Oleh: Dr. Hamdi Fattouh Waly
Dakwah
Islam adalah mulia. Golongan yang mampu memperolehinya hanyalah para
amilin (aktivis) yang ikhlas. Tugas dakwah merupakan tugas para rasul,
yang merupakan manusia terbaik di kalangan hambaNya, dan menjadi
utusanNya kepada manusia, dan tugas khalifah-khalifah Rasul dan pewaris
mereka yang terdiri dari para ulamak yang bekerja, jujur dan bersifat rabbani. Ini adalah perniagaan terbaik setelah iman kepada Allah:
“Siapakah
yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah,
mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya Aku termasuk
orang-orang yang menyerah diri?" (Fussilat: 33)
Pendakwah
adalah lelaki yang bersih jiwanya, halus hatinya, khusyuk anggotanya,
dan merdeka fikirannya. Ia sentiasa menemui Tuhannya, bersungguh-sungguh
menghadapkan wajah kepada-Nya, tinggi harapan dan mengharapkan
rahmat-Nya dan takut hukuman-Nya, iaitu antara ketakutan dan harapan,
selalu berharap kepada Allah supaya menerima amal solehnya, dan
memberkati usahanya, dan membuka hatinya sepertimana hati-hati para
solihin dari kalangan hamba-Nya, dan membasahkan lidahnya yang sentiasa
mengulang-ulang sebutan:
"Ya
Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), Sesungguhnya
Engkaulah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui". (al-Baqarah: 127),
Ia
berharap Allah menempatkan dirinya bersama maqam orang-orang yang
melakukan perubahan atau pembaikan, seperti yang Allah nyatakan tentang
mereka:
“Dan
orang-orang yang berpegang teguh dengan Al Kitab (Taurat) serta
mendirikan shalat, (akan diberi pahala) Karena Sesungguhnya kami tidak
menyia-nyiakan pahala orang-orang yang mengadakan perbaikan”. (Al-A’raf:
170)
Pendakwah
yang kami maksudkan bukan seorang penceramah atau pemidato, kerana
jikalau pendakwah seorang penceramah maka dia hanya berceramah sahaja.
Cukuplah kenyataan ini: “Pendakwah adalah seorang yang menyakini kepada
fikrah, gagasan atau idealismanya. Ia berdakwah atau menyeru manusia
kepada fikrah secara tulisan, ceramah atau perbualan biasa, kerja keras,
secara peribadi dan umum, dan segala perkara yang boleh digunakan yang
berupa alat-alat penyebaran maklumat. Oleh sebab itu, pendakwah boleh
menjadi penulis, penceramah, penyampai dan menjadi teladan yang
mempengaruhi orang melalui perbuatannya”. (Tazkirah Duat –Bahiy Khouly)
“Pendakwah
juga seorang ‘doktor masyarakat’ yang merawat penyakit di dalam jiwa,
dan memperbaiki keadaan masyarakat yang rosak. Oleh itu, pendakwah
adalah pengkritik yang celik, hidupnya digunakan untuk melakukan
perubahan dan pembaikan ke arah yang Allah kehendaki. Pendakwah adalah
rakan dan teman, saudara kepada yang kaya dan miskin, tua dan muda, dan
melalui sifat ini tercerna dalam hatinya perasaan kasih mengasihi, dan
mengalirkan rahmat di matanya, dan mendatangkan kecerian dan pengharapan
dari lidah dan tangannya. Ini sangat diperlukan bagi pendakwah..
Dakwahnya melimpahkan kekuatan dan keceriaan kepada ruh, bukan dari
kefasihan bicara dan kepetahan lidah. Pendakwah adalah ketua di
lingkungannya, ahli politik di persekitarannya, pemimpin kepada fikrah
dan orang yang mengikuti di sekelilingnya. Semua ini membuktikan bahawa
tidak memadai hanya bergantung kepada syarahan atau ceramah sahaja,
tetapi mesti ada pengaruh jiwa, dan dominasi ruhiyyah, berhubungan
dengan Allah, dan penggunaan fikiran tentang apa yang telah terjadi dari
pengalaman sejarah, dan keadaan manusia”. (Tazkirah Duat – Bahiy
Khouly)
Pendakwah
hendaklah hidup penuh keprihatinan terhadap umatnya, menyedari dalam
dirinya sendiri bahawa dia bertanggung jawab ke atas keselamatan dan
kestabilan mereka, mengawal akidah dan memastikan keutuhannya. Pendakwah
merasai bahawa apa jua bahaya yang menimpa bangsanya juga adalah bahaya
yang turut menimpa dirinya. Pendakwah adalah umpama gembala yang
menyayangi peliharaannya dan bapa yang mengasihi anak-anaknya .
Selain
pendakwah begitu prihatin terhadap umat, bersemangat terhadap akidah,
bimbangkan masa depan, memelihara keselamatan dan kestabilannya, maka ia
juga melihat dengan mata hatinya apa yang melemahkan pandangan ramai
orang tentang perkara yang dilihatnya, dan menyedari melalui pengalaman
dan kepintarannya tentang usaha pihak musuh yang merancang kejahatan
dengan memotong dan menyembelih mereka, mereka lebih teliti dalam
melancarkan teknik-teknik propaganda, penyesatan dan penipuan. Begitu
juga pendakwah seharusnya sedar tentang keadaan musuh-musuh Islam, bijak
tentang cara-cara mereka, dan sedar apa yang meracuni jiwa dan menutupi
tipu daya, yang tersembunyi dari pengetahuan orang-orang tidak
berpendidikan dan orang biasa, dan hanya difahami oleh mereka yang
berpandangan ke depan dan memiliki kefahaman.
Ini
adalah kategori orang-orang terdahulu yang ragu dan berdusta seperti
yang pernah nabi sampaikan dakwah. Oleh sebab itu, Allah swt menyatakan
kepada Nabi saw dengan firman-Nya:
“Dan
kalau kami kehendaki, niscaya kami tunjukkan mereka kepadamu sehingga
kamu benar-benar dapat mengenal mereka dengan tanda-tandanya. dan kamu
benar-benar akan mengenal mereka dari kiasan-kiasan perkataan mereka dan
Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu. (Muhammad: 30).
Tidaklah
cukup bagi seorang pendakwah yang menyakini dakwahnya, ikhlas dengan
fikrah atau idealismanya dan prihatin terhadap kesakitan umatnya, malah
rentetan dari itu, pendakwah hendaklah peka dengan pengetahuan semasa,
‘bersenjata’ setanding dengan senjata musuh, mampu mengawasi teknik dan
strateginya, terutama ilmu-ilmu moden yang berkembang dari tamadun
barat, yang berteraskan keduniaan dan tanpa agama yang bermatlamat mahu
memenuhi keinginan nafsu, menikmati keperluan fizikal dan keseronokan
hidup.
Di
dalam peradaban Barat yang memperkembangkan pelbagai ilmu sains tidak
mahu menghubungkan antara mereka dan penciptaan Yang Mulia dan persepsi
iman yang tepat, "Oleh kerana itu pendakwah di zaman ini terpaksa
sepenuhnya menguasai ilmu-ilmu ini, untuk menyakinkan fikiran skeptic
kerana jika jawapannya hanya terhad pada buku-buku agama semata-mata
ianya tidak mampu menolak hujah-hujah mereka, dan menjadi lebih dangkal
dari orang biasa, sedangkan mereka ini fitrahnya beriman, dan tidak
perlu usaha yang besar untuk menyeru mereka kepada kebenaran, iaitu
untuk mengembalikan mereka kepada kebenaran tidak perlu menambah dasar
baru Islam. Bagi pendakwah walaupun tugasnya tidak boleh mengabaikan
peneguhan akidah yang jelas dan mengukuhkan hati dengan iman, namun yang
paling penting dari semua, ialah meningkatkan tumpuannya yang khusus
kepada orang-orang yang mempelajari ilmu-ilmu moden untuk membetulkan
pemikiran yang meragukan, dan di antara mereka ialah orang yang merasa
tenang tanpa agama (atheisme) yang sebenarnya jahil dan lemah.
"Pendakwah
yang tidak mengambil jalan ini, maka ia umpama debu yang ditiup angin
yang tidak tahu ke mana akan pergi. Iman yang diwarisinya menyerunya
supaya teguh dan tetap. Tetapi ilmu- ilmu moden menariknya dari setiap
arah, sehingga akan mencabut keteguhan iman dari dasarnya. Oleh itu,
pendakwah mestilah memastikan dakwah menuju kepada pengkajian ilmu
pengetahuan ini, untuk membezakan yang buruk dengan yang baik, dan
menarik jiwa kepada kebenaran dengan cepat." (Majalah Al-Azhar).
Hal
ini ditegaskan oleh Sheikh Muhammad al-Ghazali rahimahullah yang
menyangkal orang-orang Islam yang jahil tentang reality mereka, sibuk
dengan urusan-urusan remeh temeh, dan prihatin dengan perkara yang
kecil. “Lihatlah apakah perkara yang menyibukkan para cendikiawan dan
pemikir kita sekiranya kehidupan beragama seumpama ‘debu yang ditiupkan
angin’! Apakah isu terpenting yang perlu diberi perhatian dan mula
difikirkan? Apabila umat Islam memikul amanah dakwah ‘alamiyyah, adakah
mereka perlu mempelajari tentang dunia di sekeliling mereka? Adakah
mereka telah mengenali musuh dan rakan?”. (Humum da’iyyah- Muhammad
al-Ghazaly)
Jika mereka diberitahu dalam Al-Quran tentang golongan yang menunggu-nunggu peluang untuk menghancurkan mereka:
“Mereka
tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan
kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup”.
(Al-Baqarah: 127)
Adakah
telah membuka mata mereka tentang ancaman bahaya ini dan telah
mengambil langkah berjaga-jaga". (Humum da’iyyah- Muhammad al-Ghazaly)
Dari
sudut kepercayaan pendakwah kepada dakwahnya, dan keinginan yang kuat
untuk menyebarkan fikrah dan idealismanya, maka ia tidak boleh lupa
bahawa anak kunci yang membuka hati bukan terletak di tangannya, tetapi
hanya di tangan Allah sahaja yang boleh mengubah pintu hati mereka
bagaimana Dia kehendaki. Pendakwah hendaklah menyedari bahawa
penjelasannya yang kukuh, akalnya yang pintar dan keazaman yang membara,
semua itu tidak cukup untuk membuka pintu hati, membebaskan dari
kepalsuan, dan menyelamatkannya dari kesesatan. Pendakwah hendaklah
selalu ingat firman Allah swt:
“Bukanlah
kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah
yang memberi petunjuk (memberi taufiq) siapa yang dikehendaki-Nya”.
(al-Baqarah: 272),
Tidak
sepatutnya pendakwah merasa kecewa apabila melihat terlalu sedikit
orang yang mengikuti dakwahnya. Ingatlah firman Allah untuk Nabi-Nya:
“Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman - walaupun kamu sangat menginginkannya”. (Yusuf: 103).
Ketahuilah
bahawa Allah hanya akan bertanya tentang sejauh mana usaha dan kerja
kerasnya, keikhlasan dan kesempurnaan iltizam kita dengan agama, dan
Allah tidak akan bertanya kenapa hanya sedikit mereka yang menerima
dakwahnya. Allah memberi keuzuran kepadanya dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya
kamu tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati mendengar dan (Tidak
pula) menjadikan orang-orang yang tuli mendengar panggilan, apabila
mereka Telah berpaling membelakang”. (An-Naml: 80)
Pendakwah
hendaklah sentiasa mengingati bahawa beliau adalah penyampai agama
Allah. Oleh itu hendaklah sentiasa mengamalkan adab-adab dan akhlak
mulia, iaitu membersihkan batinnya dari sebarang hasad dengki, sombong,
bangga diri, berbuat zalim dan menjaga lidahnya dari mengumpat,
mencerca dan berbohong. Ini kerana jika pendakwah mempunyai sifat-sifat
keji seperti itu sudah tentu orang akan menjauhkan diri darinya, dan
hanya sedikit yang duduk atau dekat dengannya. Allah swt telah mengajar
kita bahawa kejayaan pendakwah di dalam dakwahnya bergantung kepada
ketahanan imannya, dan komitmennya terhadap prinsip-prinsip dakwah dan
ketinggian akhlaknya berdasarkan firman Allah melalui lidah Nabi-Nya:
“dan Aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang Aku larang”. (Huud: ayat 88).
Jikalau
pendakwah telah menyedari bahawa ia hanya menyampaikan ajaran dari
Tuhannya, maka wajib baginya jujur menyampaikan dari Tuhannya dan nabi
saw. Pendakwah sentiasa berwaspada dari mendustakan nabi dengan
sengaja walaupun ia menyangka bahawa perbuatannya boleh mendatangkan
kebaikan atau mengelakkan kemudaratan. Ini kerana, berdusta kepada
Rasulullah saw bukan satu keadaan yang boleh diambil mudah berdasarkan
sabda nabi saw:
“Barangsiapa yang mendustakanku dengan sengaja, maka tempat tinggalnya nanti ialah di neraka”. (Bukhari)
Pendakwah
juga perlu berwaspada dari tergelincir kepada kisah dan cerita yang
mempersona pendengar dan menarik orang awam, yang bukan dari sumber yang
benar, malah sering kisah-kisah ini lebih dekat dengan mitos, jauh dari
reality, mudah di tolak, diejek dan tidak dipercayai. Cerita-cerita
seperti ini akan menjatuhkan kewibawaan pendakwah dan dakwah, dan
memberikan peluang kepada musuh-musuh untuk mempersoalkan agama,
mengolok-olok, dan menghinakannya, lalu mereka mengambil cerita-cerita
‘Israeliyyat’ sebagai senjata untuk tujuan melemahkan pegangan akidah
dan keutuhan prinsip-prinsip Islam.
Pendakwah
yang telah dikurniakan Allah kesempurnaan teras-teras dakwah dari segi
iman, akhlak dan pengetahuan, hendaklah cekal dan teguh pendirian di
atas penyiksaan dan kesusahan yang ditempuhi di atas jalan dakwah.
Pendakwah hendaklah mengira bahawa semua ini adalah daripada Allah swt.
Pendakwah mengetahui bahawa ‘mahar’ Allah tersangat mahal., dan orang
yang meminang ‘perkara kebaikan’, baginya mahar itu tidak mahal.
Ingatlah selalu kata-kata nabi kita saw:
“Jalan ke syurga dipenuhi kesukaran dan jalan ke neraka dipenuhi keseronokan”. (Ahmad)
Terjemahan daripada http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=363&ArtID=81372
Diambil dari: http://zadud-duat.blogspot.com/2011/05/pendakwah-yang-kita-ingini.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan