Kemudahan teknologi seperti internet sangat berguna kepada manusia pada hari ini. Dengan teknologi tersebut pelbagai perkara dapat dilakukan dengan baik, berkesan, cepat dan pantas. Oleh hal yang demikian, internet sepatutnya digunakan untuk perkara yang bermanfaat. Inilah kemudahan dan kelebihan yang canggih pada abad ini, yang sewajarnya dijadikan sebagai peluang untuk memajukan diri, masyarakat, negara dan agama.
Namun, perkara yang sebaliknya berlaku. Internet hanya digunakan untuk hiburan semata-mata terutamanya kepada golongan muda. Ada juga yang menghabiskan masa berjam-jam dengan internet tetapi pengunaannya bukanlah perkara yang bermanfaat. Contohnya, menghabiskan masa dengan facebook. Menggunakan facebook hanya sekadar menulis sesuatu di status, chat, main game dan lain-lain.
Jika terlalu asyik dan menghabiskan masa dengan perkara yang tidak bermanfaat ketika menggunakan internet dikhuatiri akan terjebak atau terpengaruh dengan unsur-unsur atau anasir-anasir jahat. Dimaklumi antara agenda dan perancangan jahat musuh-musuh Islam pada hari ini ialah serangan pemikiran terhadap umat Islam yang bertujuan untuk melemahkan jati diri, pendirian, pemikiran, jiwa, rohani, iman dan kesatuan Islam. Oleh itu, hal ini mesti disedari.
Disebut perkara yang bermanfaat ialah apabila kita menggunakan internet kerana hendak menyebarkan dakwah Islamiyyah, mencari ilmu, maklumat dan idea, mendapatkan berita yang benar dan tepat, membetulkan perkara yang salah dan bertentangan dengan syarak, memperbanyakkan unsur-unsur kebaikan tanpa mengabaikan kualitinya, menangkis fitnah dan serangan musuh-musuh Islam, merapatkan ukhuwwah Islamiyyah, menunjukkan sakhsiah Islamiyyah dan sebagainya.
Jika pengguna internet itu seorang pelajar SPM, dia boleh cuba cari soalan-soalan SPM tahun-tahun lepas di internet. Mungkin dengan usaha dia mencari itu dia akan jumpa kalau tidak jumpa mungkin akan jumpa benda lain yang sekurang-kurang boleh dimanfaatkan untuk pelajarannya.
Jika pengguna internet itu seorang guru, dia boleh cuba cari nota-nota pelajaran, latihan, modul, contoh soalan peperiksaan, perkembangan aktiviti sekolah lain dan sebagainya. Dia juga boleh cuba mencari maklumat tentang cara mengajar anak murid dengan berkesan dan terbaik, menangani disiplin pelajar, menguruskan kelas dan sekolah dengan baik, membaca pengalaman guru yang berpengalaman, artikel-artikel motivasi dan sebagainya.
Jika anda penggemar dengar ceramah agama, anda boleh download mp3 dan video ceramah agama di internet. Sekarang sudah mudah. Caranya cari, kemudian download. Anda juga boleh membaca artikel-artikel agama di internet. Sekarang sudah banyak di internet cuma kena pastikan artikel tersebut adalah daripada penulis yang ahli dengan ilmu agama.
Ini hanyak sekadar contoh sahaja. Pada pandangan saya, internet akan menjadi sangat berguna apabila digunakan untuk perkara-perkara yang berkait dengan ilmu dan Islam. Oleh itu, pastikan perkara yang bermanfaat lebih banyak daripada perkara yang sia-sia ketika menggunakan internet. Sebagai seorang muslim kita disuruh untuk melakukan perkara yang bermanfaat seperti yang terdapat dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w.:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ المَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيْهِ. حَدِيْثٌ حَسَنٌ. رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَغَيْرُهُ هَكَذَا.
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya. Hadis ini Hadis Hasan. Diriwayatkan oleh al-Tarmizi dan lain-lain sedemikian.
Sekian, Wallahu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan