUDQI yang tinggal di asrama. Demikianlah cerita saya ketika tinggal di asrama KUDQI dulu yang datang ke KUDQI adalah semata-mata hendak menuntut ilmu.

Perkara yang menarik bagi saya ialah bilik saya digelar maktabah asrama dan juga bilik serbaguna. Peristiwa tersebut membuatkan saya teringat tentang perpustakaan, ilmu, buku, belajar, membaca, bahas, peperiksaan, perbincangan, mesyuarat, suasana senyap, dan ukhuwah. Senang cerita kesemuanya berkaitan dengan ilmu. 

Pesanan saya ialah cintailah ilmu, carilah ilmu sebanyak mungkin dan rajin-rajinlah mengunjungi atau belajar di perpustakaan. Insya-Allah, anda boleh belajar dengan tenang. Saya pernah melakukannya. Memang tenang dan ilmu mudah hendak masuk ke dalam hati.

Isnin, 23 Januari 2012

Bila Mahu Mengenal Tuhan?

Jawapannya sekarang.

Nak tunggu bila lagi? Nak tunggu bila umur dah tua. Masa tu dah tak larat nak bergerak, berjalan, melihat, mendengar, bercakap dan lain-lain. Serba-serbi dah tak larat. Tak mampu. Belum pasti lagi masa tu akal masih waras. Entah nyanyuk entah tidak. Kalau akal dah tak waras, dah nyanyuk bagaimana nak ingat? Kalau benarlah seperti demikian bagiamana nak kenal Tuhan? Bagaimana nak beribadah kepada Tuhan? Bagaimana nak mendekatkan diri kepada Tuhan?

Kalau ketika tua pun dah tak larat nak kenal Tuhan apatah lagi nak kenal Tuhan bila roh hendak dicabutkan dari jasad. Apabila roh sudah sampai di kerongkong baru nak kenal Tuhan, sedar, insaf dan bertaubat. Masa tu dah tak sempat. Dah terlambat. Pintu taubat dah tertutup. Fikir-fikirkanlah.

Oleh hal yang demikian, sekarang adalah masa untuk mengenal Tuhan. Jangan berlengah, bertangguh dan bernanti. Apabila ajal sudah menjemput baru nak menyesal. Penyesalan pada masa itu tiada gunanya lagi. Sedarlah bahawa manusia tidak mengetahui tentang waktu ajal akan tiba. Tak semestinya manusia itu akan mati bila usia sudah tua kerana ada yang mati ketika dalam rahim ibu, ketika kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. Kita tidak tahu. Allah sahaja yang tahu kerana Allah Yang Maha Mengetahui.

Fikir-fikirkan dan renung-renungkanlah. Berapa banyakkah amal ibadah kita sekarang? Berapa banyak kalikah kita bersyukur dan mengingati Allah? Kalau masih sedikit kenapa tidak mahu mengenal Tuhan sekarang?

Fikir-fikirkan dan renung-renungkanlah. Sekarang adalah masa untuk mengenal Tuhan. Selagi diberi kemampuan, masa yang lapang, masa muda, kesihatan dan kehidupan maka berusahalah untuk mengenal Tuhan. Setelah mengenal Allah dan beriman dengan-Nya maka teruskanlah beristiqamah dengan beramal soleh, dan melakukan perintah-Nya dan menjauhi serta meninggalkan larangan-Nya. Hal ini sebagaimana yang terdapat dalam hadis Nabi s.a.w. yang sepatutnya direnungi, difahami dan dihayati:

عَنْ أَبِيْ عَمْرٍو وَقِيْلَ أِبِيْ عَمْرَةَ سُفْيَانَ بْنِ عَبْدِ اللهِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قُلْتُ يَا رَسُولُ اللهِ! قُلْ لِيْ فِيْ الإِسْلاَمِ قَوْلاً لاَ أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ، قَالَ: قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ. (رواه مسلم)
Maksudnya: Dari Abu Amr, ada juga yang mengatakan dari Abu ‘Amrah Sufyan bin Abdullah radhiallahu‘anhu katanya: Aku berkata, wahai Rasulullah! Katakan kepada aku tentang Islam satu perkataan yang tidak akan aku tanyakan lagi kepada seorang pun selainmu. Baginda bersabda: Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah engkau beristiqamah. (Riwayat Muslim)

Sekian, Wallahu’alam.

Sabtu, 21 Januari 2012

Hadaiq Iman: Taman-Taman Iman

hadaiq iman part 1 

 

hadaiq iman part 2

  

hadaiq iman part 3

 

Sebenarnya saya sering terfikir bila la boleh belajar di Yaman. Saya selalu berharap agar dapat belajar di sana. Kalau ikutkan hajat hati memang nak belajar di Jameah Iman tapi orang kata susah belajar di situ dan kelayakan kemasukan mesti umur kurang dari 25 tahun. Kalau nak masuk juga mesti buat rayuan. Ini yang saya dengar dari cakap-cakap orang. Tak tau la hal yang sebenarnya...

Tentang susah belajar tu... di dunia ni mana ada perkara yang mudah... kebanyakannya susah belaka... jadi kenalah berusaha dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya. Apa-apa pun masa belajar mesti ada kesungguhan! 

Bagi saya kalau tak dapat jadi pelajar sepenuh masa di Jameah Iman tapi kalau dapat jadi pelajar mustamik pun dah kira ok. Apa-apa pun yang paling penting sekarang ialah saya mesti boleh menjejakkan kaki di yaman dan belajar di sana suatu hari nanti... insya-Allah.

Rasanya kalau saya dapat belajar di Yaman pun dah kira ok... ok sebab kalau hajat belajar di sana dah tecapai... tak kira la belajar di jameah mana pun... tapi saya mungkin pilih Jameah Ulum sebab saya dengar jameah tersebut lebih bersistem seperti kelas wajib hadir... tapi kalau ditakdirkan tak dapat belajar di sana, saya redha saja la... mungkin ada peluang di tempat lain. Mudah-mudahan Allah beri dan gantikan sesuatu dengan yang lebih baik... yang tu kena yakin la.

Sesungguhnya, hati, perasaan dan semangat saya terhadap menuntut ilmu masih dan sangat tinggi... walaupun pada hakikatnya saya bukanlah best student... maksudnya pelajar pintar... saya pelajar sederhana... biasa-biasa saja... tapi saya mempunyai keinginan yang kuat untuk belajar ilmu agama... ilmu Allah ni dengan lebih mendalam lagi. Insya-Allah.

Saya ingin menjadi orang faham tentang agama... yang mampu menyampaikan ilmu ini kepada orang lain supaya mereka pun faham tentang agama... di samping Islam dipraktikkan dengan sempurna, serta dibela, ditegak dan didaulatkan di atas muka bumi ini. 

Jumaat, 20 Januari 2012

Cara Bercakap Yang Baik


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِىَ الله عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: مَنْ كانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ. رواه البخاري ومسلم
Maksudnya: Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam bersabda: Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Cara Bercakap Yang Baik:

Bercakap pada perkara yang benar dan mustahak sahaja.

Bercakap dengan bahasa yang lemah lembut dan bersopan.

Mulakan percakapan dengan memberi ucapan salam.

Apabila bercakap jangan menyakiti hati orang.

Apabila bercakap hendaklah bertentang muka dan senyum.

Jangan terlampau meninggikan suara apabila bercakap.

Selasa, 17 Januari 2012

Tujuan Menuntut Ilmu

"...(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya)." - Surah Al Baqarah 2 : 255

Pengenalan

Ilmu

Di dalam al-Quran ilmu dapat dimaksudkan dengan pelbagai makna, tetapi di sini cukuplah dengan membicarakan pengertian ilmu itu dalam Bahasa Melayu sahaja. Ilmu menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bererti ;
  1. Pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain.
  2. Kajian dalam sesuatu perkara.
  3. Hadirnya makna dalam diri seseorang.
Dari segi pemahaman yang mudah, ilmu bermaksud suatu pengetahuan yang merangkumi pengetahuan yang diperolehi melalui belajar atau proses dan aktiviti pembelajaran seperti pemerhatian, kajian, eksperimen dan sebagainya serta boleh juga diperolehi melalui pengalaman.

Ilmu juga merangkumi pengetahuan mengenai perkara yang berasaskan kebenaran, kebatilan, keraguan (bimbang atau bingung) dan syak (was-was).

Selain dari itu, ilmu juga berbentuk umum yang meliputi pengetahuan mengenai hal-hal keduniaan dan akhirat, iaitu ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.

Fardhu Ain: Ilmu yang wajib dipelajari seperti tauhid (mengesakan Allah yang Maha Agung), syariat (solat, mempelajari al-Quran atau mempelajari perintah dan larangan) dan tasauf (ilmu akhlak atau sifat-sifat terpuji dan sifat-sifat yang dikeji seperti adab berjiran, adab bergaul, adab selisih faham, adab makan, adab mandi dan lain-lain).

Keingkaran untuk mempelajari fardhu ain ini bagi setiap individu hukumnya adalah berdosa.

Fardhu Kifayah: Ilmu yang menjadi tanggungjawab sekumpulan tertentu bagi mewakili orang Islam, atau untuk mewakili masyarakat.

Andaikata tiada seorang pun di kalangan orang Islam yang mempelajarinya, maka semua ahli masyarakat berdosa. Contohnya, ahli tafsir, usahawan, saintis, doktor dan lain-lain.

Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, "Mencari ilmu adalah fardhu bagi setiap orang Islam." - Sahih - Ibnu Majah [0184]

Isi Perbicangan

Tujuan Menuntut Ilmu

01.Memperbaiki Diri

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." - Surah Al-'Ankabuut 29 : 69

Antara tujuan utama kita dalam menuntut ilmu adalah agar dapat memperbaiki diri.

Memperbaiki diri bermaksud berusaha bersungguh-sungguh untuk menambah ilmu pengetahuan serta membawa ibadah dan juga taraf kehidupan ke tempat yang lebih tinggi dari sebelumnya.

Dengan menuntut ilmu kita secara tidak langsung bukan sahaja mendapat petunjuk, malah dipimpin ke jalan yang lurus. InsyaAllah yang Maha Tinggi.
Contohnya, dengan menuntut ilmu kita dapat;
  1. Mendapat keyakinan yang lebih dalam ibadah.
  2. Solat terasa lebih khusyuk dari sebelumnya.
  3. Peningkatan kerjaya.
Pelbagai lagi nikmat yang akan kita perolehi dalam usaha memperbaiki diri, malah tidak terhitung dan cukuplah tiga contoh di atas. Sekiranya kita memahami ayat di atas (Surah Al-'Ankabuut [29] : 69) nikmat terbesar adalah mendapat pertolongan dan bantuan Allah yang Maha Agung. Pertolongan dan bantuan siapakah yang lebih besar dari itu?

02.Mensyukuri Nikmat Allah yang Maha Agung

"Dan sesungguhnya Kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurnia-Nya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman." - Surah An-Naml 27 : 15

Walaupun ayat berkenaan tentang ilmu yang diberikan kepada Nabi Daud as dan Nabi Sulaiman as, namun lafaznya umum.

Antara nikmat terbesar yang dikurniakan kepada manusia adalah nikmat akal untuk belajar dan memahami ilmu dalam menjalani kehidupan di dunia dan persediaan untuk akhirat.

Maka antara tujuan kita dalam usaha menuntut ilmu adalah sebagai tanda syukur atas segala macam nikmat-Nya.

Dengan ilmulah kita mengenal cara melaksanakan ibadah dan kategorinya; dan dengan ilmu jugalah kita mengenal kebaikan dan kejahatan; dan dengan ilmu juga kita mengetahui tentang dunia dan akhirat. Maka wajiblah kita bersyukur atas nikmat yang tak terhingga ini, iaitu nikmat akal dan ilmu pengetahuan.

"Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya." - Surah Al-Baqarah [2] : 269

Khalifah Umar bin Abdul Aziz : "Barangsiapa beramal tanpa ilmu, maka yang rosak lebih banyak daripada yang benar."

03.Menegakkan Agama Islam

"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)." - Surah At-Taubah [9] : 122

Menegakkan agama Islam bermaksud memuliakan, mengamalkan perintah dan larangannya, melaksanakan hukum-hukumnya, dan menyebarkannya dengan cara; melalui umat Islam yang beriman, beramal soleh dan bertamadun; iaitu berpendidikan, mampu memerintah, adil dan mampu memikul tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah yang Maha Tinggi di muka bumi.

Ia merangkumi pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara serta meliputi aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek berdasarkan prinsip Islam berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

Di dalam tafsir Ibn Katsir, antaranya diterangkan mengenai ayat di atas (Surah At-Taubah [9] : 122) sebagai dua tugas yang terpadu.

Sebahagian pergi berperang, sebahagian lagi menuntut ilmu. Ini menunjukkan tingginya darjat orang yang menuntut ilmu hingga disamakan dengan orang yang pergi berjihad. Walau bagaimanapun, tidaklah bermaksud hendak meremehkan jihad menentang orang-orang yang memerangi Islam.

Persoalannya, bagaimana ilmu itu boleh menegakkan Agama Islam? Di sini, kita melihat dari segi faktor semasa sahaja.

Antaranya, kita perlu ubah persepsi kita mengenai contoh fardhu kifayah.

Rasanya sejak dari kanak-kanak, kemudian dewasa hingga tua kita dihadapkan dengan contoh ini; iaitu mengaitkan contoh fardhu kifayah hanyalah - pengurus jenazah atau orang memandikan, mengafankan dan segala perihal tentang jenazah.

Sebenarnya yang termasuk dalam fardhu kifayah itu antaranya adalah; ahli tafsir, usahawan, saintis, ahli fizik, pakar kimia, doktor, pakar komputer, pakar enjin, arkitek dan lain-lain. Mungkin kita melihat seperti remeh, tetapi inilah yang secara tidak sengaja telah tertanam dalam akal fikiran kira sebelum ini.

Akhirnya kita menganggap fardhu kifayah adalah perkara yang mudah dan memandang ringan padanya, akibatnya umat Islam (Malaysia khususnya) kekurangan tenaga pakar dan mahir dalam pelbagai bidang.

Sekiranya umat Islam ketandusan para ilmuwan ini, maka siapakah yang ingin menghormati orang Islam?

Apalagi Agama Islam. Bukankah Allah yang Maha Agung telah berfirman;
"...nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat..." - Surah Al-Mujaadalah 58 : 11

Dr. Wahbah al-Zuhaily dalam tafsirnya mengenai ayat ini berkata, 'Darjat orang mukmin melebihi darjat orang bukan mukmin. Darjat orang berilmu melebihi darjat orang yang tidak berilmu.'

Di dalam ayat yang lain Allah yang Maha Tinggi berfirman;

"...Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran." - Surah Az- Zumar [39] : 9

Tentulah tidak sama antara orang yang pakar dan tidak pakar. Perkataan orang yang pakar lebih dipercayai.

Contohnya dalam pembinaan sebuah bangunan, kita mahu mempercayai cakap arkitek atau buruh binaan?

Begitu juga dalam menegakkan agama Islam, tentulah orang yang berilmu lebih didengari percakapannya berbanding dengan orang yang kurang ilmunya.

Maksudnya orang Islam yang mempunyai kepakaran dan kemahiran yang tinggi, secara automatik memberi impak kehormatan kepada Islam itu sendiri; iaitu agama Islam dan penganutnya akan dihormati dan dipandang tinggi oleh orang bukan Islam, secara tidak langsung Islam dapat ditegakkan.

"Hai orang-orang yang beriman,  jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong agama Allah",  lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang." - Surah As-Saff [61] :14

04.Berfikir Dengan Adil

Berfikir bermaksud menggunakan akal untuk menyelesaikan sesuatu, manakala adil pula bermaksud meletakkan sesuatu perkara sesuai pada tempatnya.

Ramai yang berpendapat adil bermaksud sama rata, ini adalah pemahaman yang salah. Jadi, berfikir dengan adil bermaksud menggunakan akal dalam mempertimbangkan sesuatu perkara agar bertepatan dan bersesuaian pada tempatnya.

"Maka apakah orang-orang yang menunjuki kepada kebenaran itu lebih berhak diikuti ataukah orang yang tidak dapat memberi petunjuk kecuali (bila) diberi petunjuk? Mengapa kamu (berbuat demikian)? Bagaimanakah kamu mengambil keputusan?" - Surah Yunus [10] : 35-36

Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan saja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

Dengan adanya ilmu, kita dapat membuat dan melaksanakan keputusan, ibadah, pekerjaan dan lain-lain hal berkaitan kehidupan dengan lebih bijak, tepat dan teratur; iaitu mengutamakan yang lebih penting dari yang penting. Antara beberapa contoh;
  • Mengutamakan mempelajari fardhu ain dari fardhu kifayah.
  • Mengutamakan amal yang bermanfaat dari yang kurang bermanfaat seperti, memilih beramal dengan sedikit tetapi berterusan daripada beramal dengan banyak tetapi setahun sekali.
  • Mengutamakan mengajar atau menyuruh anak-anak kecil bersolat dari berpuasa kerana biasanya orang yang tidak meninggalkan solat pasti berpuasa (yang berkemampuan) dan orang yang berpuasa belum tentu penuh solatnya. Sesuai dengan firman Allah yang Maha Tinggi dalam,
".....Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar...." - Surah Al 'Ankabuut [29] : 45
  • Mengutamakan ibadah fardhu dari ibadah sunat dan mengutamakan sunat yang mu'akkad; iaitu sunat yang dituntut seperti mengutamakan solat rawatib mu'akkad, solat tahajjud daripada solat terawih, solat sunat musafir dan lain-lain.
  • Mengutamakan mencintai Rasulullah saw daripada orang lain.
"Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, "Belum sempurna iman seseorang kamu sebelum ia mencintaiku melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya". - Sahih Muslim [0035]

Ini hanya sebahagian contoh sahaja, banyak lagi perkara-perkara yang perlukan pertimbangan akal yang adil dalam menjalani kehidupan di dunia ini.

"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi.  Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya..." - Surah Al-Baqarah [2] : 219

Ayat di atas sebagai contoh mengapa kita perlu berfikir dengan adil, ini adalah perkara yang sangat-sangat penting.

Antara Kesan atau Kelebihan Menuntut Ilmu

01.Doa cepat dimakbulkan

"Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah." - Surah An-Naml [27] : 40

Umum mengetahui ayat di atas mengenai pemindahan singgahsana Ratu Balqis ke istana Nabi Sulaiman a.s. Malah jin 'Ifrit juga tidak dapat menandingi kehebatan orang yang berilmu. Perlu diingat, kisah ini hanya berlaku pada zaman Nabi Sulaiman a.s.

Bukanlah bermakna kita perlu belajar ilmu yang dapat mengubah 'KLCC' ke tempat lain sekelip mata, ini hanya contoh betapa hebatnya orang berilmu kerana doanya dimakbulkan dengan cepat, insyaAllah yang Maha Berkuasa. Zaman ini, jika ada seseorang berkata dapat mengubah sesuatu bangunan dalam sekelip mata ke tempat lain, itu adalah sihir.

02.Dinaikkan darjat

"...Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." - Surah Al-Mujaadalah [58] : 11
Contoh yang paling mudah antaranya;
  • Peniaga yang mempelbagaikan jualannya dan kreatif, lebih banyak keuntungan dari peniaga yang menjual satu jenis barangan sahaja.
  • Pekerja yang berilmu (mempunyai ijazah dan sebagainya) lebih tinggi gajinya dari pekerja yang kurang ilmunya.
  • Pelajar yang tekun belajar, lebih pandai dari pelajar yang malas belajar.
  • Guru dihormati oleh pelajarnya. Mereka yang tidak menghormati gurunya tergolong dalam orang yang jahil.
03.Tidak tersesat

"..dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahawasanya Al Quran itulah yang hak dari Tuhan-mu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadanya dan sesungguhnya Allah adalah Pemberi Petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus." - Surah Al-Hajj [22] : 54

04.Dikurniakan nikmat kesabaran

"Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: "Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang-orang yang sabar." - Surah Al-Qasas [28] : 80

05.Dipermudahkan ke syurga

"Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Siapa saja yang menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memberikan kepadanya kemudahan jalan menuju syurga." - Sahih, At-Tirmidzi [2646]
Banyak lagi kelebihan-kelebihan orang-orang yang berilmu pengetahuan yang disebut di dalam Al-Quran dan hadis.

Antara Halangan-Halangan Menuntut Ilmu

Diantara halangan yang menyebabkan ramai orang yang ambil remeh dalam hal menuntut ilmu, diringkaskan seperti berikut;

01.Anggap Diri Sudah Cukup

"Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka merasa senang dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu." - Surah Al-Mu'min [40] : 83

Menganggap segala pengetahuan mereka lebih banyak dari orang lain dan tak perlu menuntut ilmu lagi. Hal ini hanyalah satu kesombongan dari hasutan syaitan.

02. Sibuk

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran." - Surah Al-'Asr [103] : 1-3

Kesibukan adalah apabila kita tidak pandai menghargai masa. Semua manusia akan mengalami kerugian kecuali empat sifat di atas, iaitu;
  1. Iman - Memahami dan melaksanakan rukun iman.
  2. Amal soleh - Mentaati dan melaksanakan hukum-hukum, perintah dan larangan Allah yang Maha Agung.
  3. Nasihat kebenaran - Memberi pengajaran, bimbingan atau mengajak kepada kebaikan dan menjauhi serta mencegah kemungkaran.
  4. Menasihati agar bersifat sabar - Bersabar atau redha pada qada' dan qadar.
    Kita tidak ketahui akan perkara-perkara di atas kecuali dengan menuntut ilmu.

    03.Lalai

    Lalai terbahagi kepada dua, namun berkaitan iaitu;
    • Urusan di dunia - Membuat perkara-perkara yang tidak bermanfaat pada diri dan masyarakat.
    "Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak,...." - Al-Hadiid [57] : 20
    • Urusan menghadapi akhirat - Tidak mengingati mati lalu menjadi malas untuk beribadah, apalagi untuk menuntut ilmu.
    ".....Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya." - Surah Ar-Ruum [30] : 8

    Antara Akibat Jahil

    01.Mengikut hawa nafsu

    "Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui." - Surah Al-Jaatsiyah [45] : 18
    Orang yang jahil hanya mengikut hawa nafsu sahaja dalam berfikir dan menganggap akal dan ilmu pengetahuannya lebih hebat dari syariat, lalu melanggar segala macam hukum dari al-Quran dan al-hadis.

    02.Menjadi zalim dan tersesat

    "Tetapi orang-orang yang zalim, mengikuti hawa nafsunya tanpa ilmu pengetahuan; maka siapakah yang akan menunjuki orang yang telah disesatkan Allah? Dan tiadalah bagi mereka seorang penolongpun." - Surah Ar-Ruum [30] : 29

    Setelah mereka (orang-orang yang jahil) ini melanggar segala macam syariat, maka mereka terdedah kepada kesesatan dan seterusnya berbuat kezaliman; iaitu menyesatkan orang lain dan meruntuhkan akhlak masyarakat yang terikut-ikut dengan mereka, akibatnya berlaku ketidakharmonian dalam masyarakat.

    03.Cenderung menjadi pengikut syaitan

    "Di antara manusia ada orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan dan mengikuti setiap syaitan yang jahat,..." - Surah Al-Hajj [22] : 3

    Mereka yang tidak berilmu seringkali bercakap perkara yang mereka agak-agak sahaja terutamanya dalam hal agama yang boleh membawa kepada kekufuran tanpa mereka sedari. Perkataan yang mereka keluarkan tidak lain, kecuali mengikuti hawa nafsu yang dibisikkan oleh syaitan sahaja.

    Sekiranya kita ragu-ragu tentang sesuatu perkara atau ingat-ingat lupa, janganlah berkata-kata untuk berbangga diri atau berasa malu cakap tidak tahu, tanyalah kepada orang yang berilmu.

    "....maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui." - Al Anbiyaa' [21] : 7

    Kesimpulan

    Islam didasari dengan ilmu. Tidak ada satu pun permasalahan kecuali diajar dalam Agama Islam bagi mereka yang mahu menggunakan akal dan menuntut ilmu.

    "Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." - Ali 'Imran [3] : 18

    Hanya dengan ilmulah kita dapat mempertabatkan umat Islam dan menjaga kemuliaan Islam, yang kini dimana-mana pun umat Islam diperbudak-budakkan dan agama Islam diperlekehkan.

    "Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin." - At Taubah [9] : 128

    Marilah kita mencontohi sikap para Nabi 'alaihi salam; iaitu berasa sedih akan penderitaan masyarakat Islam sekarang yang ditendang dan dipermainkan sesuka hati. Moga-moga Allah yang Maha Penyayang memenangkan kita ke atas musuh-musuh Islam.

    Namun perlu diingat setinggi mana ilmu kita, tidak dapat kita mengatasi mukjizat para Nabi as dan setiap yang mengetahui, ada lagi yang lebih mengetahui.

    Marilah kita merenung ayat di bawah, luasnya ilmu Allah yang Maha Tinggi tidak terhingga. Allah yang Maha Agung berfirman dalam;

    "Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).." - Surah Al-Kahfi [18] : 109

    "Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." - Surah Luqman [31] : 27

    Rujukan:
    Al-Quran terjemahan
    Tafsir Ibn Katsir dan Tafsir Al-Munir
    Kitab-kitab hadis sahih
    Krisis Dalam Pendidikan Islam [Dr. S.S Husain dan Dr. S.A Ashraf ]
    Ihya' Ulumuddin [Imam Al-Ghazali]
    Ilmu Mantik [Ustaz Ab. Latif Muda dan Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin]
    Berfikir [Harun Yahya]
    Fiqh Keutamaan [Dr. Yusuf Al-Qardhawi]
    Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri [Za'ba]

    Artikel di atas dipetik daripada iluvislam.com (Selasa, 5 Oktober 2010) : http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/906-tujuan-menuntut-ilmu.html
    Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!