Assalamualaikum. Apa khabar semua? Saya harap semua sihat-sihat
belaka. Semoga sentiasa ceria, gembira dan bahagia. Syukur Alhamdulillah saya
panjatkan kepada Allah kerana masih lagi diberi kesempatan untuk beramal dan
berbakti.
Alhamdulillah, Khamis lepas adalah hari terakhir saya menduduki peperiksaan. Selepas peperiksaan, semua pelajar Jameah Iman bercuti selama dua minggu. Selepas itu, Jameah Iman akan dibuka seperti biasa. Mungkin pada masa itu keputusan peperiksaan akan keluar. Saya harap saya mendapat keputusan yang baik.
Alhamdulillah, saya telah dua bulan berada di Yaman. Bagi saya keadaan
saya di sini baik-baik sahaja. Tidak perlu dirisaukan. Cuma ada beberapa lagi
perkara yang belum selesai. Saya harap perkara tersebut selesai secepat yang
mungkin. Antara perkara yang belum selesai itu ialah tempat tinggal, visa dan
permohonan zakat.
Saya merancang hendak tinggal di asrama tetapi masih tidak dapat lagi.
Sekarang saya masih menumpang di rumah kawan. Sebenarnya saya tidak suka
tinggal atau menumpang di rumah orang lama-lama walaupun tuan rumah itu baik
dengan kita bahkan memang kawan baik kita. Saya merasakan bahawa ini akan
mengganggu keselesaan penghuni rumah tersebut.
Sebenarnya telah banyak kali saya buat urusan untuk memohon asrama.
Banyak urusan yang dibuat sehingga apabila berjumpa dengan warden asrama,
dia memberitahu asrama telah penuh. Dia
menyatakan bahawa permohoan asrama boleh dibuat selepas peperiksaan. Lagi dua
minggu dari sekarang saya kena tunggu untuk urusan itu.
Alhamdulillah, kawan-kawan di rumah yang saya tumpang ini memahami
keadaan saya. Mereka tahu bahawa saya telah banyak kali berusaha untuk
mendapatkan asrama tetapi tidak berjaya. Oleh sebab itu mereka tidak keberatan
memberi saya tinggal di rumah mereka sehingga saya mendapat asrama. Saya pun
tidak tahu dan pasti sampai bila saya harus menumpang rumah mereka.
Yang kedua ialah visa. Visa itu adalah untuk kebenaran tinggal di
sesebuah negara selama beberapa tempoh. Untuk dapat tinggal setahun maka saya
kena buat visa belajar. Sedar tidak sedar visa melancong saya tinggal lagi
sebulan. Jadi, saya kena buat visa secepat mungkin. Bimbang terjadi apa-apa
yang tidak diingini nanti seperti ditahan tentera, kena denda dan sebagainya.
Itu semua demi keselamatan diri dan nyawa.
Samalah seperti passport. Passport itu adalah seperti kad pengenalan kalau
kita berada di luar negara. Passport ada tempohnya sseperti selama
tiga tahun dan lima tahun. Apabila passport hampir tamat tempoh maka kena
segera buat passport baru. Ada orang menyatakan bahawa passport itu umpama
nyawa kita. Kena jaga baik-baik.
Seterusnya ialah permohonan zakat. Proses ini jadi lambat sedikit
kerana dalam borang zakat minta maklumat yang berkait dengan visa, surat
sokongan belajar daripada kedutaan Malaysia, surat pengesahan belajar daripada universiti
dan sebagainya. Saya rasa apabila telah selesai urusan visa maka urusan-urusan
seperti mendapat surat pengesahan belajar daripada universiti dan surat
sokongan daripada kedutaan akan turut selesai. Urusan ini seperti berangkai.
Saling berkait.
Saya rasa saya perlu memohon zakat kerana untuk meneruskan pengajian
saya di sini. Mudah-mudahan dengan wang zakat tersebut dapat membiaya pengajian
saya selama beberapa tahun. Sememangnya kewangan yang cukup juga diperlukan ketika
belajar. Walaupun kita ada semangat yang tinggi dalam mencari ilmu tetapi tidak
mempunyai kewangan yang stabil maka ini akan menjadi penghalang kepada kita.
Oleh hal yang demikian, semangat sahaja tidak cukup malah mesti ada kewangan
yang mantap bagi membantu kita untuk terus dan konsisten dalam usaha-usaha
mencari ilmu.
Demikianlah serba sedikit cerita tentang perkara-perkara yang masih belum selesai yang ingin saya kongsikan. Saya harap
perkara-perkara yang disebutkan tadi selesai dalam masa secepat mungkin.
Insya-Allah. Hal ini kerana datangnya saya ke sini adalah hendak mencari ilmu
agama. Jadi, saya harap saya berjaya mencapai matlamat tersebut. Saya rasa setakat ini dahulu kalam saya pada kali ini. Insya-Allah berjumpa lagi. Sekian, assalamualaikum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan