Halaman

Isnin, 22 September 2014

Universiti Al-Iman Sana'a Yaman Ditawan Syiah Houthi

Pagi tadi saya mendapat berita daripada seorang kawan saya yang masih berada di Yaman menyatakan bahawa semalam Universiti Al-Iman telah ditawan oleh puak Syiah Houthi. Pada mulanya saya tidak percaya tetapi diyakinkan olehnya kerana dia mendapat maklumat tersebut daripada askar Syeikh Abdul Majid Az-Zindani.

Syeikh Abdul Majid Az-Zindani dilaporkan selamat... alhamdulillah. Walau bagaimanapun, ketua perang yang juga selaku pengawal Syeikh Abdul Majid Az-Zindani mati syahid ketika bertempur dan beberapa orang lain lagi juga turut sama mati syahid. Selain daripada itu, semuanya selamat dan diarahkan oleh Houthi supaya keluar dari Universiti Al-Iman. 

Universiti Al-Iman diasaskan oleh Syeikh Abdul Majid Az-Zindani. Beliau adalah seorang ulama yang berpengaruh dan juga ketua ulama di Yaman. Beliau sangat menekankan aspek pengajian Islam secara menyeluruh serta mengamalkannya di universiti yang diasaskannya. Di universiti itu juga mengajarkan pelajar dan penghuninya supaya berpegang kuat pada mengamalkan ajaran al-Quran dan as-Sunnah.

Di sini jugalah tempat umat Islam yang dipanggil golongan ahli Sunnah wal-Jamaah yang sangat kuat dan digeruni oleh musuh-musuh Islam.

Oleh sebab itu, Universiti Al-Iman menjadi sasaran utama kepada musuh-musuh Islam. Mereka bimbang universiti ini terus bertapak di bumi yaman, bumi anbiya', bumi iman dan hikmah ini. Hal ini kerana universiti ini telah melahirkan ramai ulama yang berkualiti, cintakan akhirat, amanah dengan ilmunya, menyebarkan ilmu, dan berani menegakkan kebenaran dan melawan kebatilan.

Setelah mendengar berita Universiti Al-Iman ditawan, saya berasa sangat sedih kerana universiti ini jugalah tempat saya menimba ilmu agama. Saya berharap agar mudah-mudahan universiti ini akan dapat bangkit semula daripada ditawan oleh musuh-musuh Islam. 

Musuh-musuh Islam memang tidak menyukai Islam dan mereka sentiasa memerangi Islam dengan pelbagai cara seperti terdapat dalam firman Allah dalam surah As-Saf ayat 8-9 yang bermaksud:

8. Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). 9. Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

Islam diperangi oleh musuh-musuhnya di segenap penjuru. Namun, kita mesti yakin bahawa Allah s.w.t. pasti akan memenangkan Islam pada suatu hari nanti! Insya-Allah.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!