Dalam
diri kita ada nafsu. Dengan nafsu kita ada perasaan ingin makan, tidur, kahwin,
rumah, kereta, duit, jadi orang kaya, hidup senang dan lain-lain. Namun,
sekiranya nafsu tidak dikawal maka nafsu tidak akan pernah merasa puas. Hal ini
samalah seperti yang terdapat dalam hadis Rasulullah s.a.w.:
وعن
ابنِ عباسٍ وأَنَسِ بن مالكٍ رضي الله عنهما أَنَّ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم قال:
لَوْ أَنَّ لابْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ،
وَلَنْ يَمْلأَ فَاهُ إِلاَّ التُّرَابُ، وَيَتُوْبُ اللهُ عَلَى مَنْ تَابَ. (متفق عليه)
Maksudnya:
Dari Ibnu Abbas dan Anas bin Malik radhiallahu 'anhuma bahawasanya Rasulullah
s.a.w. bersabda: Andaikata seorang anak Adam, yakni manusia itu memiliki
selembah emas, ia tentu menginginkan memiliki dua lembah dan sama sekali tidak
akan memenuhi mulutnya kecuali tanah, iaitu setelah mati dan Allah menerima
taubat kepada orang yang bertaubat. (Muttafaq 'alaih)
Cuba
bayangkan, sebelum memiliki sesuatu pasti benda yang diingini itu akan
terbayang-bayang dalam ingatan. Selagi tak dapat selagi itulah teringat. Teringin
sangat. Namun, apabila benda yang diingin itu sudah dimiliki maka terasa ingin
menambah lagi satu. Rasa tak cukup. Nak lagi.
Dah dapat satu nak dua. Dah dapat dua nak tiga pula. Begitulah
seterusnya.
Kadang-kadang
ada juga apabila benda yang dimiliki itu telah buruk, lama, rosak dan tidak
cantik maka timbul perasaan jemu dan bosan terhadap benda tersebut. Mulalah
inginkan yang baru, cantik dan lebih bagus. Yang lama ditinggalkan, yang baru
dicari.
Contoh
lain yang berkait dengan ikut nafsu ni seperti ketika makan. Rasa macam-macam
nak makan. Nak makan coklat, aiskrim, kek, biskut, burger, ayam goreng, sate,
buah-buahan, minum air jus dan
lain-lain. Samalah ketika pada bulan puasa. Ketika nak hampir berbuka puasa
macam-macam makanan rasa nak dibeli di bazar ramadhan. Macam-macam nak.
Kalau
ikut nafsu, memang tak pernah rasa puas dan cukup. Macam-macam benda yang
diingini. Beginilah keadaannya apabila mengikut nafsu. Oleh hal yang demikian,
nafsu mestilah diurus dengan bijak dan baik. Kalau ikutkan sangat kehendak dan keinginan nafsu bimbang
nanti nafsu akan menyesatkan kita daripada jalan Allah. Firman Allah s.w.t.:
وَلاَ
تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ
عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ (٢٦)
Maksudnya:
Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari
jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat
azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan.
Sesungguhnya
setiap
penyakit itu ada ubat atau penawarnya. Begitu juga dengan masalah,
setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Di sana, mungkin terdapat
banyak jalan penyelesaian bagi penyakit ikut nafsu seperti bersifat
zuhud, qanaah, tawaduk, ikhlas, redha, istiqamah, taqwa dan sebagainya.
Namun begitu, pada kesempatan ini saya hanya ingin memfokuskan kepada bersyukur dan
bersabar.
Bersyukurlah
kepada Allah atas segala nikmat-Nya. Bersabarlah dengan ujian hidup ini sama
ada senang atau susah. Kalau tidak bersyukur maka akan menjadi kufur
kepada-Nya. Kalau tidak bersabar maka akan kalah dan lemah dalam menghadapi
ujian hidup. Bersyukurlah dengan merasakan bahawa apa-apa yang dimiliki telah
cukup seperti bersifat qanaah. Bersabarlah bahawa tidak semua keinginan itu
mesti dipenuhi atau dimiliki dengan segera atau sekiranya keinginan itu tidak
tercapai maka tidak timbul rasa kecewa dan berputus asa.
Ingat,
jangan ikut hawa nafsu nanti buruk padahnya. Namun demikian, mestilah mengutama
dan mendahulukan iman ketika hendak membuat sesuatu perkara. Hanya hamba Allah yang taat kepada-Nya sahaja
yang tidak akan mengikut nafsu tapi ikut perintah Allah. Baik suruhan-Nya
mahupun larangan-Nya. Wallahu’alam.
Dalam
kitab Hadith 40 karangan Imam Nawawi, hadith yang ke-41 menyatakan:
عَنْ أَبِيْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرِو
بْنِ الْعَاصِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لاَيُؤْمِنُ أَحَدَكُمْ حَتَّى يَكُوْنَ هَوَاهُ تَبَعًا لِمَا
جِئْتُ بِهِ. حَدِيْثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ. رَوَيْنَاهُ فِيْ كِتَابِ الْحُجَّةِ بِإِسْنَادٍ
صَحِيْحٍ.
Maksudnya: Dari Abu Muhammad Abdillah
bin Amr bin ‘Ash radhiallahu ‘anhuma dia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak beriman salah seorang di antara kalian
hingga hawa nafsunya (kemahuan dan kecenderungannya) mengikuti ajaran yang aku
bawa. (Hadits hasan shahih dan kami riwayatkan dari kitab Al Hujjah dengan sanad
yang shahih).
Sekian, wallahu‘alam.
1 ulasan:
terima kasih sahabatku..
Catat Ulasan