Halaman

Selasa, 10 April 2012

Lupa Yang Dimaafkan

Pertama sekali sukacitanya ingin saya memetik sepotong ayat daripada wahyu Allah s.w.t.. Firman-Nya:
رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَآ إِنْ نَسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا
Maksudnya: Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah.
(Al-Baqarah: Ayat 286)

Kita memang tidak dapat lari daripada sifat lupa. Oleh itu, tidak menjadi mustahil kalau kita melakukan sesuatu perbuatan kerana terlupa. Sesungguhnya apabila terbuat sesuatu kerana terlupa maka hal yang demikian dimaafkan.

Contohnya, seseorang yang lupa berwudhuk dan ia besolat dengan sangkaan ada wudhuknya, maka ia tidak berdosa. Namun begitu, hendaklah ia mengulangi kembali solatnya setelah ternyata bahawa solat yang dahulunya dalam hadas.

Begitu juga dengan orang yang terlupa hendak mendirikan solat, hendaklah dilakukannya setelah ia ingat. Hal ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w., iaitu:
مَنْ نَامَ عَنْ صَلاَةٍ أَوْ نَسِيَهَا فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا
Maksudnnya: Barangsiapa meninggalkan solat kerana tertidur atau kerana terlupa maka hendaklah ia mengerjakan solat itu apabila ia teringatnya.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Contoh lain pula seperti makan atau minum ketika berpuasa pada siang ramadhan kerana terlupa maka puasanya tidak batal dan dia mesti meneruskan puasanya. Sesungguhnya makanan atau minuman yang telah masuk ke dalam kerongkongnya itu adalah rezeki yang diberikan oleh Allah kepadanya.

Hal ini ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah s.a.w.. Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ فَلْيَتِمَّ صَوْمَهُ، فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللهُ وَسَقَاهُ
Maksudnya: Barangsiapa yang terlupa bahawa dia sedang berpuasa lalu dia sedang berpuasa lalu dia makan atau mimun  maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya, sesungguhnya Allahlah yang telah memberinya makan dan minum.
(Riwayat Muslim no. 1155  dan al-Bukhari no. 1831)

Begitu juga dengan orang yang berpuasa sekiranya bersetubuh dalam keadaan lupa maka hal itu tidak membatalkan puasa. Hukum ini diqiyaskan dengan makan dan minum kerana terlupa.

Begitu juga dengan orang yang lupa membayar zakat fitrah, maka ia tidak berdosa tetapi ia wajib mengqadha`kan zakatnya itu. Hal ini bermakna bahawa kewajipan zakat fitrah itu tidak gugur daripadanya dan tetap wajib dibayarkan walaupun sudah melewati batas waktu akhir yang ditentukan (iaitu solat Aidilfitri).

Contoh-contoh ini boleh juga dikaitkan dengan hadis Rasulullah s.a.w.. Dari Ibn ‘Abbas radhiayallahhu ‘anhuma, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
إِنَ اللهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوَا عَلَيْهِ.
Maksudnya: Sesungguhnya Allah s.w.t. mengangkat (tidak akan dikira sebagai dosa) dari umatku apa yang mereka tidak sengaja, terlupa dan terpaksa.
(Riwayat Ibnu Majah dan al-Baihaqi dan lainnya)

Demikianlah kemaafan yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada umat nabi Muhammad s.a.w. sekiranya melakukan sesuatu perbuatan dengan secara tersilap, terlupa dan paksaan. Hal ini menunjukkan bahawa sekiranya perkara tersebut berlaku maka tiada dihukumkan kesalahan atau berosa. Sesungguhnya Islam adalah agama yang mudah, agama yang tidak menyusah dan menyulitkan umatnya serta agama yang adil untuk semua.   

Wallahu’alam.

Rujukan:
Al-Quran terjemahan
Kitab Hadis 40, Imam Nawawi
Kitab Fiqh Manhaji, Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustofa Bugha & Ali Asy-Syarbaji
Kitab Keindahan Islam, Dr. Abdul Basit Abd Rahman

Ahad, 8 April 2012

Media Massa Yang Berat Sebelah

Apabila penggunaan media yang berat sebelah dan tidak adil maka pihak yang tidak mempunyai kemudahan tersebut pasti akan teraniaya, tertindas dan dizalimi. Ini tidak adil kerana pihak tersebut tidak dapat membela dan mempertahankan dirinya.

Media yang tidak adil itu telah menyerang pihak yang lemah secara bertubi-tubi tanpa memberi peluang sedikit pun untuk menjelas dan menerangkan hal yang sebenarnya. Jadi, rakyat yang menonton, mendengar dan membaca daripada media yang dikuasai oleh kerajaan yang memerintah pasti akan terpedaya dan terpengaruh dengan dakyah yang diada-adakan.

Rakyat yang lemah daya intelek, lemah dalam membuat penilaian yang positif pasti mudah percaya dengan berita-berita yang disiarkan itu. Mereka sudah tentu percaya bulat-bulat berita yang diterima tersebut.

Hal ini berbeza dengan mereka yang sentiasa mencari maklumat daripada pelbagai sumber dan sentiasa memastikan sumber berita itu adalah daripada sumber yang benar, tepat dan sahih, dan bukan fitnah, rekaan dan yang tidak pasti. Sepatutnya kita sebagai pengguna media massa mesti mengambil berita daripada dua pihak, iaitu pihak yang membuat kenyataan dan pihak yang menafikan kenyataan. Ini barulah adil.

Seringkali apabila membaca surat khabar yang pro kerajaan mesti menyatakan terhadap pihak pembangkang yang membuat sesuatu perkara sebenarnya bermotifkan politik. Apa-apa perkara yang dibuat mesti dikatakan ada motif politik sehingga ke tahap ada yang mengatakan agama dipolitikkan. Mereka mengatakan pihak pembangkang telah mempolitikkan agama. Kenyataan itu menunjukkan seolah-olah pihak pembangkang telah melakukan suatu kesalahan yang  sangat besar dan berdosa.

Bagaimanapun, kalau pihak kerajaan buat apa-apa program tidak pula digambarkan ada motif politik. Boleh dikatakan setiap hari di televisyen ada sahaja berita yang menyiarkan kerajaan UMNO BN yang terdiri daripada PM dan menteri-menterinya berkempen dan mengajak rakyat mengundi mereka pada pilihanraya akan datang. Yang tidak adilnya ialah kalau pihak kerajaan secara terang-terangan berkempen di kaca tv tidak pula dikatakan ada motif politik.

Ini memang tidak adil! Media yang berat sebelah.

Adapun agama dan politik memang tidak boleh dipisahkan. Ini memang jelas. Orang yang jahil agama saja yang akan menyatakan tiada politik dalam agama. Sesungguhnya pemahaman yang mengatakan politik tidak ada dalam agama itu adalah daripada ajaran sekular.

Kita sebagai muslim mestilah menolak fahaman sekular ini kerana fahaman ini memisahkan antara agama dan kehidupan. Agama suku, dunia atau politik suku. Fahaman sekular mengajar urusan agama duduk di masjid dan pejabat agama sahaja manakala urusan politik di luar masjid dan ulama tidak boleh campur tangan. Islam tidak ajar seperti demikian. Islam adalah agama yang menyeimbangkan antara keperluan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya fahaman sekular ini boleh merosakkan akidah dan menjurus kepada murtad. Oleh itu, kita mesti mengatakan dan beramal bahawa dalam agama ada politik. Jadi, tidak timbul isu kalau buat apa-apa bermotifkan politik.

Kita mesti menjaga agama kita. Manakala negara yang kita diami ini pula mestilah diperintah oleh pemerintah yang adil, yang tidak melakukan dosa besar dan berterusan dengan dosa kecil. Kita mesti memilih pemimpin yang bertaqwa, yang takut kepada Allah, yang alim ilmu agama, yang tahu hukum-hakam agama, yang tahu syariat Islam, yang tahu al-Quran dan Hadis. Tujuannya adalah supaya pemimpin itu dapat memimpin kita ke arah kebaikan di dunia dan di akhirat, serta menjaga, mempertahan dan memperjuangkan Islam dengan baik.

Semoga dengan sikap keprihatinan kita terhadap Islam mampu mengubah keadaan yang tidak adil ini bertukar kepada adil. Oleh itu, marilah kita memilih pihak yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam menegakkan kebenaran dan keadilan.

Ingat Allah

Berkait dengan lupa allah, ini adalah perbuatan yang bukan tidak disengajakan tetapi perbuatan yang disengajakan. Hal ini terjadi apabila terlalu mencintai dunia, mengejar kehidupan dunia, mementing dan mengutamakan kebendaan atau material. Kehidupan yang melebihkan kebendaan daripada menyuburkan kerohanian kepada Allah.

Orang seperti ini asyik sibuk dengan mencari harta kekayaan. Sudah kaya ingin kaya lagi. Tamak, haloba dan rasa tidak cukup dengan segala yang diperolehnya. Disebabkan rutin hariannya sibuk dengan bekerja, mencari harta dan kekayaan maka dia lupa kepada Allah.

Lupa hendak ingat Allah. Lupa hendak berzikir kepada Allah. Lupa hendak beribadah kepada Allah dan lain-lain yang berkait dengan lupa kepada Allah. Termasuk juga lupa mengingati kematian dan hari akhirat. Padahal apabila sentiasa melazimkan diri dengan mengingati kematian dan hari akhirat boleh mendorong diri untuk sentiasa mengingati Allah pada setiap masa, tempat dan keadaan.  

Sebagai hamba-Nya, kita tidak patut lupa kepada Allah. Tidak patut lupa hendak berzikir dan mengingati-Nya. Tidak patut lupa hendak beribadah dan berdoa kepada-Nya. Sebaliknya kita mestilah mengingati Allah di mana jua berada dan ketika.

Mengingati Allah itu menjadikan kita sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan-Nya, melakukan semua perintah-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya, berbakti kepada-Nya, berbakti dan berjuang menegak dan mendaulatkan agama-Nya yakni Islam. Kita juga akan sentiasa sedar untuk memastikan Islam diperjuang, dibela dan dipertahankan daripada ancaman, kecaman, penghinaan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam yang ingin memadamkan cahaya Islam daripada terus bersinar di muka bumi.

Firman Allah s.w.t.:
... فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلاَ يَضِلُّ وَلاَ يَشْقَى (١٢٣) وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى (١٢٤)
Maksudnya: …Maka barangsiapa mengikuti petunjuk-Ku ia tidak akan sesat dan celaka. Dan barangsiapa berpaling tadah, tidak ingat kepada-Ku maka baginya kehidupan yang sempit dan kami akan membangkitkan di hari kiamat dalam keadaan buta.
(Tha-ha: 123-124)

Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang mengikuti Allah dan mengikut petunjuk-Nya adalah mereka yang menuju jalan iman dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Manakala orang yang lupa kepada Allah dan hidup sesat adalah mereka yang berada di jalan kufur, sesat dan kecalakaan di dunia dan di akhirat.

Sekian, Wallahu’alam.

Sabtu, 7 April 2012

Perkara Yang Dilupakan Atau Terlupa

Lupa boleh dikategorikan sebagai suatu penyakit. Manusia memang tidak terlepas daripada penyakit lupa. Sebenarnya dalam minda ada banyak perkara yang hendak dilakukan tetapi apabila datang penyakit lupa maka perkara tersebut terabai, tertinggal, tidak dilaksanakan dan sebagainya. Inilah akibatnya apabila lupa.

Banyak perkara yang difikirkan. Mula-mula memang ingat tetapi selepas tu tak ingat. Pernah suatu masa tu terfikir tentang perkara yang nak diingatkan tapi tak ingat-ingat juga. Masa tu rasa macam ada benda yang nak dibawa tapi tak ingat. Rasa maca ada benda yang terlupa tapi tak ingat. Puas diingatkan tapi tak ingat-ingat juga. Jadi, disebabkan tak ingat maka benda yang nak dibawa itu pun tertinggal. Bila dah teringat balik, rasa menyesal. Yang ni contoh tentang benda yang lupa nak dibawa. Memang selalu juga terjadi.

Baiklah, sebenarnya banyak lagi perkara-perkara yang sering dilupakan atau terlupa.

Apakah perkara yang dilupakan atau terlupa itu?

Antaranya seperti:

1. Lupa Allah. Saya nak senaraikannya di tempat pertama. Tak patut lupa Allah. Tak patut lupa zikir kepada Allah, mengingati Allah, tak bersyukur kepada Allah. Semasa dapat nikmat Allah lupa nak bersyukur, bila nikmat itu ditarik baru nak sedar diri.

2. Lupa nak baca al-Quran. Banyak hari dah tak baca al-Quran, takkan nak baca al-Quran ketika bulan ramadhan saja.

3. Lupa nak solat. Ni bahaya ni. Kalau buat-buat lupa memang berdosa.

4. Lupa bacaan dalam solat. Lupa bilangan rakaat semasa solat. Tak pasti dah rakaat yang kedua atau ketiga. Biasanya hal ni terjadi bila fikir benda-benda lain masa solat. Selalunya bila solat tak khusyuk. Ada juga lupa bacaan ayat al-Quran lepas bacaan surah al-fatihah pada rakaat pertama atau kedua. Yang ni biasanya berlaku kepada orang yang menjadi imam.

5. Lupa nak baca bismillah atau doa sebelum makan. Belum apa-apa terus suap makanan ke dalam mulut dengan tak membaca bismillah atau doa makan.

6. Lupa nak siapkan kerja. Lupa punya pasal kerja tak siap. Bila disuruh hantar pada masa yang ditetapkan tak dapat nak hantar. Alasannya lupa. Sebenarnya orang tu betul-betul lupa atau dia yang suka menangguh-nangguhkan kerja sehingga tak siap pada masanya.

7. Lupa nak bawa barang-barang penting seperti buku, pen, dokumen, mykad, lesen memandu, duit, dompet dan lain-lain.

8. Lupa diri. Bagai kacang lupakan kulit. Bagai lupa daratan. Selalunya apabila hidup sudah senang jadi orang yang tak ingat dunia. Buat dosa, buat maksiat, buat kejahatan sesuka hati.  

9. Lupa nak buang sampah. Dah pergi kat dapur. Kat situ ada tong sampah tapi tak bawa sampah. Tapi bila nampak sampah tu semula baru teringat sampah tu tak buang lagi. Kalau nak patah balik ke dapur rasa malas pula. Jadi minta orang yang nak ke dapur buangkan sampah tu.

10. Lupa nak kemas rumah, bilik tidur dan bersihkan tandas. Walaupun dah kotor tapi rasa tak perasan nak kemas dan bersihkan. Betulkah tak perasan atau malas nak buat? Entahlah tepuk dada tanya selera.

11. Lupa nak baca buku. lupa nak ulang kaji pelajaran. Lupa nak belajar.

12. Lupa nak beli barang yang kena beli. Sampai kat kedai lupa nak beli. Bila sampai rumah baru teringat barang yang nak dibeli tu.

13. Lupa nak update blog. Hehehe… ni pun kira lupa juga ke?

14. Lupa nak makan. Aik, makan pun boleh lupa juga. Mungkin orang tu sibuk sangat sampai lupa nak makan.

15. Lupa nak tutup suis lampu, kipas, tv, radio, laptop dan lain-lain.

16. Lupa nak kunci rumah, kunci pagar, kunci pintu dan sebagainya. Bila bagun pagi baru sedar bahawa semalaman rumah tak berkunci.

17. Lupa nak matikan enjin kereta. Lupa nak tarik handbrake. Lupa nak kunci kereta. Lebih teruk lagi boleh lupa sampai tertinggal kunci dalam kereta. Kalau nasib tak baik, kereta tu tak pasal-pasal dicuri orang yang memang kerjanya mencuri.

Dan banyak lagi…

Sesungguhnya, banyak betul perkara yang dilupakan atau terlupa. Sememangnya lupa ni dah jadi suatu penyakit.

Sebenarnya perkara-perkara yang berkaitan dengan lupa itu boleh jadi sama ada sengaja atau pun tidak sengaja. Namun, kita boleh buat kategori atau menilai antara lupa yang disengajakan dan lupa yang tak disengajakan.

Boleh jadi perkataan dilupakan itu merujuk sengaja buat lupa dan perkataan terlupa pula merujuk tidak sengaja lupa. Selalunya kata “ter-” untuk perkara yang tidak disengajakan.

Saya rasa cukuplah setakat ini dulu. Hajat di hati memang nak tulis panjang lagi tapi bila difikirkan semula adalah baik tulis setakat ni saja supaya pembaca yang membaca artikel ni tak berasa jemu kerana tulisan yang panjang berjela mungkin membosankan.  Insya-Allah, lain masa sambung lagi.

Ahad, 1 April 2012

Walaupun Miskin Harta Tapi Kaya Ilmu Dan Budi Pekerti

Sesetengah orang yang rasa dirinya sangat kaya dari sudut harta merasakan dirinya lebih baik dan mulia daripada orang miskin dan susah. Dia berasa kekayaan adalah segala-galanya. Dia menganggap orang miskin itu hina, pemalas dan berdarjat rendah.

Kasihan rasanya apabila orang miskin dianggap sedemikian.

Sebenarnya mana boleh memandang orang yang lebih susah dan miskin itu hina. Kita semua sama. Cuma orang yang mulia di sisi Allah itu ialah orang yang bertaqwa.

Setiap manusia itu ada maruah, harga diri dan jati diri. Seseorang itu tidak boleh buat sesuka hatinya menghina, manjatuhkan air muka dan maruah dan mengaibkan orang lain. Ingatlah, jika di dunia suka mengaibkan orang maka balasan di akhirat adalah lebih dahsyat lagi.

Adalah lebih baik miskin harta tapi kaya dengan ilmu dan budi pekerti. Ilmu yang dimiliki sangat bermanfaat kepada dirinya dan orang lain. Manakala budi pekerti yang baik dan mulia pula sangat disenangi oleh ramai orang.

Sebagaimana Rasulullah s.a.w. yang mempunyai kebijaksanaan dan akhlak yang mulia. Baginda disenangi, disegani dan dihormati oleh para sahabat dan musuhnya. Oleh itu, marilah kita berusaha untuk menjadi orang yang kaya ilmu dan budi pekerti.
Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!