Halaman

Isnin, 12 September 2011

Belajar Agama Supaya Reti Agama

Sabda Nabi Muhammad SAW: 

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيرًا يُفَقِّهْهُ فِى الدِّينَ
Maksudnya: Sesiapa yang dikehendaki kebaikan, nescaya ia akan diberi pengertian atau pemahaman mengenai agama.

Alhamdulillah, sangat beruntung orang yang diberi peluang untuk menuntut ilmu. Lagi beruntung orang yang menuntut ilmu agama. Belajar ilmu agama dengan ikhlas kerana Allah Ta'ala. Bukan niat belajar ilmu agama kerana hendak dapat sijil, kerja, populariti, jawatan, kepentingan dan sebagainya bimbang nanti akan berdepan dengan kesilapan, kegagalan di akhirat, dan murka Allah. Wal’iyazubillah.

Rasa sejuk mata dan hati apabila melihat murid-murid sekolah rendah agama yang belajar agama ketika usia masih kanak-kanak lagi. Di sekolah, sudah tentu mereka dididik dengan nilai-nilai murni dan akhlak yang baik. Dididik supaya mendirikan solat lima waktu, hormat kepada ibu bapa, guru-guru dan orang tua, bercakap jujur dan benar, bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan lain-lain.

Dalam masa yang sama juga ditekankan supaya beramal dengan ilmunya dan berakhlak seperti akhlak Rasulullah SAW pada setiap hari. Percakapan, perbuatan dan hatinya meniru, mencontohi, dan meneladani Rasulullah SAW agar menjadi anak yang soleh dan solehah. Seterusnya menjadi sebati dalam diri sehingga dewasa. Apabila dewasa nanti menjadi manusia yang berguna dan faham akan agama.

Firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (٢١)
Maksudnya: Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.
(Al-Ahzab: 21)

Kanak-kanak diibaratkan seperti kain putih dan juga pada masa ini adalah masa yang sesuai untuk mendidik mereka dengan perkara-perkara yang baik kerana peribahasa Melayu ada menyebut melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Kepada yang tidak mendapat peluang dan kesempatan belajar agama semasa di bangku sekolah rendah, menengah, kolej, dan universiti janganlah bersedih hati kerana selagi hayat dikandung badan kita masih lagi mempunyai kesempatan untuk mencari ilmu agama. Itu semua bergantung kepada diri sendiri, hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih. Jika diri sendiri telah timbul kesedaran tentang kebaikan dan kepentingan ilmu agama maka ini menunjukkan hati sudah tergerak hendak berubah kepada sesuatu yang lebih baik bagi kehidupannya. Oleh hal yang demikian, diri sendiri juga mesti berusaha mencari ilmu agama dan perkara yang baik mestilah dilakukan dengan segera.

Firman Allah SWT:

يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَأُوْلَئِكَ مِنَ الصَّالِحِينَ (١١٤)
Maksudnya: Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan, mereka menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang-orang yang soleh.
(Ali-Imran: 114)

Pada hari ini, kita boleh mencari ilmu agama di masjid, dan surau yang mengadakan majlis ilmu, membaca buku-buku agama, mencari kuliah-kuliah agama melalui internet dan sebagainya. Teknologi yang ada pada hari ini sebenarnya telah membuka ruang yang luas dan tidak terbatas dalam usaha-usaha mencari ilmu agama.

Ilmu agama menjadikan manusia kenal kepada dirinya sendiri dan kenal kepada Allah. Berkata ahli sufi:

مَنْ عَرَفَ نَفْسَهُ فَقَدْ عَرَفَ رَبَّهُ
Maksudnya: Sesiapa yang mengenali dirinya maka sesungguhnya dia akan mengenali Tuhannya.

Kita mesti belajar ilmu agama supaya faham tentang hukum hakam, halal haram, dosa pahala, dunia akhirat, dan syurga neraka. Semakin belajar ilmu agama maka semakin kenal dengan Allah dan diri semakin dekat kepada-Nya. Sentiasa melakukan ketaatan kepada-Nya. Sentiasa memperbaiki dan meningkatkan mutu ibadah kepada-Nya sehingga mampu melakukannya dengan lebih sempurna dan baik.

Perlu difahami bahawa kita bukan sahaja mempelajari, memahami dan beramal dengan ilmu agama bahkan mudah-mudahan kita mampu menyampaikannya kepada orang lain, dan memperjuangkannya dengan menyeru orang buat baik, menyuruh orang buat baik dan mencegah orang daripada buat jahat. Hal ini kerana kita memperjuangkan ilmu agama supaya kita semua hidup dalam syariat Islam yang bermula dengan menegakkan syariat Islam dalam diri kita dulu dan seterusnya di tempat kita tinggal.

Sekian, Wallahu'alam.

Tiada ulasan:

Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Ke Blog Saya. Lain Kali Singgahlah Lagi!