Halaman

Khamis, 16 September 2010

Rintihan Jiwa

Judul : Rintihan Jiwa
Album : Kedamaian
Munsyid : Zulfan
http://liriknasyid.com

Di dalam dada ada rasa cinta kita
Di dalam jiwa ada rasa sayang bertakhta
Keluhan hamba pasrah hanya padanya
Kerna dia adalah pencipta segala

Di dalam dada ada rasa cinta di dalam jiwa ada rasa sayang
Keluhan hamba pasrah hanya padanya kerna Dialah Pencipta segalanya

Cintailah setulusnya semurni sufi beruzlah
Meratap menagih maghfirah dari tuhannya
Sejernih embun menitis sesejuk salju memutih
Bagaikan iman yang disirami takwa

Tuhan rahmatmu menggunung kasihmu abadi
Tiada penghujungnya
Tuhan hinanya hambamu mengecapi nikmat tanpa rasa malu
Walau secangkir syukurku di nodai dosa hiasan hidupku

Lagu:Abg Long/Mat Jan
Lagu :Abg Am / Anas

Rintihan Jiwa.mp3

Perihal Tentang Ikhlas

Ada sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a yang menerangkan bahaya dan kerugian orang yang melakukan amal kebaikan hanya demi redha manusia dan bukan dalam rangka mencari redha Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sesungguhnya orang yang pertama kali diadili pada hari kiamat nanti adalah orang yang (mengaku) mati syahid. Ia pun didatangkann (di hadapan Allah) dan Allah menyebutkan pelbagai nikmat dan anugerah-Nya kepada orang ini, dan ia pun mengakuinya.

Allah bertanya, “Apa yang kamu lakukan dengan pelbagai nikmat ini?” Orang ini menjawab, “Saya berperang kerana-Mu hingga saya syahid”. Allah berkata, “Tidak, kamu dusta. Kamu berperang supaya kamu dikatakan pemberani, dan itu sudah dikatakan”. Lalu ia pun diseret dengan wajah di tanah hingga ia dilemparkan ke dalam api neraka.

Lalu (setelah orang yang mati syahid) orang yang mempelajari ilmu dan mengajarkan serta membaca (menghafal) al-Quran. Ia pun didatangkan (di hadapan Allah) dan Allah menyebutkan pelbagai nikmat dan anugerah-Nya kepada orang ini, dan ia pun mengakuinya.

Allah bertanya, “Apa yang kamu lakukan dengan pelbagai nikmat ini?” Orang ini menjawab, “Saya mempelajari ilmu dan saya mengajarkannya, dan saya juga menghafal al-Quran kerana-Mu”. Allah berkata, “Tidak, kamu dusta. Kamu mempelajari ilmu supaya kamu dikatakan alim, dan kamu menghafal al-Quran supaya kamu dikatakan Qari (seorang pengghafal), dan itu sudah dikatakan”. Lalu ia pun diseret dengaan wajah di tanah hingga ia dilemparkan ke dalam api neraka.

Kemudian orang yang dikurniai Allah keluasan rezeki dan dianugerahi pelbagai jenis harta kekayaan. Ia pun didatangkan (di hadapan Allah) dan Allah menyebutkan pelbagai nikmat dan anugerah-Nya kepada orang ini, dan ia pun mengakuinya.

Allah bertanya, “Apa yang kamu lakukan dengan pelbagai nikmat ini?” Orang ini menjawab, tiada kesempatan yang berinfak padanya Engkau sukai melainkan saya selalu berinfak di jalan tersebut kerana-Mu”. Allah berkata, “Tidak, kamu berdusta, kamu melakukan semua itu supaya dikatakan seorang yang dermawan, dan itu sudah dikatakan”. Lalu ia pun diseret dengan wajah di tanah hingga ia dilemparkan ke dalam api neraka”. (HR Muslim, An-Nasa’I, dan Ahmad).

Sumber: Cara Cerdas Hafal Al-Quran, Dr. Raghib As-Sirjani dan Dr. Abdurrahman Abdul Khaliq, m/s 56-58.

Rabu, 15 September 2010

Bersederhanalah Kamu

Mengertilah bahawa dengan bersederhana kita akan bersikap berpada-pada dalam percakapan, tingkah-laku, bekerja, beribadah, belajar, berfikir dan banyak lagi.

Dalam bahasa arabnya disebut wasatiah yang bermaksud menyepadukan keperluan dunia dan akhirat. Keperluan untuk dunia dan akhirat dilakukan dengan seimbang. Tidak keterlaluan mencari keperluan dunia saja sehingga melupakan akhirat. Begitu juga tidak keterlaluan mencari keperluan akhirat sehingga mengabaikan keperluan dunia.

Islam mengajar penganutnya agar bersederhana, tidak keterlaluan sama ada terhadap hal-hal duniawi atau ukhrawi. Kedua-duanya dilakukan dengan sama rata, seimbang, pertengahan dan sederhana.

Taknaklah masa rajin, bersemangat… kita buat sesuatu dengan penuh beriya-iya… dengan gairah… tapi bila tak bersemangat jadi malas… kerja terbengkalai… terhenti macam tu saja… ibarat hangat-hangat tahi ayam atau melepaskan batuk di tepi tangga.

Ingatlah bahawa ketika mendapat sesuatu yang menggembirkan kita bersyukur tetapi apabila mendapat sesuatu yang menyedihkan maka kita bersabar menerima takdir Allah. Apabila bersikap sederhana maka semasa mendapat kemenangan atau kejayaan kita tidak terlalu gembira. Selain itu, jika menghadapi kekalahan atau kegagalan maka tidak terlalu sedih. Inilah yang dikatakan sikap bersederhana. Semasa senang atau susah kita tetap mengingati Allah.

Sabda Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam:

عَنْ أَبِى يَحْيَ صُهَيْبِ بْنِ سِنَانٍ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ وَلَهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَلِكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ. (رواه مسلم).
Maksudnya: Abu Yahya Suhaib bin Sunan Radhi Allahu ‘Anh meriwayatkan Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: sungguh menghairankan keadaan seseorang mukmin semua urusannya membawa kebaikan. Kelebihan ini hanya diterima oleh orang mukmin sahaja, iaitu, apabila dikurnia kebaikan dia bersyukur ini adalah kebaikan untuknya dan apabila ditimpa keburukan, dia bersabar dan ini juga adalah kebaikan untuknya.

Kehidupan ini ibarat roda. Tak selamanya kita berada di atas. Adakalanya kita akan jatuh. Jadi, pada masa jatuh, kita mesti bangun. Jatuh, bangun. Jatuh, bangun. Jatuh, bangun lagi. Jangan berputus asa.. jangan mengalah.

Oleh itu, setiap perkara mesti bersederhana barulah hati menjadi tenang dan hidup sentiasa bahagia.

Orang yang bersederhana itu sekiranya seorang hartawan maka tanpa rasa risau, bimbang, berat hati dan takut harta sedikit dia merupakan orang yang sangat pemurah. Begitu juga tidak merasakan ingin menambahkan kekayaan dengan tamak haloba, dengki dan inginkan kekayaan orang lain.

Firman Allah:

وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَامًا (الفرقان: ٦٧)
Maksudnya: Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.

Orang yang bersederhana itu sekiranya seorang fakir atau miskin maka takkan berpeluk tubuh meminta pemberian orang. Dia akan berusaha mengubah nasib dirinya kepada yang lebih baik. Dia tidak dengki terhadap orang kaya kerana kekayaannya tetapi mempunyai semangat yang kuat untuk menjadi seperti orang kaya tersebut. Dia juga tidak menyimpan dendam terhadap orang yang menindas, mencela dan menghinanya.

Firman Allah:

الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنْ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ  (آل عمران: ۱۳٤)
Maksudnya: (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.

Oleh itu, sekali lagi inginku ulangi semula bahawa setiap perkara mesti bersederhana barulah hati menjadi tenang dan hidup sentiasa bahagia.

Apabila kita mengamalkan sikap wasatiah maka semua pekerjaan akan dirancang dan dilaksanakan mengikut kemampuaan, keperluan, secara berterusan dan seimbang agar dapat menghasilkan natijah yang sempurna dan padu.

Sabda Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللهِ أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ. (رواه البخارى ومسلم).
Maksudnya: ‘Aisyah Radhi Allahu ‘Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: Allah Subhanahu Wa Taa’la mengasihi amalan-amalan yang berkekalan walaupun sedikit.

Dan wasiat Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam:

عَنْ عَمْرِو بْنِ الحَرْثِ: ...وَخَيْرُ الْأُمُوْرِ أَوْسَطُهَا. (رواه البيهقى).
Maksudnya: ‘Amru bin al-Harith meriwayatkan: …dan sebaik-baik urusan ialah wasatiah.

Oleh hal yang demikian, marilah kita mengamalkan sifat mahmudah ini dalam kehidupan seharian. Dengan bersederhana, hati menjadi tenang dan hidup bahagia di dunia dan di akhirat.

Sekian, Wallahua’alam.

Selasa, 7 September 2010

Ramadhan Yang Berbaki: Adakah Masih Ada Peluang?

Alhamdulillah, malam tadi saya berkesempatan, berpeluang, berdaya dan berkemampuan pergi ke masjid. Alhamdulillah, saya dapat mengerjakan solat fardhu dan terawih secara berjemaah. Saya berkata demikian sebab dah banyak hari saya miss untuk mengimarahkan masjid. Sejak belakangan ni tiap-tiap malam saya kena bantu ayah berniaga di pasar malam. Jadi, saya menjadi sukar hendak menghidupkan malam dengan solat sunat terawih.

Alhamdulillah, seperti di tempat-tempat lain selepas 4 rakaat solat terawih, jemaah akan disajikan dengan tazkirah selama antara 15  hingga 20 minit. Alhamdulillah, tazkirah yang disampaikan oleh ‘ustaz muda’ yang dikenali dengan panggilan Ustaz Muhammad Hafizzuddin itu dapat saya dengar dari mula hingga akhir. Kebiasaannya kalau siang letih berniaga tentu pada sebelah malam saya juga akan letih dan mengantuk. Tapi kali ni saya kurang letih maka saya dapat fakus semasa mendengar tazkirah.

Jadi, antara mesej yang dapat saya ambil ialah kita masih ada peluang melakukan amalan-amalan soleh pada Ramadhan yang masih berbaki ini. Kita masih berkesempatan untuk memperbaiki ibadah puasa mahupun memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Janganlah kita menyatakan bahawa lagi beberapa hari saja nak raya mungkin tak sempat untuk beramal ibadah. Oleh itu, ada tiga perkara yang boleh kita lakukan pada 10 akhir Ramadhan. Amalan-amalan tersebut juga adalah amalan yang suka dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Antaranya adalah:

Beriktikaf
Beriktikaf di masjid. Diriwayatkan bahawa pada 10 Ramadhan yang terakhir Rasulullah selalu beriktikaf di masjid. Hal ini kerana baginda tidak mahu terlepas untuk mendapatkan kelebihan Lailatul Qadar. Hadis sahih melaporkan bahawa Nabi Muhammad bersungguh-sungguh melakukan iktikaf pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Oleh itu, kita digalakkan beriktikaf di masjid terutamanya pada bulan Ramadhan. Selain itu, beriktikaf pada 10 malam akhir Ramadhan akan mendapat kelebihan yang tinggi. Jadi, beriktikaflah walaupun sebentar.

Berdoa
Nabi Muhammad berkata, “Tiga jenis orang yang tidak ditolak doa mereka iaitu orang yang berpuasa sehingga ia berbuka, pemimpin yang adil dan orang yang dizalimi. Allah mengangkat doanya merentasi awan lalu dibuka pintu-pintu langit. Tuhan berkata kepadanya, “Demi keagunganku, aku pasti menolongmu walaupun selepas masa berlalu.” (direkodkan oleh Ahmad dan Tirmizi)

Berdoalah ketika sahur, selepas solat fardhu, sebelum berbuka puasa, semasa bekerja, belajar, dan jika ada hajat. Doa pada bulan Ramadhan dimakbulkan oleh Allah. Orang yang beriman tidak akan melepaskan peluang ini kerana mereka yakin dengan janji Allah. Jadi, perbanyakkanlah betrdoa kepada Allah.

Bersedekah
Bersedakah tidak menjadikan kita jatuh miskin malah dimurahkan rezeki oleh Allah. Ini adalah janji-Nya. Dengan bersedekah kita dapat membantu golongan yang memerlukan seperti fakir, miskin, anak-anak yatim, orang sakit, orang susah dan sebagainya. Sedekah boleh dilakukan dengan memberi makanan, pakaian, duit dan sebagainya. Ibnu Abbas melaporkan Nabi Muhammad paling pemurah dalam bulan Ramadhan terutamanya apabila sering dikunjungi oleh malaikat Jibril bagi bertadarus al-Quran.

Mudah-mudahan dengan tiga amalan ini dapat menampung kekurangan pada ibadah puasa yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan yang hampir ke penghujungnya.

Sekian, Wallahua’alam.

Isnin, 6 September 2010

Ketika Ramadhan Menghampiri Penghujungnya

Kisah dimulai dengan ramainya umat Islam mengerjakan umrah di Makkah al-Mukarramah. Kelihatan pada tahun ini ramai umat Islam yang berkemampuan mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan. Kebarangkalian inilah peluang untuk merebut fadhilat yang terdapat dalam bulan puasa. Selain menjalani ibadah puasa pada bulan ramadhan di samping itu mereka mengerjakan umrah di Makkah agar dapat memperbanyakkan amalan-amalan soleh.

Melakukan amalan yang soleh pada bulan ramadhan akan digandakan pahalanya, apatah lagi melakukan amalan yang soleh di Makkah sudah tentu lebih lagi. Mungkin ini cita-cita orang yang mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan. Wallauha’alam, ini sekadar pandanganku sahaja.

Subhanallah, kadangkala pernah terlintas dalam hatiku ini ingin melakukan perkara-perkara, iaitu sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w dalam kehidupan seharian. Namun, ku tidak berdaya dan mempunyai kekuatan untuk melakukan semua sunnahnya. Bagiku cukuplah apa yang kumampu lakukan. Jika aku boleh, alhamdulillah. Turut hatiku supaya menjadi tenang dan gembira semula.

Bila teringatkan umat Islam yang berada di Makkah sedang mengerjakan umrah, aku jadi teringat mereka yang sedang bertawaf mengelilingi ka’bah. Ya, mereka mengelilingi Ka’bah semasa melakukan tawaf sebanyak tujuh kali. Arahnya lawan jam sama seperti bumi yang berputar pada paksinya mengelilingi matahari. Subhanallah, indahnya peraturan dan penciptaan Allah ‘azzawajjala.

Jadi, ingatlah ketika jemaah umrah bertawaf mengelilingi ka’bah, ketika itu juga bulan mengelilingi bumi. Ketika bulan mengelilingi bumi, ketika itu juga bumi mengelilingi matahari. Ketika bumi dan planet-planet lain mengelilingi matahari, ketika itu juga matahari mengelilingi galaksi. Ketika matahari mengelilingi galaksi, ketika itu juga galaksi mengelilingi suatu yang lebih besar daripadanya. Sesetengah orang berpendapat itu ialah arasy, wallahua’lam.

Subhanallah, ketika ini masing-masing sedang bergerak menuju ke destinasi yang telah ditetapkan. Dengan pergerakan ini maka wujudlah pertukaran siang dan malam, pertukaran musim, pertukaran pasang dan surut air laut dan sebangainya. Semua yang terjadi ini menghasilkan pertukaran masa. Semua yang terjadi ini adalah daripada kekuasaan, kebijaksanaan dan keagungan Allah s.w.t. Wallahua’alam.

Kita juga pun bergerak dengan menggunakan kaki, motosikal, kereta, kapal layar dan kapal terbang. Inilah dinamakan nikmat bergerak. Allah telah memberikan nikmat bergerak kepada kita yang seharusnya kita bersyukur kepada-Nya. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah sebanyak-banyaknya. Apabila teringatkan hal ini hatiku menjadi sukar untuk membayang betapa sungguh banyak nikmat-Nya kepada semua makhluk-Nya. Ya Allah, sesungguhnya aku masih kurang mengingati dan bersukur pada-Mu. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku, kedua ibu bapaku, guru-guruku, sahabat-sahabatku, dan sekalian umat Islam yang hidup dan telah meninggal dunia.

Sekiranya kita serius menjadi hamba-Nya yang soleh sepanjang hayat ini maka kita akan sedar bahawa hari ini kita telah berada pada hari Isnin, 6 september 2010 bersamaan 27 Ramadhan 1431 hijrah. Allah, cepatnya masa. Ramadhan hendak sampai ke penghujungnya. 10 Ramadhan yang terakhir hendak sampai ke penghujungnya. Dalam 10 Ramadhan terakhir dijanjikan kepada orang yang berpuasa pelepasan daripada api neraka. Dalam 10 Ramadhan yang terakhir itu juga terdapat satu malam yang dinamakan lailatul Qadar. Satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Jika dihitung, kira-kira 83 tahun. Beribadah pada malam ini akan mendapat ganjaran yang besar dan banyak daripada Allah. oleh itu, marilah berlumba-lumba melakukan amal ibadah kepada Allah.

Namun kini, 10 Ramadhan yang terakhir semakin hampir kepada satu Syawal. Jika melihatkan keadaan masyarakat kita waktu beginilah mereka sibuk menyiapkan kelengkapan untuk menyambut hari raya seperti beli baju baru, buat atau beli kuih raya, beli parabot baru, cat rumah, balik kampung dan sebagainya. Waktu begini jugalah adalah masa keemasan atau peluang kepada peniaga-peniaga. Siang malam mereka akan bekerja keras untuk berniaga. Cari duit sebanyak-banyaknya. Dapatkan keuntungan yang berlipatkali ganda. Walaupun penat atau lelah itu tidak dihiraukan lagi yang penting selagi sihat dan masih bernafas bisnes tetap bisnes.

“Duit mesti dicari sebab masa raya ni la nak kena guna banyak duit. Nak beli tu la… nak beli ni la… nak bayar bil air api, sewa rumah, keta, topup, kad kredit… macam-macam lagi nak gunakan duit. Jadi, masa ni tak boleh la nak goyang kaki ke… nak rehat ke… tido ke…. Kena cepat, tak boleh lengah-lengah nanti rugi… rugi... dan rugi…. Kita mesti mau dapat banyak untung woo.” Ini antara dialog peniaga yang biasa kudengar.

Ini kisah orang yang bernasib baik, tapi jika orang yang ditimpa musibah seperti kebakaran, kecurian, kematian, banjir, gempa bumi, ribut taufan dan peperangan tentunya mereka sedang bersedih. Padaku, setiap yang berlaku sama ada baik atau buruk akan ku kembalikan atau ku serahkan kepada Allah. Jika gembira alhamdulillah, jika sedih innalillah. Jika gembira bersyukur, jika sedih bersabar.

Jadi, dalam kesempatan ini inginku memuhasabah diri bagaimana ibadah puasaku sepanjang bulan ramadhan. Adakah aku telah banyak kali mengkhatamkan al-Quran? Adakah aku cukup 5 waktu solat fardhu secara berjemaah? Adakah aku telah berusaha besungguh-sungguh untuk khusyuk ketika menunaikan solat? Adakah aku banyak mengingati Allah sepanjang seharian? Adakah aku menjaga pandangan, pendengaran, lidah, fikiran dan hatiku? Adakah aku melakukan qiamullail setiap malam? Adakah aku memperbanyakkan sedekah? Adakah aku telah melaksanakan kewajipanku sebagai seorang anak kepada kedua ibu bapaku dalam mentaati mereka? Adakah aku telah mengikhlaskan niatku untuk melakukan amalan soleh, kebajikan dan yang dituntut oleh agama?

Aku mengharapkan agar moga-moga ibadah puasa pada tahun ini lebih baik daripada tahun lepas. Moga-moga amalan baik ini diterima oleh Allah. Moga-moga keyakinanku kepada Allah adalah tetap, utuh dan teguh. Kita tidak tahu sama ada kita akan bertemu kembali dengan bulan Ramadhan pada tahun hadapan. Jadi, saki-baki hari-hari terakhir bulan ramadhan ini disempurnakan dengan menjalani ibadah puasa yang terbaik sehingga mencapai tahap taqwa. Amin amin ya Rabbal ‘alamin.

 Ramadhan yang kian meninggalkan kita
Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!