Halaman

Isnin, 31 Oktober 2011

10 Langkah Mewujudkan Keyakinan Diri

Kadang kala, kita sebagai manusia selalu merasa kurang yakin dengan diri kita. Apatah lagi bila berhadapan dengan kelompok manusia yang kita rasakan masih terlalu asing bagi kita. Biasanya, kita akan cuba mengelak dengan mengatakan kita tidak mampu melaksanakan sesuatu kerja tersebut. Justeru itu, di sini saya berikan beberapa tips dan petua untuk kita meningkatkan keyakinan diri.

1. Anggaplah diri anda diciptakan Allah sama seperti orang lain. Orang lain boleh buat, kenapa anda tidak boleh buat?

2. Apa-apa kekurangan / kelemahan yang ada pada diri anda, anda baikinya.

3. Jangan takut-takut atau teragak-agak untuk melakukan sesuatu yang positif.

4. Elakkan perasaan malu yang tidak bertempat.

5. Lakukan riadah yang ringan sebelum melakukan sesuatu pekerjaan. Riadah ini sebagai 'warm up' dan dapat mengaktifkan diri seseorang.

6. Kemaskan diri dan anggaplah diri adalah yang terbaik pada hari itu.

7. Apabila berinteraksi, pandang tepat pada muka dan mata orang yang kita sedang berinteraksi dan gunakan sedikit pergerakan tangan untuk menerangkan sesuatu. Jangan terlalu kaku.

8. Apabila memulakan sesuatu tugas, jangan memikirkan masalah. Tetapi fikirkan hasil yang akan diperoleh selepas tugas tersebut dilaksanakan.

9. Sentiasa peka akan waktu. Jangan berlengah-lengah atau bertangguh dalam melaksanakan sesuatu tugas.

10. Berdoa kepada Allah supaya dipermudahkan setiap urusan seharian kita.

Insya-Allah anda akan dapat menilai betapa berharganya diri anda.

Sesungguhnya anda ialah insan yang mulia dan cemerlang.

Insan yang mulia dan cemerlang mempunyai potensi dan setiap potensi harus diusahakan untuk mendapatkan hasilnya!

- Artikel iluvislam.com

Selasa, 25 Oktober 2011

Ilmu Letaknya Di Dalam Dada

Sewaktu saya belajar dulu, setiapkali tiba musim peperiksaan kelihatan pelajar-pelajar sibuk membaca buku di luar dewan peperiksaan sebelum masa menjawab kertas soalan bermula. Kadang-kadang saya terfikir bahawa seolah-olah mereka memerlukan masa yang banyak lagi untuk ulang kaji pelajaran. Sebelum-sebelum ni bagaimana? Tak cukup lagikah ulang kaji?

Kadang-kadang saya terkfikir alangkah baiknya jika budaya ini berlaku bukan sahaja pada hari-hari peperiksaan malah pada hari-hari biasa atau hari ada kuliah.

Peribahasa Arab ada menyatakan:

الْعِلْمُ فِي الصُّدُورِ لا فِي السُّطُورِ


Ilmu itu sebenarnya terletak di dalam dada bukannya terletak di dalam buku.

Apabila ilmu letaknya di dalam dada maka ke mana-mana saja kita pergi kita akan membawa ilmu bersama-sama. Pergi ke sekolah, ke pasar, ke hospital, ke masjid, ke rumah, ke kampung, ke bandar, ke, bukit, ke gunung, ke sungai, ke laut dan ke mana-mana saja kita bersama dengan ilmu.

Ilmu sangat penting kepada kita. Ilmu adalah penyelamat, pembantu, pembimbing, penunjuk jalan dan pembeza yang baik dan buruk. Apabila berdepan dengan sesuatu perkara atau masalah maka pada masa itu ilmu sangat berguna dan bermanfaat kepada kita. Oleh sebab itu ilmu mesti ada dalam hati supaya dapat membantu kita pada masa-masa yang diperlukan. Oleh Hal yang demikian tidak timbul perasaan susah hati, resah-gelisah dan tergesa-gesa sehingga perlu membelek kitab. 

الْعِلْمُ فِي الصُّدُورِ لا فِي السُّطُورِ
Ilmu itu sebenarnya terletak di dalam dada bukannya terletak di dalam buku.

Bagaimana untuk membolehkan ilmu tersimpan baik dalam hati?

Daripada pembacaan saya, ketika menuntut ilmu kita mesti beri perhatian atau tumpuan atau fokus. Pada ketika itu hati yang tenang mudah menerima ilmu masuk ke dalam hati. Fikiran dan hati mesti berada di dalam kelas bukan berkhayal, termenung dan tidur. Mata melihat dan telinga mendengar guru yang mengajar. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hati supaya ilmu dapat disimpan dalam hati dengan baik.

Hati yang tenang dan terhindar daripada gangguan maka menyebabkan hati bersedia untuk menerima dan menyimpan ilmu dengan baik. Barulah tidak menghidap penyakit lupa dan tidak ingat.

Jadi, keadaan diri mesti bersedia untuk belajar. Jagalah hati daripada gangguan. Fokus, peka dan cakna pada pelajaran dan pengajian. Ingat, ilmu letaknya di dalam hati.

Bawa Resmi Padi, Semakin Berisi Semakin Tunduk

Makna peribahasa ini ialah semakin banyak ilmu atau semakin tinggi pangkat, semakin merendah diri. Peribahasa ini termasuk dalam golongan bidalan. Temanya ialah sikap, perangai dan perbuatan seseorang.

Fokus pada peribahasa ini ialah “resmi padi”. Resmi berkait dengan sifat semula jadi, sifat khas bagi benda, adat, perangai dan tabiat. Padi pula adalah antara termasuk kumpulan tumbuh-tumbuhan yang ada di muka bumi. Padi diusahakan oleh petani dua kali setahun. Padi ditanam di kawasan tanah pamah. Penanaman padi boleh dikatakan agak sukar kerana perlukan panas dan lembap sepanjang tahun yang seimbang.

Daripada padi maka adanya beras. Beras menghasilkan nasi. Masyarakat di nusantara menjadikan nasi sebagai makanan asasi mereka lagi pula nasi mengandungi karbohidrat. Berbalik kepada resmi padi, isi padi ialah beras. Apabila padi sudah menguning maka menandakan padi telah masak dan boleh ditua. Pada mas itu, secara realitinya padi yang berisi lebih-lebih lagi jika banyak akan menjadi tunduk. Hal ini kerana isi yang banyak itu mempunyai berat maka padi tidak dapa berdiri dengan tegak. Ini adalah sifat semula jadi yang berlaku kepada padi.

Walaupun isi padi banyak namun padi hanya kelihatan tunduk. Oleh itu, kaitannya ialah seseorang yang boleh memberi manfaat kepada orang lain atau seseorang yang sangat diperlukan oleh masyarakat tidak menggunakan kesempatan yang ada untuk kepentingan dirinya, berlagak, sombong dan meninggi diri. Bahkan dia tidak mementingkan dirinya sendiri dan dia sanggup hidup susah agar orang disekelilingnya menikmati kesenangan terlebih dahulu.

Sebagai kesimpulan saya ingin mengajak diri saya sendiri dan anda semua agar menjadi seperti resmi padi. Tidak merugi dan merendahkan darjat diri kita sedikit pun. Secara praktikalnya inilah sikap yang sepatutnya diamalkan oleh insan yang bergelar penuntut ilmu. 

P/s: Dalam banyak-banyak peribahasa Melayu, peribahasa 'Bawa Resmi Padi, Semakin Berisi Semakin Tunduk' adalah antara peribahsa yang paling saya suka.

Anda Semakin Matang Bila...

Anda dapat bertenang dan bersabar seandainya hajat anda tidak tercapai.

Anda mampu menyembunyikan perasaan anda yang luka dan tersinggung oleh seseorang dalam kumpulan dan berlaku sebagai biasa.

Anda tidak merasa iri hati bila melihat orang lain dipuji dan disanjung.

Anda dapat menghadapi kebencian orang yang anda benar-benar merasa tidak sewajar dengan mereka.

Anda mampu menguasai nafsu gelojoh walaupun anda ingin mendapat perkara yang anda fikir boleh dapat.

Anda dapat menahan rasa sakit hati dan malu seandainya anda tidak dapat hidup setaraf dengan rakan sejawat anda yang lain.

Anda terus berlaku adil dan saksama walaupun suasana sekeliling menghalang maksud anda.

Anda dapat menerima kritik atau salah faham orang tanpa memperbesar-besarkannya.

Anda memandang jauh kedepan, umpamanya dengan sabar menangung kesusahan demi kepentingan masa depan, tanpa merasa resah, bimbang dan ragu.

Anda memberi persetujuan kepada pendapat-pendapat yang anda tidak setujui dalam perdebatan tanpa merasa sakit hati atau tidak senang.

Anda berbahagia bersendirian dengan mempunyai satu kegemaran atau hobi yang benar-benar anda minati.

Anda mengaku dengan jujur tidak tahu bila anda betul-betul tidak tahu, tanpa merasa malu.

Anda menghadapi orang-orang tua atau orang-orang yang lebih berpengaruh tanpa sentiasa berusaha untuk menimbulkan kesan-kesan negatif.

Anda akan cuba melakukan sesuatu dengan sederhana bukannya berlebih-lebihan untuk menunjukkan bahawa anda dapat melakukannya dengan lebih sempurna.

Anda dapat mendahulukan kepentingan orang lain walaupun anda tidak merasa senang kerananya.

Anda boleh berlaku wajar dan saksama terhadap orang-orang yang tidak anda sukai.

Anda dapat mengujudkan rasa kasih-sayang, cinta atau boleh bersahabat tanpa mendapat tempat yang utama dalam hidup mereka.

Sekiranya anda lelaki, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan wanita tanpa berfikir bahawa anda adalah lelaki yang jadi idaman setiap wanita.

Sekiranya anda wanita, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan orang lelaki secara jujur.

- Artikel iluvislam.com

Sumber: http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/1045-anda-semakin-matang-bila.html

Sabtu, 22 Oktober 2011

Tujuan Belajar

Belajar sebab nak beramal atau belajar sebab nak periksa.

Belajar mesti sebab nak beramal. Dengan belajar baru tahu cara nak beramal dengan betul dan sempurna. Kalau tak belajar bagaimana nak beramal dengan betul dan sempurna.

Beramal tanpa ilmu boleh menyebabkan amalan itu rosak, tidak sah dan diterima oleh Allah. Sebabnya ada kesalahan ketika beramal. Sebab itu kalau nak beramal mesti dengan ilmu, mesti belajar.

Kalau belajar tapi tak beramal dengannya pun tak boleh sebab ilmu yang tidak diamalkan akan hilang dan lupa. Bila tak beramal dengan ilmu yang dipelajari maka ilmu itu tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Hal ini menyebabkan pemilik ilmu itu dalam kerugian.

Bak kata peribahasa arab:

الْعِلْمُ بِلا عَمَلٍ كَالشَّجَرَ بِلا ثَمَرٍ
Ilmu yang tidak diamalkan ibarat pohon yang tidak berbuah.

Adapun peperiksaan, dalam buku Belajar dengan cekap dan berkesan yang ditulis oleh Prof. Dr. Khalid Mohamed Nor menyatakan peperiksaan atau ujian bertujuan untuk mengukur pengetahuan dan kemahiran penggunaan sesuatu subjek.

Pada pandangan saya peperiksaan adalah untuk menunjukkan prestasi sama ada meningkat atau menurun. Kalau pelajar itu bersungguh-sungguh ketika belajar, rajin belajar, memberi tumpuan ketika guru mengajar dan mengulangkaji pelajaran pasti pelajar itu akan berjaya. Pasti pelajar itu mendapat keputusan peperiksaan yang baik dan cemerlang.

Keputusan peperiksaan yang ditunjukkan kepada ibu bapa menjadikan mereka mengetahui tentang keadaan anak-anak mereka ketika di sekolah. Ibu bapa dapat membuat kesimpulan daripada keputusan peperiksaan yang diperoleh oleh anak-anak mereka tentang kesungguhan dalam menuntut ilmu atau leka dan lalai sehingga mengabaikan pelajaran seperti banyak bermain di sekolah dan di rumah.

Oleh hal yang demikian, belajar pun mesti ada peperiksaaan untuk dijadikan sebagai penilaian prestasi dan sikap pelajar terhadap pelajaran. Walau bagaimanapun, pelajar tidak boleh menjadikan peperiksaan sebagai matlamat utama ketika belajar kerana untuk menggelakkan daripada akan mengambil sikap belajar sebab nak dapatkan sijil, kerja yang bergaji tinggi dan jawatan tinggi semata-mata.

Selain itu, jika terlalu memberatkan belajar sebab nak periksa maka perkara yang sering terjadi ialah pelajar kuat membaca dan menghafal pelajaran ketika hendak menghadapi peperiksaan sahaja. Selepas peperiksaan tamat, ilmu pelajaran yang dibaca dan dihafal dilupakan oleh pelajar. Budaya ini terjadi kerana hendak lulus peperiksaan atau mendapat keputusan yang paling cemerlang antara rakan-rakan mereka. Oleh hal demikian, secara realitinya budaya menuntut ilmu seperti pembacaan yang luas, hafalan yang banyak dan kajian yang mendalam tidak wujud dalam kalangan pelajar. Oleh sebab itu, pelajar tidak boleh bersikap belajar sebab nak periksa.

Walau bagaimanapun, sebab peperiksaan termasuk antara perkara yang penting ketika belajar adalah supaya pelajar tidak belajar dengan sambil lewa. Manakala ilmu dan amal bergerak seiring supaya pelajar menjadi seorang yang bertanggungjawab terhadap ilmu yang dipelajarinya kerana merasakan itu adalah termasuk dalam suatu tuntutan atau kewajipan bagi insan yang bergelar pelajar. 

عَنْ أَمِيْرِ المُؤْمِنِيْنَ أبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلىَ اللهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ. (رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ و مُسْلِمُ)
Maksudnya: Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu. (HR Bukhari dan Muslim).

Sekian, Wallahu’alam.

Khamis, 13 Oktober 2011

Fuh, lega!

Rasa lega dan senang hati apabila kerja atau tugasan telah siap. Apabila sesuatu tugasan telah siap diselesaikan pasti kita akan menyatakan siap juga kerja ini. Alhamdulillah, kerja sudah siap.

Tugasan yang mesti disiapkan tidak boleh ditangguhkan kerana untuk mengelakkan daripada mendapat bebanan tugasan yang banyak dan berganda. Hal ini akan menyebabkan berasa tidak mampu untuk menyiapkannya dengan baik. Selepas itu, akan berlaku kesan-kesan buruk seperti mutu kerja tidak berkualiti, prestasi kerja menurun dan lambat menghantar tugasan pada tempohnya.

Sikap suka menngguh-nangguhkan kerja mesti dielakkan. Jangan diamalkan. Dilarang berbuat demikian. Jika selalu bersikap demikian lama-kelamaan akan menjadi tabiat yang melekat pada diri. Setelah menjadi tabiat maka susah pula hendak berubah.

Oleh hal yang demikian, sebelum menjadi tabiat maka cepat-cepatlah berubah. Lakukanlah perubahan dengan segera sebelum sikap suka menangguh-nangguhkan kerja mendarah daging dalam diri serta menjadi amalan.

Membuat alasan kerana ingin menangguhkan kerja seperti menyatakan bahawa ada banyak masa lagi, boleh buat waktu lain, boleh buat lain kali, saya buat nantilah, sekejap lagi saya akan buat dan sebagainya adalah mainan di bibir. Lebih kepada bercakap sahaja padahal usaha-usaha untuk menyiapkan tugasan masih tidak dilaksanakan juga. Contoh kata-kata tadi seperti sedang berjanji tetapi sebenarnya berbohong.

Sebaik-baiknya siapkan tugasan ketika masa lapang sebelum datangnya masa sibuk. Jangan berasa menyesal jika sedang dalam keadaan sibuk. Silap siapa jika ini berlaku. Jangan salahkan orang lain. Seharusnya sejak dari awal lagi telah sedar tentang kepentingan mengurus masa dengan baik dan bijak.

Biar susah sekarang senang kemudian. Biar sibuk sekarang lapang kemudian. Tujuannya supaya pada hari kemudian kita akan berasa ceria, gembira, bahagia dan tenang.

Berakit-berakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Akhir kata, setelah berhasil menyiapkan kerja maka katakanlah: Fuh, lega! Kerja sudah siap! Alhamdulillah.
Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!