Halaman

Ahad, 21 September 2014

Pemberontak Syiah Mara Ke Ibu Negara Yaman

Oleh: Wartawan Bo

Pemberontak Syiah ‘Houthi’ telah mara bergerak ke ibu negara Yaman, Sanaa, selepas bertempur dengan tentera kerajaan di pinggir barat laut bandar itu.

Sebelumnya, pada minggu lalu, mereka mencetuskan kekacauan apabila menyekat jalan ke lapangan terbang utama dan mengadakan protes ‘duduk dan bantah’ menentang kerajaan, di beberapa kementerian.

Aktivis Kumpulan Media Independen (KAMI) melaporkan dari Sanaa, para pelajar termasuk dari Malaysia terpaksa bersembunyi kerana Syiah houthi sudah menyerang kawasan Jalan 30 iaitu kawasan berdekatan dengan Universiti al-Iman.

“Para pelajar mula berpindah ke kawasan yang lebih selamat dan menjalani kehidupan dalam keadaan bergelap selama dua hari kerana dua hari sebelumnya janakuasa elektrik telah diletupkan oleh pengganas Houthi,”ujar Solahuddin al-Idrusi, dalam mesej yang dihantarnya kepada pihak kami.

Sejak tengahari semalam, Rabu 17 September, beliau berkata, kedengaran bunyi tembakan senapang tidak henti-henti dan pihak tentera kerajaan mula membangunkan kubu.

Katanya, sekatan diadakan di Jalan 30 bagi menghalang kemaraan Syiah Houthi.

Al-Jazeera melaporkan, beratus-ratus pemberontak Houthi kini telah berada di ibu negara, Yaman dengan pihak tentera tetap kelihatan berdiri di luar pertempuran antara pemberontak dan pejuang Sunni pro-kerajaan.

Dalam beberapa hari lepas, Houthi telah mensasarkan bangunan yang dimiliki oleh pihak Sunni Islah, termasuk Universiti Iman, yang telah dikelilingi.

Sumber tentera berkata lelaki bersenjata Houthi juga telah menyerang sebuah kem tentera di pintu masuk selatan ibu negara, tetapi tentera menangkis serangan.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!