Pesanan saya ialah mengikhlaskan niat belajar kerana Allah. Niat yang betul adalah penting supaya kita tahu tujuan asal dan sebenar kita ketika hendak melakukan sesuatu. Jadi, sekarang adalah bulan pertama bagi sesi persekolahan maka adalah lebih baik jika pada peringkat awal lagi anda telah sedar untuk membetulkan niat.
Niat akan menjadi dorongan untuk melakukan sesuatu dengan bertujuan, ada hala tuju dan bermatlamat. Kalau melakukan sesuatu tanpa tujuan maka kerja yang dilakukan adalah sia-sia belaka. Namun, kita bukanlah orang yang mahu termasuk serta melakukan perkara-perkara yang sia-sia. Sehubungan dengan itu, perbetulkanlah niat anda.
Niat belajar ialah semata-mata hendak mencari keredhaan Allah s.w.t. supaya memperoleh pahala di akhirat, menghilangkan kejahilan daripada dirinya dan daripada seluruh orang yang jahil, menghidup dan menegakkan agama Islam. Beginilah niat belajar ikhlas kerana Allah s.w.t.
Beberapa dalil daripada al-Quran dan hadis tentang mengikhlaskan niat:
1. Firman Allah s.w.t.:
وَمَا أُمِرُوا إِلاَّ لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ (٥)
Maksudnya: Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.
(Al-Bayyinah: 5)
2. Firman Allah s.w.t.:
قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (١٦٢) لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ (١٦٣)
Maksudnya: Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah).
(Al-An’am: 162-163)
3. Hadis Nabi Muhammad s.a.w.:
عَنْ أَمِيْرِ المُؤْمِنِيْنَ أبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلىَ اللهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ. (رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ و مُسْلِمُ)
Maksudnya: Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
4. Sabda Rasulullah s.a.w.:
أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ. (رواه مسلم)
Maksudnya: Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakanakan engkau melihatnya, jika engkau tidak melihatnya maka Dia melihat engkau.
(Riwayat Muslim)
Apabila niat sudah betul maka segala aktiviti di sekolah atau di tempat pengajian serta sepanjang tempoh pengajian hendaklah difokus dan diutamakan kepada hal-hal yang berkait dengan ilmu. Antaranya adalah seperti:
1. Menghadiri kelas. Jangan ponteng kelas. Kalau tidak dapat hadir mesti beri surat dan alasan sebab tidak dapat hadir. Sebaik-baiknya berusaha juga untuk hadir ke kelas. Jangan malas.
2. Menghormati guru. Ini adab ketika belajar. Pelajar mesti menjaga adab terhadap guru kerana guru yang mengajarkan ilmu kepada mereka. Menjaga adab terhadap guru akan mendapat keberkatan ketika belajar.
3. Memberi tumpuan semasa guru mengajar. Mesti fokus 100%. Ketika belajar dengar guru mengajar. Ikut arahan guru. Jangan bercakap, berkhayal dan bermain ketika guru mengajar.
4. Menulis nota. Ini juga penting. Seboleh-bolehnya ilmu yang diajarkan oleh guru hendaklah dicatat dan ditulis dalam nota untuk mengingati ilmu. Kemudian, nota itu mestilah dibaca.
5. Bertanya. Kalau ada perkara yang tidak difahami atau ada soalan maka bertanyalah kepada guru. Jangan malu bertanya. Bertanya adalah kunci khazanah ilmu.
6. Banyakkan membaca. Sebagai seorang pelajar, anda digalakkan memperbanyakkan membaca buku. Bahan bacaan itu tidak semestinya buku nota dan buku teks tetapi bacalah juga buku-buku dan bahan-bahah ilmiah daripada pelbagai bidang. Anda mesti ada sikap memperluaskan bacaan setiap hari kerana membaca jambatan ilmu.
7. Kuatkan menghafal. Ilmu diperoleh dengan menghafal tetapi sebelum menghafal mesti faham terlebih dahulu. Beginilah cara untuk menguasai ilmu.
8. Mengulang kaji. Selepas pulang ke rumah maka buatlah ulang kaji supaya tidak lupa terhadap ilmu yang baru dipelajari.
9. Berbincang dan bertukar-tukar fikiran dengan rakan-rakan. Perbincangan dengan rakan-rakan tentang perkara yang berkait dengan ilmu sangat digalakkan. Hindari daripada berbincang perkara-perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah. Berbincang boleh melatih diri menjadi inidividu yang bersikap toleransi.
10. Belajar secara berkumpulan. Banyak manfaatnya seperti mendapat tunjuk ajar daripada rakan yang bijak dan cepat faham dalam pelajaran, dan mewujudkan perkongsian ilmu dan maklumat. Belajar secara berkumpulan juga boleh membina ukhuwah sesama rakan.
11. Membuat latihan. Menyiapkan latihan dan kerja rumah yang diberikan oleh guru. Latihan boleh mengukuhkan kefahaman dan ingatan terhadap ilmu.
12. Menyertai persatuan. Berpersatuan boleh meningkatkan daya kepimpinan, keberanian, dan keyakinan diri, ilmu, pengalaman dan kemahiran. Berpersatuan juga menjadikan anda mampu hidup berdikari, bekerjasama dan bertoleransi.
13. Berdisiplin. Jangan langgar peraturan sekolah. Patuhi peraturan sekolah.
14. Berdoa. seperjuangan. Berdoalah kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan, dilapangkan dada, diperluaskan ilmu dan kefahaman akan ilmu. Juga doakanlah untuk kebaikan anda, ibu bapa, guru-guru, sahabat-sahabat, rakan-rakan seperjuangan, seluruh umat Islam yang hidup dan yang telah meninggal dunia serta berdoalah agar mendapat keampunan Allah.
15. Dan lain-lain lagi.
Sehubungan dengan itu, niat yang ikhlas menjadikan segala amalan hanya untuk Allah. Mengikhlaskan niat bererti mahukan keredhaan Allah semata-mata dan beroleh ganjaran pahala di akhirat. Beginilah perbuatan orang yang menghubungkan kehidupannya di dunia dengan kehidupan di akhirat. Dia meyakini bahawa kehidupan akhirat adalah kekal selama-lamanya dan dia mahu di akhirat kelak dia berada di syurga Allah.
Sekian, Wallahu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan