Orang-orang yang berilmu
ialah orang yang ditinggikan darjatnya oleh Allah. Mereka tidak sama dengan
orang jahil. Orang alim merupakan orang yang takut kepada Allah. Oleh hal yang
demikian, orang alim akan sentiasa berusaha untuk mentaati segala perintah-Nya.
Mereka adalah harapan bagi semua manusia supaya dapat dipimpin ke jalan yang
diredhai-Nya kerana mereka pewaris Nabi s.a.w yang meneruskan perjuangan Islam.
Bagi merealisasikan kerja-kerja ini penuntut ilmu mestilah menjalankan
peranannnya sebagai pejuang Islam.
1. Perkara pertama yang
perlu disedari oleh penuntut ilmu yang berperanan sebagai pejuang Islam ialah
niat menuntut ilmu. Adapun niat itu berniat semata-mata hendak mencari
keredhaan Allah supaya memperoleh pahala di akhirat, menghilangkan kejahilan
daripada dirinya dan daripada seluruh orang yang jahil, menghidup dan
menegakkan agama Islam. Ini kerana Islam dapat dikekalkan dengan ilmu yang juga
merupakan roh Islam.
Sekiranya sebelum ini
terleka sehingga niat suci menuntut ilmu berubah dan tersasar kepada material,
maka ubah, perbaiki dan perbaharuilah niat yang sebenar dengan segera.
Sesungguhnya perkara yang baik harus disegerakan. Jika bertangguh bimbang lupa
untuk melaksanakannya. Penuntut ilmu mestilah sedar tentang matlamat mereka
yang sebenar dengan jelas, iaitu menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh dan
kemudian mengajarkan ilmu.
2. Perkara kedua ialah
penuntut ilmu merupakan individu yang bertanggungjawab untuk menjadi penggerak,
pemimpin dan sebagainya bagi gerakan Islam. Oleh itu, kegiatan yang dijalankan
tentunya dengan cara berdakwah kepada masyarakat. Penyampaian dakwah kepada
masyarakat menjadi lebih berkesan sekiranya masyarakat dapat menerima pendakwah
tersebut. Sehubungan dengan itu, aspek yang mesti dijaga oleh penuntut ilmu
ialah akhlak yang mulia. Hal ini kerana masyarakat sentiasa memerhati dan
menilai tingkah laku sama ada baik untuk dijadikan contoh teladan.
Selain itu, aspek menjaga
akhlak yang mulia ini akan wujud pada diri apabila ilmu yang dipelajari itu
diamalkan dengan bersungguh-sungguh. Contohnya, solat lima waktu secara
berjemaah di masjid dengan istiqamah akan menjadikan seseorang itu berdisiplin
khususnya dalam menepati masa. Pendakwah yang beramal dengan ilmunya ialah
orang yang menzahirkan perbuatannya daripada percakapannya, maksudnya
melaksanakan perkara-perkara yang diucapkannya. Dengan itu dia termasuk dalam
golongan orang yang berkata benar. Walau bagaimanapun, menjadi orang yang
pemula untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran adalah lebih baik sebelum
menyuruh orang lain berbuat demikian. Bukan menjadi orang terkemudian yang beramal
dengan ucapannya.
3. Ketika belajar sudah
tentu penuntut ilmu akan terlibat dengan persatuan pelajar. Melibatkan diri
dalam persatuan samalah seperti berdakwah dalam suatu gerakan jemaah Islam.
Setiap penuntut seharusnya berfikiran atau berminda positif untuk melibatkan diri atau aktif dalam
persatuan. Jangan menganggap ini sesuatu yang membebankan. Biasalah apabila terlibat
dengan persatuan maka masa kehidupan seharian akan digunakan untuk kerja-kerja
persatuan mungkin dalam beberapa ketika atau sepenuh masa. Maklumlah,
perjuangan Islam itu bukan untuk jangka pendek tetapi berpanjangan. Hal ini
tidak akan selesai melainkan telah sampai ke penghujung hayat kita. Itu pun
tugas-tugas tersebut akan diambil alih oleh orang lain. Perjuangan Islam ini
mempunyai mata rantai yang bersambung hingga ke hari qiamat. Kini, tiba giliran
kita pula untuk meneruskan kerja-kerja orang terdahulu.
Natijahnya, berpersatuan
merupakan persediaan awal bagi seorang pendakwah untuk menghadapi pelbagai
ujian. Sekiranya kita dipilih sebagai pemimpin pelajar maka ini sebenarnya
peluang yang diberi oleh Allah untuk menjadi ketua yang beramanah. Berpersatuan
juga mempunyai pelbagai kelebihan antaranya seperti melatih diri untuk berbakti
kepada agama, bangsa dan negara, mengasah bakat kepimpinan supaya apabila
keluar di gelanggang masyarakat pendakwah itu terbiasa dengan keadaan semasa
dan melatih diri untuk bersabar maka inilah peluang untuk mendapat pahala yang
banyak.
Sebagai penutup bicara,
hendak ditegaskan sekali lagi bahawa penuntut ilmu berperanan sebagai pejuang
Islam. Ini ialah amanah yang mesti dijaga dan masing-masing mesti berasa
bertanggungjawab untuk melaksanakannya dengan sebaik mungkin.
Sekian, Wallahua’lam.
(Pernah diterbitkan pada 12 Disember 2009 dengan sedikit pindaan. Sila klik sini. Semoga artikel ini menjadi tazkirah dan peringatan kepada saya supaya lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh ketika belajar dan dalam masa yang sama menjadi pejuang Islam yang istiqamah dalam perjuangan Islam.)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan