Halaman

Sabtu, 14 Januari 2012

Ingatan Untuk Ahli PAS - Kukuhkan Ukhuwah, Jangan Merugikan Jemaah

Dalam suasana hampir dengan pilihanraya, pelbagai isu luaran dan dalaman yang akan timbul untuk mengganggu kelancaran gerak-kerja parti.

Gangguan ini melibatkan berita bohong/fitnah/mengelirukan/niat jahat/provokasi yang dihebah oleh media perdana dengan agenda untuk mengelirukan ahli-ahli PAS di samping melaga-lagakan antara pimpinan parti.

Terbaru media perdana dilaporkan sebagai membayangkan Dato Dr Harun Din, YB Ustaz Taib Azamuddin, dan Ustaz Ismail Kamus antara yang hadir dalam penjelasan di rumah Dato Dr Hasan Ali malam Ahad yang lalu.

Laporan tersebut adalah tidak betul dan mempunyai niat tidak senonoh, kerana hakikatnya kesemua mereka tidak bersama pada malam tersebut.

Ketika penjelasan itu diberikan, PAS mengesahkan bahawa Dato Dr Harun Din sedang bermesyuarat Majlis Syura Ulamak di pejabat agong PAS, Ustaz Taib Azamuddin pula berada di China dan Ustaz Ismail Kamus sedang menerima rawatan.

Manakala bagi Ustaz Nasharudin Mat Isa, beliau yang baru kembali dari luar negara ada memaklumkan kepada Majlis Syura akan kehadirannya ke rumah Dato Dr Hasan Ali.

Jelas perkara di atas adalah usaha pihak tertentu bermotif untuk memberi imej buruk kepada para pimpinan parti dan mengelirukan ahli-ahli PAS sehingga bersangka buruk terhadap pimpinan parti demi mengganggu persiapan terakhir pilihanraya.

Lantaran itu, semua ahli dan pimpinan parti mesti merujuk kepada media rasmi parti iaitu Harakahdaily dan Harakah cetak untuk mendapatkan sumber sahih dan rasmi parti.

Semua ahli dan pimpinan parti juga diseru menguatkan kesedaran politik agar tidak mudah dipengaruhi permainan jahat pihak lawan.

Dalam suasana mencabar ini, semua ahli PAS diseru untuk memperkukuhkan perpaduan dan ukuhwah dalaman parti agar kita dapat menjauhi kerja yang tidak menguntungkan jamaah dan menumpukan seluruh masa, tenaga dan dana bagi menghadapi persiapan pilihanraya umum yang semakin hampir.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!