Assalamualaikum. Apa khabar semua? Saya harap anda semua sihat wal-afiat hendaknya. Semoga ceria, gembira dan bahagia selalu. Marilah kita memanjatkan kesyukuran sebanyak-banyaknya kepada Allah s.w.t. atas nikmat-Nya yang tidak terhingga banyaknya.
Alhamdulillah, saya masih lagi diberikan kesempatan, peluang dan idea untuk menulis oleh Allah s.w.t.. Mudah-mudahan latihan yang dibuat semakin bertambah baik dari semasa ke semasa. Insya-Allah. Begitu juga dengan beberapa perkara ini yang akan saya ceritakan dalam entri ini. Perkara yang saya rasakan itu adalah penting bagi diri saya yang mesti dipelajari, dilatih dan diasah.
Sepanjang saya berada di sini saya terfikir bahawa saya mesti
menguasai beberapa perkara ini yang sememangnya dirasakan penting pada masa
ini. Perkara yang mesti dikuasai itu ialah ilmu, bahasa Arab dan hafaz 30 juz
al-Quran.
Ilmu
Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu agama. Ini yang terutama. Kemudian
ilmu-ilmu dunia yang lain seperti sains, sejarah dan pengetahuan am yang
berkait dengan dunia dan keadaan semasa. Ilmu dikuasai supaya tidak
ketinggalan.
Ilmu itu menjadikan seseorang alim, pandai, bijak,
cerdik, cerdas, geliga, maju, hebat, bagus, berfikiran terbuka, kreatif, ada idea baru
dan bernas, ada pandangan sendiri, tidak taklid buta, tidak jumud, tidak
mundur, pencetus perubahan dan sebagainya.
Menuntut ilmu itu juga adalah antara cara untuk mendekatkan diri
kepada Allah, mengingati-Nya, mengingati kematian, akhirat, syruga dan neraka,
tahu dosa pahala dan halal haram, mendapat keredhaan-Nya, ditinggikan darjat
oleh-Nya, semakin takut, taat, malu dan bersyukur kepada-Nya, mendapat
kemuliaan, mendapat pahala, dan mendapat syurga-Nya.
Bahasa Arab
Saya mesti berusaha sehingga mampu bercakap bahasa Arab dengan baik.
Saya mungkin lama di sini, jadi sudah tentu saya akan berkomunikasi dengan
orang Arab. Mungkin juga saya akan merantau ke sekitar atau ke seluruh timur
tengah demi mencari ilmu dan pengalaman.
Adapun sekiranya saya ingin pergi ke eropah suatu hari nanti misalnya,
sudah tentu saya perlu bercakap dalam bahasa Inggeris. Mungkin semasa saya
belajar bercakap bahasa Arab, saya juga tidak lupa untuk belajar bahasa Inggeris.
Dalam proses mempelajari bahasa Arab, saya rasa saya bukan sahaja
belajar bercakap bahasa Arab bahkan belajar sehingga boleh membaca kitab Arab,
menterjemah kitab Arab dan menulis dalam bahasa Arab. Kadang-kadang terfikir
dan muncul persoalan, apa gunanya belajar agama kalau tidak pandai bahasa Arab?
Oleh hal yang demikian, saya mesti pandai bahasa Arab, saya mesti
pandai bercakap bahasa Arab, saya mesti pandai membaca kitab Arab, saya mesti
pandai menterjemah kitab Arab dan saya mesti pandai menulis dalam bahasa Arab.
Hafaz 30 Juz al-Quran
Saya fikir kalau hendak menjadi ulama mesti berjaya menghafaz 30 juz
al-Quran. Boleh dikatakan ulama-ulama terdahulu telah dapat menghafaz
keseluruhan al-Quran sejak kecil lagi. Malu rasanya diri ini apabila menyingkap
kisah tersebut kerana belum berjaya menghafaz keseluruhan al-Quran.
Oleh hal yang demikian, saya patut mencontohi mereka. Kini, saya masih
dalam proses. Saya target sebelum balik ke Malaysia saya sudah dapat menghafaz
30 juz al-Quran. Insya-Allah. Saya sedang berusaha ke arah tersebut.
Saya fikir setelah pulang ke Malaysia saya rasa tanggungjawab kepada
masyarakat adalah besar. Contohnya ketika solat berjemaah, pasti ahli qariah
akan meminta kita menjadi imam. Selalu kedengaran cakap-cakap orang bahawa
pelajar yang belajar di timur tengah ini mesti boleh menjadi imam, mengajar
ilmu agama dan memimpin masyarakat.
Sudah tentulah demikian kerana ilmu yang dipelajari bagi mijoriti
pelajar lepasan timur tengah adalah ilmu agama. Oleh itu, mereka adalah pihak
yang sepatutnya kehadapan dalam hal-hal agama. Memimpin, membetulkan dan
membaiki masyarakat, mengeluarkan mereka daripada kejahilan dan mengajarkan
mereka agama supaya mereka faham dan dapat mengamalkannya dengan mengikut
syariat.
Berbalik kepada menghafaz 30 juz al-Quran, saya fikir bahawa
mengingati keseluruhan al-Quran adalah termasuk dalam salah satu kekuatan
seseorang pendakwah. Jadi, saya fikir saya mesti berusaha dan dapat menghafaz
keseluruhan al-Quran. Insya-Allah.
Kalau kita baca buku cara menghafal al-quran kita pasti akan dapati di
dalamnya menyatakan hal-hal seperti tentang menjaga adab terhadap al-Quran,
adab dengan guru, memperbaiki bacaan, membaca al-Quran dengan tajwid yang
betul, menghargai masa, disiplin ketika menhafaz, menjauhi maksiat dan dosa,
dan sebagainya.
Sehubungan dengan itu, menghafaz al-Quran akan menjadikan seseorang
itu baik bacaan al-qurannya, mempunyai ingatan yang kuat, akhlak yang baik dan
masa depan yang cerah, iaitu di akhirat kelak. Wallahu’alam.
Penutup
Demikianlah tiga perkara penting bagi saya. Saya rasa dengan tiga
perkara ini saya yakin saya boleh pergi ke mana-mana sahaja tanpa kesukaran. Saya
boleh berdikari meskipun berada di tempat orang. Jadi, terlebih dahulu
perancangan, persediaan dan persiapan juga adalah penting dan mesti dilakukan.
Seterusnya saya minta doakan saya dan sahabat-sahabat saya yang sedang belajar
ini berjaya dalam pelajaran, dan berjaya di dunia dan di akhirat.
Sekian sahaja daripada saya yang mempunyai kelemahan dan kekurangan. Insya-Allah berjumpa lagi. Assalamualaikum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan