Halaman

Selasa, 24 Januari 2012

Internet Pun Macam Library


Entri ini adalah sambungan daripada entri lepas yang bertajuk Belajar Dengan Tenang. Saya terlupa hendak menulis perkara-perkara yang berkaitan dengan internet dalam entri tersebut.

Biasalah manusia memang tidak terlepas daripada sifat lupa. Manusia memang ada penyakit lupa. Untuk mengelakkan penyakit ini menjadi parah maka kita digalakkan supaya memperbanyakkan ingat Allah, berselawat ke atas Nabi s.a.w., ingat akhirat dan kematian. Sesungguhnya orang yang banyak mengingati kematian ialah orang yang cerdik.

Sebenarnya saya ingin beritahu bahawa internet juga sama seperti perpustakaan. Internet boleh diguna dan dimanfaatkan untuk mencari bahan-bahan yang berunsurkan ilmiah. Dalam internet memang ada banyak bahan cuma syaratnya ialah mesti ada usaha mencari untuk mendapatkan bahan-bahan tersebut.

Ketika saya belajar di KUDQI, ada seorang pensyarah gemar memberi assignment (di KUDQI panggil bahas) setiap kali habis kuliah. Nama beliau ialah Ustaz Kamaruzzaman Abdullah. Kalau kelas beliau mesti ada bahas. Oh, sebelum terlupa ketika di KUDQI saya belajar di fakulti Usuluddin. Baik, sambung semula. Boleh dikatakan setiap kali ada kelas beliau mesti ada bahas yang diberikannya. Memang banyak. Banyak sebab apabila bahas itu dikumpulkan dari awal semester hingga akhir semester. Namun, bahas beliau menjadi mudah untuk disiapkan apabila beliau membenarkan kami mencari bahan bahas daripada internet dan tidak terikat sangat mencari bahan dengan merujuk kitab yang ada di maktabah KUDQI semata-mata.  

Alhamdulillah, beliau memang seorang pensyarah yang memahami pelajar-pelajarnya. Menurutnya, bahas yang diberikan itu bertujuan supaya para pelajarnya mendapat banyak ilmu pengetahuan, maklumat yang luas dan kefahaman yang jelas selaras dengan tajuk-tajuk yang dipelajari di kelas. Sesungguhnya hal yang demikian, tidak diperoleh di  dalam kelas melainkan dengan hasil usaha pelajar itu sendiri yang mencari ilmu dan maklumat tambahan di luar kelas. Menurutnya lagi pelajar mesti ada sikap berdikari, berfikiran terbuka dan luas, berdaya saing, rajin dan bersungguh-sungguh dalam mendalami ilmu.

Selain itu, bahas juga boleh menambah markah peperiksaan akhir semester. Sehubungan dengan itu, pelajar mesti rajin untuk menyiapkan bahas dan menghantarnya tepat pada tempoh yang telah ditetapkan oleh pensyarah. Jika lewat hantar maka markah mungkin dipotong dan jika tidak hantar maka tidak ada markah yang akan diberikan. Oleh hal yang demikian, markah peperiksaan hanya bergantung pada jawapan bagi kertas soalan penulisan sahaja.    

Secara tradisi dan lazimnya, kelas Usuluddin boleh dikatakan sebagai kelas yang banyak bahas. Bukan itu sahaja malah madah yang diambil pun banyak. Buktinya boleh dlihat semasa peperiksaan akhir semester. Di KUDQI, minggu peperiksaan diadakan selama dua minggu, iaitu bermula hari Ahad hingga Khamis pada minggu pertama dan begitu juga seterusnya pada minggu kedua. Jadi, jika dihitung hari maka pelajar Usuluddin menduduki peperiksaan selama 10 hari.

Berbalik semula cerita tentang bahas tadi, apabila dibenarkan mencari bahan dengan menggunakan internet maka saya tidak melepaskan peluang tersebut. Inilah cara yang mudah. Saya hanya perlu search di google dengan menaip perkataan atau tajuk yang berkaitan. Adalakanya mudah dijumpai dan begitulah sebaliknya. Dalam pencarian itu, ada juga saya terjumpa bahan-bahan ilmiah lain yang tiada kaitan dengan bahas. Namun, saya tidak mensia-siakannya kerana saya beranggapan hal itu boleh menambahkan lagi maklumat dan pengetahuan saya.

Kadang-kadang pernah juga saya mencari bahan-bahan ilmiah kerana apabila timbul tanda tanya di fikiran, tiba-tiba datang idea ingin mengetahui tentang sesuatu, berasa perlukan bahan bacaan tambahan untuk persediaan mengendalikan sesuatu program atau mengajar, dan sebagainya. Selain itu, saya bukan sahaja menggunakan internet untuk mencari maklumat terkini bahkan saya juga mencari maklumat tentang perkara yang berlaku pada masa lampau.

Kini, kebiasaan saya dalam penggunaan internet ialah saya lebih kepada mencari buku. Saya yakin dapat mencarinya kerana jika menggunakan perkataan yang tepat pasti akan jumpa. Usaha mencari pula mesti dilakukan dengan sekerap mungkin. Contohnya, pernah suatu ketika saya rasa ingin membaca buku Sunan Tirmidzi tetapi saya tidak mampu membelinya kerana mengalami kekurangan kewangan. Jadi, saya pun search di internet dengan menaip seperti sunan tirmidzi doc/pdf. Alhamdulillah jumpa.

Sekiranya kita bijak memanfaatkan internet maka kita akan dapat banyak download buku dari internet. Hal inilah yang lazim saya lakukan. Sebab itu saya menyatakan bahawa internet seperti perpustakaan. Inilah kemudahan dan kebaikan yang terdapat di internet.

Walau bagaimanapun, kita mesti ingat dan sedar bahawa internet juga ada perkara-perkara yang negatif. Hal ini memang tidak dapat dinafikan lagi. Jika leka maka internet boleh mendatangkan mudharat dan berbahaya kepada diri. Oleh itu, perkara negatif yang terdapat di internet mesti dijauhkan supaya tidak terpengaruh dengannya.

Kita boleh mengibaratkan internet seperti sebilah pisau. Pisau yang digunakan dengan cara yang betul dan baik adalah seperti menjadikan pisau sebagai alat untuk memotong sayur, buah-buahan, daging dan lain-lain. Namun, jika pisau digunakan dengan cara yang salah dan jahat maka pisau juga boleh menjadi alat untuk membunuh orang. Begitu juga dengan internet, cara penggunaannya terpulang dan terletak kepada individu yang menggunakannya sama ada untuk perkara yang betul dan baik atau salah dan jahat.

Penggunaan internet secara meluas ada pro dan kontra. Ada baik dan buruk. Setiap orang ada pandangan dan pilihan masing-masing. Oleh itu, kita pula sebagai pengguna internet perlu bijak ketika menggunakannya. Kita boleh berfikir, menilai, memilih dan menentukan perkara-perkara yang baik, iaitu perkara yang boleh mendatangkan manfaat dan memberi kesan yang baik.

Kadang-kadang kita lupa dan terpengaruh dengan dorongan nafsu dan ada juga sengaja mengikut dorongan nafsu yang menyebabkan berbuat maksiat ketika menggunakan internet. Sedarlah zaman sekarang sungguh mudah untuk melakukan maksiat dan dosa. Sungguh mudah untuk mendapat dosa. Hal itu dilakukan dengan menggunakan hujung jari yang mengklik pada pautan-pautan yang ada di internet. Jari mengklik, mata melihat, akal berfikir dan seumpamanya. Sesungguhnya maksiat yang terdapat di internet boleh mempengaruhi jiwa dan fikiran lantas mengkotorkan hati. Astaghfirullahal’azhim.   

Niat asal yang murni, iaitu mencari ilmu jangan ditukar dengan perkara yang mendatangkan dosa. Beginilah keadaan yang menimpa kita pada hari ini. Kita mesti berhati-hati. Pohonlah keampunan kepada Allah dan mintalah kepada-Nya agar diberikan kekuatan iman untuk melawan godaan syaitan dan dorongan nafsu. Juga mintalah kepada-Nya agar diberikan kekuatan untuk menghidar serta menjauhkan diri daripada perbuatan dosa dan melakukan larangan-Nya.

Demikianlah coretan saya kali ini adalah sekadar untuk muhasabah dan renungan bersama. Seharusnya penggunaan internet adalah untuk perkara-perkara yang berkaitan dengan ilmu seperti yang saya katakan tadi, iaitu internet seperti perpustakaan. Jika internet dianggap sebagai perpustakaan maka sudah pasti internet dijadikan alat untuk  mencari ilmu pengetahuan dan maklumat, bahan rujukan dan bacaan. Inilah yang dikatakan perkara-perkara yang baik, iaitu perkara yang boleh mendatangkan manfaat dan memberi kesan yang baik.

Sebagai mengakhirkan coretan ini marilah sama-sama kita beristighfar dan berdoa kepada Allah.

Astaghfirullahal’azhim… astaghfirullahal’azhim… astaghfirullahal’azhim…

Ya Allah, ampunilah dosa kami, kedua ibu bapa kami, kawan-kawan kami, sahabat-sahabat kami, rakan-rakan seperjuangan kami, dan seluruh umat Islam sama ada yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia.

Ya Allah, lapangkanlah dada kami, permudahkanlah segala urusan kami, luaskan dan tambahkanlah ilmu dan kefahaman ilmu kepada kami.

Ya Allah, berikanlah kami rezeki yang banyak lagi halal serta berkat, iman yang teguh, hati yang bersih dan kejayaan yang besar.

Ya Allah, jadikanlah kami hamba-Mu yang soleh, taat kepada kedua ibu bapa dan insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Amin… amin… amin… ya rabbal’alamin.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!