Assalamualaikum. Apa khabar semua? Saya harap semua sihat wal-afiat
hendaknya. Bertemu kembali kita pada kali. Semoga ceria, gembira dan bahagia
selalu. Semoga dihindarkan daripada penyakit lupa.
Manusia ada satu penyakit, iaitu penyakit lupa. Jadi, manusia tidak
terlepas daripada sifat lupa. Apabila lupa manusia akan buat silap dan salah.
Mungkin kesilapan kecil atau besar. Apabila ingat baru terfikir sepatutnya buat
begini bukan begitu dan begitulah seterusnya.
Beginilah keadaan sifat lupa yang dialami oleh manusia. Semua orang
tidak terlepas daripada penyakit ini. Sama ada dia seorang raja, perdana
menteri, polis, tentera, bomba, cikgu, ulama, ustaz, petani, doktor, pak imam,
pak bilal, tok siak, penceramah motivasi dan sebagainya pasti akan lupa. lupa
yang terjadi itu mungkin sekali-sekala atau boleh juga berlaku banyak kali.
Semua itu mungkin bergantung atas individu mengikut kadar atau tahap keupayaan
otak masing-masing.
Sebab itu kadang-kadang semasa kita solat berjemaah di belakang imam.
Ada ketikanya imam terlupa atau tersilap bacaan selepas surah al-fatihah,
terkurang atau terlebih rakaat, tertinggal rukun solat dan sebagainya.
Kadang-kadang begitu juga dengan kita sekiranya solat bersendirian. Namun,
kalau solat berjemaah makmum boleh menegur imam seperti membetulkan bacaan,
menyebut subhanallah dan imam buat sujud sahwi diikuti makmum. Manakala solat
sendirian sekiranya lupa rakaat atau tertinggal rukun kita disunatkan buat sujud sahwi. Wallahu’alam.
Kisah begini samalah juga terjadi kepada orang yang menghafal al-Quran
dan penuntut ilmu. Seringkali mengalami sifat lupa. Belajar dan hafal hari ini,
esok lusa lupa. Jadi, kena sentiasa mengulang baru ingat. Kalau lama sangat
tidak mengulang maka hafalan tersebut akan hilang atau susah untuk diingati.
Dalam Kitab Riadhus Sholihin yang ditulis oleh Imam Nawawi dalam tajuk
“Perintah Berta'ahud Kepada Al-Quran, Memelihara Dan Membacanya Secara Tetap
Dan Menakut-nakuti Berpaling Daripadanya Kerana Kelupaan” ada menyebut daripada
hadis Rasulullah s.a.w.:
عن
أبي موسى رضي الله عنه ، عن النبي (ص) قال: تعاهدوا هٰذَا القُرْآنَ فَوَالَّذِي
نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَهُوَ أَشَدُّ تَفَلُّتاً مَنَ الإِبِلِ فِي
عُقُلِهَا. (متفق عليه)
Maksudnya: Dari Abu Musa r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:
Berta'ahudlah kepada al-Quran yakni peliharalah untuk selalu membaca al-Quran
itu secara tetap waktunya, sebab demi Zat yang jiwa Muhammad ada di dalam
genggaman kekuasaan-Nya, nescayalah al-Quran itu lebih sangat mudah terlepasnya
daripada seekor unta yang ada di dalam ikatan talinya. (Muttafaqun 'alaih)
عن
ابن عمر رضي الله عنهما، أن رسول الله (ص) قال: إِنَّمَا مَثَلُ صَاحِبِ
الْقُرْآنِ كَمَثَلِ الإِبِلِ المُعَقَّلَةِ، إِنْ عَاهَدَ عَلَيْهَا أَمْسَكَهَا،
وَإِنْ أَطْلَقَهَا، ذَهَبَتْ. (متفق عليه)
Maksudnya: Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma bahawasanya Rasulullah
s.a.w. bersabda: Hanyasanya perumpamaan orang yang menghafal al-Quran di luar
kepala adalah sebagaimana perumpamaan seekor unta yang diikat. Jikalau ia terus
langsung mengikatnya, dapatlah ia menahannya
tidak sampai lepas dan lari dan jikalau ia melepaskannya, maka itupun
pergilah. (Muttafaqun 'alaih)
Pengajaran dan iktibar yang boleh boleh diambil daripada dua hadis ini
ialah orang yang menghafal al-quran mesti bersungguh-sungguh memelihara hafalan
al-Quran supaya tidak lupa. Mereka juga mestilah sentiasa membaca al-quran
serta mengulangi hafalan al-quran. Adapun semasa menghafal sesuatu hafalan
mereka mesti menghafal banyak kali. Sekiranya lupa hafal lagi. Kaedah ini boleh
juga digunakan untuk penuntut ilmu di bidang lain.
Apabila sebut tentang lupa, maka teringat saya tentang pengalaman
ketika menjawab soalan peperiksaan. Hari sebelum menjawab kertas soalan
peperiksaan, bukan main bersusah-payah menghafal nota atau kitab. Namun
demikian, ketika hendak menjawab soalan tiba-tiba lupa jawapannya. Puas
mengingat dan berselawat namun tidak ingat-ingat juga. Akhirnya, jawab mengikut
kefahaman sendiri.
Sesekali terfikir juga sebab berlakunya hal demikian. Pada saya
mungkin disebabkan sikap terburu-buru ingin cepat siap dan hantar. Tidak mahu
duduk lama-lama di dewan peperiksaan. Selepas menghantar kertas jawapan lalu
keluar dari dewan peperiksaan kemudian belek semula kitab didapati jawapan yang
dijawab itu tidak betul dan tepat. Perasaan pun menjadi hampa. Sabar sajalah.
Berlakunya lupa juga mungkin disebabkan kurang membaca dan mengulang
kaji. Tidak memanfaatkan masa yang lama untuk mengulang kaji. Mungkin ulang
kaji last minute atau saat-saat akhir. Inilah keburukannya apabila kurang
persediaan.
Sebenarnya banyak cara untuk menguatkan ingatan. Menurut Sheikh
Muhammad Saleh Al-Munajjid, seorang ulama, pensyarah dan penulis daripada Arab
Saudi petua menguatkan ingatan adalah seperti:
1. Jauhi daripada dosa.
Dosa membawa kesan yang buruk kepada ingatan/memori dan kemampuan
untuk mengingati ilmu. Kehitaman dosa tidak dapat wujud sekali dengan kecerahan
ilmu. Perkataan berikut diambil daripada Imam Syafie:
Maksudnya: Saya mengadu kepada guru saya, Wakee' mengenai masalah ingatan saya. Dia memberitahu agar menjauhi daripada dosa dan maksiat. Dia berkata: Ilmu Allah adalah cahaya, dan cahaya tidak diberikan Allah kepada pendosa.
شَكَوتُ
إِلَى وَكِيعٍ سُوءَ حِفْظِ فَأَرْشَدَنِي
إِلَى تَرْكِ الْمَعَاصِي
فَاعْلَمْ
أَنَّ الْعِلْمَ نُورٌ وَنُورُ اللهِ لاَ يُهْدَى لِعَاصِي
Maksudnya: Saya mengadu kepada guru saya, Wakee' mengenai masalah ingatan saya. Dia memberitahu agar menjauhi daripada dosa dan maksiat. Dia berkata: Ilmu Allah adalah cahaya, dan cahaya tidak diberikan Allah kepada pendosa.
Al-Khateeb menulis dalam Al-Jamie yang Yahya Ibn Yahya berkata, “
Seorang lelaki bertanya kepada Malik bin Anas; Wahai Abu Abdullah, apakah yang
dapat memperbaiki ingatan saya?. Malik
berkata: Ada yang dapat memperbaikinya, maka ia adalah menjauhkan diri daripada
dosa".
Apabila seseorang membuat satu dosa, ia akan menenggelamkan pelakunya
dalam perasaan bimbang dan bersalah, dan ini akan membuatnya sentiasa sibuk
memikirkan akan perbuatannya itu. Ini akan menariknya daripada banyak
perkara-perkara berfaedah, termasuk mencari ilmu dan pengetahuan.
2. Selalulah mengingati Allah dengan berzikir dan membaca Al-Quran.
Firman Allah s.w.t.:
وَاذْكُرْ
رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ (٢٤)
Maksudnya: Dan ingatilah Tuhanmu (Allah) ketika kamu terlupa. (Al-Kahf: 24)
3. Tidak makan terlalu banyak
Kerana makan terlalu banyak akan membuatkan seseorang mengantuk dan
malas selain menambahkan penyakit. Kebanyakan daripada penyakit datang daripada
makanan dan minuman.
4. Makan kismis dan madu
Sesetengah ulama menyebut beberapa jenis makanan yang dapat
menambahkan ingatan seperti madu lebah dan kismis. Imam Az-Zuhri menyebut,
"Kamu patut mengambil madu sebab ia baik untuk memori. Barangsiapa ingin
menghafal hadith, ia patut memakan kismis".
Ada juga yang menyebut, mengambil banyak makanan yang berasid adalah
penyebab kepada kemalasan dan lemah ingatan.
Selain itu, ada lagi cara untuk menguatkan ingatan menurut kajian
pakar sains, kesihatan dan motivasi. Namun demikian, terlebih dahulu saya ingin
meminta maaf tentang sumber artikel yang saya ambil ini. Saya sudah lupa dan bahan
artikel itu telah lama diambil di internet. Ini pun kira penyakit lupa juga.
Mungkin anda juga boleh cari sendiri di internet untuk mengetahui maklumat
tentang cara menguatkan ingatan serta dari sumber yang terbaru.
Baiklah, kita sambung kembali supaya tidak lupa. Secara ringkasnya,
cara menguatkan ingatan menurut kajian tersebut adalah seperti:
1. Membaca
Al-Quran
2. Banyakkan
membaca
3. Belajar
sesuatu yang baru
4. Fokus
5. Menyebut
sesuatu maklumat dengan kuat dan berulang kali
6. Mengawal
tekanan
7. Elakkan
kemurungan
8. Bersenam
9. Amalkan
tidur yang cukup
10. Awasi
pengambilan ubat
11.
Berhati-hati dengan pengambilan vitamin atau makanan tambahan
12. Bermain
sesuatu permainan yang dapat merangsang dan mencabar minda.
13. Bermain
dengan angka
Kesimpulannya, manusia perlukan banyak mengingat dan menghafal,
peringatan, tazkirah dan nasihat supaya dapat mengurangkan sifat lupa.
Seterusnya selamat beramal dengan cara menguatkan ingatan seperti yang
disebutkan tadi. Sebelum terlupa, jangan lupa berdoa kepada Allah s.w.t..
Berdoalah kepada Allah s.w.t. agar diberikan ingatan yang kuat, baik, jelas, tajam
dan bertahan lama.
Sekian sahaja kalam saya pada kali ini. Insya-Allah berjumpa lagi.