Halaman

Ahad, 1 Januari 2012

Menentukan Target


Kebarangkalian setiap orang ada target masing-masing. Target dibuat adalah untuk mencapai suatu tahap yang diingin dan dirancangkan. Oleh itu, target mesti dibuat supaya usaha yang dilakukan adalah tepat mengenai pencapaian atau hasilnya.

Saya rasa sudah sewajarnya untuk menentukan target dalam aktiviti menulis. Yang pasti target itu tidak membebankan saya kelak. Saya fikir bahawa membuat target adalah penting. Jadi, saya fikir ada beberapa sebab target mesti dibuat. Antaranya seperti berikut:

1. Untuk memastikan segala yang dirancang tercapai dan berjaya.

2. Untuk memastikan segala usaha yang dilakukan tidak terbabas, terpesong dan lari daripada tujuan asal atau sebenar.

3. Untuk memastikan tidak bersikap malas, acuh dan tidak acuh, dan berputus asa pada kemudian hari.

4. Untuk memastikan sentiasa mempunyai keyakinan diri yang tinggi bahawa saya boleh dan mampu mencapai target yang ditentukan.

5. Target yang dibuat dapat mengukur keupayaan dan potensi diri.

6. Target ibarat mencabar kemampuan diri, iaitu berusaha keluar dari zon selesa. Biasalah, kalau mahu berjaya mesti berada di zon yang tidak selesa.

7. Untuk memastikan saya sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh dan gigih.

8. Sentiasa berusaha mencari idea-idea atau strategi-strategi baru serta mengaplikasinya.

9. Supaya saya tidak asyik dalam angan-angan, mimpi dan khayalan.

10. Untuk memastikan bertindak berdasarkan rasional, realiti, kontemporari, dan logik supaya mampu untuk bersikap anjal dan fleksibel.

Berkait dengan menulis, ada cerita-cerita yang mengkagumkan seperti Ibn Taimiyah menulis empat buah buku nipis dalam sehari, satu di antaranya disempurnakan dalam seminggu. Beliau menulis sebuah buku lengkap dalam sekali duduk.

Ibn Al-Jauzi seorang penulis yang sangat produktif telah menulis kira-kira seribu buah buku. Ibn Jarir menulis seribu halaman. Ibn Aqil mengarang buku seni sebanyak lapan ratus jilid. Ibn Asakir al-Hafiz menulis buku sejara Damaskus pada usia enam puluh tahun.

Demikianlah cerita yang saya dapatkan daripada buku Rahsia Tokoh Yang Berjaya, Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni. Sekiranya saya bercita-cita dan membuat target hendak menjadi seperti mereka sudah tentu saya mesti mempunyai kesungguhan dan keazaman yang tinggi. Sungguhpun demikian, saya masih jauh lagi untuk mencapai tahap itu tetapi hal itu tidak mustahil kerana hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih.

Sehubungan dengan itu, cerita-cerita itu adalah sebagai contoh teladan yang baik dan berpedoman serta boleh dijadikan sumber inspirasi untuk berjaya. Semoga target yang dibuat bagi bidang penulisan mencapai kejayaan. Begitu juga tidak dilupakan kepada bidang-bidang yang lain pun turut sama diusaha dan diharapkan mencapai kejayaan.

Hendak Seribu Daya Tidak Hendak Seribu Dalih!

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!