Halaman

Sabtu, 12 Mei 2012

Pendakwah Yang Kita Ingini

Oleh: Dr. Hamdi Fattouh Waly


Dakwah Islam adalah mulia. Golongan yang mampu memperolehinya hanyalah para amilin (aktivis) yang ikhlas. Tugas dakwah merupakan tugas para rasul, yang merupakan manusia terbaik di kalangan hambaNya, dan menjadi utusanNya kepada manusia, dan tugas khalifah-khalifah  Rasul dan pewaris mereka yang terdiri dari para ulamak yang bekerja, jujur ​​dan bersifat rabbani. Ini adalah perniagaan terbaik setelah iman kepada Allah: 

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" (Fussilat: 33)

Pendakwah adalah lelaki yang bersih jiwanya, halus hatinya, khusyuk anggotanya, dan merdeka fikirannya. Ia sentiasa menemui Tuhannya, bersungguh-sungguh menghadapkan wajah kepada-Nya, tinggi harapan dan mengharapkan rahmat-Nya dan takut hukuman-Nya, iaitu antara ketakutan dan harapan, selalu berharap kepada Allah supaya menerima amal solehnya, dan memberkati usahanya, dan membuka hatinya sepertimana hati-hati para solihin dari kalangan hamba-Nya, dan membasahkan lidahnya yang sentiasa mengulang-ulang sebutan:

"Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), Sesungguhnya Engkaulah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui". (al-Baqarah: 127),

Ia berharap Allah menempatkan dirinya bersama maqam orang-orang yang melakukan perubahan atau pembaikan, seperti yang Allah nyatakan tentang mereka: 

“Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan Al Kitab (Taurat) serta mendirikan shalat, (akan diberi pahala) Karena Sesungguhnya kami tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang mengadakan perbaikan”. (Al-A’raf: 170)

Pendakwah yang kami maksudkan bukan seorang penceramah atau pemidato, kerana jikalau pendakwah seorang penceramah maka dia hanya berceramah sahaja. Cukuplah kenyataan ini: “Pendakwah adalah seorang yang menyakini kepada fikrah, gagasan atau idealismanya. Ia berdakwah atau menyeru manusia kepada fikrah secara tulisan, ceramah atau perbualan biasa, kerja keras, secara peribadi dan umum, dan segala perkara yang boleh digunakan yang berupa alat-alat penyebaran maklumat. Oleh sebab itu, pendakwah boleh menjadi penulis, penceramah, penyampai dan menjadi teladan yang mempengaruhi orang melalui perbuatannya”. (Tazkirah Duat –Bahiy Khouly)

“Pendakwah juga seorang ‘doktor masyarakat’ yang merawat penyakit di dalam jiwa, dan memperbaiki keadaan masyarakat yang rosak. Oleh itu, pendakwah adalah pengkritik yang celik, hidupnya digunakan untuk melakukan perubahan dan pembaikan ke arah yang Allah kehendaki. Pendakwah adalah rakan dan teman, saudara kepada yang kaya dan miskin, tua dan muda, dan melalui sifat ini tercerna dalam hatinya perasaan kasih mengasihi, dan mengalirkan rahmat di matanya, dan mendatangkan kecerian dan pengharapan dari lidah dan tangannya. Ini sangat diperlukan bagi pendakwah.. Dakwahnya melimpahkan kekuatan dan keceriaan kepada ruh, bukan dari kefasihan bicara dan kepetahan lidah. Pendakwah adalah ketua di lingkungannya, ahli politik di persekitarannya, pemimpin kepada fikrah dan orang yang mengikuti di sekelilingnya. Semua ini membuktikan bahawa tidak memadai hanya bergantung kepada syarahan atau ceramah sahaja, tetapi mesti ada pengaruh jiwa, dan dominasi ruhiyyah, berhubungan dengan Allah, dan penggunaan fikiran tentang apa yang telah terjadi dari pengalaman sejarah, dan keadaan manusia”. (Tazkirah Duat – Bahiy Khouly)

Pendakwah hendaklah hidup penuh keprihatinan terhadap umatnya, menyedari dalam dirinya sendiri bahawa dia bertanggung jawab ke atas keselamatan dan kestabilan mereka, mengawal akidah dan memastikan keutuhannya. Pendakwah merasai bahawa apa jua bahaya yang menimpa bangsanya juga adalah bahaya yang turut menimpa dirinya. Pendakwah adalah umpama gembala yang menyayangi peliharaannya dan bapa yang mengasihi anak-anaknya .

Selain pendakwah begitu prihatin terhadap umat, bersemangat terhadap akidah, bimbangkan masa depan, memelihara keselamatan dan kestabilannya, maka ia juga melihat dengan mata hatinya apa yang melemahkan pandangan ramai orang tentang perkara yang dilihatnya, dan menyedari melalui pengalaman dan kepintarannya tentang usaha pihak musuh yang merancang kejahatan dengan memotong dan menyembelih mereka, mereka lebih teliti dalam melancarkan teknik-teknik propaganda, penyesatan dan penipuan. Begitu juga pendakwah seharusnya sedar tentang keadaan musuh-musuh Islam, bijak tentang cara-cara mereka, dan sedar apa yang meracuni jiwa dan menutupi tipu daya, yang tersembunyi dari pengetahuan orang-orang tidak berpendidikan dan orang biasa, dan hanya difahami oleh mereka yang berpandangan ke depan dan memiliki kefahaman.

Ini adalah kategori orang-orang terdahulu yang ragu dan berdusta seperti yang pernah nabi sampaikan dakwah. Oleh sebab itu, Allah swt menyatakan kepada Nabi saw dengan firman-Nya: 

“Dan kalau kami kehendaki, niscaya kami tunjukkan mereka kepadamu sehingga kamu benar-benar dapat mengenal mereka dengan tanda-tandanya. dan kamu benar-benar akan mengenal mereka dari kiasan-kiasan perkataan mereka dan Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu. (Muhammad: 30).

Tidaklah cukup bagi seorang pendakwah yang menyakini dakwahnya, ikhlas dengan fikrah atau idealismanya dan prihatin terhadap kesakitan umatnya, malah rentetan dari itu, pendakwah hendaklah peka dengan pengetahuan semasa, ‘bersenjata’ setanding dengan senjata musuh,  mampu mengawasi teknik dan strateginya,  terutama ilmu-ilmu moden yang berkembang  dari tamadun barat, yang berteraskan keduniaan dan tanpa agama yang bermatlamat mahu memenuhi keinginan nafsu, menikmati keperluan fizikal dan keseronokan hidup.

Di dalam peradaban Barat yang memperkembangkan pelbagai ilmu sains tidak mahu menghubungkan antara mereka dan penciptaan Yang Mulia dan persepsi iman yang tepat, "Oleh kerana itu pendakwah di zaman ini terpaksa sepenuhnya menguasai ilmu-ilmu ini, untuk menyakinkan fikiran skeptic kerana jika jawapannya hanya terhad pada buku-buku agama semata-mata  ianya tidak mampu menolak hujah-hujah mereka, dan menjadi lebih dangkal dari orang biasa, sedangkan mereka ini fitrahnya beriman, dan tidak perlu usaha yang besar untuk menyeru mereka kepada kebenaran, iaitu untuk mengembalikan mereka kepada kebenaran tidak perlu menambah dasar baru Islam. Bagi pendakwah walaupun tugasnya tidak boleh mengabaikan peneguhan akidah yang jelas dan mengukuhkan hati dengan iman, namun yang paling penting dari semua, ialah meningkatkan tumpuannya yang khusus kepada orang-orang yang mempelajari ilmu-ilmu moden untuk membetulkan pemikiran yang meragukan, dan di antara mereka ialah orang yang  merasa tenang tanpa agama (atheisme) yang sebenarnya jahil dan lemah.

"Pendakwah yang tidak mengambil jalan ini, maka ia umpama debu yang ditiup angin yang tidak tahu ke mana akan pergi. Iman yang diwarisinya menyerunya supaya teguh dan tetap. Tetapi ilmu- ilmu moden menariknya dari setiap arah, sehingga akan mencabut keteguhan iman dari dasarnya. Oleh itu, pendakwah mestilah memastikan dakwah menuju kepada pengkajian ilmu pengetahuan ini, untuk membezakan yang buruk dengan yang baik, dan menarik jiwa kepada kebenaran dengan cepat." (Majalah Al-Azhar).

Hal ini ditegaskan oleh Sheikh Muhammad al-Ghazali rahimahullah  yang menyangkal orang-orang Islam yang jahil tentang reality mereka, sibuk dengan urusan-urusan remeh temeh, dan prihatin dengan perkara yang kecil. “Lihatlah apakah perkara yang menyibukkan para cendikiawan dan pemikir kita sekiranya kehidupan beragama seumpama ‘debu yang ditiupkan angin’! Apakah isu terpenting yang perlu diberi perhatian dan mula difikirkan? Apabila umat Islam memikul amanah dakwah ‘alamiyyah, adakah mereka perlu mempelajari tentang dunia di sekeliling mereka? Adakah mereka telah mengenali musuh dan rakan?”. (Humum da’iyyah- Muhammad al-Ghazaly) 

Jika mereka diberitahu dalam Al-Quran tentang golongan yang menunggu-nunggu peluang untuk menghancurkan mereka: 

“Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup”. (Al-Baqarah: 127)

Adakah telah membuka mata mereka tentang ancaman bahaya ini dan telah mengambil langkah berjaga-jaga". (Humum da’iyyah- Muhammad al-Ghazaly) 

Dari sudut kepercayaan pendakwah kepada dakwahnya, dan keinginan yang kuat untuk menyebarkan fikrah dan idealismanya, maka ia tidak boleh lupa bahawa anak kunci yang membuka hati bukan terletak di tangannya, tetapi hanya di tangan Allah sahaja yang boleh mengubah pintu hati mereka bagaimana Dia kehendaki. Pendakwah hendaklah menyedari bahawa penjelasannya yang kukuh, akalnya yang pintar dan keazaman yang membara, semua itu tidak cukup untuk membuka pintu hati, membebaskan dari kepalsuan, dan menyelamatkannya dari kesesatan. Pendakwah hendaklah selalu ingat firman  Allah swt:

“Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufiq) siapa yang dikehendaki-Nya”.  (al-Baqarah: 272),

Tidak sepatutnya pendakwah merasa kecewa apabila melihat terlalu sedikit orang yang mengikuti dakwahnya. Ingatlah firman Allah untuk Nabi-Nya:

“Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman - walaupun kamu sangat menginginkannya”. (Yusuf: 103).

Ketahuilah bahawa Allah hanya akan bertanya tentang sejauh mana usaha dan kerja kerasnya, keikhlasan dan kesempurnaan iltizam kita dengan agama, dan Allah tidak akan bertanya kenapa hanya sedikit mereka yang menerima dakwahnya. Allah memberi keuzuran kepadanya dalam firman-Nya: 

“Sesungguhnya kamu tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati mendengar dan (Tidak pula) menjadikan orang-orang yang tuli mendengar panggilan, apabila mereka Telah berpaling membelakang”. (An-Naml: 80)

Pendakwah hendaklah sentiasa mengingati bahawa beliau adalah penyampai agama Allah. Oleh itu hendaklah sentiasa mengamalkan adab-adab dan akhlak mulia, iaitu membersihkan batinnya dari sebarang hasad dengki, sombong, bangga diri, berbuat zalim dan menjaga lidahnya dari mengumpat,  mencerca dan berbohong. Ini kerana jika pendakwah mempunyai sifat-sifat keji seperti itu sudah tentu orang akan menjauhkan diri darinya, dan hanya sedikit yang duduk atau dekat dengannya. Allah swt telah mengajar kita bahawa kejayaan pendakwah di dalam dakwahnya bergantung kepada ketahanan imannya, dan komitmennya terhadap prinsip-prinsip dakwah dan ketinggian akhlaknya berdasarkan firman Allah melalui lidah Nabi-Nya:

“dan Aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang Aku larang”. (Huud: ayat 88).

Jikalau pendakwah telah menyedari bahawa ia hanya menyampaikan ajaran dari Tuhannya, maka wajib baginya jujur menyampaikan dari Tuhannya dan nabi saw.  Pendakwah sentiasa berwaspada dari mendustakan nabi dengan  sengaja walaupun ia menyangka bahawa perbuatannya boleh mendatangkan kebaikan atau mengelakkan kemudaratan. Ini kerana, berdusta kepada Rasulullah saw  bukan satu keadaan yang boleh diambil mudah berdasarkan sabda nabi saw:

“Barangsiapa yang mendustakanku dengan sengaja, maka tempat tinggalnya nanti ialah di neraka”. (Bukhari)

Pendakwah juga perlu berwaspada dari tergelincir kepada kisah dan cerita yang mempersona pendengar dan menarik orang awam, yang bukan dari sumber yang benar, malah sering kisah-kisah ini lebih dekat dengan mitos, jauh dari reality, mudah di tolak, diejek  dan tidak dipercayai. Cerita-cerita seperti ini akan menjatuhkan kewibawaan pendakwah dan dakwah, dan memberikan peluang kepada musuh-musuh untuk mempersoalkan agama, mengolok-olok, dan menghinakannya, lalu mereka mengambil cerita-cerita ‘Israeliyyat’ sebagai senjata untuk tujuan melemahkan pegangan akidah dan keutuhan prinsip-prinsip Islam.

Pendakwah yang telah dikurniakan Allah kesempurnaan teras-teras dakwah dari segi iman, akhlak dan pengetahuan, hendaklah cekal dan teguh pendirian di atas penyiksaan dan kesusahan yang ditempuhi di atas jalan dakwah. Pendakwah hendaklah mengira bahawa semua ini adalah daripada Allah swt. Pendakwah mengetahui bahawa ‘mahar’ Allah tersangat mahal., dan orang yang meminang ‘perkara kebaikan’,  baginya mahar itu tidak mahal. Ingatlah selalu kata-kata nabi kita saw:

“Jalan ke syurga dipenuhi kesukaran dan jalan ke neraka dipenuhi keseronokan”. (Ahmad)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan