Halaman

Ahad, 13 Julai 2014

Cara Menghayati Ramadhan

Ibadah puasa adalah antara perkara yang terdapat rukun Islam, difardhukan ke atas oarang-orang yang beriman sebagaimana firman Allah s.w.t.:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan perpuasa sebagaiman diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (al-Baqarah: 183)

Untuk mendapatkan ketaqwaan, maka ibadah puasa pada bulan Ramadhan ini hendaklah dilaksanakan dengan penuh penghayatan. Antara cara hendak menghayatinya adalah seperti berikut:

Menginfaqkan harta pada Jalan Allah atau banyakkan bersedekah.

Banyakkan membaca al-Quran atau bertadarus Al-Quran.

Melakukan solat sunat tarawih. Solat sunat ini hanya ada pada bulan Ramadhan sahaja, tiada pada bulan-bulan lain.

Melakukan Iktikaf di masjid.

Melakukan Qiamullail.

Mudah-mudahan dengan mengamalkan cara ini kita beroleh ketaqwaan.

Khamis, 10 Julai 2014

Ramadhan: Inginkan Yang Terbaik?

Tahukah anda tentang pahala bagi orang yang berpuasa? 

Pahala puasa ini terlalu istimewa tidak seperti pahala bagi ibadah-ibadah lain seperti solat, zakat dan haji. Pahala puasa ini ada diterangkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.. 

Dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: 

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِى وَأَنَا أَجْزِى بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِى لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ. وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ. (رواه البخاري ومسلم)

Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali ganda. Allah Ta’ala berfirman (yang ertinya), kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh hal yang demikian, janganlah kita melakukan perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa yang berkait dengan percakapan, penglihatan, pendengaran dan perbuatan seperti:

1. Puasa sekadar menahan perut dan kemaluan dari keinginannya, iaitu hanya menahan lapar, dahaga dan jimak sahaja.

2. Bercakap bohong atau berdusta .

3. Bercakap tentang keburukan orang lain atau mengumpat.

4. Membuang masa dengan perkara yang sia-sia.

5. Memberi kesaksian palsu ketika berpuasa iaitu apabila kita diminta untuk menjadi saksi.

6. Bercakap hal-hal yang kotor atau keji atau lucah yang menaikkan syahwat.

7. Berbicara kasar atau mencarut.

8. Bertengkar atau berdebat.

9. Melihat dan mendengar perkara yang haram.

10. Melihat wanita yang dapat menimbulkan syahwat.

11. Mencium seseorang yang bukan mahramnya.

12. Hasut atau dengki kepada orang lain.

13. Pergi ke tempat-tempat yang haram.

14. Membazir dalam berbelanja.

15. Melakukan maksiat.

Sebagai muhasabah kepada diri saya dan anda semua, sekiranya pernah melakukan maksiat atau perkara-perkara yang membawa kepada dosa sama ada dosa besar atau dosa kecil maka seharusnya cepat-cepatlah insaf dan bertaubat serta perbanyakkan istighfar.

Sekiranya tidak menghindari diri daripada perbuatan tersebut dikhuatiri puasa kita hanya dapat lapar dan dahaga sahaja.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya. (Riwayat Bukhari)

Dan dalam riwayat Imam An-Nasai juga daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu Rasulullah SAW bersabda: Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tidak memperolehi daripada puasanya itu selain daripada lapar dan dahaga.

Jadi, untuk menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa maka lakukanlah perkara-perkara yang boleh menambahkan keimanan dan pahala seperti membaca al-Quran, bersedekah, solat berjemaah di masjid, beriktikaf, solat terawih, melakukan solat-solat sunat, menghadiri majlis-majlis ilmu, qiamullail dan sebagainya. Lakukanlah hal yang demikian sepanjang bulan Ramadhan mudah-mudahan Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik daripada tahun-tahun sebelum ini.

Sebagai penutup kalam marilah kita sama-sama menghayati hadis ini.

Rasulullah Salallahu alaihi wa sallam bersabda:  Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan berharap pahala Allah, maka diampuni dosa-dosanya di masa lalu. (Hadits Riwayat Imam Bukhori dan Imam Muslim)

Di Dalam Bulan Ramadhan Ini

Assalamua’laikum. Apa khabar semua? Saya harap anda semua sihat-sihat hendaknya. Saya di sini sihat sahaja.  

Alhamdulillah, barulah kali ini saya mempunyai kesempatan untuk menulis dan post artikel setelah hampir setahun menyepi.

Alhamdulillah, sekarang kita berada di bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan, rahmat, keampunan dan kesempatan bagi seorang mukmin untuk terbebas dari api neraka. Dalam bulan inilah peluang untuk meningkatkan keimanan dan menggandakan pahala supaya diampukan dosa-dosa yang lalu seperti dalam hadis ini:

“Orang yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala, akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Banyak kelebihan di bulan Ramadhan yang mulia ini seperti doa yang dimakbul, turunnya al-Quran, ada lailatul qadar, ada solat terawih dan lain-lain.

Alhamdulillah, tahun ini saya berpeluang untuk berpuasa di tanah air. Balik bercuti. Sesungguhnya, berpuasa di perantauan dan di negara sendiri ada perbezaannya. Yang ni saya akan ceritakan pada waktu yang lain, insya-Allah.

Ketika balik bercuti inilah masanya dapat bersama dengan keluarga. Juga dapat berjumpa dengan kawan-kawan lama. Alhamdulillah. Kalau di perantauan hanya bersama dengan kawan-kawan sepengajian dan seperjuangan. Tidak sama suasana dan keadaannya. 

Apa-apa pun sepanjang di bulan Ramadhan ini marilah kita perbanyakkan amal ibadah dan buat yang terbaik untuk mendapatkan mardhatillah, keampunyan-Nya, pahala yang berlipat ganda dan syurga-Nya. Amin.
Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!