Halaman

Selasa, 3 Januari 2012

Jadilah Pemudah

Alangkah bagusnya jika diri ini mempunyai sikap seperti meringankan bebanan orang lain, tidak menyusahkan orang lain bahkan memudahkan orang lain. Saya istilahkannya mengikut fahaman saya ialah pemudah. Pemudah dalam banyak hal seperti ketika bekerja, belajar, berkomunikasi, berbincang, bekerjasama dan lain-lain. Bagi meneruskan lagi coretan ini maka saya gunakan kata ganti nama diri pemudah itu dengan ‘dia’.

Dia umpama pemudah cara bak fasilitator. Namun, dia bukanlah fasilitator. Dia mampu menjelas dan memahamkan maklumat kepada orang lain. Orang yang mendengar pun jadi mudah faham dan senang hati dengan penjelasan dan penerangannya. Dia tidak menunjuk-nunjuk atau menonjolkan dirinya terbaik dan terhebat daripada orang lain. Dia hanya ingin membantu orang lain agar orang lain berkeadaan senang, selesa, baik dan sejahtera.

Dia sering memudahkan cara bekerja. Menggunakan kaedah bekerja yang mudah. Mencari alternatif untuk bekerja dengan mudah. Sering memberi idea yang boleh memudahkan kerja, tetapi kalau idea itu tidak bernas dia mengalu-alukan idea orang lain yang lebih baik dan bernas daripadanya. Dia tidak bekeras supaya orang lain mesti mengikut cadangannya bulat-bulat. Dia bersikap demikian kerana merasakan bahawa dia mesti bersikap toleransi dengan orang lain.

Oleh sebab dia mahu rasa mudah ketika bekerja maka dia bukanlah orang yang suka melengah-lengah dan menangguh-nangguhkan kerja apatah lagi malas hendak menyiapkan kerja. Pada fikirannya bahawa menangguhkan kerja adalah suatu kerugian. Membuang masa. Dia tidak mahu sekali-kali pun berlaku keadaan seperti tidak dapat menyiapkan kerja pada tempoh yang ditetapkan, kemudian menyatakan kepada orang lain bahawa dia seorang yang sibuk, banyak kerja tidak siap, tidak cukup tidur atau tidak tidur malam, letih, penat, tidak cukup masa dan lain-lain. Baginya itu adalah alasan. Dia tidak mahu beralasan tetapi dia mahu proaktif.

Tidak keterlaluan kalau menyatakan dia seorang yang rajin dan suka membantu orang lain. Dia sedia membantu orang yang dalam keadaan susah, membantu orang yang meminta dan memerlukan bantuannya, membantu untuk meringankan beban orang lain dan sebagainya. Perkara yang penting baginya ialah dia mahu orang lain serta dirinya sendiri juga turut berasa mudah. Semuanya mudah. Tidak mahu menyusahkan keadaan tetapi memudahkan keadaan.

Sesungguhnya sikap ini sangat baik dan dia pula akan dibalas kebaikan oleh Allah s.w.t seperti yang terdapat dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w.:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُمَا اَنَّ رَسُولَ اللهِ ÷ قَالَ: الْمُسْلِمُ اَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يُسْلِمُهُ، مَنْ كَانَ فِى حَاجَةِ اَخِيْهِ كَانَ اللهُ فِى حَاجَتِهِ، وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللهُ عَنْهُ بِهَا كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (متفق عليه)
Maksudnya: Dari Ibnu Umar Radhiallahu ‘Anhuma bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Seorang muslim itu adalah saudara orang muslim yang lain, janganlah ia menganiaya saudaranya itu, janganlah pula menyerahkannya kepada musuh. Sesiapa yang memberikan pertolongan pada hajat saudaranya, maka Allah selalu memberikan pertolongan pada hajat orang itu. Dan sesiapa yang melapangkan kepada seseorang muslim akan satu kesusahannya, maka Allah akan melapangkan untuknya satu kesusahan dari sekian banyak kesusahan pada hari kiamat. Dan sesiapa yang menutupi cela seseorang muslim, maka Allah akan menutupi celanya pada hari kiamat.
(Mutaafaq ‘alaih)

Pada hadis yang lain menurut riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِى الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ فِى الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللهُ فِى عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِى عَوْنِ اَخِيهِ.
Maksudnya: Sesiapa yang melapangkan suatu kesusahan dari beberapa kesusahan sesorang mukmin di dunia, maka Allah akan melapangkan untuknya suatu kesusahan dari pelbagai kesusahannya pada hari kiamat. Sesiapa yang memberikan kemudahan kepada seseorang yang kesukaran, maka Allah akan memberi kemudahan kepadanya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutupi cela sesorang muslim, maka Allah akan menutupi celanya di dunia dan di akhirat. Allah itu selalu memberikan pertolongan kepada hamba-Nya, selagi hamba itu suka memberikan pertolongan kepada saudaranya.

Alangkah bagusnya jika diri ini seperti yang demikian. Harap-harapnya dapatlah jadi seperti itu. Mesti diusahakan. Sekiranya bukan pada masa ini namun diusahakan sedikit demi sedikit, dari sehari ke sehari, insya-Allah boleh. Cuba fikirkan, Adakah patut diri ini tidak menjadi orang yang memudah dan menyenangkan sedangkan Allah s.w.t. Yang Maha berkuasa dan Yang Maha Agung telah memberi beberapa kemudahan, kesenangan dan keringanan kepada hamba-hamba-Nya?

Firman Allah s.w.t.:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمْ الْعُسْرَ (١٨٥)
Maksudnya: Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.
(Al-Baqarah: 185)

Dalam urusan agama pun, Allah s.w.t. telah memberi kelapangan kepada umat Islam sebagaimana firman-Nya:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ (٧٨)
Maksudnya: Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.
(Al-Hajj: 78)

Agama itu mudah maka sesorang muslim itu tidak boleh memperkeraskan urusan agamanya kerana nanti akan memberi kesan yang buruk kepada dirinya. Hal ini ada dinyatakan dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w.:

عَنْ اَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِىِّ ÷ قَالَ: اِنَّ الدِّيْنَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشُادَّ الدِّيْنُ اِلاَّ غَلَبَهُ فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوْا وَاَبْشِرُوا وَاسْتَعِيْنُوْا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنَ الدُّلْجَةِ. (رَوَاهُ الْبُخَارِىُّ)
Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: Agama itu mudah, tidaklah agama itu diperkeraskan oleh seseorang melainkan agama itu akan mengalahkannya yakni orang yang memperkeras-keraskan itu sendiri yang nantinya akan merasa tidak kuat meneruskannya. Maka dari itu, bersikap luruslah engkau semua, lakukanlah yang sederhana saja jikalau tidak mampu melakukan yang sesempurna-sempurnanya, bergembiralah untuk memperoleh pahala sekalipun sedikit, juga mohonlah pertolongan dalam melakukan sesuatu amalan itu, baik pada wakti pergi pagi-pagi, petang-petang ataupun sebahagian waktu malam.
(Riwayat Bukhari)

Begitu juga dengan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk menghilangkan bebanan-bebanan dan belenggu-belenggu yang ditimpakan ke atas umat-umat terdahulu. Sifat baginda ini dinyatakan dalam al-Quran:

وَيُحِلُّ لَهُمْ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمْ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالأَغْلاَلَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ (١٥٧)
Maksudnya: dan dia (Nabi Muhammad s.a.w.) menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka.
(al-A’raaf: 157)

Cuba fikirkan tentang cara Rasulullah s.a.w. berdakwah, menerangkan hukum, mengajar, dan sebagainya. Sesungguhnya cara baginda adalah mudah dan menyenangkan untuk umatnya. Contonya seperti dalam hadis baginda s.a.w.:

عَنْ اَبِىْ هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: بَالَ اَعْرَابِىُّ فِى الْمَسْجِدِ فَقَامَ النَّاسُ اِلَيْهِ لِيَقَعُوْا فِيْهِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم: دَعُوهُ وَاَرِيْقُوْا عَلَى بَوْلِهِ سَجْلاً مِنْ مَاءٍ، أَوْ ذَنُوبًا مِنْ مَاءٍ، فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ. (رَوَاهُ الْبُخَارِىُّ)
Maksudnya: Seorang Badwi telah kencing dalam masjid, kemudian para sahabat pergi untuk menghalangnya, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: Biarkan dia, dan tuangkan di atas air kencingnya sebaldi air, atau segayung air. Sesungguhnya kamu dibangkitkan untuk mempermudahkan dan bukan menyusahkan.
(Riwayat Bukhari)

Demikianlah pesanan baginda s.a.w., sewajarnya diri ini mesti memberikan kemudahan dan bukannya memberikan kesusahan. Hal ini juga ada diterangkan dalam hadis baginda s.a.w.:

عَنْ اَنَسٍ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: يَسِّرُوْا وَلاَ تُعَسِّرُوْا، وَبَشِّرُوْا وَلاَ تُنَفِّرُوْا. (متفق عليه)
Maksudnya: Dari Anas r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: Berikanlah kemudahan dan jangan mempersukarkan. Berikanlah kegembiraan dan jangan menyebabkan orang lari.
(Muttafaq ‘alaih)

Natijahnya, jadilah pemudah. Untuk menjadi pemudah maka sebaik-baiknya contohilah Rasulullah s.a.w. kerana baginda adalah contoh teladan yang terbaik. Justeru, tidak perlu fikir yang susah-susah. Fikir yang mudah-mudah sahaja bahawa diri ini mampu menjadi pemudah.

Sekian, Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!