Halaman

Selasa, 11 Disember 2012

Aktiviti Cuti

Selepas tamat peperiksaan bagi semester akhir yang diadakan oleh pihak universiti maka bermulalah cuti yang panjang. Cuti yang panjang sangat menyeronokkan bagi sesetengah pelajar. Ketika cuti inilah boleh pergi makan angin, berehat, tidur, bermain dan sebagainya. Namun demikian, cuti panjang tidak boleh disia-disiakan dengan perkara yang tidak bermanfaat.

Melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat ibarat membazirkan masa. Padahal masa adalah perkara yang sangat berharga bagi kehidupan seorang muslim. Hal ini kerana di akhirat kelak, kita akan ditanya oleh Allah tentang masa yang digunakan sama ada untuk perkara yang baik atau jahat, bermanfaat atau sia-sia, amal kebajikan atau maksiat, dan perbuatan yang mendatangkan pahala atau dosa.

Sehubungan dengan itu, masa cuti panjang ini manfaatkanlah dengan perkara yang berfaedah. Kepada pelajar anda tidak boleh menjadikan cuti sebagai masa bercuti daripada belajar. Anggaplah bahawa tiada istilah cuti dalam belajar.

Saya rasa adalah terlebih baik masa cuti yang panjang ini dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang berunsurkan ilmiah. Hendak buat apa-apa semuanya berkait dengan ilmu. Untung, bagus dan sangat berharga kerana dapat banyak ilmu. 

Apa kata masa cuti ini dimanfaatkan dengan aktiviti seperti membaca buku dan al-Quran, menghafal al-Quran, menghafal hadis, menghafal nahu dan sorof, menulis, pergi ke majlis ilmu, mendengar kuliah dan ceramah, berjumpa ulama belajar bercakap bahasa Arab, pergi ke perpustakaan, dan lain-lain. Ini contoh sahaja. Ada banyak lagi yang boleh difikirkan.

Contoh lain seperti mengemas dan membersihkan rumah. Mungkin sebelum ini kita tidak sempat mengemas dan membersihkan rumah maka pada masa cuti ini adalah peluang untuk melakukan aktiviti tersebut. Banyak tempat yang kena dibersihkan seperti halaman depan dan belakang rumah, tandas, bilik mandi, bilik tidur, dapur, siling dan lain-lain. Setelah itu, pasti rumah akan kelihatan bersih, kemas, cantik, indah dan ceria. Barulah boleh jadi rumahku syurgaku. 

Contoh lain lagi seperti pergi menziarahi rumah datuk nenek, saudara-mara, kawan-kawan, jiran tetangga dan sebagainya. Walau bagaimanapun, semasa berziarah itu jangan sampai jadi tahap melepak. Contohnya pergi rumah kawan-kawan sampai lepak di rumahnya berjam-jam. Datang pagi balik malam. Setiap hari seperti demikian. Tidak elok perangai macam ini.

Sekiranya anda tergolong dalam keluarga yang menjalankan perniagaan, maka masa cuti ini adalah masa yang terbaik dan sesuai untuk membantu keluarga anda berniaga. Dengan bantuan anda itu dapat meringankan bebanan ibu bapa anda di samping anda akan mendapat ilmu perniagaan dan pengalaman berniaga. Belajar dan praktik. Selain itu, anda boleh meneladani sikap yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. yang membantu bapa saudaranya, Abu Thalib berniaga di Syam sewaktu baginda berumur 12 tahun.

Kesimpulannya, gunakan masa cuti untuk aktiviti yang berfaedah, bermanfaat, mendatangkan pahala dan diredhai Allah s.w.t. supaya kita termasuk orang-orang yang beruntung di dunia dan di akhirat. Firman Allah s.w.t.:

وَالْعَصْر (۱) إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (۲) إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (۳)

Maksudnya: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
(Al-Ashr: 1-3)

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!