Halaman

Khamis, 30 Julai 2009

Perkara Pertama Yang Dipelajari Di KUDQI

Peristiwa ini berlaku pada hari mula-mula saya belajar di KUDQI, iaitu pada minggu orientasi. Minggu orientasi merupakan suatu program yang wajib disertai oleh setiap pelajar baru. Program ini dikenali sebagai Minggu Pengetahuan dan Silaturrahim (MPS). Program ini diadakan pada 21 Oktober hingga 24 Oktober 2007 bersamaan 9 Syawal hingga 12 Syawal 1428 Hijrah, pada hari Ahad hingga Rabu. Program bermula kira-kira dalam pukul 2.30 petang hingga 11.00 malam. Pada sebelah paginya semua pelajar belajar seperti biasa. Baik peserta mahupun adhoc program.

Pada hari pertama program itu saya telah pelajari satu perkara yang selama ini (sebelum belajar di KUDQI) dilupakan, diabaikan dan terlepas pandang. Perkara itu menjadi suatu kewajipan untuk dijaga dengan baik dan selamat. Jika berlaku sebaliknya, maka bermakna perkara itu telah dikhianati. Sebagai umat Islam, mengkhianati janji yang dibuat merupakan suatu perbuatan yang tidak berakhlak.

Perkara pertama yang saya pelajari itu ialah amanah. Inilah ilmu baru yang saya perolehi di KUDQI pada masa itu. Inilah pengalaman baru saya kerana semasa di sekolah menengah dahulu tidak pernah ada program yang mewajibkan setiap peserta menjaga barang amanah. Barang amanah yang rosak atau hilang akan dikenakan tindakan disiplin. Peserta yang bersalah akan didenda.

Barang amanah itu sebenarnya untuk mentarbiyah seseorang betapa pentingnya menjaga amanah. Setiap yang ada pada kita ialah amanah. Memelihara agama, jiwa, keturunan, akal, harta benda dan nama baik merupakan suatu amanah. Oleh hal yang demikian, menjaga amanah menjadi suatu kewajipan dan keutamaan yang tidak boleh diabaikan dalam hidup kita. Beginilah cara hidup beragama. Segala peraturan, hukum-hakam, adab dan sebagainya mengikut kehendak Allah.

Sebagai contoh, setiap penuntut ilmu mesti merasakan bahawa menuntut ilmu itu ialah amanah. Menuntut ilmu menjadi suatu tuntuntan dalam agama sama ada fardhu ain atau fardhu kifayah. Oleh itu, pelaksanaan ini mesti menjadi suatu keutamaan. Tidak sewajarnya semasa mencari ilmu, penuntut mengabaikan tanggungjawab ini dengan melakukan perkara-perkara yang sia-sia seperti berpeleseran, berfoya-foya dan lain-lain. Jika seseorang itu beramanah dalam menuntut ilmu, maka dia juga tentu sedar tentang pengorbanan dan harapan Ibu bapa yang membiayai pengajiannya daripada hasil titik peluh mereka.

Sehubungan dengan itu, untuk menjadi orang yang beramanah maka contohilah nabi kita junjungan mulia, Nabi Muhammad S.A.W. Marilah kita bersikap amanah. Jaga amanah baik-baik. Jaga amanah dengan selamat dan sejahtera. Semoga kita mendapat keredhaan Allah.

Sekian, Wallahu'alam.

Jumaat, 24 Julai 2009

Fitrah

Kembali kepada fitrah. Seperti bayi, dilihat tenang, suci dan bersih. Baik zahir dan baik batinnya. Jiwanya tenang, rohnya tenang dan hatinya pun tenang. Bagi diri yang telah dewasa ini keluarlah dari kegelapan kepada cahaya (iman). Biarlah diri ini disinari cahaya. Berada di jalan Allah.

Mulakan hidup baru, lembaran baru dan langkah baru. Kembali ke pangkal jalan. Kembali ke permulaan. Ya, sekarang saya di garisan permulaan...bagi blog ni la!
Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!