Assalamua’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Pada kali ini saya nak bercakap tentang perkara yang terbuku dan terkandung dalam hati dan terlintas di fikiran. Sebenarnya saya merasa kaku dan teragak-agak bila mana nak bercerita tentang perkara yang saya alami dengan bahasa Melayu baku. Takut salah bila menulis. Saya selalu terbayangkan tentang penggunaan tatabahasa dan susunan ayat yang betul dan baku. Kalau tak tulis macam tu rasa macam tak berapa ilmiah ataupun disebut picisan. Tapi kali ini saya nak cuba keluar dari kebiasaan… berbeza sikit.
Sememangnya kalau menulis dengan bahasa percakapan atau lisan adalah lebih mudah untuk bercerita seolah-seolah sekarang ni rasa sedang bercakap atau bercerita dengan orang lain. Memang betul… sebab benda yang saya tulis ni pun nak sama-sama sikit macam saya tengah bercakap.
Kiranya sekarang ni tengah bercakap dalam hati la ni… tak pun bercakap seorang diri. Orang sekarang kata bermonolog. Rasanya betul dah. Tapi sebelum ni saya tak tahu makna monolog tu apa? Kalau boleh taknaklah pandai sebut je… tapi tak tahu maknanya. Jadi, saya pun search dalam internet… saya buka website Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Jadi, makna monolog dalam Kamus Dewan Edisi Empat ialah 1. percakapan yg agak panjang oleh seorang pelakon sahaja dlm sesebuah drama filem; 2. adegan drama atau sandiwara dgn seorang sahaja pelakonnya yg menyampaikan percakapan seorang diri; 3. percakapan panjang lebar oleh seorang penutur sahaja, biasanya menafikan kesempatan orang lain utk bercakap atau mengeluarkan pendapatnya; bermonolog melakukan monolog.
Bermonolog saya rupanya.
Ok, apa yang hati saya selalu katakan dan apa pula akal saya selalu fikirkan? Saya selalu terfikir bagaimana nak dapatkan idea yang best-best untuk update blog.
Kadang-kadang saya terfikir susah juga nak tulis… nak hasilkan… macam… artikel, risalah, makalah, rencana dan lain-lain. orang sekarang kata… tak pun blogger kata… update entri, post entri, update blog dan macam-macam lagi la. Saya rasa istilah ni sama je. Kadang-kadang bingung dibuatnya sebab nak gunakan istilah yang mana satu. Zaman betul-betul memang dah berubah.
Orang sekarang kata kena ikut peredaran zaman kalau tak jadi orang yang ketinggalan zaman. Macam katak bawah tempurug. Satu lagi… macam katak dalam perigi buta. Nampak satu kawasan tu je… tak nampak dunia luar. Putus hubungan dengan dunia luar. Tak tahu perkembangan dunia luar, isu semasa dan lain-lain. Macam mana nak maju!
Kadang-kadang saya terfikir macam mana la… diorang ni boleh update blog selalu. Banyak betul idea diorang ni. Tak putus-putus macam air sungai mengalir deras. Hebat la diorang. Ada je benda yang diorang nak kongsikan dengan pembaca. Saya pun jadi respect la dengan diorang.
Sebenarnya ketika menulis sesuatu entri saya mesti fikir tentang benda yang saya tulis tu betul ke salah, logik ke tak logik. Lepas tu fakta yang ditulis tu sama ada betul, tepat dan benar. Risau juga kalau tak betul. Taknak la jadi pembohong pula. Saya bimbang apa yang ditulis tu tak benar… bohong, tipu, dusta, menyalahi fakta dan kebenaran. Saya rasa macam ni sebab dalam menulis pun kena ada rasa amanah. Amanah itu ialah perkara yang disampaikan mestilah benar, jujur dan ikhlas.
Jadi, disebabkan rasa macam tu maka tak la saya menulis ikut sesuka hati, semberono, sewenang-wenangnya, dan tidak sewajarnya. Macam kena berhati-hati masa menulis. Ya, berhati-hati!
Orang kata kalau apa yang ditulis itu datangnya dari hati maka akan sampai kepada hati juga. Maknanya sampai ke hati orang yang membaca. Sama la juga macam bercakap… kalau apa yag dicakapkan itu benar-benar dari hati maka akan sampai ke hati orang yang mendengar. Fuh, hebat la! Boleh sampai ke hati orang lain.
Saya rasa cukuplah sekadar ni dulu… kalau tulis panjang-panjang jadi melalut pula nanti… banyak merapu, mengarut, tersasar, hilang arah tujuan, yang bukan-bukan, takde kena-mengena dan lain-lain. Saya juga ingin memohon kemaafan sekiranya tulisan ini dan sebelum-sebelumnya kurang menarik ataupun tidak menarik. Terima kasih juga diucapkan kepada anda yang sudi berkunjung ke blog saya… dan membaca entri-entri yang saya post. Akhir kata, doakan saya agar boleh jadi pandai dan mahir dalam bidang penulisan pada masa akan datang… boleh menulis dengan baik dan berkualiti dan boleh menulis dengan idea yang menarik. Amin.
Sekian, terima kasih. Assalamua’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Yang Masih Tetap Dan Sedang Berusaha,
Mohd Khairul Kamaruddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan