Halaman

Isnin, 7 September 2015

Ada Apa Dengan Ilmu?

Ilmu yang dimaksudkan di sini ialah ilmu agama. Ini yang terutama. Kemudian ilmu-ilmu dunia yang lain seperti sains, sejarah dan pengetahuan am yang berkait dengan dunia dan keadaan semasa. Ilmu dikuasai supaya tidak ketinggalan.

Ilmu itu menjadikan seseorang alim, pandai, bijak, cerdik, cerdas, geliga, maju, hebat, bagus, berfikiran terbuka, kreatif, ada idea baru dan bernas, ada pandangan sendiri, tidak taklid buta, tidak jumud, tidak mundur, pencetus perubahan dan sebagainya.

Menuntut ilmu itu juga adalah antara cara untuk mendekatkan diri kepada Allah, mengingati-Nya, mengingati kematian, akhirat, syurga dan neraka, tahu dosa pahala dan halal haram, mendapat keredhaan-Nya, ditinggikan darjat oleh-Nya, semakin takut, taat, malu dan bersyukur kepada-Nya, mendapat kemuliaan, mendapat pahala, dan mendapat syurga-Nya.

Wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah saw berkait dengan ilmu. Dalam wahyu yang pertama itu juga menyebut Allah mengajarkan ilmu kepada manusia. Ini bermakna semua jenis ilmu datangnya daripada Allah s.w.t.  

Ini dapat dibuktikan dalam firman Allah s.w.t:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (١) خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ (٢) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ (٣) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (٤) عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (٥)

1. Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),
2. Dia menciptakan manusia dari segumpa darah;
3. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,
4. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan,
5. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
(surah al-‘Alaq: ayat 1-5)

Ayat “Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya;” ayat itu bermaksud Allah yang mengajarkan ilmu kepada manusia. Manusia pada asalnya memang tiada ilmu. Semua jenis ilmu yang ada di atas muka bumi ni macam ilmu agama, sains, matematik, fizik, kimia, biologi, ilmu perubatan, geografi, ekonomi, dan bermacam-macam jenis ilmu lagi semuanya datang daripada Allah.

Jadi, Allah yang mengajarkan ilmu kepada manusia. Bagaimana Allah mengajarkan ilmu kepada manusia? Allah mengajarkan ilmu kepada manusia dengan mengutuskan Rasul kepada manusia.

Apakah maksud Rasul? Rasul ialah seorang lelaki pilihan Allah yang merdeka yang diberikan wahyu untuk dirinya dan disampaikan kepada orang lain.

Disampaikan kepada orang lain itu menjadi kewajipan bagi rasul dan ini termasuk sifat wajib bagi rasul, iaitu at-Tabligh selain As-Siddiq, al-Amanah, dan al-Fatonah.

Manakala sifat mustahil bagi rasul pula adalah Al-kazbu, al-khianat, al-Kitman dan al-Baladah.

Oleh hal yang demikian, Allah mengutuskan para rasul untuk menyampaikan ilmu yang bersumberkan dengan wahyu-wahyu-Nya kepada manusia. Sebab itu tidak dapat dinafikan lagi ilmu sangat berkait rapat dengan Islam apabila wahyu pertama yang diturunkan kepada nabi yang terakhir.

Peristiwa ini berlaku ketika Rasulullah beruzlah, iaitu bersendirian di gua hira’, baginda didatangi Malaikat Jibril lalu menyuruhnya iqra’ bacalah! tetapi Rasulullah kata ma ana biqari’ - tidak tahu aku membaca. Ma ana biqari ni ada maksud, satu maksud tidak tahu saya membaca, satu lagi apa yang kena saya baca, saya nak baca apa.

Bayangkan nabi seorang yang buta huruf, macam mana nak baca?

Kemudian Malaikat jibril menarik Rasulullah dan memeluknya dengan kuat kemudian melepaskannya. Peristiwa baginda disuruh membaca lalu dijawab tidak tahu membaca kemudian ditarik dan dipeluk oleh malaikat Jibril berulang sebanyak tiga kali sehingga Malaikat Jibril membacakan ayat-ayat daripada surah al-‘Alaq, ayat 1 hingga 5.

Ayat yang berkait dengan iqra’ memang bertepatan dengan keadaan masyarakat arab makkah pada masa itu. Mereka hidup dalam kejahilan. Mereka jahil dalam bab-bab agama. Mereka juga ramai yang tergolong dalam kalangan yang buta huruf. Oleh itu, setelah nabi Muhammad s.a.w diangkat menjadi Rasul maka baginda pun mengajarkan agama kepada mereka supaya mereka keluar daripada kejahilan. Tidak menyembah berhala, minum arak, berjudi, berzina, bertenung nasib, membunuh anak perempuan dan mengamalkan ilmu sihir.

Ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya menuntut ilmu. Sehubungan dengan itu, tujuan kita menuntut ilmu kerana hendak mengeluarkan diri kita daripada kejahilan dan seterusnya menyampaikan ilmu kepada masyarkat supaya mereka juga dapat keluar daripada kejahilan. Oleh itu, tuntutlah ilmu sebanyak-banyaknya tanpa jemu-jemu.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!