23 September 2014
KUALA TERENGGANU – Pelajar dari Terengganu merupakan antara warga
Malaysia yang terperangkap dalam peperangan akibat krisis politik yang
melanda Yaman ketika ini.
Berdasarkan maklumat tidak rasmi, kebanyakan pelajar yang berada di
republik bergolak itu adalah dalam kalangan mereka yang menyambung
pengajian dengan tanggungan sendiri.
Kerajaan Terengganu akan mengarahkan Yayasan Terengganu (YT)
mendapatkan maklumat lanjut melalui Wisma Putra untuk mendapatkan
kesahihan jumlah sebenar pelajar Terengganu yang berada di negara
terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Tugas-tugas Khas
negeri, Ghazali Taib berkata, walaupun tiada pelajar Terengganu
direkodkan menyambung pengajian di sana khususnya melalui tanggungan
kerajaan negeri, namun pihaknya tetap mengambil inisiatif mengenal pasti
pelajar terbabit supaya tindakan lanjut boleh diambil.
“Di bawah kerajaan negeri, tiada pelajar yang dihantar ke Yaman tetapi
bagi yang tanggung pengajian sendiri, kita tiada maklumat, tiada data,
tiada identiti mereka dan tidak tahu kursus pengajian yang diambil
kerana mereka tidak melaporkan kepada kita.
“Apapun kita minta YT bersiap sedia. Kita akan minta YT dapatkan
maklumat di Wisma Putra kerana kita tidak boleh kenal pasti secara
langsung memandangkan kita juga tiada pegawai di sana,” katanya kepada
Sinar Harian, di sini.
Berita agensi AFP dalam Sinar Harian semalam melaporkan, Kementerian
Dalam Negeri Yaman mengisytiharkan perintah berkurung di Sana’a susulan
pertempuran semakin memuncak antara pemberontak Syiah, Houthi dan
tentera Sunni.
Jurucakap kementerian berkata, perintah berkurung itu terpaksa
dikuatkuasakan selepas kedua-dua pihak menggunakan senjata berat dalam
pertempuran yang kini merebak hingga ke pusat bandar.
Ghazali berkata, data pelajar akan dikumpulkan bagi memudahkan pihaknya bertindak jika sebarang arahan dikeluarkan selepas ini.
“Buat masa ini kita tidak mendapat apa-apa arahan daripada Kementerian Dalam Negeri.
"Kita minta pelajar yang berada di sana juga tidak terlibat dengan
aktiviti keganasan dan ibu bapa juga hubungi anak masing-masing minta
supaya mereka cari alternatif terbaik untuk pulang ke Malaysia,”
katanya.
Berdasarkan maklumat tidak rasmi, kerajaan negeri tidak menolak
kewujudan pelajar Terengganu di kawasan bergolak itu dan sedang memberi
perhatian terhadap perkara tersebut.
Dengar dentuman bom
Seorang pelajar Terengganu di Yaman, Syed Husain Solahuddin Syed
Hassan, 23, ketika menghubungi Sinar Harian melalui aplikasi WhatsApp
berkata, dia mendengar dentuman bom dan bunyi tembakan setiap detik.
Walaupun itu pengalaman pertama namun katanya, keadaan itu tidak begitu merisaukan mereka.
“Empat hari lepas, setiap detik bunyi tembakan dan bom. Tidaklah takut sangat. Cuma sedikit gementar.
"Sekarang agak baik setelah dipindahkan ke tempat lebih selamat,” katanya.
Syed Husain yang juga aktivis media dan ahli Kumpulan Aktivis Media
Independan (Kami) merupakan pelajar Sarjana Muda Pengajian Islam, mula
menyambung pengajian pada awal tahun ini di Universiti Naseer, di ibu
negara Yaman, Sana’a, awal tahun ini.
Menceritakan perkara itu, Syed Husain berkata, keadaan yang mencemaskan
beberapa hari lalu menyebabkan semua universiti ditutup termasuk
Universiti Naseer.
Dia yang menyewa di Street 30 di Sana’a yang menjadi tempat penempatan
pelajar Malaysia berkata, pihak pemberontak turut menyasarkan Universiti
Iman yang berada di kawasan sama.
Katanya, ketidakstabilan politik di Yaman berlaku berikutan pihak
pemberontak mahu menggulingkan presidennya, Ali Abdullah Soleh.
Minta keluarga jangan bimbang
Lebih membimbangkan apabila dia yang belajar dengan tanggungan sendiri
menjelaskan, lapangan terbang turut ditutup sebelum ini kerana jalan
menghala ke sana dikatakan turut termasuk dalam zon perang.
Bagaimanapun katanya, dia dan pelajar Malaysia lain berada dalam
keadaan selamat di lokasi sementara yang disediakan Kedutaan Malaysia di
Sana’a yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari zon perang.
“Kepada keluarga di kampung, diharap jangan bimbang kerana kami di sini
selamat tetapi keluarga sudah sedia maklum menerusi media Al-Jazeera,”
katanya.
Syed Husain turut menjelaskan, hasrat untuk menyambung kembali
pelajaran yang tertangguh tidak pernah luntur dan mengharapkan rakyat
Malaysia mendoakan keadaan di Yaman kembali aman sambil menyifatkan
Yaman sebagai bumi iman dan penuh hikmah.
Dalam masa sama, Syed Husain turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan
Pelajar Malaysia Yaman (Permaya) kerana bertungkus-lumus memastikan
keadaan pelajar di sana selamat.